Saturday, April 5, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

Assalamualaikum,

Keberangan orang ramai terhadap pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, masih menjadi ‘buah mulut’ di peringkat akar umbi, malah lebih sinis kalau dibandingkan sebelum pilihanraya 8 Mac 2008. Misalnya, ketika makan tengahari semalam (3 April 2008) bersama rakan-rakan Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Haji Hassan Hamzah dan Sdr Zainal Abidin Rasidin, kegelisahan orang ramai terhadap pimpinan Dato’ Seri Abdullah semakin meningkat. ‘Krisis keyakinan’ dihadapi Dato’ Seri Abdullah juga menimbulkan keresahan di kalangan pimpinan UMNO, justeru tak hairan dilaporkan hari ini (4 April 2008) dikatakan UMNO Pahang meminta semua MT meletakkan jawatan, di samping disegerakan Perhimpunan Agung Khas. Begitulah!

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Muhammad Hassan juga tak bersetuju pemilihan UMNO ditangguhkan, di samping meluahkan rasa berangnya iaitu: Kalau perangai tak berubah, tangguhkan pemilihan pun macam itu juga! Ketua Puteri UMNO yang sudah berstatus timbalan menteri, Dato’ Noraini Ahmad juga tak mahu ditangguh-tangguhkan pemilihan UMNO. Semua pihak sudah mula bersuara mempertikaikan pimpinan Dato’ Seri Abdullah yang bimbang digulingkan dalam Perhimpunan Agung UMNO, tetapi tak bimbang jika digulingkan menerusi ‘undi tak percaya’ di Parlimen. Apalagi bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo sudah menawar diri untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO, sekalipun pemilihan belum bermula.

Isu dalam senario politik UMNO yang berbelit-belit, berlilit-lilit dan berselit-selit ini sudah diberikan sejak tiga hari lalu, tetapi sepanjang tempoh tiga hari itu saya tak sempat menulis blog. Memang himpunan rakyat di Stadium Shah Alam anjuran PAS pada 31 Mac 2008 dikatakan hebat; apalagi dengan forum di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 1 April 2008 dengan ahli panelnya Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Dr Khir Toyo dan Dato’ Mokhriz Mahathir juga diberi sambutan hangat, sekalipun mereka yang hadir tak diangkut dengan bas-bas percuma (seperti perkampungan Islam Hadhari di Terengganu). Saya tak menulis blog disebabkan persiapan proses menerbitkan buku baru perlu diberikan tumpuan.

Hari ini (4 April 2008) terpaksa pula menemui Undang Luak Johol, Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Haji Mohd Jan Abdul Ghani di Balai Undang di pekan Air Mawang di Johol. Apalagi bertolak dari Kuala Lumpur jam 6.00 pagi, kerana temujanji ialah jam 10.00 pagi. Berikutnya temujanji juga sudah dibuat bagi menemui Undang Luak Rembau, Yang Teramat Mulia Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Shariff Osman 8 April 2008 lagi, dan seterusnya beberapa siri penyelidikan bersama Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan. Memang sejak ayahanda angkat saya Tan Sri Abdul Samad Idris meninggal dunia pada Oktober 2003, terasa malas untuk aktif bersama jawatankuasa berkenaan, tetapi sepatah kata Undang Luak Johol, ‘Biarlah pimpinan negeri tak kenang sumbangan awak, asal sahaja rakyat Negeri Sembilan bersama-sama dengan awak’. Insya Allah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


PERPADUAN MELAYU DI GUA MUSANG
LEBIH 4,000 BERHIMPUN DI BUKIT CEKATI
Lebih 4,000 penyokong UMNO berhimpun di Dewan Orang Ramai (Rakyat), Bukit Cekati, Gua Musang hari ini sebagai manifestasi sokongan terhadap saranan Tengku Razaleigh Hamzah mendesak Perhimpunan Agung Khas UMNO digerakkan khusus membincangkan prestasi buruk pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, “Ketua UMNO Bahagian yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu berfikiran terbuka dan melepasi ‘perhambaan minda’ di samping bertindak sebagai ‘MT UMNO’ bukan ‘MT Pak Lah’.”





Justeru katanya, MT UMNO mestilah berani membuat anjakan paradigma dengan menggerakkan Perhimpunan Agung Khas UMNO secepat mungkin, bukan menunggu sehingga Disember 2008. Dato’ Kamal Amir juga mengakui, Tengku Razaeligh turut mengingatkan prestasi buruk pencapaian UMNO pada pilihanraya baru-baru ini bukan ‘isu terpencil’, tetapi memerlukan ‘bedah siasat’ menyeluruh. Katanya, Tengku Razaleigh yakin ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi mahukan perubahan, sebelum dominasi UMNO di Parlimen diubah oleh pihak lawan. “Ku Li mahu UMNO dipimpin oleh tokoh yang mampu membuat keputusan, bukan dipengaruhi oleh ‘orang-orang keliling’ yang sekadar menyampaikan laporan ‘molok-molok’, hingga membawa kepada insiden seperti pilihanraya baru-baru ini,” beritahu Dato’ Kamal Amir.





INFO SASTERA & BUDAYA





KECOH PERLETAKAN SETIAUSAHA AGUNG
MUSA TAMPIL DALAM KEPIMPINANAN UMNO





Ketika berhadapan kekecohan UMNO berikutan perletakan jawatan Setiausaha Agung, Tan Sri Syed Jaafar bin Syed Hassan Albar pada 11 Ogos 1965, Yang Dipertua Agung (Presiden) UMNO Tunku Abdul Rahman Putra bersetuju melantik (Tun) Musa Hitam menjadi Pemangku Setiausaha Agung. Ketika itu Tun Musa memegang jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan, Tun Sardon Jubir belumlah menonjol dalam kerajaya politiknya. Apabila dilantik menduduki kerusi Pemangku Setiausaha Agung UMNO, Tun Musa baru sahaja berusia 31 tahun, justeru penampilan beliau masih lagi dibayangi pimpinan lain.





Insiden perletakan jawatan Tan Sri Jaafar Albar pada 1965, seolah-olah memberi laluan kepada penampilan Tun Musa dalam pimpinan UMNO; apalagi ketika itu pimpinan muda kecewa dengan langkah penyingkiran Singapura dari Malaysia. Malah Tan Sri Jaafar Albar meletakkan jawatan Setiausaha Agung UMNO juga berikutan kekecewaannya dengan pimpinan Tunku menyingkirkan Singapura yang membabitkan pegeseran peribadi Jaafar Albar-Lee Kuan Yew.





Berdasarkan pembaitan Tun Musa dalam UMNO belum berketerampilan, beliau tidaklah diberi peluang meneruskan memegang jawatan Setiausaha Agung, sebaliknya pada 24 September 1965, (Tan Sri) Mohd Khir Johari dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Agung UMNO, di samping Hassan Haji Muhammad selaku penolong setiausaha agung dan Dato’ Othman Abdullah bagi jawatan ketua penerangan dalam penyusunan pentadbiran di ibu pejabat parti. Bagaimanapun diwujudkan jawatan baru iaitu Setiausaha Kerja (Executive Secretary) bagi menyelaraskan urusan di pejabat yang diletakkan di bawah setiausaha agung.





Tun Musa dilantik menjadi Setiausaha Kerja UMNO yang pertama dengan fungsinya sama seperti ‘setiausaha organisasi’. Populariti Tun Musa di kalangan aktivis UMNO mula menyerlah apabila beliau diberi tugas selaku Setiausaha Kerja UMNO bermula pada 24 September 1965, malah kelantangan suaranya dalam beberapa isu menarik perhatian umum. Misalnya, Tun Musa tak berkompromi apabila membangkitkan isu pencapaian bumiputera dalam bidang pendidikan dan ekonomi, yang dianggap jauh ketinggalan dibandingkan dengan komuniti bukan Melayu skitar dekad 1960-an itu. (bersambung…).





(Dipetik dari buku ‘100 Tokoh Malaysia’; Dharmala N.S./Dr Ammar Haji Hassan; Kantung Network Sdn Bhd., Kuala Lumpur; 2007. Harga senaskhak RM50.)





KOMENTAR
bersama Pak Parjo





MEMANDA PM LETAK JAWATAN
SEKALIAN RAKYAT HENDAKLAH DIAM





Kata sahibul hikayat dititir canang ke seluruh pelusuk negeri akan memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu meletakkan jawatan, maka marahlah akan timbalannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Arakian diingatkan kepada orang banyak oleh Dato’ Seri Mohd Najib jangan sekali-sekali disebut akan perkara memanda Perdana Menteri itu mahu meletakkan jawatan seperti disebut para penyurat hari ini 27 Rabiulawal 1429 (atau kata anak cucu fakir 4 April 2008). Syahdan menjadi kesalahan kepada sekalian hamba rakyat sekiranya disebut perkara memanda Perdana Menteri mahu meletakkan jawatan, kerana seperti di zaman bahari akan dipenggal kepala mereka, apa lagi timbalannya sudah tentulah ‘macam telur di hujung tanduk’. Heh heh heh!





Adapun apabila baginda Sultan Mahmud (bukan Sultan Abdullah Shah seperti diberi tahu bekas memanda Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) berangkat berperahu had pangkalan Seri Dewa Raja, maka baginda menyuruh memanggil Seri Dewa Raja. Berpenanak-penanak Sultan Mahmud Shah menanti di pangkalan, belum juga Seri Dewa Raja datang; kerana adat Seri Dewa Raja, apabila datang hamba raja memanggil dia, maka ia naik ke rumah berbaring-baring, kadang-kadang lalu tertidur, serta dibangatkan oleh hamba raja itu, maka Seri Dewa Raja bangun lalu buang air dan mandi. Arakian rupa-rupanya pada waktu zaman dahulu ketika ‘pantang anak Melayu derhaka’, akan Seri Dewa Raja itu tidaklah ia menjadi ‘pak turut’ sahaja seperti disebut-sebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:









IHIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: