JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
SUDAH STABIL TAPI KRITIKAL:
KRONOLGOI DIHADAPI PAK HARTO
Assalamualaikum,
Laporan dari Jakarta sejak beberapa hari lalu menyebut keadaan bekas Presidennya Jeneral Suharto (Pak Harto) sudah stabil tetapi masih kritikal. Memang kita tak perlu membuat tafsiran mengenai laporan berkenaan, sebaliknya dimaklumkan sejak semalam (11 Januari 2008) beberapa organ Pak Harto sudah tak berfungsi. Tak hairanlah Bapak Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan lawatan rasmi ke Malaysia, malah terus balik ke Jakarta hari ini (12 Januari 2008). Maknanya Bapak Susilo selaku ketua negara tak memikirkan perbezaan politiknya dengan Pak Harto, sebaliknya peka dengan keadaan kesihatan bekas pemimpin negaranya yang mentadbir Indonesia selama 32 tahun.
Ketika Pak Harto mengambil alih pentadbiran Indonesia daripada Ir Sukarno (Bung Karno) pada 1967, mungkin sahaja Bapak Susilo baru berusia 20 tahun atau masih lagi menuntut di SMA. Begitulah! Berbeza dengan hari-hari cemerlang, gemilang dan terbilang Bung Karno yang digulingkan oleh tentera selepas memproklamir dirinya selaku ‘Presiden seumur hidup’, Pak Harto pula diturunkan oleh pelajar-pelajar dari Istana Merdeka, ketika melakukan tugas rasmi di Khartom. Bung Karno meninggalkan Istana Merdeka, sebagai seorang pahlawan yang terus disanjung oleh rakyat Indonesia, sebaliknya Pak Harto aduhai, aduhai, aduhai!
Pimpinan di Malaysia juga wajar mengambil iktibar dengan fenomena berkenaan, kerana kekuatan tentera dan polis sewaktu di puncak kekuasaan akhirnya akan kembali juga sebagai peminjam yang memulangkan segalanya. Apalagi Ariel Sharon di Israel yang dilabel sebagai ‘penyembelih’ di bumi Palestin, tiba-tiba entah ke mana sudahnya setelah koma akibat pendarahan otak yang teruk. Tak kira lagi dengan Ferdinand Marcos di Filipina terpaksa diawet bagi memenuhi hasrat keluarganya mahu dikebumikan di tanahairnya setelah diusir oleh rakyatnya sendiri. Pervez Musharraf di Pakistan baru sekarang dilaporkan memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) jangan memburu saki baki al-Qaeda di wilayah negaranya.
Segalanya sudah terlambat kepada Musharraf yang menjadi ‘kerbau ditindik hidung’ kepada George W. Bush sejak tahun 2000 apabila membenarkan beribu-ribu rakyatnya dibunuh oleh tentera AS atas alasan membanteras keganasan. Bush yang lantang dengan ‘lawaknya’ mahu menghapuskan ‘keganasan’, sebaliknya melakukan naratif ‘keganasan’ sama ada di penjara al-Gharif mahupun di Guantinamo. Malah Bush bukan sekadar membunuh rakyat Iraq dan Afghanistan dalam pencerobohan terancang, sebaliknya membunuh tentera AS yang dipaksa berperang untuk glori pentadbirannya. Apabila gugur salji, angin sejuk, hutan terbakar dan ribut taufan memusnahkan prasarana hingga kerugian berbilion-bilon dolar, ianya ditafsir sebagai ‘bencana alam’. Astaga!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
Pimpinan kanan PRIMA, Haji Yahaya Ismail (Pak Ya) menganggap kerajaan mahu memastikan keakraban dengan Indonesia sekarang terus terjalin, sebagai ‘lupa sejarah’ di samping tak peka dengan sumbangan pimpinan terdahulu. Menurut Pak Ya yang juga bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), keakraban tersebut bukan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang, sebaliknya sudah digerakkan pada period Ibrahim Haji Yaakob sekitar dekad 1930-an apabila mahu menubuhkan ‘Melayu Raya’. “Pada 13 Ogos 1945, Sukarno dan Dr Hatta pernah bertemu dengan Ibrahim Yaakob di Taiping bagi memproklamir kemerdekaan Indonesia-Tanah Melayu bersama pada 24 Ogos 1945,” beritahu Pak Ya.
Bagaimanapun senario politik ketika menyebabkan Sukarno bersama Dr Hatta terpaksa memproklamir kemerdekaan Indonesia lebih awal iaitu pada 17 Ogos 1945, ketika Ibrahim dan rakan-rakannya Dato’ Onn Jaafar, Dr Burhanuddin, Dr Ishak Haji Muhammad dan Dato’ Ahmad Boestamam menggerakkan kongres di Kuala Lumpur, katanya. Pak Ya yang juga graduan dari Universiti Indonesia sebelum meneruskan kesarjanaan di Monash, Autsralia memberitahu, keakraban tersebut berkesinambungan para period Tun Abdul Razak-Tun Adam Malik, seterusnya dilaksanakan pada period Tun Dr Mahathir-Suharto. Malah menurut Pak Ya pada period Tun Dr Mahathir-Suharto keakraban tersebut lebih kukuh lagi.
“Kami mengalu-alukan kerjasama yang dijalin pada period Pak Lah-Pak Susilo, malah turut menghargai penubuhan Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG),” jelas Pak Ya ketika menghubungi sekretriat PRIMA hari ini (12 Januari 2008). Sebaliknya kata Pak Ya lagi, apakah kriteria tokoh terkemuka yang dicadangkan kerana takrifnya terlalu subjektif. Seterusnya beliau berasa ragu-ragu apabila seseorang yang berstatus profesor dianggap sebagai ‘tokoh terkemuka’, sebaliknya ketika diserah melaksanakan tugas berkaitan kebudayaan, misalnya pengisian muzium tak mampu digerakkan. Justeru keakraban yang diwar-warkan itu hendaknya janganlah untuk glori dan kepentingan peribadi dalam jangkan pendek, kata Pak Ya.
NAJIB DIINGAT BIAR BERHEMAH
BANTUAN BANJIR BUKAN IHSAN
Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak diingatkan agar tak menjadikan peruntukan kepada mangsa banjir sebagai bantuan ihsan, sama seperti dilakukan dengan isu ‘wang ihsan’ di Terengganu. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menasihatkan Dato’ Seri Najib supaya sentiasa berhemah apabila menyebut peruntukan RM100 juta kepada 40,000 keluarga meliputi tujuh negeri yang menjadi mangsa banjir November 2007 lalu. Menyentuh kenyataan Dato’ Seri Najib di Putrajaya hari ini (12 Januari 2008) yang mengumumkan ‘bantuan ihsan’, Dato’ Kamal Amir menyebut mangsa banjir terbabit juga tak mengharapkan ‘ganti rugi’, sebaliknya mereka mahukan keprihatinan daripada kerajaan.
“Mangsa banjir perlukan keprihatinan bagi memulihkan semula keyakinan mereka meneruskan kehidupan, justeru wajarlah ianya diberikan sebagai ‘dana keyakinan’, bukan ‘wang ihsan’,” beritahu Dato’ Kamal Amir seterusnya. Menurut Dato’ Kamal Amir lagi, kerajaan sepatutnya menginsafi apabila negara mengalami kerugian lebih RM900 juta, termasuk juga prasarana yang kononnya ‘satu lagi projek BN’ di papan-papan tanda yang diwar-warkan kepada umum. Kepongahan dengan membangga-banggakan projek yang dilaksanakan oleh kerajaan itu, boleh musnah dalam sekelip mata sahaja menerusi banjir, tsunami dan sebagainya, jelas Dato’ Kamal Amir menambah.
INFO SASTERA & BUDAYA
BELUM TERLAMBAT ‘LUPA SEJARAH’
ELAKKAN DARI BERSIKAP ‘BUTA SEJARAH’.
Sikap melupakan sejarah masih belum terlambat untuk dipulihkan, berbanding dengan mereka yang ‘buta sejarah’ kata pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Ketika mengulas pandangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mahukan mata pelajaran sejarah kembali diberi keutamaan di sekolah-sekolah hari ini di Buletin Utama TV3 (12 Januari 2008), Dato’ Dr Mohd Mansor yang pernah terbabit menghasilkan penulisan sejarah menjelaskan, pembelajaran mata pelajaran sejarah juga memerlukan kaedah menarik minat pelajar-pelajar. “Buku-buku sejarah yang dihasilkan bukan sekadar untuk dihafal bagi menjawab kertas peperiksaan, sebaliknya selaras dengan kecintaan terhadap negara,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.
Sebagai bekas pendidik menurut Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, beliau menyedari pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi (ITP) juga majoritinya kurang peka dengan sejarah nasionalisme. Justeru kata Dato’ Dr Mohd Mansor, usaha PRIMA sekarang mendokumentasi tokoh-tokoh pejuang gerakan nasionalisme adalah bertujuan membawa kesedaran kepada generasi muda mengenai kepentingan sejarah bangsanya. Setakat ini beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor, PRIMA sudah menghasilkan autobiografi Tun Abdul Razak, Dato’ Onn Jaafar, Tan Sri Abdul Samad Idris, Dato’ Ahmad Badawi dan 100 Tokoh sebagai inisiatif yang berterusan. “Bagaimana mahu mendekatkan generasi muda dengan sejarah, kalau tak dihasilkan buku-buku berkaitan sejarah,” katanya.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
TAK PERLU BUAT RAMALAN
PILIHANRAYA OH PILIHANRAYA!
Sebermula kata sahibul hikayat di negeri Johor itu berlakulah pembunuhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Dato’ S. Krishnasamy ketika berada di dalam lif premis bangunan MIC. Maka gemparlah di seluruh negeri akan kejadian yang berlaku semalam (11 Januari 2008), seolah-olah di mana-mana sahaja tak selamat. Syahdan akan orang ramai diingatkan supaya tak membuat ramalan (atau spekulasi) mengenai kaitan pembunuhan itu dengan pilihanraya, sekalipun orang ramai memang tak pernah pun membuat ramalan sedemikian bangang, bengang dan bingung! Maka biarlah urusan pembunuhan disiasat oleh pihak polis yang memang sudah kerjanya menyiasat, menyiasat dan terus menyiasat.
Maka disuratkan oleh yang empunya surat, akan Dato’ Krishnasamy itu bukanlah wakil rakyat yang pertama dibunuh dalam sejarah politik di negeri Melayu ini, adanya. Pada dekad 1960-an dulu berlakulah kejadian Ahli Parlimen Pasir Mas di Kelantan, Abdul Samad Gol Ahmad dibunuh menggunakan ‘kapak bungkus’ (kapak Siam), tetapi hingga sekarang tak juga tersiasat sekalipun sudah dihadapkan ke mahkamah di dapati ‘orang disyaki’ itu tak bersalah. Pada 1982 berlaku juga pembunuhan ke atas calon UMNO di Gemencheh di Negeri Sembilan Dato’ Taha Talib, diikuti pada dekad 1990-an pembunuhan ke atas ADUN Lunas di Kedah.
Syahdan diberitahulah kepada fakir mengenai kejadian pembunuhan dalam ‘Kitab Melayu’ yang tak boleh disiasat, setelah mustaidlah keputusan dari baginda raja Melaka. Disuratkan oleh orang-orang besar Melaka, maka gemparlah seisi negeri akan kematian Raja Zainal dibunuh orang. Setelah diberitahu kepada Sultan Mahmud akan adinda itu dibunuh orang, disuruhlah dikebumikan mengikut adat istiadat raja-raja jua, adanya. Seperti diberitahu kepada fakir Raja Zainal itu berkenanlah akan Tun Fatimah kepadanya kerana keelokan budi bahasanya, menyebabkan Sultan Mahmud berpaling kepada Tun Isap dengan titahnya, ‘Ah, Si Zainal rupanya!”. Disebabkan Sultan Mahmud melarang disiasat kematian Raja Zainal, maka diamlah semua penyurat-penyurat termasuklah:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment