
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
PERTEMUAN DENGAN PARA BLOGGER
LAMARAN MENTERI PENERANGAN BARU
Assalamualaikum,


Sebenarnya semalam (20 Mac 2008) PRIMA membuat perjumpaan di gerai medan selera Taman Seri Gombak dihadiri semua aktivis termasuk Haji Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Haji Mohd Sayuti Omar, Haji Mohd Radzi Mustapha, Sdr Mohd Najib, Sdr Zakaria Bidin dan Sdr Sallehuddin yang sekaligus melahirkan keprihatinan dengan senario politik sekarang. Mungkin sahaja segelintir pimpinan UMNO masih merasakan mereka sama seperti sebelum 8 Mac 2008, hingga suara ‘itik serati’ mereka masih tak berubah bagi menyampaikan mesej yang ‘molok-molok’ kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Segelintir pimpinan UMNO yang masih hurah hurah itu, memang tak menyedari banyak insiden antara 8 Mac 2008 hingga ke tarikh proklamir kabinet, ditambah lagi dengan dua Ahli Parlimen menolak jawatan ‘timbalan menteri’. Ketua Wanita UMNO Dato’ Seri Rafidah Aziz yang dalam proses untuk diundurkan bagai menyembunyikan ‘gunung berapi’ di dada apabila tampil di kaca TV hari ini (21 Mac 2008) menerusi warta berita jam 8.00 malam, dengan lebih banyak ‘berbahasa Inggeris’ daripada ‘berbahasa Melayu’. Natijahnya boleh sahaja diandaikan iaitu ‘Ketua Wanita UMNO’ perlu untuk melonjakkan wibawanya menerusi ‘bahasa Inggeris’, kerana pimpinan sebelumnya seperti Datin Putih Mariah, Ibu Khadijah Sidek, Tun Fatimah Hashim dan Tan Sri Aishah Ghani sentiasa ‘berbahasa Melayu’. Gerangannya!

-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
SELEPAS LEDAKAN 8 MAC
KU LI TOLAK JAWATAN PM
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sudah ditawarkan peluang memimpin negara selaku Perdana Menteri sebaik sahaja keputusan pilihanraya umum 8 Mac 2008 menampakkan kemusnahan prestasi UMNO, menurut jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, sekiranya Tengku Razaleigh tak memikirkan nasib akan menimpa negaranya dengan ‘menangguk di air keruh’, kedudukan 140-82 itu boleh mengangkat beliau ke jawatan Perdana Menteri. Sambil menempelak pimpinan UMNO yang cuba menyembunyikan kebobrokan itu, Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO sekitar dekad 1980-an mengingatkan ‘pelanduk’ yang belayar di atas kerak nasi bersama ‘bangau’, jangan memikirkan ‘kepintaran’ diri sendiri sahaja ketika bangau mempunyai ‘advantage’ untuk menyelamatkan diri.

JANGAN JADI BAHAN EJEKAN
MELESTARI PERPADUAN MELAYU
MELESTARI PERPADUAN MELAYU

Pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail berasa ragu-ragu dengan persepakatan untuk menyatukan Melayu seperti diwar-war oleh media arus perdana hari ini (21 Mac 2008), kerana bimbang ianya akan menjadi bahan ejekan komuniti lain. Isu penyatuan Melayu sudah digembar-gemburkan selepas ‘Tragedi 13 Mei 1969’, diikuti dengan insiden 1987 seterusnya kemelut 1999, malah semuanya berakhir dengan ‘wal hasil balik hasal’, beritahu Haji Yahaya yang juga bekas pensyarah USM dan pengkritik sastera tersohor pada dekad 1960-an. Haji Yahaya yang terbabit mencetuskan ‘Front Bertindak Bahasa Melayu’ pada 1966 dan membangkitkan ‘Isu Melayu Pulau Pinang’ pada dekad 1970-an berkata, “Penyatuan Melayu bukan untuk propaganda, tetapi dilaksanakan secara terancang seperti pada 1946 ketika menentang Malayan Union.”
Ketika menghubungi sekretariat PRIMA pagi ini (20 Mac 2008), Haji Yahaya menarik perhatian pada 1996, apabila Tengku Razaleigh Hamzah membubarkan ‘Parti Melayu Semangat 46’ bagi mencapai pendekatan ‘penyatuan Melayu’, sebaliknya di sabotaj oleh mereka yang berkepentingan peribadi. Seterusnya jelas Haji Yahaya, pada 1973 Tan Sri Asri Haji Muda mampu melupakan perbezaan politik bagi membawa PAS menyertai kerajaan campuran bersama Parti Perikutan (kemudian diluaskan kepada BN), tetapi dikhianati oleh orang Melayu sendiri. “Justeru bagi mencapai penyatuan Melayu perlu dibersihkan segala saki baki yang menjadi pengkhianat bangsa iaitu mereka yang mementingkan diri sendiri dan survival politiknya,” beritahu Haji Yahaya.
KALAU TAK BERSETUJU PANDANGAN
SILA KEMUKA FORMULA YANG TERBAIK


“Tan Sri Zaleha penaung satu badan NGO yang saya juga turut menjadi penasihat, justeru saya nasihatkan beliau kemukakan cadangan balas apabila menganggap perkara yang dicadangkan itu tak sesuai,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor. Apabila menjadi pengkritik kata Dato’ Dr Mohd Mansor, janganlah cuba menghancurkan tetapi bersedia memberi cadangan balas yang lebih baik. Sebaliknya beliau memuji-muji bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sabaruddin Chik yang sanggup mendengar pandangan pihak lain, ketika kedudukan UMNO dalam keadaan sukar. Seterusnya beliau juga turut mengingatkan pimpinan yang berlagak seperti ‘keldai’ masuk ke dalam kulit ‘harimau’, janganlah cuba menjerkah harimau sebenar.
Seterusnya beliau menambah, jangan pandang rendah keupayaan pihak lain seperti insiden sebelum 8 Mac 2008. Apabila pihak yang direndah-rendahkan sebelum ini mula menunjuk belang dengan menuntut jawatan penting di peringkat negeri, UMNO juga perlu memikirkan apabila kuasa ‘undi tak percaya’ boleh meranapkan terus ketuanan Melayu. Menurut Dato’ Dr Mansor tak mustahil sekiranya mereka mampu mengambil alih dominasi kuasa politik, parti-parti yang ditakrif bercorak kaum seperti UMNO, MCA dan MIC boleh dimusnahkan menerusi undang-undang. “Sebelum ini pun sudah ada suara yang mahukan parti-parti berasaskan kaum di hapuskan,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor.
INFO SASTERA & BUDAYA:
BUKU ‘100 TOKOH’ MALAYSIA
KU LI ARKITEK PENGGERAK EKONOMI

Bagi penganalisis politik sekitar dekad 1970-an, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah diberi jolokan sebagai ‘arkitek persahabatan Malaysia-Republik Rakyat China’, sempena kunjungan Tun Abdul Razak bagi menjalin hubungan diplomatik. Berikutan lawatan itu ianya mendorong kepada kejatuhan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menjalankan gerakan militan di hutan. Sebelum kunjungan Tun Razak menemui Pengerusi Mao pada 1974, Tengku Razaleigh terlebih dahulu melawat RRC atas kapisiti Pengerusi PERNAS di samping menemui Perdana Menteri RRC ketika itu, Chao En Lai.

Ku Li dilahirkan di kalangan kerabat diraja Kelantan pada 13 April 1937 adalah putera kepada Tengku Hamzah bin Tengku Zainal Abidin yang juga dikenali sebagai ‘Tengku Serimah’ (Tengku Seri Maharaja), Pemangku Menteri Besar Kelantan pra merdeka pada 1954-1955. Ku Li menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Gurung, seterusnya memasuki Kolej Sultan Ismail di Kota Bharu sebelum melanjutkan pengajian di Maktab Melayu Kuala Kangsar di Perak. Bagaimanapun cita-cita Ku Li mahu menjadi peguam setelah memasuki Lincoln Inn di London terjejas apabila ayahnya sakit pada dekad 1950-an. Beliau terpaksa balik bagi menguruskan perniagaan keluarga, tetapi kemudiannya berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi di Universiti Queen, Ireland pada 1959.
Apabila balik ke tanah air, Ku Li terbabit bersama UMNO pada 1962 dengan menjadi Ketua UMNO Bahagian Hulu Kelantan, di samping dilantik bagi jawatan Setiausaha Perhubungan UMNO Kelantan. Ku Li diminta oleh Tunku Abdul Rahman bertanding kerusi DUN di Kelantan pada pilihanraya 1969, sebagai strategi menawan kerajaan negeri yang didominasi oleh PAS sejak 1959. Ku Li bertanding di kerusi DUN Hulu Kelantan Barat, dan menang dengan memperoleh 4,061 undi menewaskan calon PAS, Hussin bin Abdullah (2,327 undi). ‘Parti Perikatan’ gagal menawan kerajaan negeri Kelantan, sekalipun mampu mengurangkan pengaruh PAS. (bersambung esok).
(Dipetik dari buku ‘100 Tokoh Malaysia’; Dharmala N.S./Dr Ammar Haji Hassan; Kantung Network Sdn Bhd, Kuala Lumpur; 2007. Harga RM50 senaskhah).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
JANGAN ‘MENANGGUK DI AIR KERUH’
INGATAN KEPADA SEKALIAN ANAK MELAYU

Arakian akan Tun Fatimah anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir itu digelar orang banyak ‘serikandi Melayu’ kerana dialah yang berani melawan seldadu Feringgi bersama rakan-rakan sebayanya. Ramailah seldadu Feringgi itu dibunuh oleh Tun Fatimah setelah diperisteri oleh Sultan Mahmud, dengan membawa rakan-rakannya keluar di waktu malam dengan menyamar berpakaian lelaki. Syahdan Tun Fatimah itu bukanlah ‘menangguk di air keruh’, dan tidaklah ia bercakap berkobar-kobar di depan orang banyak, tetapi keluar bersama hulubalang-hulubalang Melayu melawan seldadu Feringgi yang menceroboh negeri Melaka, seperti yang disurat dalam ‘Kitab Melayu’ yang dibacakan kepada:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment