Wednesday, April 30, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG



Assalamualaikum,



LENCANA SOKONG PAK LAH
DIPAKAI PEKERJA BANK DI REMBAU





Ketika memasuki premis perbankan di pekan Rembau, Negeri Sembilan semalam (29 April 2008), kakitangannya kelihatan tekun melayani pelanggan, sekalipun mereka yang berurusan tak ramai. Apalagi saya yang menerima angka giliran 1270 tak menunggu lama, disebabkan di hadapan sudah berurusan pelanggan bernombor angka giliran 1269. Kebetulan pula saya berurusan dengan kakitangan di kaunter yang memakai lencana ‘Nube Sokong Pak Lah’, sebaliknya kakitangan yang lain tak pula memakai lencana tersebut. Tak tahu pula sejak bila ‘Nube’ (kesatuan pekerja-pekerja bank) berkempen ‘sokong Pak Lah’, atau adakah kedudukan Pak Lah sudah terlalu goyah hingga perlunya seorang kakitangan perbankan di Rembau memakai lencana berkenaan?




Ironinya, sebelum pilihanraya ke 12, 8 Mac 2008 dulu ketika berurusan di premis perbankan di Kuala Lumpur, saya melihat ramai kakitangannya memakai lencana ‘Nube menentang pembuangan kerja kaki-tangan bank’. Malah di Seremban, kakitangan bank memakai lencana ‘pulaukan bank yang membuang pekerjanya’. Entah kenapa pula hanya seorang sahaja kakitangan perbankan di Rembau itu memakai lencana ‘Nube sokong Pak Lah’ ketika saya memasuki premis berkenaan semalam (29 April 2008). Aduhai! Setahu saya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) menerima sokongan hebat, malah calon Speakernya di Dewan Rakyat pun memperoleh 153 undi, sekalipun BN sekadar mempunyai 140 Ahli Parlimen sahaja.




Esok (1 Mei 2008) adalah ‘Hari Pekerja’ (atau sebelumnya dikenali ‘hari buroh’), tetapi di Malaysia tak wujud lagi ‘kementerian buroh’ apabila ditukar kepada ‘sumber manusia’. Boleh jadi juga ‘kementerian buroh’ dianggap istilah yang sudah ‘out of date’ berbandingan ‘sumber manusia’; apalagi di Britain ianya diperintah oleh ‘Parti Buroh’. Di Sweden pula ‘tokoh-tokoh kesatuan sekerja’ diberi penghormatan sebagai ‘wira negara’; apalagi kebangkitan bangsanya digerakkan oleh kalangan kesatuan sekerja yang dipimpin oleh ‘tukang jahit’. Mereka mengangkat ‘tukang jahit’ sebagai wira kerana ianya pembuat pakaian, justeru seorang pemimpin negara mahupun golongan elit akan ‘berbogel’ sekiranya tukang jahit tak membuat pakaian mereka. Begitulah!





Tetapi pimpinan kesatuan sekerja di Malaysia diperlekeh oleh kerajaan apabila mereka lebih pro-pekerja, di samping membela kaum prolitar di samping enggan berkompromi dengan penindasan majikan. Apalagi pemimpin kesatuan sekerja yang bertanding dalam pilihanraya atas tiket pembangkang dianggap ‘musuh’ apabila mereka menyarakan kepentingan pekerja. Misalnya, Syed Shahir Mohamad salah seorang pimpinan kesatuan sekerja ditolak pengundi disebabkan memilih bertanding atas tiket PKR. Dato’ Zainal Rampak pula dibawa ke Dewan Negara, setelah beliau secara rasmi menyertai UMNO. Aduhai! Berbeza dengan period penjajah, mereka membawa P.P. Narayanan menganggotai Majlis Permesyuaratan Federal (Parlimen) sekitar dekad 1950-an, sekalipun beliau mengkritik kepongahan majikan di bawah British.



-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA




PILIHANRAYA KECIL SUDAH DIAMBANG
STRATEGI BN & PENGUNDI BEREFORMASI





Pilihanraya kecil yang dijangka tak lama lagi akan menjadi medan persaingan antara strategi BN dan kebangkitan pengundi bereformasi, kata aktivis masyarakat yang juga penyair Yassinsalleh. Beliau memberitahu sekretariat PRIMA berdasarkan sumber yang dari Pakatan Rakyat, pilihanraya kecil sudah berada di ambang perjuangan apabila salah seorang Ahli Parlimen di Selangor dijangka meletakkan jawatan. Langkah Ahli Parlimen terbabit adalah memberi laluan kepada Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi diletakkan bertanding. Sekalipun berhadapan dengan strategi BN yang penuh muslihat, tetapi PKR dijangka mampu mempertahankan kerusi Parlimen terbabit. “Kalau pengundi memilih PKR bukan mereka sukakan Anwar, tetapi kebencian dan rasa meluat terhadap pimpinan Pak Lah,” beritahu Yassinsalleh.




Menurutnya lagi pilihanraya kecil berkenaan akan mendedahkan lagi kebencian dan rasa meluat terhadap kebobrokan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, berikutan kedudukan ekonomi yang muram sekalipun kerajaan mewar-warkan koridor pembangunan sama ada di selatan, utara, barat dan timur seperti fartamogana di tengah gurun. Kalau pimpinan Pak Lah menyebut mengenai projek-projek mega, tetapi rakyat terus menerus berhadapan isu kenaikan harga barang, peniaga-peniaga juga tak mampu menjana laba perniagaan, UMNO dan BN tetap akan diganyang dalam mana-mana pilihanraya. “Jangan harap mahu membawa BN kembali mendominasi pilihanraya, kalau pimpinan Pak Lah diteruskan,” kata Yassinsalleh selanjutnya.



KU LI BUAT TAFSIRAN BETUL
EGM TAK LAWAN PERLEMBAGAAN





Pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah bersetuju dengan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mesyuarat agung tahunan (EGM) tak berlawanan dengan perlembagaan parti. Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas profesor dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mengulas langkah tak membenarkan Bahagian-Bahagian UMNO menggerakkan EGM, atas alasan memelihara perpaduan parti. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor langkah menghalang pimpinan UMNO peringkat Bahagian menggerakkan EGM, sekadar menjaga kepentingan pimpinan sekarang dalam ‘jangka pendek’, kerana hakikatnya pimpinan sekarang cuba ‘mengempang sungai’ seperti insiden banjir besar melanda negeri Johor tak lama dulu. “Ahli-ahli UMNO tak akan mengorbankan kepentingan Melayu kerana mempertahan seorang berdua pimpinan parti yang borjuis,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga aktivis UMNO di Pekan.






Seterusnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor, dalam perlembagaan UMNO membenarkan Bahagian-Bahagian parti mengadakan EGM, justeru mengapa Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menghalang perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan. Menurut beliau lagi, UMNO pernah cuba menghalang kerjaya politik Dato’ Onn Jaafar pada dekad 1950-an, tetapi kemaraan beliau seperti ‘sungai yang diempang’ apabila muncul pada pilihanraya 1959, malah kesinambungannya diteruskan oleh anaknya Tun Hussein Onn dengan menjadi Perdana Menteri pada 1976. Dato’ Abdullah juga perlu belajar pada sejarah dirinya apabila ‘dicantas’ pada 1988, untuk kembali semula pada dekad 1990-an. “Kalau menghalang EGM untuk kepentingan politiknya, Dato’ Abdullah melakukan kesilapan besar sama seperti pilihanraya pada 8 Mac 2008,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor selanjutnya.



SPR JADI SEPERTI TAK SIUMAN
DI MANA LOGIK HALANG IT DAN SMS





Ativis teater Sdr L Mankadir Shamsi melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Omar Wan Ahmad, seolah-olah berkelakuan ‘tak siuman’ apabila mahu menghalang kempen menerusi IT pada pilihanraya. Bukan sahaja tak logik, kata Sdr Mankadir malah akan menjadi bahan ejekan masyarakat antarabangsa seolah-olah Malaysia ditadbir oleh mereka yang tak bertamadun dan hidup di zaman purbakala. Menurut Mankadir lagi, kalau dihalang SMS, emel atau laman blog dan laman web, bagaimana dengan TV yang dikuasai oleh UMNO/BN pada setiap kali pilihanraya. “Tan Sri Abdul Rashid sudah menutup mulut sejak 8 Mac 2008, tiba-tiba Wan Omar pula mahu menunjukkan bisa taring?” kata Mankadir sinis.



Seterusnya beritahu Mankadir, apabila akta tersebut diperkenalkan ianya sudah tentu berniat jahat di negara kononnya maju menjelang 2020, sebaliknya adalah perhambaan minda baru ketika kerajaan mewar-warkan ‘modal insan’. Justeru Mankadir menyeru rakyat Malaysia kembali kepada ‘semangat 8 Mac 2008’ bangkit bagi melawan sebarang akta baru dari SPR, malah merombak semua ahli-ahli SPR dalam penstruktoran semula bagi membersihkan suruhanjaya tersebut dari hegemoni kuasa jabatan Perdana Menteri yang dipimpin oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kata Mankadir, biarlah SPR seolah-olah ‘harimau terluka’ selepas insiden 8 Mac 2008, sebaliknya rakyat Malaysia memberi pengajaran kedua kepada SPR dan jabatan Perdana Menteri. “Sekarang ialah era kebangkitan rakyat, mereka yang derhaka kepada rakyat, harus diusir dari status dan glorinya,” beritahu Mankadir.



INFO SASTERA & BUDAYA



PIMPINAN GAPENA OPPORTUNIS BUDAYA
PERJUANGAN SASTERA MELAYU TERJEJAS







Pembabitan Gapena menggerakkan ‘Perhimpunan Melayu’ di Johor Bahru pada 1 – 4 Mei 2008 seolah-olah mirip kepada ‘Kongres Melayu’ di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 – 4 Mac 1946 disifatkan sebagai golongan ‘opportunis budaya’ untuk menjejaskan perjuangan sastera dan persuratan Melayu. Bekas wartawan Sdr Zainal Abidin Rasidin yang mewakili Persatuan Penerbit Buku Malaysia ke perhimpunan tersebut berkata, beliau tak menyokong sebaliknya sekadar menghadiri bagi melihat kerenah mereka yang konon menjadi ‘juara Melayu. Seterusnya Sdr Zainal Abidin menyeru semua kerabat Gapena melancarkan semangat perpaduan baru bagi menyingkirkan pimpinan Gapena sekarang, yang jelas mahu meng’UMNO’kan badan-badan gabungannya.





“Perhimpunan Melayu di Johor Bahru sekadar replika kepada Kongres Melayu di Kuala Lumpur tahun 1946, sebaliknya di Johor Bahru ianya disponsor oleh kalangan yang berkepentingan,” beritahu Sdr Zainal Abidin. Seterusnya beliau mengingatkan badan-badan kerabat tak dipengaruhi kelicikan seorang berdua pimpinan Gapena, kerana mereka bukanlah (Allahyarham) Pendeta Zaaba yang bangkit menggerakkan Kongres Melayu di Kuala Lumpur pada 1946, ketika bangsa Melayu dianggap ‘Ugly Duck’ akibat keperongosan penjajah Inggeris. Gapena bukan ‘juara Melayu’, sebaliknya mahu mencari ‘kambing hitam’ bagi menyelamatkan UMNO yang hampir tersungkur, menyungkur dan mendengkur pada pilihanraya 8 Mac 2008 yang lalu. “Gapena lupa pada perjuangan asal ke arah pemupukan budaya nasional berteraskan kebudayaan Melayu,” kata Sdr Zainal Abidin lagi.

PENGAMPU UMNO PIMPIN GAPENA
KERABAT DIMINTA MENJADI ‘JEBAT’!




Saya memberitahu rakan-rakan dalam DPMP (Dewan Persuratan Melayu Pahang), terutamanya Abah, saya tidak hentam Gapena (Gabungan Penulis-Penulis Nasional). Saya hentam pengampu-pengampu UMNO yang (berselindung di sebalik) pimpin Gapena dan kerabatnya. Saya mempertahankan Gapena dan DPMP (supaya tak diperalat oleh pemimpin terbabit). Jika pemimpinnya nak bawa ahli ke arus politik secara kuda tunggangan, saya akan tentang habis-habisan. Berapa ekar tanah heh heh heh, beri pada Gapena? Apa penghormatan Adnan (Dato’ Seri Adnan Yaakob) kepada DPMP dan ketua satunya? Apa pembelaan Ismail Hussein pada penganjuran ‘Hari Sastera’ itu? Biarkan Mankadir ini menjadi Jebat! Insya Allah kebenaran akan terserlah. (L.MANKADIR SHAMSI, aktivis DPMP, Temerloh).



INFO SUARA PROLITAR



MEREKA YANG TAKUT DAN KORUP
TAK MAHU MANDAT AHLI MENERUSI EGM




Pemimpin UMNO yang penakut dan korup sahaja tak mahu kepada EGM (Mesyuarat Agung Tahunan). Setiap pertubuhan di mana-mana dunia pun, memerlukan EGM bagi menyerahkan semula mandat kepada ahli. Apa pula istimewanya UMNO hingga tak perlu adakan EGM? Kalau ahli dah tak suka, tangguhkan EGM pun si ketua akan tewas juga. Ingatkah, insiden tahun 1980-an apabila Ketua UMNO Bahagian Tampin (Allahyarham Dato’ Taha Talib) tangguhkan EGM, dengan harapan boleh pujuk hati ahli-ahli. Tapi apabila EGM, Dato’ Taha tewas juga kepada Dato’ Mokhtar Hashim. (SMS; 29 April 2008 – Ahli Kecewa, Lancang, Pahang).



POLITIK BN ‘TAK ADA KELAS’
SABOTAJ BUKAN UNTUK RAKYAT.




Tak hairanlah politik ‘tak ada kelas’ BN, sengaja timbulkan ketegangan di kalangan rakyat, dengan pelbagai cara. Di Perak, ketua-ketua kampung (Tok Sidang) dibayar gaji oleh kementerian luar bandar, bukan kerajaan negeri. Sebabnya nak sabotaj. Tapi, bagi penduduk-penduduk kampung, tok sidang pun bukan buat kerja apa. Kita ambil contoh di Bagan Datoh, kebun kelapa dimusnahkan kera, babi dan kumbang. Penduduk kampung hilang sumber pendapatan. Bila diadu kepada tok sidang, kononnya kera, babi dan kumbang tak boleh nak buat apa-apa. (SMS; 30 April 2008 – Mat Sengkek, Bagan Datoh, Perak).



KEBAL JUGA BOLEH TEWAS
TAK LUT, DILEMASKAN KE AIR!




Laporan blog PRIMA fasal harga barang naik; apalagi ruji utama rakyat Malaysia iaitu beras, memang menarik perhatian. Hairannya, presatsi UMNO dalam pilihanraya kerana harga barang naik, tetapi pemimpin UMNO tak kisah dengan harga barang yang naik. UMNO fikir mereka kebal, setelah kekebalan raja-raja Melayu dikurangkan pada masa Tun Dr Mahathir Mohammad. Masa Jepun orang kebal boleh dikalahkan, kalau tak lut ditikam dengan benet, dicampakkan ke dalam sungai dengan kaki tangan terikat. Mati juga kerana lemas. (SMS; 30 April 2008 – Mokhra, Sekincan, Selangor).



MENTERI KESIHATAN DATO’ LIOW
PERLU BETULKAN SEMULA FAKTA




Saudara, nak maklumkan, nama Menteri Kesihatan Dato’ Liow Tiong Lai bukan (Dato’) Ong Ka Chuan dalam rencana saudara (dalam blog Prima) bertajuk ‘Menagih Janji Menteri Kesihatan’. Kadangkala saya pun keliru juga, ramai sangat menteri di Malaysia hingga tak ingat nama mereka. Lainlah kalau Dato’ Jamaluddin Jarjis (JJ), boleh juga ingat sikit, apalagi beliau memang popular. Sebut saja naik ke angkasa lepas, semua orang ingat Dato’ JJ. Perkara yang naik-naik, kita tetap ingat pada beliau. Tapi Menteri Kesihatan tu, memang sah saya tahu namanya Dato’ Liow Tiong Lai. (SMS; 30 April 2008 – Zakaria Bidin, Kuala Lumpur).





PERANAN CUEPAC MESTI LEBIH
BUKAN HANYA BUAT TUNTUTAN SAHAJA


Oleh Zakaria Bidin



Esok, sepertimana setiap tahun kita menyambut Hari Pekerja yang bertemakan Sektor Awam Cemerlang Negara Terbilang (satu slogan pinjaman dari slogan keramat perdana menteri). Walaupun ia cuti umum, tetapi bukan semua boleh bercuti. Sebahagian besarnya terpaksa bekerja juga.

Maka ia terkandung dalam erti pengorbanan juga dalam kita menyambut hari mulia untuk pekerja. Ertinya juga Hari Pekerja bukan hari cuti secara total. Ia cuma satu petanda hari keistimewaan pekerja.

Kebetulan ketika ini, CUEPAC yang mewakili lebih 1.2 juta pekerja sektor awam sedang membuat tuntutan bonus atau bayaran insentif dari kerajaan sekurang-kurangnya RM2,000 seorang yang melibatkan satu jumlah yang cukup besar dari kerajaan.

Di sebalik tuntutan itu, Presiden CUEPAC, Haji Omar Osman selaku presiden baru telah menjadi popular kerana itulah satu perjuangan tuntutan paling popular untuk CUEPAC. Selepas ini, adalah negeri yang akan menganugerahkan beliau Datuk sebagai menghargai pimpinan kesatuan seperti lazimnya.

Sepertimana contoh presiden CUEPAC yang lepas-lepas, populariti itu akan digunakan untuk tikit ke bidang politik sama ada mahu tidak mahunya sebagai melaksanakan landasan perjuangan pemimpin kesatuan. Yang kecundang, kecundang juga. Yang berjaya naik, berjaya juga.

Harap-harap tidak terjadi kepada Omar. Dan bukan sahaja itu, tetapi juga sebagai peringkatan nasihat awal, jangan pula jawatan presiden itu menjadi ‘rumah tangga’ seperti amalan dalam politik di mana sesudah beberapa penggal memimpin, masih mahu mengekalkan kedudukan hingga menimbulkan kegusaran orang lain yang berbaris menunggu untuk menggantikan kerusi presiden.

Semua ini terpaksa disebut kerana sebelum ini, itulah yang terjadi. Sebaik-baik tahap presiden kesatuan janganlah mempunyai impian untuk menjadikan ia tapak politik yang akhirnya memberikan satu gambaran bahawa kesatuan sebagai satu platform untuk melangkah ke alam politik untuk merebut jawatan dalam parti pula.

Fokus utama juga jangan lupa bahawa CUEPAC bukan satu badan yang hanya menampakan diri untuk ‘mengeruk’ dan ‘mencukur’ kerajaan sedangkan perkhidmatan yang patut ditingkatkan tidak berlaku. Lagi tinggi gaji, lagi banyak habuan dan lagi banyak kemudahan disedaiakan, jentera perkhidmatan awam semakin lemah.

Orang ramai yang berurus dengan kakitangan dan pegawai kerajaan masih ‘frust’ dengan persembahan perkhidmatan yang diberi. Setakat ini sektor awam tidak lagi boleh menandingi sektor swasta yang sentiasa menekankan khidmat cemerlang sebagai satu pilihan utama mereka.

Sesungguhnya, khidmat kakitangan kerajaan masih mempunyai satu stigma dalam diri mereka itu adalah kalangan yang berkuasa dan perlu dihormati. Sedangkan rakyat yang berurusan dengan mereka yang sepatutnya dihormati walaupun ada yang datang berurus dengan jabatan kerajaan dalam keadaan selekeh.

Amalan kakitangan kerajaan yang berupa tolak menolak, terlalu pentingkan waktu perkhidmatan dan meminta berulang untuk menyelesaikan satu-satu masalah masih amat dirasakan lagi. Imej kaunter lebih dari kakitangan masih ketara lagi. Berfoya-foya seperti duduk lama di tempat makan, hilang dari tempat kerja, sibuk bercakap telefon masih menjadi budaya kakitangan kerajaan. Ia masih berlaku.

Di sinilah CUEPAC kena peka untuk membendungnya. Pemantauan inilah yang paling diperlukan kerajaan sebagai balasan kepada tuntutan yang terus menerus dituntut. Kalau dulu kita dengar CUEPAC asyik membuat tuntutan kenaikan gaji yang secara tidak langsung membantu pemborong barang keperluan membuat strategi, biarlah berjadual sepertimana tuntutan CUEPAC sekarang. Kekalkanlah amaun yang kerajaan persetujui sama ada RM1,000 atau RM2,000 setahun. Ia akan membantu kenaikan harga barang berjadual.

Kerana itu apabila pemborang barang keperluan dengar CUEPAC membuat tuntutan gaji, mereka akan menaikkan harga barang keperluan lebih awal. Ia memberikan kekuatan kepada CUEPAC memberi alasan bahawa barang-barang sudah naik. Dan berdasarkan ‘kebenaran’ itu, kerajaan akan beri. Bila diberi, harga barang akan naik lagi. Sehinggakan ada orang berkata bahawa kenaikan harga barang adalah bergantung kepada tuntutan CUEPAC.

Pemborong barangan tidak akan menaikkan barangan jika kakitangan bank diberi kenaikan gaji. Mereka tidak peduli kalau ada kilang yang memberi bonus sampai tiga bulan gaji. Mereka juga tidak ambil tahu kalau ada sektor badan berkanun menaikkan gaji kakitangan mereka. Mereka seolah-olah hanya menunggu tuntutan CUEPAC kerana pegangan eset CUEPAC ialah 1.2 juta yang kalau dikalikan dengan ahli keluarga, tidak hairanlah jumlah itu boleh menjangkau tiga atau lima kali ganda. Besar sungguh jumlahnya.

Pada hal, yang CUEPAC tuntut itu adalah di paras munasabah walaupun bukan kakitangan kerajaan memandang kakitangan kerajaan mempunyai pencen berpanjangan yang tidak berhenti hanya setakat akhir hayat penjawat. Kalau swasta, mereka hanya menikmati KWSP sahaja yang juga dinikmati oleh kakitangan kerajaan. Ini tidak termasuk lagi kemudahan pinjaman dengan kadar faedah terendah.

Apa pun perbahasan mengenai CUEPAC, sama ada ia menyumbang kepada kenaikan harga barang mendadak atau tidak, ia tidak seharusnya menjadi lambang CUEPAC sebagai badan menuntut kenaikan gaji dan elaun sahaja. Biarlah sepanjang tahun CUEPAC benar-benar ke arah membantu kerajaan memberi perhatian dan mengambil tindakan kepada kakitangan kerajaan yang suka ponteng, buat tuntutan palsu, menyeleweng, rasuah dan didapati menyalahguna kuasa dan sebagainya.

Ertinya CUEPAC hendaklah mempunyai biro pengaduannya sendiri yang boleh menerima aduan dari dalam dan dari luar untuk mengambil tindakan kerana imej kerajaan sangat-sangat bergantung kepada kakitangan kerajaan. Kalau tidak CUEPAC, siapa lagi yang harus membantu kerajaan yang mahu tidak mahu macam terpaksa melayan CUEPAC dengan baik terhadap tuntutannya.

Dalam hal ini, kerajaan seharusnyalah hormat kepada aduan dan cadangan CUEPAC apabila ia melibatkan menyekat kenaikan pangkat, tindakan disiplin dan walaupun pembuangan kerja. Dengan cara ini sahaja CUEPAC dihormati dan dipatuhi oleh kakitangan kerajaan yang tidak memberi khidmat yang sepatutnya. - SELAMAT MENYAMBUT HARI BURUH kepada semua warga kerja hari ini.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo




PERIHAL MEMANDA YANG MARAH
APABILA DALAM KEADAAN KALAH


Syahdan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah pada hari pembukaan sidang Dewan Rakyat semalam, 22 Rabiulakhir 1429 (yang disebut anak cucu fakir 30 April 2008) iaitu hendaklah beri keutamaan kepada kepentingan rakyat. “Jadikanlah Dewan ini sebagai persada untuk menyampaikan teguran membina dan pendapat yang bernas,” titah baginda. Arakian memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pula menegur akan bekas Orangkaya Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo kerana berlaku ‘perang mulut’ dengan bekas Orangkaya Menteri Kerjaraya Dato’ Seri Samy Vellu, adanya. “Ini ialah arahan, bukan nasihat!” kata memanda Perdana Menteri memberi amaran.




Sebermula di zaman purbakala gementarlah hati sekalian Orangkaya Menteri apabila memanda Perdana Menteri sudah marah, apalagi sekiranya sultan murka hingga merah padam akan muka baginda. Syahdan pada zaman sekarang kononnya, amaran memanda Perdana Menteri macam mencurahkan air ke daun keladi sahaja. Arakian setelah dilihat oleh Maharaja Jaya akan Tun Demang mati, maka baginda pun terlalu marah, segera ia menampilkan gajahnya, mengusir Seri Nara Diraja. Maka oleh Seri Nara Diraja ditikam dengan lembingnya (bukanlah menghunus keris seperti Orangkaya Menteri Dato’ Seri Hishamuddin Hussein), kena dada Maharaja Jaya lalu mati. Telah dilihat segala orang Kampar, Maharaja Jaya dan Tun Demang sudah mati, maka segala orang Kampar pun pecahlah (seperti kalah pilihanraya pada 30 Safar 1429 lalu), disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:
























HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: