
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
BUAT KERJA DI SALAH ANGGAP
TAK BUAT KERJA AKAN DICEMUH
Assalamualaikum,

Hari ini (22 April 2008) dialog PRIMA bersama bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo di Holliday Inn, Subang turut mendedahkan dilema berkenaan, apabila beliau terlalu menumpukan kepada ‘kerja’. Tak hairanlah ketika menjadi Menteri Besar Selangor, beliau dikritik oleh pimpinan dalam UMNO sendiri apabila berusaha mahu memastikan kerajaan negeri yang dipimpinnya mencapai kejayaan cemerlang. Beliau turut mengakui di bawah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, usaha beliau disenangi disebabkan Tun Dr M ‘turun padang’. Misalnya, menurut Dato’ Seri Dr Khir beliau pernah bertelagah dengan Tun Dr M berkaitan pemasaran industri kampung di pasaraya besar.
Tak disangkanya Tun Dr M ‘turun padang’ ke pasaraya besar berkenaan, di samping mengakui industri kampung yang disebut beliau (Dato’ Seri Dr Khir) dipasarkan di situ mampu mengaut keuntungan hingga RM5,000 sebulan. Apabila industri kampung (termasuk kerepek ubi dan sebagainya) mahu dieksport ianya dibantah oleh pasaraya besar, kerana boleh mengurangkan input mereka hingga 50% dengan tak menghiraukan kepentingan rakyat jelata di peringkat akar umbi. Dialog PRIMA bersama Dato’ Seri Dr Mohd Khir turut disertai Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Suhaimi Ibrahim, Sdr Aspan Alias, Sdr Sallehuddin, Sdr Zakir, Sdr Sobri Ahmad dan rakan-rakan pengendali laman web dan laman blog.
Pandangan yang berbeza berlaku juga misalnya, apabila Sdr Zakir menolak pendapat Dato’ Suhaimi yang mengakui UMNO masih ‘kuat’ dan diterima oleh orang Melayu. Kata Zakir kemerosotan prestasi UMNO di seluruh negara pada pilihanraya ke 12, bukan lagi undi protes sebaliknya manifestasi orang Melayu terhadap pimpinan UMNO. Justeru Sdr Aspan bersetuju UMNO perlu dipimpin oleh golongan muda yang dinamik seperti Dato’ Dr Mohd Khir. Malah Sdr Sallehuddin juga mengakui sekiranya UMNO enggan menerima perubahan, ianya sesuai dipamerkan di muzium sahaja. Apalagi Dato’ Kamal Amir turut menolak konsep ‘ketuanan Melayu’ yang dibangga-banggakan UMNO, kalau ketuanan berkenaan tak ‘berdaulat’. Heh heh heh!
-Pak Dharma
INFO HAK ASASI MANUSIA:
PEMUDA PERLU MENJADI BENTENG
PRIHATIN MEMBAWA ‘SUARA RAKYAT’

Seterusnya Dato’ Seri Dr Mohd Khir mengakui pimpinan Pemuda UMNO di bawah Allahyarham Dato’ Harun Idris adalah period kegemilangan yang sukar dicapai selepas dekad 1970-an. Menurut beliau, pimpinan Pemuda di bawah Dato’ Harun bukan sahaja dikagumi di dalam negeri, malah dihormati di peringkat antarabangsa hingga mampu menarik pelabur-pelabur luar menjana pembangunan ekonomi. Katanya, Dato’ Harun dengan ‘pressure group’ mampu melonjak martabat Pergerakan Pemuda UMNO, justeru usaha menjatuhkannya digerakkan oleh kalangan dalam UMNO sendiri yang melihatnya boleh menjejaskan kewibawaan mereka. “Pemuda UMNO perlu kembali kepada akar umbi iaitu menjadi benteng orang Melayu dan prihatin dengan suara rakyat,” beritahu Dato’ Seri Dr Mohd Toyo selanjutnya.
PILIHANRAYA MACAM PEPERIKSAAN
UMNO MASIH LULUS DENGAN ‘GRED A’

Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Dato’ Suhaimi Ibrahim menolak tanggapan ramai mengenai kemerosotan prestasi UMNO pada pilihanraya ke 12, 8 Mac 2008 lalu. Katanya, anjakan pengundi Melayu sekadar 20 peratus sahaja di seluruh negara, justeru pencapaian UMNO bolehlah dianggap cemerlang. Beliau yang juga bekas ADUN Benta di Pahang memberitahu dalam dialog PRIMA bersama bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo di Holliday Inn, Subang petang ini (22 April 2008). Menurut Dato’ Suhaimi, pilihanraya bolehlah dianggap seperti juga menghadapi peperiksaan, apabila calon terbabit sekadar gagal satu atau dua subjek tetapi keputusan keseluruhannya masih lagi ‘gred A’.
Bagaimanapun pandangan Dato’ Suhaimi dipertikai oleh pengndali laman blog Sdr Zakir, yang meminta aktivis UMNO mengakui kekalahan drastik pada pilihanra lalu. Menurut Sdr Zakir, kalau kemerosotan undi Melayu di Johor dijadikan ukuran, UMNO sebenarnya dalam keadaan ‘paling lemah’ dalam sejarah pilihanraya. Apalagi katanya, kekalahan UMNO bukan disebabkan undi protes, sebaliknya pemikiran pengundi-pengundi muda membuat anjakan paradigma berdasarkan keterbukaan mereka. “Dari 16 juta pengundi di Malaysia, ahli UMNO sekadar 3.2 juta sahaja, di samping pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab ialah 11 juta, kalau undi protes pun sekitar 3.2 juta ahli UMNO sahaja,” kata Sdr Zakir.
KONSEP USANG YANG SUDAH LAPUK

Saranan Dato’ Kamal Amir dipersetujui oleh pengendali laman blog Sdr Sallehuddin yang menganggap ‘ketuanan Melayu’ sekadar gimmik politik sekiranya tak disertakan dengan memartabatkan kedudukan orang Melayu. Malah aktivis masyarakat Sdr Aspan juga turut merasakan ‘ketuanan Melayu’ menjadikan orang Melayu lalai, di samping terikut-ikut dengan pandangan pihak lawan terhadap pentingnya ‘Dasar Ekonomi Baru’. Seterusnya Dato’ Seri Dr Mohd Khir juga menganggap ‘ketuanan Melayu’ lebih baik ditukar kepada ‘ketahanan Melayu’ yang lebih relevan, terutama bersaing dengan orang lain sama ada dalam bidang yang baik mahupun yang tidak baik.
SAJAK
Ku cari damai abadi
ku dapat sumpah sampai mati
aku ingat nak jadikan
menantu menteri
depa titik aku dengan keji
tak apa –
aku masih lagi seorang perdana!
ku terjumpa ka ka ka ri…
Anwar al-Pakati
ku konspirasi
biarpun UMNO dah nak mati
asal puas di hati
alahai hebatnya Islam Hadhari.
Kajang, Selangor
21 April 2008.
DULU BERANI KRITIK KETUA
SEKARANG SEMUA IKUT LEMBIK!

TERKILAT IKAN DI AIR
SUDAH TAHU JANTAN BETINA
Apa hal? Hari ini (22 April 2008) diumumkan pembatalan jembatan Pulau Pinang dengan alasan masalah reka bentuk, kenaikan harga dan tanah yang tak sesuai. Kenapa dulu tak fikir fasal reka bentuk, harga dan tanah tu? Terkilat ikan di air, dah tau jantan betina! Jadi, tak perlulah beri banyak dalih. Baru nak dera rakyat Pulau Pinang, Dato’ Lee Kah Choon dan protes. Beri surat tunjuk sebab pun tak guna, sebab Parti Gerakan pun ‘tak hidup tak mati’! (SMS; 22 April 2008 – Mat Buntal, Kepala Batas, Pulau Pinang).
BIAR HARGA BERAS NAIK
SUDAH BIASA KURANG MAKAN
Biarlah harga beras naik. Saya memang sudah biasa makan sekali sehari sahaja. Kalau harga beras melambung naik, saya boleh kurangkan makan lagi. Dua kali sehari sahaja makan lempeng. Setidak-tidaknya boleh elakkan penyakit kencing manis, darah tinggi atau lemah jantung. Taklah tergolek di bilik air, sebelum diusung ke hospital. Malaysia yang aman makmur, dengan kenaikan harga barang. Lagi rakyat benci dan meluat kerana harga barang naik sebelum pilihanraya; lagi BN dan pimpinan Dato’ Abdullah Ahmad Badawi tambahkan benci dan meluat rakyat. (SMS; 22 April 2008 – Ali Serabut, Cheras, Kuala Lumpur).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
MEROMBAK PERATURAN KEHAKIMAN
DILAKSANA SECARA TERUS, TELUS DAN TURUS
Syahdan tersebutlah dalam negeri Melayu itu memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi beriya-iya mahu merombak peraturan kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) seperti disuratkan orang banyak hari ini 15 Rabiulakhir 1429 (atau bagi anak cucu fakir 22 April 2008). Berkatalah orang banyak peraturan kehakiman yang diwar-warkan itu tak memberi makna, sekiranya tak dilaksanakan secara telus, tulus dan turus. Begitulah juga perihal BPR bukanlah peraturannya yang salah, tetapi apabila ianya dilaksanakan mengikut seperti disebut oleh ‘Tok Nikah Kahwin’ dalam cerita yang dijadikan filem oleh Tan Sri P. Ramlee iaitu ‘Musang Berjanggut’ katanya, “Salah tu memang salah, tapi itu undang-undang Dato’ yang bikin.”
Arakian apabila anak-anak orang besar di Melaka tak mencukupi perbelanjaan ketika menyambut perayaan ‘hari raya’, mereka pun menemui Tun Hassan Temenggung kerana mengadukan hal mereka. Maka oleh Tun Hassan Temenggung disuruhnya rentang tali di segenap kampung bagi meluruskan jalan-jalan dan lorong-lorong dalam negeri Melaka. Syahdan anak-anak orang besar itu pun merentang tali mahu meluruskan jalan-jalan dan lorong-lorong hingga terkenalah pada kedai-kedai dan rumah-rumah. Maka pemilik-pemilik kedai dan rumah-rumah itu pun menghulurkan peremasan kepada anak-anak orang besar yang merentang tali itu supaya tak terkena kediaman mereka. Terlalulah amat gembira anak-anak orang besar itu serta memuji-muji Tun Hassan Temenggung seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:

HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment