Thursday, October 9, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG

PENGUMUMAN PAK LAH DITUNGGU-TUNGGU
TIDAK AKAN MEMPERTAHANKAN JAWATAN

Assalamualaikum,

Berita TV jam 5.00 petang semalam (8 Oktober 2008), baru disibarkan proklamir Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan Mac 2009 nanti. Sebelumnya, memang semua pihak menunggu-nunggu sejak pagi janji Dato’ Seri Abdullah mahu membuat pengumuman penting hari ini, 8 Oktober 2008. Keputusan Dato’ Seri Abdullah melaksanakan pelan peralihan kuasa lebih awal, berikutan desakan pelbagai pihak termasuk gerakan bersepadu di kediaman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Cyberjaya 6 September 2008 lalu yang turut disertai Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin. Selepas perjumpaan tersebut, Tan Sri Muhyiddin sendiri menggesa pelan peralihan kuasa yang dipersetujui Jun 2010 dipercepatkan demi memulihkan imej UMNO yang tercalar, terkelar dan terselar. Barangkali!

Ketika berhari raya ke rumah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan petang kelmarin (8 Oktober 2008) di Selayang, saya juga turut menunggu-nunggu berita di TV jam 3.00 – 4.00 pm, tetapi Dato’ Seri Abdullah masih belum membuat sebarang kenyataan. Bagaimanapun spekulasi sebelumnya sudah dihebahkan melalui SMS berkaitan keputusan Dato’ Seri Abdullah tak akan mempertahan jawatan Presiden UMNO. Misalnya Yassinsalleh malam sebelumnya (7 Oktober 2008), beritahu mengenai SMS dari Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali mengesahkan Dato’ Seri Abdullah akan umumkan keputusan berkenaan. Tak hairanlah Dato’ Suhaimi Ibrahim semacam serba salah mahu membalas SMS saya sebelumnya berkaitan dengan lanskap politik yang melanda UMNO sepanjang Oktober.

Bagaimanapun pada 6 Oktober 2008, Dato’ Suhaimi yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri sudah memberi penjelasan kepada saya menerusi SMS menyebut: “Pak Lah akan melakukan yang terbaik untuk parti (UMNO) dan negara.” Pandangan ringkas Dato’ Suhaimi ini memang mudah difahami apa ‘yang tersirat dan tersurat’ iaitu Dato’ Seri Abdullah tak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan UMNO, Mac 2009. Ketika menghadap YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman, Undang Luak Rembau di Balai Undang Rembau pagi semalam (8 Oktober 2008), beliau tertarik juga mahu mengikuti spekulasi berkaitan keputusan yang dibuat oleh Dato’ Seri Abdullah, sekalipun fokus yang diberikan ialah persiapan menyambut 10 tahun pemerintahannya di luak Rembau pada 21 November ini.

Jam 5.00 petang semalam (8 Oktober 2008), kawan lama saya Mokhtar Abdul Rahman berkunjung hari raya ke rumah, dan berasa terkejut apabila saya beritahu mengenai bapa mentua yang berpulang ke rahmatullah 1 Syawal 1429 yang lalu. Mokhtar yang bertugas di Bank Pembangunan berasal dari Batu Pahat, Johor mengenali saya sejak 1980 apabila bapa saudaranya dikenali Sham (anak angkat kepada Penghulu Kiyai Mohd Salleh Abdul Karim) menyerahkan kitab peninggalan Kiyai Salleh yang bertulisan tangan. Justeru saya serahkan pula kepada beliau (Mokhtar) apabila Sham meninggal dunia. Kira-kira 6.00 petang, Haji Abu Bakar Ninggal pula menelefon kerana terlepas mengikuti berita jam 5.00 petang di TV. Maknanya, isu Dato’ Seri Abdullah tak mempertahankan jawatannya dibincangkan oleh semua peringkat lapisan rakyat. Begitulah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

SOKONG KUATKUASA PELAKSANAAN:
ANAK MANGSA ISA ANGGAP TAK BERCANGGAH

Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak Hajjah Fauziah Raof menyokong kerajaan melaksanakan kuatkuasa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sekalipun beliau adalah anak mangsa ISA pada 1948. Menurutnya, pada period penjajah ayahnya Allahyarham Ustaz Haji Raof Ahmad ditahan di bawah ISA, dengan tak diberi pembelaan oleh mana-mana pihak, apabila dituduh terbabit dalam gerakan subversif dan militan komunis. Kata Fauziah lagi, masyarakat Melayu ketika itu memandang rendah kepada tahanan ISA, hingga emaknya juga diberhentikan daripada menjadi guru agama ketika beliau masih lagi bayi. Seterusnya beritahu Hajjah Fauziah, beliau tak nampak kenapa ISA itu dianggap kejam sekalipun ianya tak bercanggah dengan kepentingan hak asasi manusia. “Mereka yang mengancam keselamatan juga bertentangan dengan hak asasi manusia yang mereka perjuangkan,” jelas Hajjah Fauziah.

Berbeza dengan perjuangan menuntut kemerdekaan pada 1948 apabila mereka ditahan di bawah ISA, matlamatnya adalah jelas untuk menentang penjajah. Menurutnya lagi, ayahnya Ustaz Haji Ahmad dieksploit sebagai aktivis komunisme, sekalipun ketika ditahan di bawah ISA beliau menjadi tenaga pengajar di instirusi pengajian pondok Gunung Semanggol bersama Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Justeru beritahu Fauziah, beliau merupakan anak mangsa ISA yang dibesarkan oleh ibunya dalam tempoh Ustaz Haji Raof dihantar ke kem tahanan di Melaka bersama Dato’ Ahmad Boestamam, Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad, Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi. Apabila dibebaskan pada dekad 1950-an, Ustaz Haji Raof mengikuti kursus jahitan dalam tempoh transisi di pusat pemulihan, Hajjah Fauziah menambah.

“Mereka yang didakwa sebagai mangsa ISA tak perlu kecewa, kerana setiap waris pejuang mesti bersedia menerima risiko dan pengorbanan,” menurut Hajjah Fauziah mengakui ayahnya Ustaz Haji Raof tak pernah mengutuk ISA. Kemahiran sebagai tukang jahit selepas diberi kursus di kem tahanan membolehkan Ustaz Haji Raof membuka perniagaan kedai jahit di Kampung Baru, malah pada 1957 beliau diberi tanggungjawab membuat ‘tekat’ bagi pakaian rasmi Yang Dipertuan Agong, beritahu Hajjah Fauziah lagi. Menurut beliau seterusnya, Ustaz Haji Raof juga terus diberi prioriti membuat ‘tekat’ bagi pakaian rasmi Yang Diertuan Agong hingga dekad 1970-an. “Pihak tertentu tak perlu mengeksploit isu ISA, kerana saya juga merupakan anak mangsa ISA,” kata Hajjah Fauziah menambah.

‘KERAJAAN PERPADUAN’ IDEA KU LI:
ADAPTASI ‘NASAKOM’ DARIPADA SUKARNO
Cadangan melaksanakan penubuhan ‘Kerajaan Perpaduan’ yang disebut-sebut oleh bakal calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dianggap adaptasi ‘Nasakom’ daripada Ir Sukarno pada dekad 1960-an yang menuju ke arah sistem satu parti lebih bobrok, menurut penganalisis politik Haji Yahaya Ismail. Mengulas kenyataan Tengku Razaleigh yang mengakui sudah mengadakan pertemuan tiga kali dengan pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang, beliau yang juga bekas pensyarah USM di samping pernah menuntut di Indonesia memberitahu ‘Nasakom’ yang didominasi oleh D.N. Aidit terpaksa ditentang oleh rakyat menerusi kebangkitan ‘Gestapo’ (Gerakan 30 September) pada dekad 1960-an. “Tengku Razaleigh seharusnya belajar dari sejarah, dan jangan cuba menunjuk ajar sejarah,” kata Haji Yahaya.

Bagaimanapun bekas Exco biro antarabangsa Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menafikan ‘Kerajaan Perpaduan’ yang dicadangkan Tengku Razaleigh menjuruskan kepada sistem satu parti, sebaliknya lebih bersifat menyuburkan demokrasi apabila membawa semua parti-parti politik berbincang dalam skop permuafakatan yang lebih luas. Menurut Dato’ Kamal Amir, sebagai pemimpin yang diterima oleh semua lapisan masyarakat, pertemuan Tengku Razaleigh dengan pimpinan Pakatan Rakyat adalah fenomen baru dalam politik Malaysia yang memerlukan pembaharuan lebih menyeluruh. Sikap terbuka Tengku Razaleigh membolehkan beliau dikunjung oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat. “UMNO memerlukan pimpinan seperti Tengku Razaleigh yang mampu diterima oleh semua pihak,” menurut Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA


NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(18)

5
WAKTU BERLALU LAMBAT

KECOH SEJAK SELEPAS SUBUH:
BENCANA MEMANG JARANG BERLAKU

KETIKA dihubungi Andak Rahman, dia sudah beritahu mengenai kekecohan sejak selepas subuh. Tetapi sengaja abah tak tergesa-gesa balik ke rumah opah, sebaliknya terus ke Teluk Intan. Abah hubungi kawan-kawan di pejabat polis marin di Kuala Lumpur meminta bantuan khas.

Biasanya abah tak pernah gelabah. Dia akan hubungi kawan-kawan mendapatkan pandangan. Kalau tak boleh diselesaikan di peringkat jabatan, abah akan hubungi pihak pentadbiran negeri. Setidak-tidaknya abah akan maklumi juga kepada pengetahuan YB menteri. Abah tahu YB menteri akan membantu sekiranya dibuat rayuan sampaikan masalah peribadi.

“Tsunami yang berlaku di Lautan Hindi ni dekat dengan Aceh, tapi bencana ni jarang berlaku di situ,” beritahu Adang lagi. “Tahun 1960 pernah berlaku lebih besar tsunami di Chile sampai 9.5 skala Richter,” ujarnya bandingkan dengan tragedi di Aceh sekadar 9 skala Rischter sahaja.

“Manalah opah kamu tahu fasal skala Richter tu, Adang,” tersengih-sengih Andak Rahman ingatkan anak saudaranya.

“Tak apa, Cuma nak beri penjelasan aje,” sahutnya perlahan. “Maknanya, kita di Bagan Datoh tak terjejas, lagipun gempa di China tahun 1557 lebih banyak memakan korban sampai 830,000 penduduk,” katanya mahu melekakan opah dan emak. Setidak-tidaknya mereka dapat melupakan fasal budak-budak yang turun ke laut buat sementara waktu.

“Biarlah di mana pun berlaku ombak besar, yang opah risaukan Si Hafiz tak balik lagi dari laut!” sekaligus opah meluahkan perasaannya yang merusuh.

“Cukuplah Adang, tak sesuai cakap macam tu pada opah sekarang ni,” segera Andak Rahman memintas.

Emak tak bercakap sepatah pun melihat opah termengah-mengah akibat diganggu athma. Memang dia tak peduli fasal Adang menyebut tragedi tsunami di Aceh hingga tempiasnya sampai ke Kedah dan Pulau Pinang. Apalagi mengenai geografi dengan lapisan kerak bumi atau ‘mantle’ sedalam 150 kilometer wujudnya arus perolakan haba yang berpusing-pusing.

Ketika itu emak sekadar memikirkan mengenai anaknya yang turun ke laut bersama kawan-kawan sebaya. Tak seorang pun yang berusia lebih 18 tahun. Mereka masih anak-anak yang belum menamatkan pengajian di sekolah. Setidak-tidaknya mereka tak wajar turun ke laut dengan tak ditemani orang dewasa.

Hampir jam 3.00 pagi barulah atuk terjongol di muka pintu dapur bersama Alang Seman. Atuk juga kelihatan sugul ketika mengajak Alang Seman masuk ke rumah. Terkuap-kuap juga mereka berdua menahan mengantuk.

“Macam mana dengan budak-budak tu?” soal opah tak berganjak bersandar di tepi dinding. “Lambat benar rasanya waktu ni berjalan,” keluhnya memang tak sabar lagi mahu mendengar khabar berita.

“Sabarlah, menantu awak dah minta bantuan dan kerjasama polis marin,” jelas atuk. “Ombak besar tak sampai ke sini, polis marin Indonesia dah jumpa pulau yang disyaki mereka terkandas, tapi tak nampak apa-apa di situ,” dia terbatuk-batuk kecil.

Tak lama selepas itu barulah abah balik bersama Abang Khairil. Tetapi abah tak bercakap sepatah pun, hanya duduk tersandar sahaja akibat keletihan sangat.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)


PUISI LAMA

Balada Pantun Enam Kerat

Kalau engkau membawa lading
bawa sabut di dalam pendua
emas setali jangan disuasakan
kalau engkau mahu bertanding
usah direbut jawatan ketua
beli undi jangan dibiasakan.

Siram bunga di atas riba
raut rotan tidak berduri
buat simpai pengikat suasa
karam UMNO kerana haloba
berebut jawatan pentingkan diri
biarlah tergadai maruah bangsa.

Kalau engkau pergi berdua
balik ke rumah membawa kendi
boleh peraga suami dan isteri
kalau engkau memilih ketua
biar berhemah lagi berbudi
boleh menjaga bangsa dan negeri

- S A Karim,
Selayang, Selangor
8 Oktober 2008.


INFO SUARA PROLITAR

SELEPAS KEJATUHAN MELAKA:
TOK BUNGKAL PENGASAS REMBAU.

Makam pengasas luak Rembau, Tok Bungkal (isteri Dato’ Raja Balang) di Kota, sewajarnya dipulihara oleh kerajaan negeri menerusi Muzium Negeri Sembilan. Tok Bungkal meneroka di perkampungan yang dikenali Kota sekarang ini dianggarkan pada 1530-an, iaitu pada period kejatuhan kesultanan Melaka berikutan pencerobohan Portugis pada 1511. Dato’ Bungkal dikatakan anak perempuan Dato’ Batin Sekudai yang bongsu, berkahwin dengan Dato’ Lela Balang berketurunan Minangkabau. Anak Tok Bungkal bernama Dato’ Seri Rama dilantik menjadi Undang Luak Rembau pertama pada 1540 bergelar Dato’ Lela Maharaja. – (SMS; 8 Oktober 2008; 18:17:33 – Jani Ludin, Kota, Rembau, Negeri Sembilan).

MERAJUK NAK BAWA DIRI
BIARLAH KE HUTAN JAUH DI SANA!

I tak rela hidup di bawah pimpinan kemudi di haluan u! I nak pergi duduk dalam hutan, jadi ADC Tok Batin pun tak ape. U nak ikut I, jum – (SMS; 9 Oktober 2008; 12:50:37 – YS, Kajang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SELEPAS ORANGKAYA LETAK JAWATAN:
DISURUH PULA ‘DIAM’ JANGAN BERSUARA

Syahdan gemparlah sekalian orang banyak apabila Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan tak mahu lagi memimpin harakah Melayu (UMNO), ketika memberitahu penitir-penitir canang semalam 8 Syawal 1429 (disebut juga 8 Oktober 2008). Maka pelbagai pihak memuji-muji pengorbanan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah sama ada secara ikhlas mahupun bermuka-muka. Arakian Orangkaya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beriya-iya mendesak Orangkaya Dato’ Seri Abdullah segera melaksanakan peralihan kuasa, turut juga menyifatkan ianya sebagai pengorbanan besar. Heh heh heh! Sebermula akan Orangkaya Dato’ Mohd Ali Rustam turut mengambil peluang bersuara dengan menyeru anak-anak buah harakah Melayu semua menggantikan dengan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Razak. Maka tak diberi hak anak-anak Melayu itu memilih ketua yang mereka suka. Aduhai!

Arakian tersebut ceritera akan bekas Orangkaya Perdana Menteri, Tun (Tabib) Mahathir Mohamad menyerulah ia supaya Orangkaya Dato’ Seri Abdullah ‘diam’ sahaja. Apalagi bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir itu tak terperanjat dengan pengumuman Orangkaya Dato’ Seri Abdullah, sekalian seluruh pelusuk negeri gempar akan kejadian itu, adanya. Maka berkatalah bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir, hatinya juga tak senang dengan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib, kerana kerjanya tak bagus apabila sentiasa mematuhi perintah ketuanya. Syahdan di masa dahulukala apabila laksamana menyuruh seseorang itu ‘diam’, maka diherdiknya menyebabkan orang itu ketakutan. Tak tahulah fakir akan maksudnya bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir menyuruh Orangkaya Dato’ Seri Abdullah ‘diam’.

Sebermula laksamana pun berkata kepada Orangkaya Tun Jana Pakibul, Perdana Menteri Siak, ‘Sungguhkah tuan hamba yang membunuh Orangkaya itu?’ Maka sahut Tun Jana Pakibul, ‘Oleh dengan titah maka hamba berani; kerana ia derhaka ke bawah Duli Yang Dipertuan sini.’ Maka Laksamana Hang Tuah menghadap ke arah Tun Jana Pakibul; mengereng pada Sultan Ibrahim. Maka oleh laksamana ditunjuknya Tun Jana Pakibul dengan tangan kirinya, sambil mengherdik, ‘ Diam kamu! Tiada berbudi tuan hamba orang hutan, maka tiada tahu cara adat bahasa, benarkah membunuh orang tiada memberitahu ke Melaka? Hendak merajalela tuan hamba di Siak ini?’ Maka Sultan Ibrahim dan segala orang besar-besar semuanya ‘diam’, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ turun temurun yang dikarang :


HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

asalbayu said...

WARTAWAN AKHBAR ARUS PERDANA DITEGUR.

Ahli Parlimen Seputeh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara dan Exco Kerajaan Selangor, Teresa Kok dikatakan menyaman akbar arus perdana berjumlah RM30 juta.
Tokoh wartawan vateran, Said Zahari segera memberi respons berkaitan perkara tersebut dengan menyatakan, wartawan tulen tidak akan menulis artikel sebagaimana yang disiarkan iaitu dilihat bermotif politk untuk mempertahankan sesuatu pihak.
Mengimbas ke masa silam, beliau pernah membantah keras bila sebuah akhbar arus perdana hendak dijadikan lidah resmi sebuah parti politik dan lantaran tidak bersetuju dengan polisi berkenaan lantas meninggalkan kerusi miliknya biarpun kedudukannya di situ agak selesa.
Beberapa ketika kebelakangan ini kandungan akhbar arus perdana dilihat sebagai alat kempen politik. Begitu juga media elektronik iaitu radio dan televisyen. Tidak mustahillah khalayak beralih kepada media alternatif iaitu internet di samping media cetak tabloid yang dilihat membawa paparan yang lebih menarik dan terkini.
Sewaktu berada di kedai menjual akhbar, saya terkesan akan hal ini apabila sebilangan pelanggan yang datang tanpa mengira usia sama ada golongan muda atau warga emas dan mereka yang berada pada usia pertengahan mencari akhbar tabloid. Mereka hanya membelek akhbar arus perdana bagi melihat kandungannya secara sepintas lalu sahaja selain menumpukan perhatian pada ruangan iklan.
Tidak hairanlah edaran akhbar tabloid terutama yang menyentuh perkembangan politik kian meningkat edarannya berbanding dengan akhbar arus perdana yang melakukan pelbagai rancangan bagi menyainginya termasuk peraduan yang menjanjikan hadiah lumayan. Oleh yang demikian, khalayak melanggannya bukan bagi maksud mengikuti bahan siarannya, tetapi adalah kerana untuk menyertai peraduan semata-mata.