Tuesday, April 1, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


PERIHAL ANAK JIRAN HILANG:
SUKARNYA PROSES UNDANG-UNDANG


Assalamualaikum,

Sabtu lalu (29 Mac 2008) tak berkesempatan saya menghadiri ‘Titipan Zaaba’ di Kampung Bukit Kerdas, Serting di Jempol, sekalipun ianya berlanjutan dari jam 8.30 pagi hingga ke malam. Disebelah pagi ‘pengkisahan Zaaba’ oleh dua orang tokoh akdemik dari IPTA, di samping di sebelah malamnya turut diserikan oleh deklamasi puisi SN Dato’ Dr A. Samad Said. Memang banyak aktiviti Muzium Negeri Sembilan tak sempat saya sertai, disebabkan secara geografi jarak Kuala Lumpur dan Batu Kikir di Jempol melebihi 70 kilometer. Bagaimanapun bukan sahaja rakan-rakan di Kuala Lumpur, malah kalangan teman rapat satu ketika dulu di Negeri Sembilan juga menyangka saya menetap di kampung selepas berstatus ‘warga emas’. Aduhai!

Tak disangka-sangka pula kira-kira jam 4.00 petang (29 Mac 2008) itu, jiran berdekatan beritahu mengenai anaknya tak balik ke rumah sejak semalamnya, 28 Mac 2008. Laporan polis sudah dibuat berikutan desas desus anak gadis di bawah umur itu dilihat beberapa orang menunggang motosikal pemuda dikenali sebagai ‘R’ sahaja. PRIMA tak dapat membantu keluarga berkenaan, setelah pihak polis dikatakan menemui keluarga pemuda ‘R’ itu, sebaliknya tidak mendapat kerjasama. Hingga hari ini (31 Mac 2008), keluarga gadis di bawah umur masih belum menemui anak gadisnya, malah di satu peringkat pemuda ‘R’ itu apabila dihubungi menerusi telefon bimbit, memberitahu beliau berada di Sabah.


Ironinya, bagaimana beliau mengaku berada di Sabah tetapi ketika keluarga anak gadis di bawah umur itu ke rumah keluarga terbabit, pemuda ‘R’ dikatakan membolos diri ikut pintu belakang. Disebabkan gadis di bawah umur berkenaan tiada di lokasi tersebut, memang sukar proses undang-undang dilaksanakan oleh pihak polis. Begitulah! Sekalipun insiden tersebut berbeza dengan musibah menimpa adik Sharlinie mahupun mangsa sebelumnya, tetapi pihak polis dikatakan mahu mengkategorikan kes tersebut sebagai ‘orang hilang’ juga. Keluarga terbabit sekadar meminta bantuan PRIMA untuk mengesan anak gadis berkenaan, tetapi ianya memang di luar bidang kemampuan pihak PRIMA, kerana langkah yang boleh dibantu ialah mengharapkan kerjasama polis.

Disebabkan keluarga terbabit sudah pun menerima kerjasama polis, justeru PRIMA menyerahkan kepada budi bicara pihak polis meneruskan proses undang-undang yang diperuntukkan kepada jabatannya. Apalagi keluarga terbabit merayu kepada pihak polis tak menyibarkan gambar anak gadis tersebut kepada pihak umum yang dikategorikan sebagai ‘orang hilang’. Memang isu berkenaan dikira kompleks, kerana kemungkinan ianya membabitkan ‘hati dan perasaan’ anak muda, sekalipun berdasar undang-undang anak gadis berkenaan masih di bawah umur. Pihak PRIMA sekadar merayu kepada keluarga pemuda ‘R’ janganlah melanggar peraturan dan undang-undang negara, tetapi kembalikan semula gadis berkenaan kepada keluarganya. Mudah-mudahan!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:
50 000 HADIR DI STADIUM SHAH ALAM
SOKONGAN PADU RAKYAT SELANGOR KEPADA 'BA'


Himpunan Rakyat di Stadium Shah Alam malam ini (31 Mac 2008) dihadiri lebih 50,000 penyokong Barisan Alternatif (BA), sebagai manifestasi sokongan rakyat Selangor memilih kerajaan baru. Aktivis masyarakat dari Pahang, Sdr L Mankadir Shamsi yang turun ke Shah Alam memberitahu, sokongan tersebut membuktikan mereka memilih BA membentuk kerajaan bukan berdasarkan ‘nasib baik’, sebaliknya memberi kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Perhimpunan yang dihoskan oleh PAS itu turut membariskan pemidato jemputan termasuk Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Esco kerajaan negeri Selangor, Dato’ Dr Hassan Ali.

“Rakyat Selangor memberi sokongan tak berbelah bagi kepada BA, justeru sambutan mereka terhadap Perhimpunan Rakyat ini begitu luar biasa,” menurut Sdr Mankadir yang masih bersemangat dalam perjuangan PAS sekalipun sudah berstatus ‘warga emas’. Sdr Mankadir mengakui, pemilihan stadium berkenaan sukar diperolehi sebelum ini di bawah pentadbiran kerajaan negeri di masa lalu, malah kadangkala bangunan masjid juga tak diberi kebenaran. Berikutan pencapaian cemerlang BA pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu, pihaknya mempunyai cukup ruang menyampaikan mesej kepada rakyat secara adil. “Apa salah memberi peluang kepada BA menggunakan mana-mana premis bangunan yang dibina dengan duit rakyat bagi kemudahan berkomunikasi,” jelas Sdr Mankadir.

PERJUMPAAN RAKYAT DI GUA MUSANG
MANIFESTASI GERAKAN PERPADUAN MELAYU



Perjumpaan rakyat di Dewan UMNO Gua Musang 4 April 2008 ini dianggap sebagai manifestasi gerakan perpaduan Melayu bagi memperkukuhkan kekuatan di peringkat akar umbi berikutan prestasi buruk BN pada pilihanraya 8 Mac 2008, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau memberitahu sekretariat PRIMA perjumpaan tersebut digerakkan oleh UMNO Bahagian Gua Musang, bagi memberi sokongan padu kepada Ahli Parlimennya Tengku Razaleigh Hamzah yang secara terbuka menawarkan diri untuk memulihkan semula ‘krisis keyakinan’ UMNO. “Perjumpaan di Gua Musang bagi menyatakan manifestasi sokongan padu rakyat Gua Musang kepada pimpinan Tengku Razaleigh,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


Dalam laporan yang lain penyair Yassinsalleh memberitahu pada 5 April 2008, Tengku Razaleigh dikatakan akan meghadap Sultan Johor di Istana Bukit Serene di Johor Bahru, berikutan berlangsungnya ‘Kongres Perpaduan’ di Johor Bharu pada 2- 4 April 2008, menurut laporan pengendali laman bolg Sdr Sallehuddin. ‘Kongres Perpaduan’ tersebut menerima sokongan daripada kalangan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi termasuk kalangan veteran yang prihatin mahukan perubahan drastik dalam pimpinan UMNO sekarang, menurut Sdr Yassinsalleh. Seterusnya kata Sdr Yassinsalleh lagi, pada 6 April 2008, pertemuan bersejarah Tengku Razaleigh dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Ampang. “Kalangan UMNO yang prihatin dengan nasib bangsa Melayu sahaja mahukan perubahan ke arah pimpinan yang lebih dinamik,” beritahu Sdr Yassinsalleh.



AKTIVITI PIMPINAN PRIMA
TAK SEMPAT HADIR SAMA


Dua pimpinan terpenting PRIMA Haji Yahaya Ismail dan Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah tak dapat menyertai aktiviti forum bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Khir Toyo dan Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mokhriz Mahathir di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya besok (1 April 2008). Haji Yahaya menerusi telefon memberitahu beliau berada di Surabaya, Jawa Timur, Indonesia bagi urusan penerbitan bukunya ‘Perkembangan dan Kejatuhan Lekra di Indonesia’. Sementara Dato’ Dr Mohd Mansor berurusan di Sabah, sekalipun dijangka balik ke Kuala Lumpur besok (1 April 2008), tetapi perlu menyampaikan kuliahnya di IPTA di Sungai Pusu, Gombak. Bagaimanapun mereka berdua menyampaikan salam kepada rakan-rakan dan aktivis yang lain bagi meneruskan kesinambungan perjuangan. Insya Allah!


INFO SASTERA & BUDAYA:


HEGEMONI POLITIK SASTERA
PEMILIHAN KRONI UNTUK ANUGERAH


Hegemoni politik yang menjadi kebanggaan pimpinan kerajaan menular kepada gerakan sastera dengan jaringan anugerah berprestij dipilih demi kepentingan kroni-kroni tertentu. Sekalipun ianya dinafikan, tetapi tak bermakna perkara berkenaan tak berlaku, menurut aktivis PRIMA Sdr Zainal Abidin Rasidin ketika berkunjung ke sekretariat PRIMA petang ini (31 Mac 2008). Sdr Zainal Abidin bekas wartawan yang juga Presiden Penaja Pemandu-Pemandu Teksi Islam Lembah Kelang mengakui ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini bagi mengambil borang pencalonan bagi penerima anugerah yang berpangkalan di Bangkok, Thailand iaitu ‘Sea Writes Award’. “Saya sekadar menamakan calonnya, tetapi tak mungkin akan dipilih oleh panel, kerana hegemoni politik sastera,” kata Sdr Zainal Abidin.


Seterusnya Sdr Zainal Abidin memberikan contoh membabitkan anugerah sastera di sebuah negeri yang meminggirkan ‘tokoh utama’nya disebabkan gara-gara hegemoni politik sastera yang direstui oleh kerajaan negerinya. Katanya lagi, bagaimana tokoh yang menulis dalam semua genre sastera, di samping memenangi lapan kali bagi sayembara mengarang di peringkat nasional termasuk novel, cerpen dan sayembara mengarang sempena 50 tahun DBP baru-baru ini, dipinggirkan seolah-olah kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN merestui ‘perbuatan nakal’ tersebut. Malah kerajaan negeri terbabit lebih rela memberi anugerah kepada aktivis yang sudah meninggal dunia, sekalipun pencapaiannya lebih rendah. “Sepatutnya panel penilai dan kerajaan negeri berkenaan berasa malu dengan anugerah tersebut,” jelas Sdr Zainal Abidin.

(Catatan: Pengarang terbabit dikatakan akan menolak sebarang anugerah dari negeri berkenaan di masa akan datang, di samping tak membenarkan mana-mana karyanya diterbitkan oleh persatuan penulis di negeri terbabit, malah tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan Akta Hakcipta sekiranya tak menerima kebenaran bertulis terlebih dahulu – penyunting).


Gurindam Bangau Oh Bangau
Versi Baru.

Bangau oh bangau
kenapa BN kalah
macam mana BN tak kalah
rakyat dah menyampah.

Rakyat oh rakyat
kenapa dah menyampah
macam mana tak menyampah
banyak sangat rasuah.

Rakyat oh rakyat
siapa banyak rasuah
bermula dengan dol-lah
sampai sami bulu.

Rakyat oh rakyat
siapa lagi rasuah
Perlis sampai Sabah
semua MB & KM punggah.

Rakyat oh rakyat
macam mana kalau tak rasuah
kalau tak ambil rasuah
nanti heh heh heh marah!


-YS
Bandar Tun Hussein Onn,
Kajang.
Mac 2008.



KOMENTAR
bersama Pak Parjo.


RAJA ADIL RAJA DISEMBAH
KENAPA SENGAJA HINA BAGINDA?


Sekali persetua berlakulah di negeri Melayu bernama Terengganu, empat orang rakyatnya memegang kain rentang bertulis ‘Kami Nak Deris Natang’. Arakian akan ungkapan ‘natang’ itu, berangkali dimaksudkan ‘binatang’, wallahua’alam! Akan hamba Melayu sedialah akan taat setia kerana disebut orang sejak dahulukala ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’. Kalau tidak kerana limpah daulat raja Melayu yang mempertahankan ‘kanun negeri Melayu’ gerangannya sudah berlakulah sunnahnya akan dua negeri iaitu Selangor dan Perak bertimbalankan menteri besarnya bukan Melayu. Hari ini disuratkan oleh penyurat-penyurat pada 22 Rabiulawal 1429 (atau diberitahu anak cucu fakir 31 Mac 2008) akan fakir terlalu hiba apabila disebut ungkapan ‘natang’ kepada raja Melayu itu, adanya.


Arakian mengamuklah Hang Jebat di dalam istana. Banyaklah mati segala hulubalang dan pegawai-pegawai istana disebabkan terlalu kerasnya amukan Hang Jebat itu. Maka diserulah oleh orang banyak akan Hang Jebat derhaka, dengan senjata bergemerencing di sekeliling istana. Apabila diseru oleh orang banyak, maka Hang Jebat membuka tingkap lalu memangkis, “Ceh, hulubalang raja semua, sia-sia sahaja kamu mahu membunuh Hang Jebat. Baliklah kamu semua menjaga anak isteri kamu sekalian, akan Hang Jebat ini raja adil rajaku sembah, raja zalim raja ku sanggah!” Maka tahulah fakir Hang Jebat yang derhaka itupun tak tergamak memanggil rajanya ‘natang’, tetapi sentiasalah cakap berlapik iaitu ‘raja adil raja ku sembah, raja zalim raja ku sanggah’ seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:




HIDUP BAHASA MELAYU.

No comments: