Monday, October 6, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


KAWAN BAWA UBAT TRADISIONAL
RAWATAN MODEN TAK JAMIN SEMBUH!

Assalamualaikum,

Rumah terbuka di samping sempena pertunangan anak perempuan Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz semalam (5 Oktober 2008), tak mengizinkan saya hadir apabila diganggu gout dan H/B 180/110 yang terpaksa berihat beberapa hari (kecuali untuk mengisi laman blog). Sebelumnya memang Haji Abu Bakar Ninggal menelefon mengajak pergi bersama ke majlis Dato’ Kamal Amir, tetapi saya sekadar memberitahu ‘tengoklah keadaan’, dan berharap gout dan H/B boleh sembuh menjelang petang. Sekalipun bekas ADUN Bandar Kelang, Chua Ku Eng membawakan ubat tradisional Cina ketika berkunjung pada hari raya pertama, sebaliknya ubat-ubatan sekadar proses untuk menyembuhkan sahaja. Sakit tak akan sembuh kalau bukan dengan keizinan Allah SWT, walaupun dirawat doktor pakar dari institusi perubatan global. Barangkali!

Tak hairanlah bapa mentua saya Allahyarham Mat Lana bin Mat Deram, tak berhasrat meneruskan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dirawat kali terakhir pada 28 Julai 2008. Apabila diberitahu mengenai sebelah jantungnya tak berfungsi, di samping pihak IJN sukar menjalankan pembedahan berdasarkan fakta usianya menjangkau 80 tahun, beliau menolak sebarang usaha membawanya ke hospital. Apalagi saya bersama isteri, Adiah Mat Lana masih lagi tak sempat balik ke Bagan Datoh untuk menguruskan rawatan beliau berikutan insiden yang menimpa permata hati kami Allahyarham Ikram Hafiz (anak gigih yang gagal dalam pepriksaan SPM 2005, kembali menyerlah pada 2007 bagi meneruskan pengajian ke pusat pengajian tinggi di Unisel pada Mei 2008. Malah pada 2002 dia dibuang sekolah berdasarkan sistem merit ketika bersiap-siap untuk PMR, dan mengambil peperiksaan dengan tiga bulan tak bersekolah – aduhai guru-guru yang bercakap fasal pendidikan anak Melayu!).

Sikap guru-guru yang lebih bersikap ‘memerintah’ daripada ‘mendidik’ sudah disampaikan kepada Menteri Pelajaran Dato’ Hishamuddin Tun Hussein menerusi surat dan memorandum, tetapi semuanya ‘masuk telinga kiri keluar telinga kanan’. Justeru saya terpaksa panjangkan kepada pengetahuan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, apabila guru-guru ‘sengaja mencari kesalahan’ pelajar dengan letakkan kedudukan ‘murid-murid pengawas’ seolah-olah ‘private investigator’. Berikutan prihatin Dato’ Seri Abdullah dan JPM, barulah langkah positif diambil oleh kementerian pelajaran bagi mengelakkan ‘segelintir’ guru-guru ‘bersikap nak cepat naik ke atas’ dengan memberi gambaran mereka menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, memastikan disiplin di sekolah terkawal dan cemerlang, gemilang dan terbilang tetapi tak mempunyai pendekatan ‘budi bicara’, hingga pelajar yang agresif dianggap ‘antagonis’.

Jadual bulan Syawal ini Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menggerakkan ‘rumah terbuka’ pada 12 Oktober 2008 di kediaman beliau di Bukit Segambut. Sebelumnya aktivis penulisan di Seremban Haji Mohd Salleh Salimin mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya di Taman Paroi Jaya pada 11 Oktober 2008, diikuti majlis aqiqah cucu kakak saya Hajjah Rubiah Daud di Tampin (Kampung Batu Belang) pada 18 Oktober 2008. Bagaimanapun tarikh yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia ialah 9 Oktober 2008 bagi mendengar pengumuman Dato’ Seri Abadullah Ahmad Badawi mengenai kepimpinan negara berkaitan pemilihan UMNO dijangka Mac 2009. Justeru pengumuman yang akan dibuat Dato’ Seri Abdullah juga memang berkaitan ‘budi bicara’ dan ‘antagonis’ seperti dipopularkan oleh juara raja lawak Astro Nabil: ‘Lu fikirlah sendiri!’

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


KEGANASAN DI PERAIRAN ANTARABANGSA
INSIDEN YANG SUKAR DIPANTAU, DIALPAKAN

Insiden penahanan anak-anak kapal syarikat perkapalan MISC di Teluk Aden, bukan sahaja kesedihan keluarga mereka yang terbabit, malah turut dirasakan oleh semua rakyat Malaysia berikutan keganasan lanun-lanun di perairan antarabangsa. Sekalipun kita tak menghiraukan motif di sebalik tragedi berkenaan, tetapi semua pimpinan Warga Perihatin Malaysia (PRIMA) mengucapkan syukur ke hadirat Illahi dengan pembebasan anak-anak kapal terbabit menjelang 1 Syawal 1429. Syabas dan tahniah kepada kesabaran yang dilalui anak-anak kapal berkenaan, malah semua keluarga mereka yang menunggu dengan pasrah berikutan insiden yang tak diduga akan berlaku. Memang kita menyedari keganasan militan antarabangsa terhadap rakyat Malaysia sudah berlaku sebelum ini, tetapi pemantauan tak dikesampingkan apabila ianya diselubungi ‘kealpaan’.

Pada dekad 1970-an misalnya, negara pernah digemparkan dengan tragedi penceroboh ‘Tentera Merah Jepun’ merampas bangunan AIA di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Bagi penyelesaiannya, mereka menuntut mahu dihantar ke ke negara bekecuali dengan membawa dua tebusan bersama menaiki pesawat. Dua tebusan yang ‘menggadai nyawa’ dalam insiden berkenaan ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Dato’ Ramli Omar dan KSU kementerian Dato’ Cassim. Apabila tuntutan militan terbabit dipenuhi, memang tak berlaku kemalangan jiwa, sebaliknya tokoh korporat terpaksalah menyumbang berjuta-juta imbuhan bagi mencapai penyelesaian ‘ibarat memukul ular di belukar; kayu pemukul jangan patah, tanah lokasinya tak lembang (berbekas)’. Barangkali! Kalau berkeras juga, tentu mengulangi tragedi Tanjung Kupang pada 1978 yang turut mengorbankan Menteri Pertanian, Allahyarham Dato’ Ali Haji Ahmad.

UJIAN HIV KPD PASANGAN ISLAM:
BUKTI KURSUS PERKAHWINAN GAGAL

Pasangan Islam yang akan berkahwin diwajibkan menjalani ujian HIV mulai tahun hadapan bagi memastikan tahapan kesihatan di peringkat maksimum, mungkin sahaja mengelirukan apabila ianya dikuatkuasakan berdasarkan keputusan Pesidangan Ketua-Ketua Jabatan Agama anjuran Jakim, Julai 2008 lalu. Ujian berkenaan adalah mengikut modul Jabatan Agama Johor (JAJ) yang dilaksanakan sejak 2001. Ironinya, persidangan tersebut tak membangkitkan isu perbezaan mas kahwin di Negeri Sembilan yang jelas membabitkan kategori ‘anak dara’ dan ‘janda’, (sekalipun dalam surah an-Nisaa’ ayat 4 tak menyebut perbezaan itu) apabila Islam memang tak menggalakkan unsur-unsur yang negatif. Apalagi keputusan tersebut sudah pula diterima ‘sebulat suara’ dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada 2003 bagi dilaksanakan.

Isu mas kahwin sepatutnya lebih diberi perioriti kerana ianya membabitkan ‘rukun nikah’ yang disebut menerusi ‘ijab kabul’, berbanding ujian HIV atau tahap kesihatan maksimum pasangan. Malah ujian berkenaan seolah-olah memperlihat kegagalan ‘kursus perkahwinan’ selama ini, apabila pasangan Islam tak mampu membebaskan diri daripada masalah sosial keterlaluan. Kursus perkahwinan juga boleh dikategorikan sebagai ciri-ciri ilmiah dan rohaniah yang jauh berbeza daripada fakta jasmaniah yang diperlukan oleh ujian HIV itu. Apalagi pasangan Islam yang berpegang teguh kepada pendidikan ilmiah secara rohaniah, sudah tentu mampu menjauhkan diri daripada unsur-unsur gejala sosial yang mendorongkan kepada jangkitan HIV. Kepentingan umat Islam bukan sekadar berdasarkan ujian HIV kepada pasangan akan bernikah, tetapi berkait rapat dengan pendidikan dan amalan hukum yang dilaksana oleh jabatan agama juga.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)


(17)

5
WAKTU BERLALU LAMBAT

SEGALANYA MASIH LAGI RAHSIA
KE MANA ABAH MENGHILANG DIRI…

SEBAB itu Kak Wa juga tak dapat menahan hiba tatkala melihat opah tersengguk-sengguk. Dia menggigit bibir biar tak ikut sama tersengguk, setelah emak juga menangis tak bertahan. Sewaktu mereka bertiga semakin galak tersengguk dengan air hidung turut meleleh, terdengar pula kereta berhenti di tengah halaman.

Ketika Adang membuka pintu hadapan kelihatan kereta Andak Rahman berhenti di situ. Cepat-cepat dia keluar dari kereta bersama isterinya Mak Andak. Tetapi Andak Rahman tak naik menerusi pintu hadapan, sebaliknya membelok ke pintu dapur di rumah bawah struktor bangunan.

“Kamu dari mana Rahman?” lantas opah bertanya sebaik sahaja Andak Rahman bersama Mak Andak terjongol masuk.

Andak Rahman yang menetap di kawasan perumahan Bagan Pasir memang sering berkunjung menjengah opah dan atuk. Justeru opah tak terkejut apa-apa kalau Andak Rahman terjongol tengah halaman pun, jika mereka suami isteri mahu berkunjung.

“Abang Alang kamu telefon ke?” opah tak sabar mahu luahkan perasaan.

“Tak pula,” ujarnya mencuit bahu Mak Andak seolah-olah memberi isyarat jangan mencelah apa-apa.

“Hafiz ke laut sejak pagi, dah malam ni masih tak balik,” jelas opah tersengguk-sengguk. “Laut Melaka tu khabarnya ombak besar sekarang ni!” dia semakin tercungap-cungap akibat gangguan athma masih belum reda.

Andak Rahman tak menyahut apa-apa. Dia merapati opah lantas mengusap-usap belakang orang tua itu. Sementara Mak Andak pula mendekati emak sambil berbisik perlahan. Emak sekadar mengangguk-angguk lemah, kerana sukar mahu membuka mulut ketika dadanya terlalu sebak.

Sebaik sahaja semua berkumpul di dapur, Adang juga turun ke bangunan rumah bawah. Dia memujuk emak yang semakin lesu tersandar ke dinding.

“Apa khabar cikgu?” sengaja Andak Rahman bergurau kerana mengetahui Adang memang bertugas sebagai guru.

“Alhamdullillah, baik,” sahut Adang tersengih-sengih. “Eloknya Mak Andak buat kopi, dah lama tak teguk kopi Mak Andak,” katanya mengerling isteri Andak Rahman.

“No problem,” jelas Mak Andak tetap ceria dalam masa emak dan opah murung sepanjang hari. Tak bertangguh pula Mak Andak bingkas bangun ke bilik dapur.

“Kak Wa pun bantulah Mak Andak tu,” tutur emak perlahan sudah tak bermaya lagi mahu gagahi melawan perasaan rusuh di hati.

Kak Wa tak membantah. Dia terus mengekori Mak Andak ke bilik dapur. Mereka tak peduli fasal tragedi tsunami lagi. Biarlah segalanya terserah kepada takdir. Kalau mereka rusuh tak menentu pun, bukan dapat mahu mengatasi ketentuan Illahi!

“Bagan Datoh tak terlibat dengan tsunami, Cuma kesannya saja dapat dirasakan sikit,” Adang memujuk emak memintanya bertenang. “Pakar geofizik tsunami seperti Costas Synolakis di Universiti California Selatan mengaku punca utama tsunami disebabkan tanah runtuh di bawah laut,” dia menjelaskan seterusnya.

“Dengar tu penjelasan daripada cikgu,” ujar Andak Rahman macam bergurau, tetapi percaya Adang tak berbohong mengenai tragedi tsunami. Lainlah dia berbohong seolah-olah tak mengetahui kekecohan berlaku.

Memang abah sudah hubungi Andak Rahman meminta menjengah opah dan emak di Bagan Sungai Belukang. Setidak-tidaknya Andak Rahman boleh memujuk opah supaya tak ikutkan sangat kerusuhan yang menusuk hati. Apalagi dalam saat opah diganggu athma, memang dia tak boleh dibiarkan runsing.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Seloka Orang Beradat

Kok memahat di luar baris, berkokok di luar sangkar
usahlah menghunus keris, buang songkok ganti lekar.

Kok yang berjenjang naik, biarlah bertangga turun
selagi UMNO semedang baik, pemimpin cari harta karun!

Kok cicir sama dipungut, kok hilang sama dicari
siapa mungkir biar tercangut, asal senang rakyat dan negeri.

Kok bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat
orang pengelat kena lentung, pengkhianat bangsa perlu disekat.

Kok patah tumbuh hilang berganti, pesaka bergilir pada nan muda
Pak Lah tangguh Najib menanti, UMNO berakhir peluang tiada!

Kok kurang susun nan bak sirih, kok kurang ririk nan bak batu
tunggu berhimpun semakin jerih, UMNO serik kehilangan waktu.

Kok adat bersendi hukum; hukum bersendi Kitabullah
kok tersurat janji di halkum, peralihan kuasa di tangan Abdullah.

Kok pipih datang melayang, nan bulat datang bergolek
Kok dipilih biar disayang, nan meluat jangan disolek.

- Alba
Jelebu, N.S.
1 Syawal 1429.


INFO SUARA PROLITAR

RUMAH TERBUKA ANWAR IBRAHIM
12 OKTOBER DI BUKIT SEGAMBUT, KL.

(Dato’ Seri) Anwar Ibrahim dan (Dato’ Seri) Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan segala hormatnya mempersilakan ke MAJLIS RUMAH TERBUKA SEMPENA EIDUL FITR pada 12 Oktober 2008 (Ahad), waktu: 1.00 tengahari – 5.00 petang, tempat: 11, Jalan 3/61, Bukit Segambut, Segambut Dalam, 51200 Kuala Lumpur. - (Norashikin/Ibrahim Yaacob bebkl@yahoo.com/ibrahimyaacob52@gmail.com).

UNDANGAN RUMAH TERBUKA:
& PERTUNANGAN ANAK PEREMPUAN

Dengan penuh kerendahan hati, saya mengundang ke teratak saya di alamat No 27 Jalan Rimba 8/9, Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada hari Ahad, 5 Oktober 2008 jam 8.00 malam, rumah terbuka (Hari Raya Aidilfitri), sempena majlis pertunangan anak perempuan saya. Moga tidak dihampakan. – (SMS; 3 Oktober 2008; 16:31:57 – Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz; Jurucakap PRIMA, Damansara, Selangor)

LAGI UCAPAN HARI RAYA
MINAL AIDIN WAL -FAIZIN

Assalamualaikum. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin. Minal aidin wal faizin. Moga panjang umur, banyak rezeki. – (SMS; 4 Oktober 2008; 11:48:07 – Drs Shamsuddin Ahmad, Ketua Pengarah Muzium Negeri Sembilan, Seremban).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL ORANGKAYA SUDAH TUA
MASIH MAMPU BERJASA PADA NEGARA

Arakian tersebutlah ceritera Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, belumlah ia mengisytihar akan berundur pada 9 Syawal 1429 (atau disebut orang banyak 9 Oktober 2008), maka Orangkaya Bagan Datoh Dato’ Seri Dr (bukanlah tabib) Ahmad Zahid Hamidi sudahlah mengaku akan membantu Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Razak memperkuatkan harakah Melayu (UMNO) itu. Syahdan akan pengakuan Orangkaya Bagan Datoh itu seolah-olah sudah sah Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu akan mengalah jua, adanya. Maka akan Orangkaya Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah itu sudah tetaplah akan menawarkan diri merebut jawatan ketua harakah Melayu walaupun Orangkaya Dato’ Seri Abdullah mahu berundur.

Syahdan akan sekalian orang banyak memberitahu fakir, bahawa Orangkaya Gua Musang itu sudahlah tua sekalipun belumlah uzur seperti keperihalan Dato’ Bendahara Lubuk Batu dahulukala. Kononnya sekalian orang-orang muda tak kenal sangat dengan Orangkaya Gua Musang itu, walaupun jasanya sama hebat seperti Dato’ Bendahara Lubuk Batu itu. Arakian diberitahu orang banyak Dato’ Bendahara Lubuk Batu itu ada pengawalnya bernama Selamat Gagah, terlalu berani lagi ditakuti. Maka Melaka pun diserang Feringgi, akan Selamat Gagah itulah membawa Dato’ Bendahara Lubuk Batu berundur. Beberapa kali ditahan oleh Dato’ Bendahara Lubuk Batu, tak dihiraukan oleh Selamat Gagah. Sebermula akan Orangkaya Gua Musang itu disebut-sebut juga kepada fakir akan perihal Selamat Gagahnya, tetapi dikatakan ia sekadar mengampu-ampu, mengumpu-umpu dan menumpu-numpu!

Syahdan maka Paduka Tuan, anak Bendahara Paduka Raja dijadikan oleh Sultan Mahmud, bendahara. Adapun Bendahara Paduka Tuan itu telah tualah, giginya pun habis, kaki pun telah tepok, duduk di muka pintu, di sana duduk di sana tidur, di sana makan di sana berak, di sana kencing. Apabila orang banyak datang menghadap di selasar, dinaik akan tabir; apabila Paduka Tuan hendak masuk dilabuhkan tabir. Arakian apabila Paduka Tuan mendengar ia akan dijadikan bendahara, dijatuhkan dirinya dari atas tempat duduk ke bawah seraya berkata, ‘Bendahara apatah ini, yang sudah tepok dan lesa demikian ini?’. Itulah disebut orang Bendahara Lubuk Batu yang banyak beranak, 77 orang cucu cicitnya, yang seibu sebapa belaka, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: