JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
BUKAN SEMUA MANGSA ISA
‘NASIB BAIK’ MACAM MALEK HUSSEIN
Assalamualaikum,
Bukan semua tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bernasib baik seperti aktivis sosial Abdul Malek Hussein memenangi kes penahanannya di mahkamah dengan menerima pampasan RM2.5 juta. Memang beliau satu-satunya mangsa tahanan ISA yang memenangi kesnya, mungkin sahaja disebabkan Abdul Malek Hussein ditahan ketika kemelut September 1998. Kalau beliau terbabit dalam insiden selepas Oktober 2003, belum pasti ianya bernasib baik. Tak tahulah dengan empat peguam dan seorang bekas pegawai bank yang ditahan di bawah ISA baru-baru ini sama ada ‘bernasib baik’ atau sebaliknya seperti keperihalan Abdul Malek Hussein.
Apalagi seperti disebut akhbar HARAKAH (1-15 Februari 2008) mengenai Puan Siti Norma Ismail dari Semenyih, Selangor apabila suaminya Sdr Abdullah Minyak Silam di-tahan di bawah ISA sejak 14 Januari 2002, tak bernasib baik seperti Abdul Malek Hussein. Sdr Abdullah dikatakan terbabit dengan Kumpulan Militan Malaysia (KMM), sebelum ditukar kepada Jemaah Islamiyah (JI), sekalipun gerakan berkenaan mungkin sahaja lebih diketahui oleh Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush daripada pimpinan negara di Asia sendiri. Lagipun setiap peperangan yang dicetus oleh AS di masa lalu, memang membabitkan pelaburan korporat-korporat senjata.
Sekiranya George Bush, mahupun sesiapa sahaja menduduki Rumah Putih tak mampu mencipta peperangan, korporat-korporat senjata mungkin sahaja bankrap. Apalagi monitor di kalangan korporat-korporat senjata pula dikatakan di kalangan jutawan Yahudi, yang lebih mementingkan dolar dan sen daripada nyawa manusia tak berdosa. Begitulah! Puan Normah pula terpaksa membahitkan diri dalam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), bagi menuntut pembebasan suaminya atau dibicarakan di mahkamah terbuka seperti ketua pimpinan JI di Indonesia, Haji Abu Bakar Bashir.
Propaganda barat yang dipelopori AS, memang mengeksploitasi isu perjuangan Islam mempertahankan diri daripada penindasan hingga dilabel sebagai ‘pengganas’, sama juga seperti gerakan nasionalisme di masa lampau dianggap ‘penderhaka’. Di Tanah Melayu sebelum abad ke 19, semua penggerak nasionalisme dilabel sebagai penderhaka sejak Dato’ Dol Said di Naning (1831), Dato’ Bandar Tunggal di Sungai Ujong (1874), Dato Maharaja Lela Pandak Lam di Pasir Salak (1876), Dato’ Bahaman di Semantan (1892) hinggalah kepada Tok Janggut Haji Mat Hassan di Pasir Puteh (1915) dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Hamid @ Rahman Limbong di Hulu Terangganu (1928). Propaganda berkenaan semuanya memberi kredit kepada penjajah barat, kerana berlakunya ‘perhambaan minda’ di kalangan masyarakat Melayu.
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
MENJELANG PILIHANRAYA:
TUN DR M DAN KU LI MAKIN LARIS
Tak semena-mena menjelang pilihanraya ke 12 yang tarikhnya masih misteri, media arus perdana bermurah hati memberi ruang kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beks Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyampaikan idea bagi percambahan minda bukan ‘perhambaan minda’. Menurut Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, sebelum ini media arus perdana terlalu ‘kedekut’ memberi ruang kepada kedua-kedua pemimpin berkenaan, tetapi menjelang pilihanraya mereka mula didampingi.
Bukan sahaja Tun Dr M diheret sama menjadi saksi dalam kes siasatan klip video oleh Suruhanjaya Diraja, malah kesihatan beliau juga baru sahaja pulih selepas menjalani pembedahan September 2007 lalu, beritahu Dato’ Kamal Amir. “Kalau tak menghormati beliau sebagai bekas pemimpin negara, boleh gunakan budi bicara kerana kesihatan Tun Dr M baru sahaja pulih, justeru tak perlu didesak beliau menjadi saksi. Malah prosedur juga tak akan cacat, kalau Tun Dr M tak dipanggil,” jelas Dato’ Kamal Amir seterusnya. Kata Dato’ Kamal Amir beliau menerima banyak rungutan dari orang ramai berkaitan memanggil Tun Dr M menjadi saksi.
Apalagi hari ini (26 Januari 2008) Dato’ Kamal Amir menambah, fokus media arus perdana tertentu kepada negeri Kelantan, dengan Ku Li diletakkan pada ‘berita kaki’ bagi membidas PAS. Sekalipun Ku Li sekadar menyebut ‘tak sepatutnya’ PAS mengambil kembali tanah seluas 1,400 hektar yang sudah dimajukan oleh Felcra sejak 20 tahun lalu, tetapi ianya disifatkan sebagai membidas. Lokasi tanah berkenaan terletak di dalam kawasan pilihanraya Ku Li, memang sewajarnya beliau bersuara bagi pihak rakyat yang diwakilinya. “Sebaliknya apabila Ku Li mengkritik pimpinan negara, suara beliau tak diberi ruang oleh media arus perdana,” kata Dato’ Kamal Amir.
SIJIL BANTUAN KEWANGAN KPM
EMPAT SEKOLAH DI DUN GOMBAK SETIA
Pelajar-pelajar terpilih dari empat buah sekolah menengah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, kawasan Gombak Setia menerima sijil bantuan kewangan dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) hari ini (26 Januari 2008) yang disampaikan oleh ADUN Gombak Setia, Haji Yuszahari Yusuff di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak. Pelajar-pelajar yang terbabit menerima bantuan berkenaan ialah SMK Gombak Setia, SMK Seri Gombak, SMK Hillcrest dan SMK Sg Pusu dengan buku akaun Simpanan Bank Nasional (BSN) disimpan oleh pihak sekolah. Mereka dibenarkan menggunakan wang berkenaan bagi keperluan pembelajaran dengan membuat pengeluaran pada Jun dan Disember.
Elmi Fadzimah pelajar Tingkatan 3 dari Sekolah Menengah Hillcrest yang turut menerima bantuan kewangan KPM itu memberi jaminan akan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat kerajaan dalam program ‘modal insan’. Mereka yang terpilih menerima sijil bantuan kewangan itu, berdasarkan pencapaian mereka dalam akademik di samping pembabitan dalam kokurikulum. Elmi Fadzimah yang juga ahli Pusat Sumber Sekolah (Perpustakaan), adalah pelajar Sekolah Menengah Hillcrest pernah mewakili pilihan daerah Gombak dalam pertandingan kuiz Matematik ke peringkat negeri Selangor ketika belajar di Darjah Lima (Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak 1).
INFO SASTERA & BUDAYA
DRAMA TV KENANG SUMBANGAN
SUDIRMAN PENGHIBUR NOMBOR SATU
Bagi mengenang sumbangan penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad, sebuah drama TV lapan siri akan disiapkan tak lama lagi. Menurut penulis skripnya Hajjah Fauziah Raof, pihak Astro sudah menerima pada dasarnya usaha tersebut dan segala persiapan pra produksi dalam perancangan. Bagaimanapun penyemakan bagi skrip berkenaan akan diserahkan kepada sasterawan Dharmala N.S. terlebih dulu sebelum akhir Februari nanti. “Pihak kami memilih sasterawan Dharmala kerana komitmennya dalam menghasilkan skrip filem ‘Raja Melewar’ dan ‘Mira Edora’, di samping berpuluh-puluh skrip drama TV sebelum ini,” beritahu Hajjah Fauziah.
Bagaimanapun Hajjah Fauziah masih merahsiakan pelakon yang akan memegang watak Sudirman, di samping judulnya juga tak akan menggunakan nama penghibur nombor satu Asia itu. Setakat ini katanya, pihak penerbit sudah bersedia untuk membuat drama berkenaan, di samping Astro menerima pada dasarnya. Berikutan persetujuan yang dicapai menurut Hajjah Fauziah, pertemuan susulan akan dibuat dengan keluarga yang rapat dengan Sudirman bagi meminta kerjasama menjayakan drama tersebut. “Kalau di barat mereka menghargai Elvis Presley, apa salahnya kita mengenang Sudirman,” jelas Hajjah Fauziah.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
HAIRAN DENGAN TAFSIRAN:
KEMISKINAN PUNCA ISLAM GANAS
Syahdan berfikirlah segala sahabat fakir mengenai kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdulllah Ahmad Badawi dalam temu bual dengan CNN di Davos, Switzerland iaitu peratusan tinggi buta huruf dan kemunduran dalam negara Islam perlu ditangani sebagai usaha memerangi keganasan. Maka sahabat-sahabat fakir pun bertanya, gamaknya orang miskin selalunya ganas. Oleh yang demikian kemiskinan itulah menjadi punca penganut Islam ganas, sekalipun Iraq yang diceroboh oleh tentera-tentera kafirun Amerika Syarikat adalah negara kedua terbesar pengeluaran minyaknya di dunia. Kabarnya. Tak tahulah fakir kalau negara yang banyak minyak dikatakan negara miskin.
Sebermula di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor dipukul canang ke seluruh negeri hari ini (26 Januari 2008) akan ‘Perkampungan Hadhari’ yang mempamerkan akan kegemilangan Islam di masa lampau. Gamaknya, kalau gemilang di masa lampau takkan negara miskin dan buta huruf. Lemahnya Islam, disebabkan mereka tak berlumba-lumba mencipta senjata, kerana menolak keganasan. Sebermula akan Maulana Yusuff itu datang ia ke Melaka kerana mengajarkan ilmu tasauf kepada anak-anak orang besar untuk tujuan membasmi buta huruf. Tetapi anak-anak orang besar itu dipersendanya Maulana Yusuff dengan menyuruh menyebut perkataan Melayu yang sukar diikuti lidah Arab seperti yang disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:
HIDUP BAHASA MELAYU!!!!
No comments:
Post a Comment