Monday, March 3, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)






PILIHANRAYA UMUM KE 12, MAC 2008
'UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI'
SERUAN DARIPADA PIMPINAN PRIMA



DARI LAMAN BLOG:


PERANG POSTER MAKIN RANCAK
GAMBAR CALON MACAM PERAGAWAN

Assalamualaikum,


Bekas editor ‘Dewan Pelajar’ dari DBP, Haji Abdul Ahmad yang menetap di Perlis selepas bersara mengirim SMS pagi ini (2 Mac 2008), beritahu mengenai senario politik di negeri berkenaan dengan perang poster semakin rancak di bandar Arau. Haji Abdul yang juga terkenal sebagai pengarang novel kanak-kanak mengakui persaingan sengit berlaku di seluruh negeri, termasuk kawasan DUN Tambun Tulang yang ditandingi oleh Menteri Besar Dato’ Seri Shahidan Kassim. Apalagi kawasan Parlimen Arau yang turut menampilkan adik Dato’ Seri Shahidan selaku calon BN iaitu Dato’ Ismail Kassim dikatakan antara ‘kawasan panas’ di Perlis seperti disebut oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sebelum ini.
Bagaimanapun ketika balik menjengah ke Jelebu petang ini (2 Mac 2008) kira-kira jam 4.00 petang, saya sempat singgah di perkampungan Orang Asli ketika melalui jalan Genting Peras dari Hulu Langat. Biasanya mereka menjual petai yang dilonggok di tepi jalan dengan nilai 50 papan (50 keping) RM25.00, tetapi tak kelihatan ulam yang menjadi kesukaan ramai itu, kerana mungkin sahaja bukan musimnya. Apabila saya mengusiknya dengan berkata, “Kalau tak ada petai jual ikut papan, awak jual pakai timbanglah!”. Si penjual Orang Asli itu menjawab, “Petai tak ada musim, macam mana nak jual ikut papan atau pakai timbang!”. Sebaliknya Orang Asli berkenaan bergurau dengan berpantun: Bau hancing, hancing juga, takkan sama buluh dikerat; kalau dacing, dacing juga, takkan timbang sama berat. Begitulah!


Apabila sampai di Jelebu memang saya melihat poster BN merata dari simpang ke Kampung Chennah hingga ke pekan Petaling, tetapi kebanyakannya gambar calon bagi kawasan Parlimen iaitu Dato’ Seri Dr. Rais Yatim. Tak banyak poster gambar calon BN bagi DUN Chennah, sebaliknya calon DUN Kelawang (Dato’ Yunus Rahmat) pula turut ditampal di kawasan Kampung Cempedak hingga ke pekan Petaling (sekalipun terletak di bawah DUN Chennah). Aduhai! Gambar poster Dato’ Seri Dr Rais pula seolah-olah peragawan kerana berposing dalam pelbagai aksi dengan memperaga pakaian Melayu, pakaian berkot, pakaian celorong celoreng (bersama Pak Lah), pakaian kasual (bersama kartun) dan pakaian untuk ke pejabat. Heh heh heh!
Kira-kira jam 7.00 malam, rakan dari Kuala Lumpur pula menelefon beritahu fasal ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi ketika sampai di Hulu Kelang jam 9.30 malam hujan turun. Sebelumnya saya sudah menelefon Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir, sekiranya boleh ke lokasi yang dinyatakan tetapi beliau juga baru balik ke rumah (mungkin sahaja dari bermain golf). Disebabkan tersalah lokasi saya juga sempat hadir pada ceramah terbabit, tetapi ketika balik ke Taman Seri Gombak jalan di fasa 3 berlaku kesesakan lalu lintas sekalipun sudah jam 10.30. Rupa-rupanya calon PAS meneruskan legasi kempen mereka dengan dihadiri ramai jumlah pengikut setianya, menjadikan senario pilihanraya semakin hangat, menyengat dan berbangat!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:
USAHA PERLEKEH BAHASA MELAYU
DOSA YANG AMAT SUKAR DIMAAFKAN


Sesiapa yang memperlekeh ‘Bahasa Melayu’ tak boleh diterima secara bertolak ansur, malah dosanya amat sukar dimaafkan, beritahu pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail. Mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mahu memastikan semua ADUN di dalam kawasan Parlimen Kangar yang ditandinginya perlu fasih Bahasa Inggeris, malah mereka akan diberi kursus singkat apabila menang pilihanraya (laporan media hari ini 2 Mac 2008), Haji Yahaya berkata, DUN Perlis bukanlah Parlimen di Britain justeru tak sewajarnya kenyataan itu dibuat oleh seorang pemimpin tertinggi UMNO. “Perbahasan di Parlimen juga sudah ditetapkan menggunakan Bahasa Melayu selepas tragedi 13 Mei,” jelasnya menambah.


Memang PRIMA menggalakkan budaya ilmu dengan pembelajaran pelbagai bahasa, tetapi bukan meletakkan prasyarat bagi seseorang ADUN atau Ahli Parlimen perlu fasih berbahasa Inggeris apabila memenangi pilihanraya. Haji Yahaya yang juga pemimpin Front Bertindak Bahasa Kebangsaan sekitar dekad 1960-an kecewa dengan kenyataan Dato’ Seri Mohd Radzi yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri kerana undur terlalu jauh ke belakang dalam isu ‘Bahasa Melayu’. Katanya, sekitar dekad 1960-an memang Bahasa Inggeris dibenarkan dalam perbahasan di Parlimen, di samping menjadi bahasa utama di mahkamah. Bagaimanapun selepas tragedi 13 Mei, Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sama ada perbahasan di Parlimen mahupun di mahkamah, menurut Haji Yahaya selanjutnya.


PEMBANGKANG BERPELUANG DI PAHANG
BEBERAPA KAWASAN PANAS TERUS BERSAING


Pembangkang dilihat berpeluang mengulangi pencapaian pada pilihanraya 1999, berikutan berlaku persaingan sengit di beberapa kawasan panas. Aktivis PRIMA di Pahang Sdr L. Mankadir Shamsi memberitahu menerusi SMS antara kawasan yang dianggap panas termasuklah DUN Jenderak dan Parlimen Kuala Krau. Katanya DUN Jenderak ditandingi oleh calon PKR Haji Suhaimi Said, di samping Parlimen Kuala Krau meletakkan calon PAS, Ustaz Kamal Shaari. Selepas seminggu berkempen menurut Sdr Mankadir, kedudukan di Parlimen Kuala Krau boleh dikatakan 50-50, serta peluang bagi DUN Jenderak semakin cerah. “Kalau sokongan pengundi tak berubah sehingga hari membuang undi 8 Mac nanti, peluang pembangkang memenangi kawasan berkenaan tak boleh dinafikan,” katanya.

Apalagi pengundi-pengundi mula menerima saranan PRIMA iaitu ‘undi calon, bukan undi parti’ berikutan penerangan yang disampaikan keapda mereka diterima dengan baik, menurut Sdr Mankadir lagi. Beliau mengakui calon PKR Haji Suhaimi diterima baik oleh pengundi-pengundi di Jenderak atas kapisitinya sebagai peguam, di samping hubungan kekeluargaan yang akrab. Sementara calon PAS, Ustaz Kamal Shaari adalah bekas imam masjid negeri Selangor yang menimbulkan kontroversi apabila mendedahkan isu jenazah ‘seseorang’ bertukar menjadi khinzir. Malah Ustaz Kamal dipanggil untuk soal siasat oleh pihak polis berhubung pendedahan yang dibuatnya. “Pengundi-pengundi bertekad untuk memilih calon, bukan parti pada pilihanraya kali ini,” beritahu Sdr Mankadir.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL RAMAI PENGUNDI HANTU
PM NAFI JUMLAH 85,000 MENYUSUP MASUK


Sebermula kata sahibul hikayat Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tak percaya akan perihal pengundi hantu menyusup masuk ke Kelantan dan Terengganu hingga 85,000 orang. Syahdan bersetujulah fakir akan penjelasan Dato’ Seri Abdullah, mereka pengundi-pengundi itu rakyat Terengganu yang bekerja di luar, tetapi balik untuk mengundi. Maka percayalah fakir ramai juga rakyat Terengganu yang berhijrah ke luar bagi bekerja disebabkan kemiskinan dan kemunduran seperti perihal berlaku di Kelantan seperti disebut oleh menantunya Khairy Jamaluddin sebelum ini. Semakin lama banyak pula yang terbongkar, terselongkar dan terlakar apabila pemimpin-pemimpin BN mahu memanipulasi isu kemunduran Kelantan, tetapi di Terengganu juga ramai rakyatnya yang berhijrah ke Kuala Lumpur. Heh heh heh!

Sekali persetua akan Badang itu berasa hairanlah kerana ikan-ikan dalam lukah yang dipasangnya di sungai dicuri orang. Maka berkatalah Badang di dalam hatinya, baik jua akan ku tangkap si pencuri itu. Pada suatu hari Badang pun menghendap dari sebalik belukar untuk memastikan orang yang berani mencuri ikan yang terkena dalam lukahnya itu. Sekonyong-konyong dilihatnya hantu keluar daripada air, lalu memakan ikan-ikan yang terkena lukanya hingga habis tinggal sisa-sia tulang sahaja. Arakian Badang pun menyerbu serta menangkap janggut hantu itu mahu ditetaknya dengan parang beletong. Maka ketakutanlah hantu itu dengan meminta nyawa, di samping berjanji akan memenuhi apa sahaja permintaan Badang yang juga memeningkan kepala:



HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: