PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
TERGAMAM SELEPAS SOLAT SUBUH
TIBA-TIBA TERIMA SMS SYED HUSSIN
Selepas solat subuh seperti kebiasaan, saya berbaring semula hingga kadangkala terlelap juga hingga santak jam 7.30 pagi. Hari ini (23 April 2008), memang saya sudah bercadang membawa anak saya Ikram Hafiz membuat ‘pemeriksaan kesihatan’ (medical check-up) bagi persiapan memasuki Universiti Industrial Selangor (Unisel) 3 Mei 2008 ini. Apabila SMS berbunyi saya boleh meneka rakan-rakan yang mengirimnya sama ada penyair Yassinsalleh, Sdr Zakaria Bidin, Sdr L Mankadir Shamsi atau Haji Sayuti Omar. Kalau Dato’ Kamal Amir, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Haji Bakar Ninggal atau Sdr Zainal Abidin Rasidin mereka lebih selesa menelefond daripada mengirim SMS. Kadangkala Dr Haroun Haji Kidam dari Melaka, Dr Leo A.W.S. dari Kelantan atau Ustaz Azmi dari Negeri Sembilan juga akan mengirimkan SMS juga. Begitulah!
Rupa-rupanya awal pagi ini (23 April 2008) Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Hussin Ali dan Haji Sayuti Omar serentak mengirimkan SMS beritahu mengenai berpulangnya ke rahmatullah aktivis masyarakat dan penulis Rustam A Sani jam 3.00 pagi akibat serangan sakit jantung. Rustam bekas pensyarah di UKM bukan sahaja pengandali laman blog, malah terbabit dalam kesinambungan perjuangan ayahnya Dato’ Ahmad Boestamam. Beliau juga dikenali pejuang hak asasi manusia, malah ikut sama dalam gerakan awal isu keadilan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada September 1998. Ketika GERAK digerakkan diibu pejabat PAS oleh Allahyarham Dato’ Fadzil Noor, memang Rustam tak ikut sama.
Bagaimanapun saya mengenali Rustam melalui ayahnya Dato’ Ahmad Boestamam (Pak Boes) yang lebih rapat dengan saya. Ketika menggerakkan akhbar ‘Mingguan Bumi’ bersama Hussein Yaacob, Abu Bakar Ninggal, Yusuff Jalil dan Saroji Mokhtar memang Pak Boes ikut sama terbabit. Setiap petang kami akan berjumpa, sekalipun Pak Boes menghadapi masalah penglihatan berikutan pembedahan mata. Sebagai aktivis pula Rustam bukanlah mempunyai karektor yang sama seperti Pak Boes, sebaliknya beliau mirip seperti Dr Syed Hussin yang serius (malah jarang berjenaka). Kalau terserempak di pasaraya Taman Seri Gombak pun, kami sekadar bertanya khabar sahaja. Moga-moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyifatkan sikap Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Mohd Taib meletakkan beban kesalahan kekalahan BN pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu di Selangor ke bahu orang lain sebagai budaya pimpinan ‘korup idea’. Katanya Tan Sri Muhammad tak mampu mengkritik diri sendiri (self ciriticism), hingga menjadi ‘prasit politik’ yang bergantung kepada ihsan pimpinan bagi survival perjuangan yang dangkal. Mengulas keserabutan pemikiran Ketua Penerangan UMNO itu yang juga Menteri Pebangunan Luar Bandar menyalahkan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo menyumbang kepada kekalahan di Selangor, beliau memberitahu Tan Sri Muhammad bukan sahaja korup idea, malah dangkal politik dan terikat dengan perhambaan minda.
“Kalau di Selangor salah Dr Khir, bagaimana dengan Pulau Pinang, Perak dan Kedah adakah kesalahan dibeban ke bahu Pengerusi Perhubungan UMNO,” kata Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO. Seterusnya Dato’ Kamal Amir mencabar Tan Sri Muhammad menyalahkan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kapisiti Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang menyebabkan negeri berkenaan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. “Tan Sri Muhammad harus membebaskan dirinya daripada perhambaan minda bagi mencerminkan keterampilan sebagai seorang Ketua Penerangan UMNO yang setanding dengan Tan Sri Jaafar Albar,” jelas Dato’ Kamal Amir.
INFO SASTERA & BUDAYA:
PIMPINAN DBP MAHU DITUKAR
PAK LAH BUAT KEPUTUSAN MUTLAK
Pelbagai pihak mahukan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Dr Firdaus Abdullah yang tamat tempoh kontraknya tahun ini, tak disambung semula. Dalam pertemuan dengan aktivis budaya di PWTC hari ini (23 April 2008) dikatakan seorang ahli Parlimen UMNO menelefon ke pejabat kementerian pelajaran mendesak supaya jawatan berkenaan diberikan kepada tokoh akdemik yang lebih muda, di samping berkarisma serta terbabit dalam gerakan bahasa di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun dilaporkan pihak pejabat kementerian memberitahu, memang pandangan tersebut sudah dalam pertimbangan kementerian berdasarkan kebobrokan pimpinan DBP setakat ini. Sebaliknya keputusan mutlak membuat pelantikan di pejabat Perdana Menteri bukan di kementerian terbabit.
Justeru menurut sumber, ahli Parlimen terbabit terkejut apabila kementerian pelajaran tak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pelantikan jawatan Ketua Pengarah DBP. Baru-baru ini SN Dato’ Dr A Samad Said dilaporkan enggan menggunakan status yang dianugerah selaku ‘Sasterawan Negara’, berikutan kekecewaan terhadap peranan DBP dalam pembangunan sastera di negara ini. Malah ketika ‘Pesta Buku Antarabangsa’ baru-baru ini sekali lagi Dato’ A Samad Said melahirkan rasa kecewa apabila suratnya kepada Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr Firdaus berkaitan isu mahu menerbitkan smeula karya-karyanya tak diberi layan. “Pembangunan sastera dan bahasa adalah berasaskan kepada hubungan baik sasterawan dan DBP, kalau sebaliknya ialah kegagalan pimpinan agensi kerajaan itu,” kata sumber berkenaan.
INFO SUARA PROLITAR:
JANGAN LAGI RABUN MATA
FIKIR-FIKIRLAH SAMPAI 10 KALI
Bila Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) mahu melakukan peralihan kuasa? Kalau calon penggantinya 2 X 5 dengan Pak Lah samalah macam melepaskan batuk di tangga. Tempoh pemilihan ialah sehingga Disember 2008. Sekiranya ahli-ahli UMNO tak mahu pisang berbuah dua kali, calon yang dikira terbaik ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Janganlah rabun mata lagi. Memang pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO memerlukan 30% sokongan. Tapi kalau budaya RM200 di Kubang Pasu diteruskan, ahli-ahli UMNO kena fikirlah 10 kali, bukan lagi dua kali. (SMS; 23 April 2008 – Rimau Karak, Pahang).
BETULKAH BLOGGER PENYEBAR FITNAH?
Blogger atau penulis blog boleh sahaja dianggap tukang fitnah atau penyebar kepalsuan tetapi bukan semua bersikap sedemikian.Jika blogger atau penulis blog dari kalangan wartawan, mereka pastinya ‘terikat’ dengan etika kewartawanan, walaupun menulis di blog atau laman web, seolah-olah seseorang itu tidak dipantau sesiapa. Disebabkan laman web yang menentang kerajaan dilihat lebih ramai dikunjungi, tetapi bukanlah bermakna laman-laman ini terlalu berpengaruh – kecuali pengendalinya mengakui sendiri kononnya laman mereka ‘cukup menyengat’. Pengunjung (baca: pembaca) dari kalangan mereka yang boleh mengundi tetapi tidak kurang juga mereka ini belum layak mengundi.
Selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12), banyak pihak membuat analisis kononnya blogger dan laman web adalah salah satu faktor yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kecundang.Seorang penulis politik yang juga Setiausaha Umno Bahagian Pokok Sena, Ramli Mohd Yunus berpendapat, terlalu kecil peratusan mereka yang terpengaruh dengan tulisan dalam blog dan laman web yang menyebabkan pengundi beralih arah. “Saya sendiri seorang yang ketagih melayari laman-laman web, tetapi saya mempunyai akal untuk berfikir. Yang mana betul, saya percaya dan yang mana saya curiga, saya akan siasat sendiri. Mustahil saya boleh diperbodohkan kerana saya tidak membaca hanya senaskhah akhbar sehari dan rujukan saya bukan setakat akhbar tempatan. Saya membaca laman web dan saya juga membaca majalah dan akhbar lain termasuk terbitan antarabangsa.” Tegasnya.
Seorang lagi penulis, Zakaria Bidin ketika mengulas mengenai laman blog dan blogger pula berpandangan; “Masing-masing mempunyai hak menulis tetapi hak itu bukanlah kebebasan tanpa batasan. Saya tidak mempunyai banyak masa untuk melayari laman-laman web, tetapi bukan bermakna saya anti laman web,” Kata Zakaria lagi, “Pembaca perlu menimbang secara matang setiap maklumat yang dibaca. Jika boleh, siasat siapa penulisnya. Ambil tahu latar belakang penulis dan keperibadiannya. Jika tidak pasti, berbincanglah dengan kawan-kawan terhadap satu-satu isu yang dibaca,”.
Penulis Wan Yusof Wan Ngah pula berkata; “cara seseorang menulis sudah boleh diberikan ‘markah’ sama ada tulisan itu palsu, fitnah atau benar,” Wan Yusof yang banyak menulis di akhbar-akhbar tabloid berpendapat, seseorang blogger atau penulis laman web tidak terlepas dari dosa dan pahala. “Dia kena bertanggungjawab dengan apa yang ditulisnnya. Jika di dunia dia terlepas dia tidak mungkin terlepas di akhirat,” hujahnya.Wan Yusof berpendapat, penulis yang sengaja menulis fitnah adalah seseorang yang sakit jiwa dan mentalnya tidak stabil. “Untuk apa dia lakukan fitnah terhadap seseorang jika bukan kerana jiwanya sedang sakit?” soalnya lagi.
“Bagi saya, seseorang yang sengaja memfitnah sebenarnya menunjukkan dirinya yang tidak baik dan keperibadiannya yang songsang.” Tambahnya. Sebenarnya laman-laman web dan blog ini bermula sekitar 10 tahun yang lalu. Kalau kerana politik, ia lahir betul-betul ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan dari Umno. Ketika itu, laman-laman web dan blog muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, tiada siapa yang menghiraukannya. Ada yang menyindir kalau timbul cerita ‘aku dapat maklumat ni dari laman…..’
Hari ini, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Menteri Penerangan yang baru, Datuk Ahmad Sabbery Chik berjumpa dan berkenal-kenalan dengan blogger, semua blogger dan pengendali laman-laman web terasa mereka penting.
bersama Pak Parjo.
ORANG MUDA PERLU MEMAHAMI
Kata sahibul hikayat akan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Shafie Apdal mahukan anak-anak muda lebih memahami budaya dan adat resam dua benua di negeri-negeri atas angin dan di bawah angin. Adapun disuratkan orang banyak hari ini, 16 Rabiulakhir 1429 (yakni 23 April 2008 kepada anak cucu fakir) akan orangkaya menteri itu berkata semasa perjumpaan dalam muafakat ketiga orangkaya-orangkaya menteri negeri atas angin dan bawah angin (ASEM CMM). Berkatalah akan orangkaya menteri itu, “Perkembangan di seluruh dunia sekarang menunjukkan masyarakat antarabangsa berhadapan pelabagai isu kebudayaan, yang mana salah faham terhadap budaya orang lain masih jelas berlaku dari semasa ke semasa.” Adapun yang diminta memahami budaya itu orang muda sahaja, kononnya orang tua faham sangatlah mereka.
Syahdan datanglah sebuah kapal Feringgi dari Goa. Maka ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Feringgi itu negeri Melaka terlalu baiknya, dan bandarnya pun terlalu ramai. Maka segala orang pun berkampung melihat rupa Feringgi itu. Maka sekaliannya heran melihat dia. Arakian kata orang Melaka, “Ia ini Benggali Putih’. Sebermula akan kapitan Feringgi itu naik menghadap Bendahara Seri Maharaja. Maka oleh bendahara di angkat anak kapitan itu, dipersalin. Syahdan kapitan itu persembahkan pada bendahara rantai emas berpermata seutas dimasukkan ke leher bendahara dengan melangkau kepala. Maka sekali anak-anak buah hendak gusar akan kapitan itu, tiada diberi oleh bendahara, katanya, “Jangan dituruti, kerana ia orang tiada tahu adat Melayu,” seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:
HIDUP BAHASA MELAYU.
1 comment:
Saudara,
Saya amat setuju dengan tulisan Fuad Rahim, bukan semua blogger dan pengendali website buat fitnah dan ada agenda. Diantara nya ramai yang aktif sebagai suatu `mental exercise' semata mata. Ada pula yang ingin `menguji' dan `mengusik' alam penulisan dan suasana politik negara, ada juga yang betul betul dan berhasrat mahu menjadikan ianya satu medium untuk masyarakat menilai sebagai pemikiran alternatif. Ada juga yang mahukan perbahasan secara intelektual online. Dapat diusahakan atau tidak itu lain cerita.
Blog orang orang politik mungkin untuk tujuan `mileage politik'. Samada yang sudah terpaksa `retire secara optional' atau yang sudah hilang didalam `menu' politik semasa. Atau pun kalangan ahli politik yang `terlupa' dia sudah hilang kuasa atau sudah dilupa. Memimjam kata sahabat penulis Daud Ibrahim, ahli politik yang datang dari Bahagian Lupakan.
Memang ada yang mengendallikan website dan blog untuk tujuan penonjolan kelompok dan gerombolan. Ada yang bertujuan untuk membela parti yang disokong atau pun yang diampu. Berat juga kadang kadang isi nya. Tapi nak buat macam mana, muka dia kita tak nampak. Kalau kita telanjang pun, malu hanya apabila ada orang nampak kita telanjang, kalau telanjang sorang sorang dalam bilik air, tak jadi masalah. Sekadarkan kita dari jenis tak malu juga la. Ada pula yang jadikan blog tempat `balun' orang yang dia tidak setuju dan tidak suka. Yang ini pun boleh dan tidak menjadi kan kita OKT (orang kena tuduh)asalkan had dan limitation nya terkawal. Blog yang ditaja pun ada, dan tak salah juga kerana bukan semua orang tahu kita ditaja. Yang tahu kita aje. Kalau nak malu pun, malulah kat diri sendiri.
Semua ini dibolehkan dari aspek undang undang kerana ianya tidak menyalahi mana mana kanun. Walau pun kadangkala kandungan nya boleh menggantikan `siri Senario' di TV3 atau adakala boleh `mengeluarkan isi perut'. Pokoknya, macam macam matlamat dan niat yang boleh di jadikan sebab kenapa seseorang mewujudkan laman web dan blog nya sendiri. Niat kita hanya kita yang tahu. Kita tidak boleh didakwa dimuka pengadilan dengan hanya mempunyai niat yang salah dan tidak baik. Balasan dan implikasi niat hanya Tuhan yang boleh menjatuhkan `verdict'. Jangan lah pula kita cuba cuba mengambil alih kerja Tuhan.
Pemimpin politik pun jangan lah cepat cepat jadi `pembaca niat' dan menjatuhkan hukum berpandu andaian `niat' itu juga. Cuba cuba lah `agree to disagree'. Jangan lah baru dapat kuasa sementara, andaian dijadikan kenyataan, dan hanya kerana kita `prominent' dan ada kuasa, `pertuduhan' yang masih kabur dan berstatus `prima facie' terus dijadikan `verdict'. Ingatlah kuasa dari kemenangan bukan memberikan hak mutlak untuk menjadikan kita benar dan betul. Dalam sistem demokrasi, 9 mengatasi 1 dari jumlah 10. Tetapi bukan bermakna 9 menjadi betul dan benar semutlak nya.
Ramli Mohd Yunus
Alor Star, Kedah.
Post a Comment