Saturday, April 26, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:


MENAGIH JANJI MENTERI KESIHATAN
PESAKIT MASIH MENUNGGU LEBIH 2 JAM



Assalamualaikum,



Balik dari Jelebu semalam (24 April 2008) kira-kira jam 9.00 malam, saya terus menghantar anak saya Syamsul Anwar (anak istimewa, yang menghidap autisme) ke Hospital Selayang akibat demam. Sebelumnya pejabat kesihatan daerah Gombak yang membuat lawatan rumah ke rumah menasihati orang ramai mendapatkan rawatan di hospital (bukan klinik swasta) sekiranya mengalami demam berterusan, sakit kepala dan sengal-sengal sendi berikutan wabak denggi disyaki menggugat. Merungut juga isteri saya apabila kenang jaminan Menteri Kesihatan yang baru Dato’ Ong Ka Chuan akan meningkatkan perkhidmatan di hospital dengan tempoh singkat kepada 20 minit pesakit menunggu giliran, tetapi terpaksa menunggu lebih dua jam. Begitulah!



Penghidap autisme memang mudah bosan menunggu lama, kerana dalam tempoh 30 minit ianya akan ‘memberontak’ disebabkan sikapnya hayperactive. Masalah sudah pun diberitahu kepada jururawat bertugas, tetapi heh heh heh! Terpaksa juga menunggu hingga jam 11.30 malam. Aduhai! Kira-kira jam 10.00 malam pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail menelefon ketika saya masih lagi di ruang pesakit luar Hospital Selayang. Haji Yahaya bertanyakan berkaitan perjumpaan dengan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo pada 23 April 2005. Disebabkan Haji Yahaya tak ikut sama, beliau mengakui kesediaan Dato’ Seri Dr Mohd Khir bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada Disember 2008 nanti, sebagai manifestasi kebangkitan kebebasan intelektual yang menolak perhambaan minda dalam UMNO.



Ketika sampai di rumah kira-kira jam 12.00 malam, adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid pula beritahu mengenai insiden ‘Rukun Tetangga’ membelasah seseorang hingga hampir berlaku pergaduhan. Ir Adnan diminta menjadi ‘orang tengah’ apabila lelaki yang terbabit dibelasah bertindak membalas dendam terhadap ‘Rukun Tetangga’. Setelah disiasat rupa-rupanya salah seorang daripada ‘Rukun Tetangga’ di kawasan perumahan terbabit memang gemar mendera termasuk menyuruh anak muda yang disyaki melakukan perkara tak baik melakukan ‘ketumbuk ketampi’. Ironinya, lelaki yang dibelasahnya itu merupakan ahli ‘Rukun Tetangga’ juga.
Sikap salah guna kuasa oleh ‘Rukun Tetangga’ yang melakukan arahan di luar aturan yang ditetapkan oleh pentadbiran ‘Rukun Tetangga’ itulah menjadi punca masyarakat berasa benci dan meluat terhadap ‘Rukun Tetangga’. Malah kebencian itu juga menular kepada UMNO dan BN, menyebabkan di kawasan perumahan calon-calon UMNO dan BN terkulai, tersalai dan terbarai! Ir Adnan yang dianggap ketua tak rasmi bagi penduduk di fasa 8 kawasan perumahan terbabit sudah memberi mesej kepada ‘Rukun Tetangga’, ‘alang guru kepalang ajar, alang tukang kayu binasa; kalau ketam jalan mengereng, jangan harap anaknya berjalan betul!’.


Hari ini (25 April 2008) bekas profesor dan pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon beritahu beliau dimarahi oleh penyair Yassinsalleh apabila sering bersikap berkompromi dalam isu ‘politik akademik’. Apalagi Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM yang kurang ‘mengampu’ terus tercicir bagi mengisi jawatan di IPTA selepas bersara termasuk ‘Kursi Tun Ghafar Baba’ di UPSI, ‘Kursi Tun Abdul Razak’ di UKM mahupun Ketua Pengarah DBP di bawah kementerian pelajaran. Kata Yassinsalleh bukan sahaja kerajaan membazirkan tenaga ‘akademik’, malah negara turut mengabaikan kepakaran Dato’ Dr Mohd Mansor.

-Pak Dharma.





INFO HAK ASASI MANUSIA:



BESOK KU LI DI SUBANG
PRIMA KE KAMPUNG ORANG ASLI

Jadual perjumpaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersama gabungan cawangan-cawangan UMNO di Subang besok (26 April 2008) mulai jam 2.00 petang memperlihatkan orang Melayu sudah bergerak menolak ‘perhambaan minda’ yang menjadi trend UMNO selama ini. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, Tengku Razaleigh sedang menggerakkan usaha membawa perubahan kepada kalangan UMNO di peringkat akar umbi bagi membebaskan orang Melayu dari jaringan ‘perhambaan minda’ yang berterusan. Seterusnya Dato’ Kamal Amir juga turut mengalu-alukan kesediaan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo untuk memimpin Pemuda UMNO dengan membawa ‘suara rakyat’, di samping hidupkan semula ‘semangat perjuangan Dato’ Harun Idris’.


Sementara itu di Pahang, aktivis teater Sdr L Mankadir Shamsi pula memberitahu majlis ‘Baca Puisi Perkampungan Orang Asli’ sudah bersiap sedia menyambut penyair-penyair PRIMA ke Kampung Pian di Kuala Krau. Katanya, penduduk-penduduk Orang Asli di perkampungan berkenaan akan memperkenalkan kesenian tradisional mereka termasuk bersewang bagi memeriahkan kunjungan PRIMA. Beritahu Sdr L Mankadir, majlis berkenaan bagi mendekatkan kebudayaan dan kesenian tradisonal Orang Asli yang diabaikan kepada aktivis budaya dan sastera dari PRIMA yang prihatin dengan rintihan masyarakat Orang Asli. “Kita mahu PRIMA turut memperjuangkan kebudayaan, sastera lisan dan kesenian Orang Asli ke peringkat nasional,” kata Sdr Mankadir.




INFO SASTERA & BUDAYA:


PENGURUSAN DBP PERLU DIPANTAU
BERKAITAN PENERBITAN, PERCETAKAN & PEMASARAN



Bekas profesor dan pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mahukan pengurusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa dipantau menerusi siasatan yang telus berkaitan penerbitan, percetakan dan pemasaran buku-buku di bawah agensi berkenaan. Menurut beliau pengurusan DBP juga tak terlepas daripada isu berkaitan kebobrokan pentadbiran hingga berlaku mogok di kalangan kaki tangan, pemasaran yang dimonopoli oleh pihak tertentu dan pembangunan sastera yang kurang berkesan. Apalagi kata Dato’ Dr Mohd Mansor, penerbitan karya sastera banyak digerakkan oleh penerbitan swasta yang lebih terancang sama ada pemasaran, produktiviti mahupun pengurusan.




“Kita mahu DBP menjadi agensi budaya yang proaktif dan berdaya saing dalam menterjemahkan hasrat orang Melayu mahu melihat pembangunan sastera seiring dengan kedaulatan memartabatkan Bahasa Melayu,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga novelis prolifik tanah air. Seterusnya beliau melahirkan rasa kecewa dengan penerbitan novelnya ‘Amigo Possa’ yang dicetak sekadar 1,700 naskhah sahaja, berbanding dengan buku autobiografi ‘Dato’ Onn Jaafar: Potret Pejuang Terbilang’ (bukan diterbitkan oleh DBP) dicetak 10,000 dengan diterima oleh Biro Teknoloji Pendidikan (BTP), iaitu di bawah kementerian pelajaran. Disebabkan DBP tak mampu menembusi BTP, justeru perbezaan ‘angka’ amat ketara, katanya.





INFO SUARA PROLITAR:

SISASAT SEGERA LAPORAN POLIS
BABITKAN BEKAS MENTERI MENCABUL.



Karpal Singh mendesak polis untuk meneruskan siasatan ke atas bekas menteri yang didakwa mencabul kehormatan wanita (berusia 30-an), walaupun kes tersebut telah ditarik semula. Mengikut undang-undang Malaysia jika laporan yang dibuat wanita itu palsu, maka hukuman ke atas wanita berkenaan boleh dikenakan, maksimum enam bulan penjara. Apakah Malaysia mahu meneruskan kisah ‘Musang Berjanggut’ P. Ramlee ketika Tok Nikah Kahwin berkata: ‘Salah tu memang salah, tapi itu undang-undang dato’ yang bikin!’. (SMS; 24 April 2008 – YS, Kajang, Selangor).




WAJARKAH KENA LANGIR LIMAU
SUKAR SANGAT BUKA LAMAN BLOG


Sudah berkali-kali saya cuba membuka laman blog http://www.adimul.blogspot.com/ tapi masih juga tak berhasil. Mungkinkah saya perlu kena mandi berlangir limau, kerana kata kawan saya seelok-eloknya ‘berlangir’ dengan limau sunkist. Saya difahamkan laman blog ini semakin menarik perhatian ramai, apalagi bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo juga dilaporkan melayarinya. Sebab itu, tolong berikan panduan supaya saya boleh melayari laman blog PRIMA. (SMS; 25 April 2008 – ZB, Taman Kencana, Cheras, Kuala Lumpur).



TAKZIAH KEPADA KELUARGA RUSTAM
HILANGNYA SUARA GOLONGAN MARHAIN



Takziah kepada keluarga Allahyarham Rustam A Sani yang meninggal dunia pada 23 April 2008. Bagi saya kehilangan Rustam A Sani bermakna gugurnya sebutir bintang yang menjadi pejuang suara marhain yang dipelopori oleh ayahnya Bung Boestamam (Dato’ Abdullah Sani bin Raja Kecik). Ketika diberitahu mengenai kematian beliau, saya berada di luar Kuala Lumpur. Bagaimanapun sumbangan Rustam A Sani dalam penulisan dan menyuarakan kepentingan marhainisme tetap dikenang buat selama-lamanya. (SMS; 25 April 2008 – S. Buyong, Beranang, NS).




KOMENTAR
bersama Pak Parjo



HUBUNGAN BAIK TERJALIN LAMA
KESERASIAN NEGARA GAJAH PUTIH


Sebermula akan negeri Melayu itu sudah lama menjalin hubungan baik dengan negara Gajah Putih sejak turun temurun daripada paduka nenda Parameswara (Sultan Iskandar) hinggalah kepada paduka ayahanda Raja Kassim (Sultan Muzzafar Shah). Syahdan akan memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi diberitahu oleh sekalian para penyurat hari ini 18 Rabiulakhir 1429 (yakni 25 April 2008 mengikut perkiraan anak cucu fakir) berkata akan menghulur sebarang bantuan yang dianggap wajar oleh negara Gajah Putih (disebut anak cucu fakir Thailand) bagi pembangunan iktisad. Arakian fakir dimaklumkan orang banyak akan negara Gajah Putih itu terlalulah maju pertaniannya jika dibandingkan dengan negara Melayu ini, adanya.


Oleh yang demikian tak tahulah fakir bagaimana negeri Melayu ini hendak membantu negara Gajah Putih yang sudah sedia maju pertaniannya, hinggakan segala buah-buahan dari negeri itu dibawa masuk ke negeri ini. Hatta masakannya juga sudah penuhlah di merata pelusuk kampung dan ceruk rantau negeri Melayu iaitu tomyam, daging masak merah, nasi paprid, mi lakna dan bermacam-macam lagi. Syahdan begitulah peri majunya negeri Gajah Putih yang memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah mahu memberi bantuan itu. Arakian tersebutlah gajah Sultan Mansor Shah bernama Kancanci terlepas ke hutan, maka ditemui orang di dalam paya dan semak berduri.


Maka pergilah panglima gajah Seri Rama mengambil, tiada dapat ia membawanya balik ke istana. Maka disuruh baginda tafahus di dalam negeri Melaka itu, kalau-kalau ada orang tahu ilmu gajah. Lalu dipersembahkan orang Maharaja Dewa Sura iaitu raja Pahang di bawah pemerintahan Siam yang negerinya dialahkan Melaka terlalu tahu akan ilmu gajah. Maka Maharaja Dewa Sura memberitahu orang yang membawa titah, hendaklah dilepaskan (bebas dari tahanan), barulah dia mahu mengambil gajah itu. Telah dilepaskan Maharaja Dewa Sura itu, gajah tersebut dapatlah diambilnya. Maka oleh Sultan Mansor Shah disuruhlah semua anak-anak orang besar Melayu belajar akan ilmu gajah kepada Maharaja Dewa Sura orang Siam itu, seperti disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:














HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: