Wednesday, January 16, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG


RAJA-RAJA MELAYU IKUT TERBABIT
DALAM GERAKAN KEMERDEKAAN NEGARA


Assalamualaikum,


Mesyuarat yang dijadualkan di Balai Undang Luak Johol hari ini (16 Januari 2008) ditukar ke teratak (rumah kediaman) Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani kira-kira jam 11.30 tengah hari, di Kampung Cabang Dua. Ketika sampai di Balai Undang Luak Johol di Air Mawang, dato’ lembaga Kepis, Dato’ Sinda Maharaja Abdul Rani Sulaiman sahaja menunggu di situ, beliau kemudiannya mengajak ke teratak Undang di Kampung Cabang Dua. Bersama pegawai muzium Negeri Sembilan Sdr Afian Abdul Kadir dan wakil Thinker’s Library, Sdr Fazal Khan memang saya terlambat sampai di Johol, disebabkan perjalanan dari Kuala Lumpur diganggu kesesakan lalu lintas di Lingkaran Tengah (di Cheras) akibat lori terbabas menyondol pembahagi jalan.

Dato’ Sinda Maharaja Abdul Rani ketika menyebut mengenai peranan ketuanan Melayu dalam gerakan nasioanalisme, menolak sebarang tanggapan raja-raja Melayu tunduk kepada penjajah Inggeris. Menurut Dato’ Abdul Rani, fakta sejarah adalah wajar diperbetulkan kerana dalam misi ke London menuntut kemerdekaan pada 1956 wakil raja-raja Melayu turut bersama iaitu Menteri Besar Perak (Dato’ Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab Abdul Aziz), Menteri Besar Selangor (Dato’ Abdul Aziz Majid), Menteri Besar Kelantan (Tan Sri Nik Ahmad Kamil Mahmood) dan Menteri Besar Johor (Dato’Mohd Seth Mohd Said).

Katanya, berdasarkan fakta yang direkodkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad menderma RM6,000 dari jumlah RM15,000 yang terkumpul sebagai derma kepada dana mengadakan Kongres Melayu Pertama di Kelab Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 – 4 Mac 1946. Menurut Dato’ Abdul Rani lagi, Tuanku Abdul Rahman membantu Koperal Yaakob Bidin (yang terbabit bertempur bersama Leftenan Adnan Saidi di Bukit Candu, Singapura pada malam14 Febaruari 1942), berlepas balik ke kampungnya di Pahang sebelum ditangkap oleh Jepun.

Malah beritahu Dato’ Abdul Rani selanjutnya, Tuanku Abdul Rahman juga membantu pendaratan Pasukan 136 di hutan Kampung Talang, Kuala Pilah selepas menerima mesej dari ibu pejabat pasukan tersebut di India. Beliau turut menyebut rekod dalam warta kerajaan Negeri Sembilan Bil 26 bertarikh 4 Disember 1896 (Perkara 217 persidangan Majlis Negeri pada 15 Ogos 1896), apabila Yang Dipertuan Besar bersama Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin memulaukan persidangan tersebut bagi membantah hukuman bunuh ke atas seorang lelaki bernama Mat dari Tampin.

Justeru Dato’ Abdul Rani tak mahu peranan raja-raja Melayu dan Undang Yang Empat di Negeri Sembilan dalam gerakan kemerdekaan dipandang sepi. Disebabkan raja-raja Melayu terikat dengan etika tak boleh menggunakan media, terdapat pihak yang sengaja menganggap pihaknya sahaja terbabit dalam gerakan kemerdekaan, ujar Dato’ Abdul Rani. Malah beliau mengakui, Undang Luak Johol enggan berkompromi dengan penjajah Inggeris, menyebabkan pada period pemerintahan Dato’ Saeto (1840-1901) beliau dilabel sebagai penjudi sabung ayam dan penghisap candu. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

KOS PELAJAR MENINGKAT DI IPT
ISU PTPTN DEDAHKAN KELEMAHAN

Pelajar-pelajar di Pusat Pengajian Tinggi (IPT) berhadapan dengan kos semakin meningkat, ketika pengurusan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) berterusan memperlihatkan kelemahannya, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Menurut beliau, hari ini (16 Januari 2008) seorang pelajar dari Universiti Industri Selangor (Unisel) iaitu IPTS menghantar SMS kepadanya yang dikehendaki membeli buku teks berharga RM300, ketika PTPTN belum menyalurkan pinjaman. “Bagaimana pelajar-pelajar mahu konsentrasi kepada pendidikan modal insan yang diharapkan oleh Perdana Menteri Dato’ Abdulllah Ahmad Badawi, kalau fikiran mereka berserabut dengan masalah kewangan?” ujar Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya beritahu Dato’ Kamal Amir buku teks tersebut dikehendaki Jumaat ini (18 Januari 2008), menyebabkan pelajar-pelajar terbabit ‘berceridau’. Sebelum ini pada bulan November 2007, terdapat pelajar yang meminjam ke sana ke mari bagi memperolehkan RM1,800 bagi membayar yuran peperiksaan, ketika pinjaman PTPTN tak disalurkan. Dengan kos yang tinggi termasuk sewa bilik hingga RM120 sebulan, serta makan minum RM10 sehari pelajar-pelajar berhadapan dengan dilema meneruskan pengajian berikutan PTPTN ‘macam menahan jerat di tempat genting’, menurut Dato’ Kamal Amir. “Kalau pelajar-pelajar tak cemerlang mencapai pengisian modal insan, Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Mustapha Mohamed adalah orang yang bertanggungjawab mengenainya,” kata beliau selanjutnya.

‘INSIDEN SOI LEK’ GEGAR NS
SPEKULASI 17 ADUN AKAN DIGUGUR

Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Muhammad Hassan dikatakan gugup berikutan isu 17 ADUN dari BN akan digugurkan menjadi spekulasi yang menghangatkan senario politik di negeri itu menjelang pilihanraya ke 12 akan datang. Menurut sumber di sini, sekalipun pilihanraya masih menjadi teka teki tetapi persiapan BN sudah digerakkan seolah-olah ianya akan dijalankan esok hari. Kata sumber itu lagi, 17 ADUN yang akan digugurkan dikatakan pimpinan yang mempunyai hubungan rapat dengan bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Samad. Seterusnya beritahu sumber berkenaan, kerusi Parlimen Rembau juga mungkin diletakkan calon baru yang lebih berpotensi mengisi barisan hadapan pimpinan UMNO.

Dengan tak menyebut nama Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sumber tersebut mengakui kerusi Parlimen Rembau terbuka luas kepada calon baru, di samping isu mirip kepada ‘insiden Soi Lek’ (Dato’ Seri Chua Soi Lek) akan menggegarkan politik di Negeri Sembilan selepas pilihanraya ini. Menurut spekulasi di Negeri Sembilan, 17 ADUN terbabit sudah diberitahu mengenai kemungkinan akan digugurkan daripada senarai calon, sebaliknya isu klip video yang mirip kepada ‘insiden Soi Lek’ memang tak dapat dibendung akan berulang di Negeri Sembilan. “Biasanya di Negeri Sembilan akan disebut ‘pelanduk lupakan jerat; tapi jerat tak lupakan pelanduk,” kata sumber berkenaan.

Pada pilihanraya 2004 Negeri Sembilan membariskan 36 calon ADUN, di samping 8 Parlimen dengan dua calon ADUN tewas kepada pembangkang. UMNO yang dikatakan mempunyai 22 ADUN setakat, di samping 14 ADUN komponen BN. Daripada 8 Ahli Parlimen pula UMNO mendominasi 5, sementara tiga lagi diberikan kepada komponen BN. Bagaimanapun kerusi Parlimen Rembau yang diwakili Dato’ Firdaus Muhammad Rom Harun dikatakan akan diberi laluan kepada Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO. Sebaliknya tak dinyatakan sama ada ADUN yang terbabit digugurkan daripada sejumlah 17 orang bagi memberi tempat kepada Dato’ Firdaus Muhammad Rom Harun, menurut sumber tersebut.

INFO SASTERA & BUDAYA

BACA PUISI MAAL HIJRAH:
TELAPAK BUDAYA, PRIMA BERKERJASAMA

Telapak Budaya Gombak (Telapak) menggerakkan kerjasama dengan Jawatankuasa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) dan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) bagi menganjurkan ‘Baca Puisi Maal Hijrah’ di Taman Tasik, Taman Seri Gombak, Sabtu ini (18 Januari 2008) sempena menyambut Maal Hjirah. Sekretariat PRIMA ketika dihubungi oleh Presiden WHAM, Hajjah Fauziah Raof hari ini (16 Januari 2008) memberitahu, pihaknya sudah menghubungi beberapa artis muda termasuk pelakon sitkom ‘Salam Pantai Timur’, Nik Saiyiddah bagi menyertai baca puisi berkenaan dengan restu pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia.

Seterusnya menurut Hajjah Fauziah, malam ini (16 Januari 2008) Pengerusi Telapak Sdr Omar Sudi Abdul Manan akan mengadakan perbincangan bersama Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz di Taman Seri Gombak bagi persediaan terakhir menjelang majlis baca puisi berkenaan. Kata Hajjah Fauziah lagi, pihaknya sudah menghubungi SN Dato’ A. Samad Said, bekas ADUN Hulu Kelang Dato’ Fuad Hassan dan bekas Ahli Parlimen Parit Sulong Dato’ Ruhanie Ahmad (Ruhanie HR) bagi mendeklamasi sajak mereka, di samping ADUN Gombak Setia Haji Yuszahari Yusuff juga turut memeriahkan majlis dengan cuba menunjukkan bakatnya berpuisi.

“Penyair mampan Selangor dari Kelang Ahmad Sarju, penyair kontroversi dari Pahang Yassinsalleh, peguam Mohd Radzi Mustapha dan penyair spontan Zabidi Noor sudah memberi jaminan untuk turut sama mendeklamasikan sajak,” beritahu Hajjah Fauziah menambah. Tema puisi bagi sambutan Maal Hijrah ini jelas Hajjah Fauziah ialah bebas tetapi menjurus kepada persepsi menolak sebarang perhambaan minda di kalangan masyarakat Melayu. Bagi mencapai sasaran kepada matlamat ‘hijrah’ setiap unit dalam masyarakat perlu membebaskan diri dari sikap ‘perhambaan minda’ yang menyebabkan masyarakat Melayu ketakutan, kekecutan dan kejumudan, katanya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

POLITIK ANGKA CECAH RM3B
‘MACAM TAK MAHU PAKAI DESTAR’

Sebermula kata yang empunya ceritera kepada fakir, akan Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein samalah dengan perangai sepupunya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak menjadi kegemarannya bermain dengan ‘politik angka’. Maka dicanangkan ke seluruh pelusuk negeri oleh Dato’ Seri Hishamuddin akan peruntukan RM3b kepada Skim Bantuan Tambahan (SBT), dengan tak berasa malu lagi setelah dimalukan dengan ‘pemansuhan yuran sekolah’ baru-baru ini. Disebabkan tak berasa malu, menteri itu berkata rugilah kerajaan RM36.7 juta kerana pemansuhan yuran sekolah, tetapi kononnya ibu bapa tak rugi membayar yuran ‘lintang pukang’ di sekolah demi masa depan anak-anak jua adanya!

Maka tersebutlah ceritera megenai Pateh Karma Wijaya di negeri Melaka itu lalu dicampakkan destar di hadapan Sultan Melaka dengan berkata, ‘Tidaklah patik memakai destar kerana malunya dengan perbuatan Hang Tuah itu menconteng arang ke muka tuanku!’. Oleh itu akan Hang Tuah sepertilah ibu bapa yang dituduh tak prihatin akan pendidikan anak-anak terpinga-pinga ia, kerana tak tahu di manakah kesalahannya yang dituduh menconteng arang ke muka tuanku itu. Aduhai! Disebabkan Paman Pateh Karma Wijaya itu terlalu pandai bercakap mengenai ‘politik angka’ dengan mengumpul jumlah kesalahan Hang Tuah, maka percayalah Sultan Melaka dengan kata-katanya itu lalu dijatuhkan hukum bunuh akan laksamana itu. Disebabkan fakir juga kurang faham akan ilmu sefer sama ada yang dicakapkan Dato’ Seri Hishamuddin mahupun Paman Pateh Karma Wijaya tertanya-tanya juga seperti perihal:











HIDUP BAHASA MELAYU!!!

1 comment:

Anonymous said...

Ucapkan terima kasih kepada saudara Haji Abu Bakar umumnya dan Tok Awang Ngah khususnya kerana dapat mengetahui yang tersirat. :D

Terlalu banyak yang saya belajar dari buku-bukunya, tak keterlaluan saya nyatakan saya membesar bersama pengalaman beliau. Terima kasih.