Friday, October 24, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

USAHAWAN MINAT BUDAYA
TERBABIT DG AKTIVITI PENYELIDIKAN

Assalamualaikum,

Baru sahaja semalam (23 Oktober 2008) rakan lama saya seorang usahawan di Seremban, Haji Kamaruddin Sulaiman berpulang ke rahmatullah, pagi ini (24 Oktober 2008), Pengarah Muzium Negeri Sembilan Drs Shamsuddin Ahmad menelefon beritahu mengenai seorang lagi usahawan Dato’ Haji Abdul Rashid Yusuff pula meninggal dunia. Kira-kira jam 9.00 pagi, pembantu muzium di Muzium Negeri Sembilan, Ahmad Afian Abdul Kadir juga menelefon menyampaikan berita berpulangnya ke rahmatullah Dato’ Haji Abdul Rashid. Sebenarnya Dato’ Haji Abdul Rashid adalah rakan baik Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris, di samping pernah terbabit sebagai aktivis UMNO sejak dekad 1960-an lagi di Jelebu bersama aktivis belia Cikgu Md Derus Haji Abdul Latiff. Sebelum menyertai sektor korporat, Dato’ Haji Abdul Rashid memang seorang pendidik tetapi lebih cenderung menjadi aktivis politik.


Ketika ke Taman Paroi Jaya, di Seremban semalam (23 Oktober 2008) sempat juga saya singgah di rumah Cikgu Md Derus (yang juga jiran Allahyarham Haji Kamaruddin). Memang Cikgu Md Derus bersama isterinya Kak Timah beritahu mengenai Dato’ Haji Abdul Rashid dalam keadaan kritikal. (Isteri Dato’ Haji Abdul Rashid, Datin Hajjah Rashidah Rashid pernah mengajar di sekolah yang sama dengan Cikgu Md Derus, justeru mereka juga memang berkawan rapat sejak di Jelebu lagi). Secara kronologi, saya lebih akrab dengan Cikgu Md Derus ketika beliau mengajar di Jelebu, disebabkan sama-sama terbabit sebagai aktivis belia di Kuala Kelawang. Sebaliknya Dato’ Haji Abdul Rashid kurang berminat dalam gerakan belia. Barangkali!

Bagaimanapun apabila beliau terbabit dalam sektor korporat, di samping berkawan rapat dengan Tan Sri Abdul Samad Idris, beliau mula akrab dengan saya. Kadangkala terserempak di pejabat Tan Sri Abdul Samad (sama ada di Bank Pembangunan mahupun di Finas); kadangkala apabila turun ke Seremban, beliau sudah menunggu untuk makan tengahari. Komitmen beliau dalam aktiviti Muzium Negeri Sembilan, ketika Tan Sri Abdul Samad menjadi Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan memang amat dihargai. Apalagi pembabitan beliau melengkapkan pengisian Muzium Diraja Seri Menanti termasuk memperkenalkan tenunan kain dari Minangkabau dan kereta kuda (bendi) yang popular di kota Padang, Sumatera Barat. Dato’ Haji Abdul Rashid juga turut membantu penyelidikan sirah Raja Melewar di Pagarruyung bersama anak saudaranya Dato’ Rosli Harun.


Kali terakhir saya menemui Dato’ Haji Abdul Rashid pada 2003 (iaitu sebelum Tan Sri Abdul Samad Idris berpulang ke rahmatullah), ialah ketika sama-sama menyertai rombongan Muzium Negeri Sembilan berkunjung ke propinsi Riau bagi menelusuri perjuangan Tuanku Tambusai (Haji Mohd Salleh Maulana Kadi) di Daludalu, Rokan Hulu. Sebelumnya, memang setiap tahun bertemu di kediaman Tan Sri Abdul Samad ketika menyambut Hari Raya bersama Persatuan Anak-Anak Negeri Sembilan di Kuala Lumpur. Memang sumbangan Dato’ Haji Abdul Rashid atas kapisiti tokoh korporat dalam aktiviti Muzium Negeri Sembilan sukar dilupakan, sekalipun tak sempat untuk meneruskan perancangan pemuliharaan makam Dato’ Siamang Gagap di Kampung Terusan, berikutan berpulangnya ke rahmatullah Tan Sri Abdul Samad pada 15 Oktober 2003 (iaitu lima tahun dulu). Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

ROMBAKAN KABINET PAK LAH
SEKADAR TEMPOH HINGGA MAC 2009

Sukar mahu mencari rasionalnya rombakan kabinet bakal dilakukan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang, kalau sekadar berdasarkan keputusan pemilihan pimpinan MCA baru-baru ini. Spekulasi menyebut rombakan tersebut memang diperlukan, apabila keputusan pemilihan pimpinan MCA memberi petunjuk ahli mereka di peringkat akar umbi menolak mereka yang menyertai kabinet. Sebaliknya Dato’ Seri Abdullah menurut penganalisis politik, bukan merujuk kepada keputusan pemilihan MCA tetapi pergolakan dalam UMNO berikutan trend pencalonan Bahagian-Bahagian yang sudah melangsungkan Mesyuarat Agung. Justeru rombakan kabinet yang akan dilakukan, mungkin sahaja untuk menggugurkan beberapa menteri kabinet termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang selesa dengan kedudukan pencalonan sekarang.


Berdasarkan lanskap politik sekarang, Dato’ Seri Abdullah tak perlu untuk membuat rombakan disebabkan tempoh jawatan beliau hingga Mac 2008 seperti dipersetujui melalui pelan peralihan kuasa. Sebelumnya Dato’ Seri Abdullah sudah mengumumkan pelan peralihan kuasa sehingga Jun 2010, tetapi Tan Sri Muhyiddin bersama Dato’ Mokhriz Tun Dr Mahathir mendesak ianya perlu dipercepatkan. Secara kebetulan pula setakat ini Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Mokhriz menerima pencalonan tertinggi bagi jawatan yang ditandingi mereka. Tak hairanlah menurut sumber, Dato’ Seri Abdullah mahukan rombakan kabinet akan membabitkan Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Seri Hishamuddin yang dilihat sebagai proksi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Entahlah!

INFO SASTERA & BUDAYA:

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(25)

8
MELAWAN IDEA MUSUH

SI TONGKOL TAK PANIK PENDARAHAN:
TAPI OBJEK TENTERA BONEKA LEBIH PINTAR

“TAK tahulah, tapi orang tua tu perlukan bantuan pakcik untuk dapatkan bekalan makanan,” tuturnya tersenyum sekalipun dahinya berkerut menahan kesakitan.

“Tapi luka ni parah, Pakcik Si Tongkol perlukan rawatan hospital,” Usin Sodok pula mencelah.

Tersengih-sengih Si Tongkol disebabkan kami semua melayannya dengan ramah mesra. Kami tak berdendam sekalipun pernah didera sebelum itu. Sebaliknya Si Tongkol juga mengajar kami cara merawat luka ketika mengalami kecederaan serius. Malah dia mengaku tak bimbang dengan kecederaan tersebut. Sejak dalam tentera lagi Si Tongkol terbabit dalam gerakan komando di Indonesia.

Memang dia pakar kimia semasa dalam komando. Bukan takat seorang komander berpangkat kolonel, Si Tongkol juga doktor perubatan terlatih. Tahu sangat dia fasal komposisi darah seperti pernah dianalisis oleh Profesor Karl Landsteiner pakar anatomi patologi di Venna itu. Dia juga memahami mengenai paroksismal hemoglobinuria dan penyelidikan morbid anatomi dan imunisasi.

Sebab itu Si Tongkol tak mudah panik apabila mengalami pendarahan. Dia tahu had hemoglobin darah yang diperlukan tubuh badan manusia. Memang kekurangan darah boleh mendorong kepada punca poliomielitis. Bagi menghentikan pendarahan Si Tongkol menunjukkan kepada saya rawatan yang perlu dilakukan.

“Selagi tentera boneka mengawal di pintu gua, kita tak dapat membolos keluar,” ujar Sahak Salai membantu membersihkan darah di bahagian luka yang dialami Si Tongkol.

“Memang strategi perang manusia tak dapat tandingi strategi perang komputer,” jelas Si Tongkol mengeluh perlahan.

“Kalau begitu, kita kena lawan dengan strategi komputer juga,” sahut saya lantas mencapai radio transistor di atas meja. Segera saya rosakkan sistem gelombang radio berkenaan hingga tak boleh berfungsi.

Ketika itu objek tentera-tentera boneka berpaling ke dalam gua. Pantulan cahaya dari mata tentera-tentera boneka itu tak melepaskan sebarang tembakan. Tetapi menyuluh ke dalam gua seolah-olah terlalu marah apabila sistem gelombang radio dimusnahkan. Apabila silau pantulan cahaya itu berterusan menyuluh, segera saya letakkan cermin muka menampan alirannya.

Tiba-tiba sahaja tentera boneka jatuh terlentang sebaik sahaja pantulan melantun ke mukanya. Tetapi ia bingkas bangun semula, sekalipun tak dapat mara ke hadapan. Cahaya gelap di dalam gua menyebabkan objek tentera-tentera boneka tak mampu lagi bergerak mara.

“Eksprimen kita berjaya, Pakcik Si Tongkol,” beritahu saya lantas menyentuh wayar di dalam radio transistor. Bunyi bising radio transistor tak berfungsi itu menjadikan objek tentera-tentera boneka terlangah-langah.

“Wah, kamu juga tahu fasal program komputer,” tersenyum bangga Si Tongkol selepas melihat objek tentera boneka kecoh apabila mendengar bunyi radio transistor bising akibat gelombang tak berfungsi. Gegaran gelombang radio transistor itu turut jejaskan kelancaran operasi tentera boneka.

“Kita perlu menawan salah satu objek boneka itu,” jelas saya mencari idea bagaimana mahu menewaskan tentera-tentera boneka. Taktik mereka sama seperti semut kerengga iaitu lebih banyak objek akan menyerbu asal sahaja salah satu objek boneka itu diserang.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Adat Si Ayam Jantan

-apologi kepada Ku Li

Kata raja titah nan adil
kata menteri janji tak mungkir
kata penghulu kata penyelesai
berjalan nan lurus, berkata nan benar
berhukum nan adil
di lingkungan bendul
rumah nan berketak
tangga nan berlaman
jangka nan berelak.

Ambil tuah pada nan menang
ambil contoh pada nan sudah
pipih datang melayang
bulat datang menggolek
harapkan bulan jatuh ke riba
seciuk bak ayam
sedencing bak besi
di mana padi rebah
di situ tekukur meniti batang
heh heh heh, heh heh heh!

Ayam jantan
berkokok di bawah rumah
tak akan hilang tuahnya
ular menyusur akar
tak akan hilang bisanya.

-Alba,
Jelebu, Negeri Sembilan
24 Oktober 2008.

INFO SUARA PROLITAR:

GALI KUBUR DAN KOREK LIANG LAHAD
‘FARDU KIFAYAH’ YANG DIPANDANG REMEH

Kemahiran tradisi Melayu semakin pupus, berikutan ramai orang tua-tua yang meneruskan legasi kepakaran itu meninggal dunia. Bukan sahaja pertukangan tangan, malah kemahiran yang berkaitan dengan kematian juga tak diberi perhatian oleh generasi muda sekarang, kata pengamal rawatan tradisional Zainal Maakir, 68 dari Kampung Durian Gasing, Mukim Hulu Teriang, Jelebu, Negeri Sembilan. Zainal Maakir atau dikenali Tok Busu bukan sahaja terbabit sebagai pengamal rawatan tradisional, tetapi berkemahiran mengorek liang lahad bagi menggali kubur. Berikutan ramai orang tua-tua yang berkemahiran mengorek liang lahad sudah meninggal dunia, sekarang Tok Busu yang memikul tanggungjawab tersebut. “Kalau anak-anak muda tak mahu belajar, siapa akan meneruskan kerja-kerja mengorek liang lahad ini?” kata Tok Busu.


Sekalipun dianggap remeh temeh, tetapi mengorek liang lahad bagi mengkebumikan jenazah adalah ‘fardu kifayah’, menurut Tok Busu yang pernah dilantik menjadi siak Masjid Jamek Kampung Teriang sebelum ini. Beliau juga turut melahirkan rasa kesal berikutan kemahiran kraftangan Melayu juga turut diabaikan, termasuk membuat larik, ulu parang, gasing, lekar, jeramak, lukah, tengkalak dan sebagainya. Memang barang-barang tersebut tak menjadi keperluan lagi dalam kehidupan orang Melayu sekarang, tetapi kemahiran tersebut wajar dipelihara. Sementara aktivis budaya, Yassinsalleh ketika ditanya bersetuju, kemahiran kraftangan Melayu dipelihara. Justeru katanya, jabatan-jabatan terbabit sama ada jabatan kebudayaan mahupun muzium mengambil inisiatif memulihara kraftangan dan kemahiran Melayu ini. “Mungkin 100 tahun akan datang orang Melayu pun tak kenal lagi dengan kraftangan berkenaan,” beritahu Yassinsalleh.

KENA ORANG SERONOK HATI
BATANG HIDUNG SENDIRI, MELENTING!

Hairan juga apabila isu cerpen dibangkitkan di Parlimen. Tak cukup dengan Parlimen buat pula laporan polis. Nampaknya marah sangat si ahli politik tu pada penulis Chamil Wariya. Mungkin bukan kerana cerpen, tetapi si ahli politik sering mengikuti penulisan Chamil yang juga berkas wartawan. Kalau nak kira cerpen itu menyinggung individu tertentu, novel ‘Sheet…’ Shahnon Ahmad lebih teruk mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad. Seronoknya si ahli politik itu, kerana novel hentam Tun Dr Mahathir. Tapi kena batang hidung sendiri, melenting macam nak gila! – (SMS; 24 Oktober 2005; 14:28:53 – Wak Kimin, Pucung, Selangor).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANG BANYAK PERTIKAI PEMBELIAN:
KELENGAKAAN PERANG NEGERI ATAS ANGIN

Syahdan tersebutlah akan Orangkaya Penghulu Bendahari (disebut orang Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) Dato’ Seri Azmi Khalid akan memanggil bentara dalam (atau disebut orang kemudian hari Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan) Dato’ Abu Bakar Abdullah. Adapun bentara kanan diminta memberi keterangan akan pembelian kelengkapan perang dari negeri atas angin (iaitu disebut oleh anak cucu fakir helikopter Eurocopter EC725). Arakian semasa Orangkaya Penghulu Bendahari berkata-kata itu turutlah disertai Penyelia Perbendaharaan (disebut sekalian orang banyak Ketua Audit Negara) Tan Sri Ambrin Buang, kerana kira-kira perbendaharan pembelian alat kelengkapan perang itu dipertikai sekalian orang banyak. Maka Orangkaya Menteri Pertahanan yang dahulu Dato’ Mohd Najib Tun Abdul Razak juga perlulah memberikan keterangan kerana ianya membabitkan perbendaharaan negara.

Sebermula pada masa dahulukala negeri Pahang itu negeri besar, takluk ke benua Siam, Maharaja Dewa Sura nama rajanya, keluarga juga pada Paduka Bubunnya. Setelah Sultan Mansor Shah mendengar khabar Pahang itu, maka terlalu ingin baginda akan negeri Pahang itu. Arakian baginda pun menitahkan Bendahara Paduka Raja menyerang Pahang. Maka bendahara pun pergilah dengan Tun Pikrama dan Tun Bijaya Maha Menteri dan Seri Bija Diraja, dan Seri Pikrama, dan Tun Sura Diraja, dan Tun Amar Diraja, dan Tun Bija Diraja, dan Tun Bija Setia, dan Sang Bija Rakna, dan Tun Rana, dan Tun Seri Setia, dan Sang Naya, dan Sang Guna, dan Sang Jaya Pikrama, dan Sang Aria, dan Sang Rana Rana Sura, dan Sang Sura, dan Sang Jaya, san Sang Sura Pahlawan, dan Tun Aria, dan Tun Bija Pikrama, dengan sekalian hulubalang pergi mengiringkan akan Bendahara Paduka Raja, dua ratus banyaknya kelengkapan besar kecil. Syahdan alahlah Pahang, sekalipun tak menggunakan kelengkapan dari negeri atas angin tetapi bersatu hati seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: