Thursday, May 1, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KARYA FILEM P. RAMLEE
PERLU DISOROT SECARA ILMIAH

Assalamualaikum,

Pengerusi Penaja Telapak Budaya Gombak (TELAPAK), Sdr Omar Sudi Abdul Manan menelefon hari ini (1 Mei 2008), beritahu mahu luaskan lagi skop TELAPAK menjadi ormas (organisasi massa) di peringkat nasional. Bagaimanapun beliau meminta kerjasama PRIMA bagi menganjurkan simposium karya-karya filem peninggalan Tan Sri P. Ramlee (Allahyarham), bagi disorot secara ilmiah. Memang sebelum ini saya pernah beritahu Sdr Omar Sudi mengenai hasil karya P. Ramlee perlu dinilai berdasarkan kaedah pendekatan ilmiah, disebabkan ciri-ciri kritikan sosial yang disampaikan cukup berkesan. Justeru tak hairanlah filem-filem P. Ramlee digemari oleh semua generasi, termasuk anak-anak yang dilahirkan selepas kematian beliau pada 1973.

Ketika berbual dengan pengendali laman blog Sdr Aspan Alias dalam pertemuan bersama bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo baru-baru ini, beliau juga menyentuh mengenai filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ karya P. Ramlee. Filem tersebut bukan sekadar kritikan terhadap isu ‘buta huruf’, sebaliknya antara dialog watak Sudin menyebut, “Alif, mim, nun tendang wau, sarkas!” (dialog ini sudah disensor apabila disiarkan di TV). Bukan Sdr Aspan sahaja malah rakannya ahli akademik Dr Hassan juga menyedari kritikan P. Ramlee lebih awal daripada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebut ‘UMNO orang utan’. Begitulah!

Sebelum Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu nepotisme, kronisme dan korupsi pada 1998, P. Ramlee sudah mendahuluinya menerusi filem ‘Tiga Abdul’. Apalagi dalam insiden 1976 ketika isu ‘Tiga Abdul’ menjadi popular dengan penahanan di bawah ISA Dato’ Abdullah Ahmad (Dollah Kok Lanas), Dato’ Abdullah Majid dan Tan Sri A Samad Ismail, ianya sekadar sinikal terhadap mereka. Sebaliknya filem ‘Tiga Abdul’ adalah kritikan pedas P. Ramlee terhadap kebobrokan masyarakat dengan amalan tindas menindas, tetapi secara sinis digambarkan sebagai ‘orang menjual orang’ seperti disebut watak ‘Husin Lempoyang’: Jual orang lebih untung dari jual unta!

Salah guna kuasa diungkap oleh P. Ramlee menerusi watak Ahmad Nesfu dengan undang-undang ‘Siddiq Sigaraga’ iaitu ‘double standard’. Begitu juga korupsi dibawakan oleh watak ‘Tuan Penasihat’ (Salleh Kamil) yang disebut ’20 persen’, di samping kronisme diterapkan menerusi watak Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang membolot kekayaan dengan menyingkirkan Abdul Wahub. Filem ‘Musang Berjanggut’ juga sudah memperlihatkan pemikiran P. Ramlee lebih awal menyebut perbezaan ‘antara perempuan dengan betina’, malah beliau mampu menyampaikan secara humor mengkritik isu salah guna kuasa apabila Tok Nikah Kahwin (Mustarjo) berkata kepada Puspawangi (Saadiah), “Salah tu memang salah (menceroboh isteri orang), tapi itu undang-undang dato’ yang bikin”. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


BELASUNGKAWA KEPADA PANDITHAN
BEKAS WARTAWA N YANG BERPRINSIP

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyampaikan ucapan takziah bagi pihak PRIMA kepada keluarga Presiden Parti Progresif India (IPF), Tan Sri MG Pandithan yang meninggal dunia semalam (30 April 2008). Menurut Dato’ Kamal Amir PRIMA melihat Pandithan sebagai bekas wartawan, sekalipun menulis dalam medium Tamil, tetapi adalah rakan seperjuangan dalam bidang penulisan. Kata Dato’ Kamal Amir lagi, secara historikal wartawan memang berperanan dalam perjuangan nasinalisme sejak dekad 1930-an, 1940-an dan 1950-an. Walaupun Pandithan dilahirkan pada 1940, iaitu wartawan generasi kedua selepas gerakan nasionalisme 1940-an, tetapi sumbangannya dalam profesion kewartawanan tetap bermakna. “PRIMA menganggap perjuangan dalam profesion wartawan adalah sama termasuk juga Pandithan,” katanya.
Sebelum menyertai politik pada 1975, beritahu Dato’ Kamal Amir lagi, Pandithan memulakan kerjaya sebagai wartawan sambilan di akhbar Tamil Nesan hingga dilantik menjadi penyunting (sub-editor). Seterusnya kata Dato’ Kamal Amir, disebabkan prinsip profesion kewartawanan tak berkompromi dengan isu ‘perhambaan minda’, Pandithan memperlihatkan keberanian menentang arus dalam krisis MIC hingga dipecat pada 1988. Pada pilihanraya 1990 beritahu Dato’ Kamal Amir, secara radikal Pandithan menyokong kepimpinan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dengan membawa IPF menjadi rakan Parti Melayu Semangat 46 (S46) menentang BN. “Bagi pihak PRIMA, saya sampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Pandithan, dan diharap sentiasa besabar menghadapi cabaran,” jelas Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

KE HULU KE HILIR BAWA ‘SEMPERUNG’
BELUM SEMPAT MAHU MEMBACA NOVEL

Tak sempat lagi baca (novel ‘SEMPERUNG’). Selepas ‘bersewang’ hari tu (26 April 2008 di Kampung Pian, Kuala Krau, Pahang) terus ke Pulau Pinang. Sekarang ni di Ipoh pula. Buat kerja. Memang tak ada masa langsung. Bagaimanapun ‘SEMPERUNG’ tu kelek sajalah ke hulu ke hilir. Rasa-rasanya senayan (Isnin) ni, ada kelehar (lapang) sikit. Nak baca (novel SEMPERUNG) perlu penuh khusuk. Apak cadang nak buat sorotan. Semalam apak dengan anak raja di Kuala Kangsar. Dia berucap di Hotel Casuarina, Ipoh. (YASSINSALLEH - SMS; 1 Mei 2008).

KE MANA GAPENA MAHU DIBAWA:
TUKAR PEMIMPIN JADI PENGAMPU

Kita dah buka gelanggang untuk betulkan hala tuju Gapena (Gabungan Penulis-Penulis Nasional). Ayuh rakan yang berprinsip! Mara bersama. Tukarkan kepimpinan Gapena yang jadi pengampu pemerintah jahat. Kembalikan Gapena kepada perjuangan asal ketika ditubuhkan pada dekad 1970-an iaitu pada period Ismail Hussein belum lagi berstatus ‘profesor’ dan ‘Tan Sri’ dengan prinsipnya jelas: PEMUPUKAN KEBUDAYAAN NASIONAL BERTERASKAN KEBUDAYAAN MELAYU’. Di mana prinsip itu sekarang, dan ke mana Ismail Hussein mahu membawa Gapena? (L. MANKADIR SHAMSI – SMS; 1 Mei 2008)

INFO SUARA PROLITAR

DALAM TEMPOH DUA MINGGU
HARGA BERAS DUA KALI DINAIKKAN.

Apa nak jadi dengan negara ni (di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi)? Baru minggu lalu blog ini (PRIMA) melaporkan beras (berjenama Fazilah) dijual di pasaraya NSK di Selayang kampit isian 10 kg RM20.60. Minggu sebelumnya ialah RM16.50. Tetapi hari ini (1 Mei 2008) saya ke NSK, beras kampit isian 10 kg (jenama Fazilah) ialah RM24.90. Dalam masa dua minggu sahaja sudah dua kali naik harga beras. Barang keperluan yang murah di Selayang ni ialah NSK. Maknanya beras RM24.90 itu yang paling murah. Nak suruh rakyat jimat macam mana lagi? (SMS; 1 Mei 2008 – Dol Jimat, Selayang, Selangor).

BERAPA KALI JADI MANGSA
TAKKAN SURUH MENGEMIS PULA

Tahun 1970-an sudah berlaku inflasi, diikuti stagflasi. Tahun 1980-an berlaku pembuangan pekerja swasta beramai-ramai akibat inflasi dan stagflasi. Harga barang naik. Penganggur graduan juga bertambah. Nak dikatakan mangsa pembuangan pekerja bolehlah juga dikatakan saya ni antara mangsanya. Sebabnya kompeni majikan terbabit lingkup (tapi perniagaannya diteruskan atas nama syarikat lain pula). Sekarang ni dah tua, tak ada pencen. Harap anak-anak bantu. Kalau keadaan harga barang-barang terus naik, anak-anak dibuang kerja (harap-harap tak berlakulah), nak suruh kami jadi pengemis ke? (SMS; 1 Mei 2008; Pak Leh, Paya Jaras, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

KECOH SIDANG DEWAN RAKYAT
PERKARA ANGKAT SUMPAH DIUNGKIT

Sebermula disuratkan orang banyak akan kejadian kekecohan dalam mesyuarat sekalian Orang Besar di balairongseri (disebut anak cucu fakir ialah Dewan Rakyat) semalam, 23 Rabiulakhir 1429 (atau disebut anak cucu fakir 30 April 2008). Arakian perkara angkat sumpah juga diungkit kerana tak mengikut peraturan, adanya. Syahdan akan Orangkaya Tan Sri Pendekar Amin Mulia yang mengetuai balairongseri (disebut oleh orang kemudian hari kelak ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat), sukarlah mahu mengawal keberangan Orang-Orang Besar itu. Maka dicanang orang ke seluruh negeri hari ini 24 Rabiulakhir 1429 (iaitu 1 Mei 2008) akan keburukan Orang-Orang Besar yang tak sehaluan dengan Orangkaya-Orangkaya sekalian.

Syahadan murkalah Sultan Mansor Shah mendengar sembah Patih Karma Wijaya semasa menghadap di balairongseri. Semua Orang Besar-Orang Besar menghadap. Mereka semua berdiam diri dengan tak seorang pun berani bersuara (apalagi membuat kecoh mahu mengungkit perkara angkat sumpah). Akan segala Orang Besar-Orang Besar itu semuanya dilantik oleh Sultan Mansor Shah diberi persalinan serba satu, bukanlah dipilih dalam pilihanraya, adanya. Arakian akan Patih Karma Wijaya itu berdatang sembah ia dengan mencampakkan destar dan meletakkan keris di hadapannya (bukanlah menghunus dan mencium keris berkenaan). Maka kabullah sembah Patih Karma Wijaya, akan Hang Tuah itu bermukah dengan dayang istana seperti yang disurat dalam ‘Kitab Melayu’ itu daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: