WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
DARI BURUH K/API KE USAHAWAN:
HJ KAMARUDDIN PRAKTIKKAN MODAL INSAN
Assalamualaikum,
Awal pagi ini (23 Oktober 2008) saya masih lagi duduk di atas sejadah selepas selesai solat Subuh, Haji Mohd Salleh Salimin menelefon dari Seremban berikutan pengumuman di Masjid Taman Paroi Jaya (berdekatan Stadium Tuanku Abdul Rahman) mengenai kematian seorang penduduk di situ. Haji Mohd Salleh sekadar mahu pengesahan sama ada Haji Kamaruddin Sulaiman, 60 yang diberitahu oleh pihak masjid selepas solat Subuh itu kawan lama saya (pernah menyewa bilik bersama di Taman Rasah, Seremban sekitar dekad 1970-an, di samping seorang lagi kawan Allahyarham Mohd Soumi). Haji Mohd Salleh ragu-ragu sekiranya di kawasan perumahan berkenaan terdapat beberapa orang lagi jemaah mempunyai nama Haji Kamaruddin, sekalipun ketika solat Subuh beliau tak terserempak kawan berkenaan ikut sama bersolat.
Memang sah Allahyarham Haji Kamaruddin Sulaiman yang meninggal dunia pagi ini di Paroi Jaya, Seremban kawan lama saya ketika di Seremban. Kegigihan beliau untuk memparaktikkan pentingnya modal insan wajar dijadikan tauladan, kerana sebelum Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat saranan beliau sudah pun melaksanakan visi berkenaan. Selepas tragedi 1969 Haji Kamaruddin menyertai Pusat Latihan Belia Pembina Negara di Dusun Tua (kursus jangka pendek kemahiran selama tiga bulan) di bawah Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Kursus tersebut mirip kepada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang digerakkan oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di bawah Kementerian Pertahanan. Heh heh heh!
Bagaimananapun, pelatih-pelatih belia 1969 itu diberi pekerjaan sebaik sahaja tamat latihan berdasarkan kelulsan akademik masing-masing. Sebahagian besar belia sekadar berkelulusan Darjah 6 diserapkan sebagai pekerja buruh di jabatan-jabatan kerajaan seperti JKR, jabatan parit dan taliair (saliran), hospital dan sebagainya. Mereka yang berkelulusan SRP atau SPM diberi jawatan di pejabat atau bukan pekerja buruh. Haji Kamaruddin sekadar berkelulusan SRP sahaja diberi jawatan di jabatan keretapi bahagian lokomotif di Seremban. Apabila saya berpindah ke Seremban pada 1970, saya diperkenal oleh Mohd Soume kepada Haji Kamaruddin yang tinggal menyewa di sebelahan bersama Haji Abdul Rahman Abdullah, Sheikh Rafie Ibrahim dan Rosli. Kebetulan pula Haji Abdul Rahman aktivis belia dari Rembau, menyebabkan Haji Kamaruddin terbabit sama dalam gerakan belia di Kampung Penajis.
Apabila beliau berpindah mengikut saya menyewa bilik di Taman Rasah bersama Mohd Soume, Haji Kamaruddin cuba berjina-jinak dalam penulisan di samping turut mengambil peperiksaan SPM pada 1973 (disebabkan saya juga mengambil peperiksaan SPM, tetapi beliau tak meneruskan ke STP ketika saya mencubanya pada 1975). Selepas lulus SPM, Haji Kamaruddin berkhidmat pula di jabatan perancang keluarga (sekarang Lembaga Kependudukan Negara). Apabila beliau berkahwin saya tak mengetahui lagi perkembangan beliau, hinggalah bertemu di Kuala Lumpur (menerusi kawan lama juga, bekas wartawan Allahyarham Yusof Malik). Ketika itu Haji Kamaruddin dikira semakin advance, dengan menuntut di UKM. Hampir 10 tahun tak bertemu, tahun ini tiba-tiba beliau hubungan saya setelah terbabit sebagai seorang usahawan. Begitulah! Daripada Allah ia datang, dan kepada Allah ia kembali. Al-Fatihah!
-Pak Dharma
INFO HAK ASASI MANUSIA:
TAKZIAH KEPADA KELUARGA SHAMSIAH
PERSEPSI SALAH YG PERLU DIPERBETULKAN
Di samping mengucapkan takziah kepada keluarga Ibu Shamsiah Sutan Fakeh (atau Shamsiah Fakeh), masyarakat di Malaysia perlu memperbetulkan semula persepsi salah terhadap pejuang nasionalisme pra merdeka, kata aktivis masyarakat Yassinsalleh ketika menghubungi sekretariat Prima. Ibu Shamsiah meninggal dunia seperti dilaporkan media semalam (22 Oktober 2008) di kediaman anaknya di Jalan Kelang Lama. Menurut beliau yang juga bekas pendidik, persepsi masyarakat selama ini terhadap Ibu Shamsiah adalah berdasarkan propaganda penjajah Inggeris yang melabelnya sebagai militan komunisme, sekalipun perjuangan yang digerakkan sama seperti Dato’ Dol Said di Naning (1831), Dato’ Bandar Tunggal di Seremban (1874), Dato’ Maharajalela Pandak Lam di Pasir Salak (1876), Dato’ Bahaman di Semantan (1892), Tok Janggut Haji Mat Hassan di Pasir Putih (1915) dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Telemong (1928).
“Jangan biarkan minda Melayu dijajah berterusan oleh Inggeris selepas 51 tahun merdeka, justeru perbetulkan semula persepsi terhadap Ibu Shamsiah,” beritahu Yassinsalleh, antara penyair terpenting dekad 1970-an. Yassinsalleh juga mengakui ayahnya Allahyarham Salleh Abdul Latiff memang terbabit dalam operasi memburu Ibu Shamsiah di Raub, Pahang ketika berkhidmat dengan pasukan polis khas. Bagaimanapun beliau menambah, selepas berhenti dari pasukan polis khas ayahnya berasa kesal kerana dieksploit oleh penjajah Inggeris bagi memusuhi pejuang-pejuang gerila di hutan ketika darurat. “Ayah saya sendiri mengakui beliau tak tahu kenapa mesti bermusuh dengan Ibu Shamsiah yang bergerak di hutan Raub, sedangkan mereka tak pernah bertemu muka,” beritahu Yassinsalleh selanjutnya.
BLOGGER TAK DESAK MANSUH ISA
TAPI SEGERA BEBASKAN RAJA PETRA
Pengendali laman web dan blog tak berhasrat mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi menyeru supaya dibebaskan tanpa syarat Raja Petra Kamaruddin, kata penganalisis politik Haji Mohd Sayuti Omar. Beliau mengakui keputusan yang dicapai dalam perjumpaan pengendali laman web dan blog di Hotel Concord semalam (21 Oktober 2008), hanya mendesak kerajaan membebaskan segera pengendali laman web ‘Malaysiakini’, Raja Petra. Katanya, mendesak membebaskan Raja Petra dan memansuhkan ISA adalah isu yang berbeza, justeru pihak kami sekadar mahukan ‘perhambaan minda’ perlu diperbetulkan. “Kerajaan tak wajar menahan penulis blog seperti Raja Petra, sebaliknya memperbetulkan semula kelemahan-kelemahan yang wujud dalam struktor pentadbiran berikutan pendedahan dalam laman blog terbabit,” ujar Haji Mohd Sayuti menambah.
Menurut Haji Mohd Sayuti yang banyak menghasilkan buku-buku politik kontroversi, kritikan yang dibuat menerusi penulisan Raja Petra tak mengancam ketenteraman awam. Malah katanyanya lagi, Raja Petra tak memperlihat ciri-ciri menghasut dengan tujuan mempromosi sebarang bentuk ideologi komunisme. Sebaliknya kritikan beliau juga tak terlalu bahaya dibandingkan dengan gerakan anti hadis pada dekad 1980-an atau ajaran sesat yang memesongkan aqidah. Kalau aktivis ajaran sesat yang memproklamir dirinya nabi dan rasul Melayu yang jelas memesongkan aqidah umat Islam sekadar dibicarakan oleh mahkamah syariah, Raja Petra juga perlu dihadapkan ke mahkamah syariah bukan ditahan di bawah ISA. “Kerajaan perlu bertindak rasional, bukan didorong oleh sifat emosional segelintir pemimpin UMNO,” beliau menjelaskan.
PERSAINGAN MT UMNO SENGIT
RON MAHU TERUSKAN LEGASI BERKHIDMAT
Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Parlimen, Dato’ Ruhanie Ahmad (Dato’ Ron) menyedari persaingan merebut Majlis Tertinggi (MT) UMNO paling sengit dalam sejarah Perhimpunan Agung parti itu. Bagaimanapun Dato’ Ron tetap tak berganjak untuk meneruskan pertandingan, sekiranya memperoleh cukup kouta iaitu 10 pencalonan. Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, di samping pernah menjadi Setiausaha Politik Tun Musa Hitam, memang aktivis UMNO yang lantang membuat kritikan terhadap kepimpinan parti. Bagaimanapun kesetiaan Dato’ Ron kepada UMNO sukar digugat, apabila sejak dekad 1970-an terbabit membantu kerja-kerja di ibu pejabat UMNO (ketika itu di Jalan Tuanku Abdul Rahman).
Dato’ Ron mengendalikan penerbitan organ UMNO ‘Merdeka’ bersama rakannya wartawan Shafie Noor, sebagai kesinambungan sejak dekad 1970-an ketika di bawah Setiausaha Agung Tan Sri Senu Abdul Rahman. ‘Merdeka’ pula dikendali oleh Dato’ Dr Noordin Selat (ketika itu Setiausaha Politik Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Tan Sri Abdul Samad Idris). Memang Dato’ Ron tak terbabit ketika ‘Merdeka’ dikendali oleh Dato’ Dr Noordin dengan ahli penal ediotrialnya Datin Paduka Rahmah Osman, Tan Sri Melan Abdullah dan Dato’ Noor Azam), tetapi beliau meneruskan kesinambungan tugas pengendalian ‘Merdeka’ pada dekad 1980-an bersama Shafie Noor. Maknanya, Dato’ Ron adalah pekerja parti yang setia sebelum dipilih menjadi Ahli Parlimen.
KAJI SEMULA KES SAMAN FITNAH
PERTAHAN MARTABAT INSTITUSI KEHAKIMAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Nazri Aziz didesak mengkaji semula isu kes saman malu yang membabitkan jumlah tuntutan berjuta-juta yang sengaja disalahguna seperti dilakukan di Singapura, beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Menyentuh isu kes saman fitnah yang dihadapi oleh bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo seperti yang dilaporkan media, Dato’ Dr Mohd Mansor berkata, di samping mempertahankan martabat institusi kehakiman, rakyat Malaysia tak perlu digalakkan mencontohi budaya politik di Singapura. Dato’ Dr Mohd Khir menghadapi saman fitnah berjumlah RM10 juta apabila didakwa berniat jahat dalam isu melarang azan. “Kerajaan perlu mengkaji semula kes saman fitnah yang mirip seperti budaya politik di Singapura,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor menambah.
Beliau seterusnya memberitah, kalau tak dipantau budaya politik berkenaan adalah dibimbangkan fungsi institusi kehakiman akan disalahgunakan oleh aktivis politik dengan mengeksploit kes saman fitnah. Dato’ Dr Mohd Mansor merujuk kes saman fitnah di Singapura yang digunakan bagi memufliskan ahli-ahli politik lawan menerusi budaya politik yang pongah, bobrok dan arogan. Justeru katanya lagi, Malaysia tak perlu mengadaptasi budaya politik yang diamalkan di Singapura kerana negara ini digalakkan menolak perhambaan minda. Dato’ Dr Mohd Mansor menganggap aktivis politik yang sengaja menggunakan kes saman fitnah untuk menyerang lawan sebagai muflis idea hingga mengimport modul dari Singapura. “Saman fitnah berjuta-juta itu perlu dikaji semula berasaskan undang-undang yang telus,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.
INFO SASTERA & BUDAYA:
NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).
(sambungan kelmarin…)
(24)
8
MELAWAN IDEA MUSUH
TERKURUNG DI GUA BERSAMA MUSUH
CARI IKHTIAR UNTUK MELARIKAN DIRI
POKOK-POKOK renik di belukar tak boleh dibiarkan bergegar. Bila-bila pergerakan badan dapat dikesan menerusi monitor di bilik operasi Bapak Profesor. Tetapi ketika itu tentera-tentera boneka tak berkeliaran di sekitar pulau kecil berkenaan, selepas berlaku pertempuran. Semua tentera-tentera boneka sudah dikerah pertahankan jana teknologi di dalam terowong celah terumbu batu karang itu.
Sebab itu mudahlah saya bergerak melarikan diri. Cepat-cepat saya memberi isyarat kepada kawan-kawan supaya bergerak pantas. Kalau lewat sampai di sebalik bukit, nescaya tentera boneka Bapak Profesor dapat menghambat. Bagaimanapun saya yakin dapat berhadapan dengan tentera-tentera boneka yang dipantau kawalan jarak jauh itu. Ketika keluar dari bilik makmal memang sempat saya capai sermin muka bersama.
Sewaktu merangkak naik ke bukit tiba-tiba saya diterkam dari belakang. Kawan-kawan cuba bangun melawan, tetapi diberi isyarat supaya terus menyusup dalam belukar. Rupa-rupanya Si Tongkol menghalang saya terus turun ke kaki bukit terumbu batu karang itu. Dia tak benarkan saya dapatkan bot yang tersembunyi di situ.
“Mari sembunyi dalam gua dulu,” ujarnya keras sekalipun mukanya tak bengis seperti ketika mula-mula terserempak di tengah laut. Dia kelihatan cedera parah hingga daging paha juga macam dimamah binatang buas.
Memang Si Tongkol tak mampu berdiri tegak akibat kecederaan paha yang teruk. Bukan paha sahaja luka parah, malah dada juga terkoyak, lengan berlumuran darah dan belakang seolah-olah dicakar harimau. Ngeri juga saya melihat keadaan tubuh Si Tongkol, tetapi dia gagahi juga merangkak di celah belukar pokok-pokok renik itu.
“Apa sudah berlaku pada Pakcik Si Tongkol?” saya membantunya berdiri untuk dipapah masuk ke gua.
“Nanti kita boleh cerita dalam gua,” katanya terdengkot-dengkot dipapah. “Kalau kamu tergopoh-gopoh naik ke bot, orang tua itu takkan lepaskan kamu!” jelas Si Tongkol terkial-kial masuk ke gua persembunyian.
Sebaik sahaja kami semua membolos masuk ke gua, tiba-tiba sahaja beberapa objek boneka berkeliaran di depan pintu. Mereka terlangah-langah, tetapi tak dapat mengesan lokasi di dalam gua. Di kawasan gelap itu Bapak Profesor tak dapat gunakan pantulan solar memburu Si Tongkol.
Bagaimanapun objek boneka itu terus berkawal di depan pintu gua. Tompok-tompok darah Si Tongkol di depan pintu gua memang dapat dikesan oleh Bapak Profesor. Dia dapat memastikan Si Tongkol berjaya membolos masuk ke gua. Ketika objek boneka berpaling ke arah pintu gua, mereka lepaskan pantulan cahaya. Memang berkecai batu-batu gua itu terkena pantulan cahaya dari mata objek tentera boneka berkenaan.
“Nak buat apa sekarang ni, Pakcik Si Tongkol?” ujar saya sambil merawat luka-luka yang dialami Si Tongkol akibat betempur dengan tentera-tentera boneka Bapak Profesor.
“Pertama pakcik minta maaf kepada kamu semua kerana kejadian sebelum ini,” beritahu Si Tongkol perlahan. “Pakcik pukul kamu kerana tak sepatutnya turun ke laut ketika ombak tsunami melanda di sebelah utara,” dia menjelaskan selanjutnya. Lantas dia menunjuk ajar cara rawatan luka-luka, di samping mengenal pasti jenis-jenis ubat-ubatan yang diperlukan.
“Berapa lama kita mesti terkurung di sini, pakcik?” Abang Din juga mula bersikap mesra terhadap Si Tongkol.
(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).
(bersambung)
PUISI
Memperkasa Melayu
Di setiap denai
laluan bangsaku Melayu
terpacak ranjau kaca
botol-botol anggur
yang tertancap
di antara rekahan paha perempuan
bergelimpangan di setiap pesta
syahwat para pemburu khazanah qarun
menjual ibu mereka di ranjang
erotika bangsa.
Maka dalam demikian
kita anak-anak satu keturunan
yang tersula di mata
yang tertusuk di dada
tidak lagi akan merentas
malam bulan terendam
tidak lagi akan memintas
mentari rebah pagi.
Dan apapun jua tanggapan
nestapa yang dipaksakan
ke atas kita
lantaran khianatnya para nakhoda
armada bahtera bangsaku
yang telah mengosongkan
padi di kepuk
yang telah mengeringkan
air di telaga
dan mencari damainya
entah di mana abadi!
Dengan ini kami bersumpah
demi pertiwiku Tanah Melayu
demi bangsaku Melayu
demi kesucian ISLAM agamaku
akan kami rungkai kekalutan sejarah
akan kami tegakkan tamaddun ilmu
akan kami keramatkan santun peradaban
akan kami mertabatkan keagungan iman
dalam jihad kami
memPERKASA Melayu
semoga tidak akan berulang
pagar memakan padi
haruan memakan anak
dalam kepimpinan bangsaku MELAYU!
-Yassinsalleh
Kelab Sulaiman, Kampung Baru,
Kuala Lumpur.
21 Oktober 2008.
INFO SUARA PROLITAR:
LAGI-LAGI KERACUNAN DI KANTIN
SAMPAI BILA IBU BAPA TERUS BIMBANG
Isu keracunan makanan di kantin sekolah timbul lagi. Sampai bila ibu bapa terus berasa bimbang dengan keselamatan anak-anak. Semalam (22 Oktober 2008) dilaporkan keracunan makanan berlaku di Johor. Tak kesihankah tengok anak-anak dibawa ke hospital kerana keracunan makanan. Bagaimana kalau anak-anak berkenaan sebahagian daripada anak pengusaha kantin sekolah. Anehnya, guru besar sekolah diberi kuasa mutlak menentukan tender pengusaha kantin. PIBG sekadar rubber stamp aje. Ini yang patut difikirkan. – (SMS; 23 Oktober 2008; 10:38:42 – Man Cincai, Selayang, Selangor).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
NAK KURANGKAN PEKERJA ASING
SEBELUM ISTINGGAR DAN LELA DITEMBAK
Arakian tersebutlah akan Orangkaya Wazir Perdana Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mahu mengurangkan kira-kira 400,000 pekerja asing di negeri Melayu itu. Adapun Orangkaya Wazir Perdana itu memberitahu ketika ditanya Orangkaya Dato’ Halimah Saddiqe dibalairongseri semalam, 22 Syawal 1429 (22 Oktober 2008). Maka kata sekalian orang banyak, eloklah dikurangkan kerana bimbang mereka juga akan mendakwa haknya samalah dengan orang Melayu di akhir zaman kelak, adanya. Syahdan akan pekerja-pekerja asing itu terlalulah banyaknya dibawa oleh orang atas angin ketika mereka campur tangan dalam pemerintahan negeri Melayu itu dahulukala. Sebermula akan segala orang-orang besar ketika tak mampu mereka melawan orang atas angin itu berperang kerana senjata mereka bukan seperti istinggar atau lela orang Melayu yang tak dapat ditembakkan dari jauh.
Hatta, maka Feringgi pun masuklah. Setelah berpandangan, maka berperanglah akan Temenggung Seri Udana dengan Feringgi terlalulah ramai; maka bunyinya bertembak-tembakan, bunyi meriam seperti halilintar membelah, dan bunyi pelurunya seperti bunyi kumbang kena jolok. Maka yang mati terlalulah banyak sebelah menyebelah; sehari semalam berperang itu, maka ubat bedil pun habis. Maka Seri Udana menyuruh mohon uabt bedil serta bantu. Maka disuruh beri ubat bedil sehabisnya mana yang ada, empat tempayan; dan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara dititahkan Sultan Mahmud Shah membantu Temenggung Seri Udana. Syahdan Temenggung Seri Udana berperanglah semalam-malaman itu. Setelah waktu dinihari, air pun pasang penuh. Maka Feringgi mudiklah menyongsong dengan bedilnya hingga alah negeri Melaka seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu” daripada:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment