Thursday, December 17, 2009

Sampaikan Salam...

SALAM MAAL HIJRAH 1431 H
DARI KAMI WARGA PRIMA

Assalamualaikum,

Sedar tak sedar, kita sudah di penghujung tahun 1430 H. Banyak peristiwa berlaku seperti gempa bumi di Indonesia, banjir dan paling mengejutkan warga PRIMA mengenai perginya pengasas blog PRIMA ini, Allahyarham Pak Dharma ke rahmatullah. Diharapkan semoga di tahun yang baru ini, lebih banyak limpah kurnia dan rahmat dari-Nya dan semoga semakin kurangnya kejadian ragut yang didalangi oleh remaja kita sehingga menyebabkan nyawa mangsa yang tak berdosa melayang. Dan di kesempatan ini, kami di PRIMA ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431 H. Sekian, wassalam.

-ANAK WARISAN...

CELOTEH PADANG BOLA...

PENANTIAN 20 TAHUN BERBALAS
EMAS SUDAH DALAM GENGGAMAN!


Assalamualaikum,

Tahniah Malaysia! Itu saja yang mampu AW ucapkan tatkala pengadil meniup wisel penamat pada perlawanan akhir bola sepak di Temasya Sukan SEA di antara Malaysia dan Vietnam.Malaysia berada di hadapan 1-0 menewaskan Vietnam yang sebelum ini menundukkan Malaysia 3-1 pada perlawanan peringkat kumpulan dahulu.Walaupun hanya berbekalkan sorakan kecil daripada rakyat Malaysia yang sanggup datang ke Laos untuk menyokong pasukan kita, itu sudah memadai untuk pasukan pimpinan K. Rajagobal untuk menamatkan kemarau 20 tahun Malaysia.

Pada separuh masa pertama, terdapat persaingan sengit di antara Malaysia dan Vietnam kerana masing-masing inginkan gol untuk berada di hadapan.Walaupun diasak berkali-kali dan mengalami kecederaan, penjaga gol Vietnam tetap dengan semangatnya untuk 'melindungi' gawang gol Vietnam.Pada separuh masa kedua, permainan semakin sengit apabila masing-masing tidak mahu mengalah dan terus berasak sesama sendiri.Tetapi yang membuatkan AW hairan, penjaga gol Vietnam tetap mahu meneruskan permainan walaupun cedera.Bagaimanapun semangat 'membara' penjaga gol Vietnam yang AW tidak berapa ingat namanya memakan dirinya sendiri apabila bola yang ingin ditepisnya terus masuk ke gawang golnya sendiri dan seterusnya memberi laluan mudah untuk Malaysia berada di hadapan dengan 1-0 pada minit 85.

Permainan diteruskan lagi pada masa kecederaan selama 6 minit.Pada minit terakhir, penjaga gol Malaysia, Sharbinee mengalami sedikit kesakitan apabila menerkam bola yang disepak oleh pemain Vietnam dan terjatuh mengakibatkan kesakitan di bahagian rusuk.Tetapi itu tidak menjadi 'kudis' buat Malaysia apabila permainan dapat diteruskan sehingga wisel penamat ditiupkan.Walaupun bukan pemain Malaysia yang menyumbangkan gol kemenangan, tetapi itu sudah cukup untuk membuatkan K. Rajagobal dan rakyat Malaysia tersenyum puas.Tahniah sekali lagi buat Malaysia dan semoga prestasi pasukan bola sepak Malaysia semakin meningkat.Dan tidak lupa juga ucapan tahniah buat penyumbang pingat untuk Malaysia di Sukan SEA dan ucapan semoga berjaya kepada atlet Malaysia yang lain yang sedang bersedia untuk menghadapi acara yang lain.

-ANAK WARISAN...

Wednesday, December 9, 2009

SAJAK

Pun Kepatahan Sayap

Sunyi-sunyi begini terasa ingin saja aku
menompang sayap anginterbang ke puncak sepi
melihat awan mendandan biru langit.di mana orang serakah
mempertinggi tempat jatuhnya

Sepi-sepi begini terasa mau saja aku
terbang lepas dan bebas
di saujana langit tak bertepi
mencari dan mencari dan mencari
di manakah padam lenteranya armada yang kematian angin

Helang segarapun kepatahan sayap
kau dan aku walaupun merayap
Kita masih belum mau mati
dan esuk
Kita tegakkan kembali matari yang rebah.

---yassinsalleh 1841 hrs dis 8. 09
sanggar SIMFONI
Kg ponson, manchis,
bentong pahang.

Sunday, November 8, 2009

CELOTEH PADANG BOLA...

NEGERI SEMBILAN MENANG 3-1
HADIAH UNTUK YAMTUAN BARU

Assalamualaikum,

Semalam, Stadium Nasional Bukit Jalil dibanjiri oleh ribuan penyokong Negeri Sembilan dan Kelantan. Boleh dikatakan bahawa lebih 70 % daripada mereka merupakan penyokong Kelantan.AW dan keluarga hanya menonton di rumah.Nampaknya dapat jugalah pemain-pemain hebat Negeri Sembilan membawa hadiah untuk Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang baru ditabalkan iaitu Tunku Muhriz Tuanku Munawir.

Kredit juga patut diberikan kepada Shukor Adan kerana berjaya menadapat anugerah Pemain Terbaik pada malam tersebut. Tapi yang tak sedap mata memandang apabila melihat keadaan stadium selepas perlawanan.Penuh dengan botol dan sampah. Ini ke yang dikatakan semangat kesukanan?Apabila pasukan yang disokong kalah pasti stadium tersebut menjadi 'tong sampah segera.'Yang menghairankan, ketika Negeri Sembilan di hadapan 3-0, AW melihat kepulan asap, percikan api dan bunyi mercun di kawasan penyokong yang memakai baju merah putih. Bagaimana mercun boleh terlepas masuk ke dalam stadium? Sehinggakan ada seorang pengawal di situ yang cedera terkena mercun tersebut. Ish ish ish!

Dalam hal ini, penyokong-penyokong tidak boleh terlalu taksub apabila pasukan mereka kalah. Negeri Sembilan pun pernah kalah tapi penyokong-penyokong Negeri Sembilan dapat menerima dengan hati terbuka. Begitu juga penyokong untuk pasukan lain. Mereka tidak perlu membuang-buang sampah jika pasukan mereka kalah kerana sikap itu merupakan tindakan orang yang tidak berpelajaran. Selepas Zaquan Adha dapat menjaringkan penalti yang membuatkan Negeri Sembilan selesa di hadapan 3-0, Zaquan terpaksa diusung keluar akibat ditarik dan terjatuh. Begitu ke pasukan bola sepak di Malaysia bermain dengan menarik-narik pasukan lawan sehingga cedera?Entahlah, tak dapeklah den nak nolong!

Kelihatan Yamtuan Besar, Menteri Besar, Mohamad Hassan dan Khairy Jamaluddin di tempat VIP. AW melihat mereka tersenyum besar dengan kemenangan Negeri Sembilan. Iyalah, penantian 61 tahun Negeri Sembilan untuk membawa Piala Malaysia ke Negeri Sembilan akhirnya terbalas. Sekali lagi AW ingin mengucapkan tahniah kepada Negeri Sembilan. Semoga pasukan pimpinan Wan Jamak dapat meningkatkan lagi kualiti permainan mereka dan memenangi Piala Malaysia sekali lagi.


-ANAK WARISAN...

Thursday, October 29, 2009

GELAGAT ADUN...

SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK KECOH
AKIBAT TINDAKAN 'KEBUDAK-BUDAKAN' ADUN PKR

Assalamualaikum,


Nampaknya makin 'meriah' arena politik kita.Insiden tarik-menarik jubah dan kekecohan ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menarik perhatian media dan orang ramai.Bekas Speaker, V Sivakumar mendakwa dia telah dicekik dan ditekan di perut malah jubah yang dipakainya cuba dirampas oleh pihak polis sehingga koyak. Entahkan betul, entahkan tidak!

Seterusnya, ahli DUN Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa kononnya mereka dihalang daripada memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) walaupun telah menjalani pemeriksaan ketat pihak berkuasa. Malah Sivakumar mendakwa bahawa songkoknya telah dirampas oleh salah seorang pegawai polis yang bertugas selain daripada dihalang memasuki bangunan SUK itu.

Sebaik memasuki dewan, sekali lagi ADUN PR membuat kekecohan termasuk kata-kata seolah-olah menghina dan menghalau Speaker Perak, Datuk R Ganesan dari dewan.Disebabkan kejadian itu, Ganesan terpaksa menangguhkan sidang selama sejam. Ketika sidang tertangguh, ADUN PR mengambil kesempatan dengan mengadakan 'sidang' dewan versi PR yang dimulai dengan bacaan doa oleh Mohammad Nizar.

Sebaik selesai bacaan doa, Sivakumar memulakan 'sidang' dari tempat duduk pembangkang selain memberi peluang ADUNnya yang lain untuk mengemukakan usul tidak percaya termasuk tidak mengikitiraf Ganesan sebagai Speaker. Malah ketika dewan kembali bersidang, ADUN PR sekali lagi mengganggu perjalanan sidang ketika ADUN Barisan Nasional (BN) membuat pembentangan bajet dan usul.

Semakin lama, semakin 'panas' isu politik Malaysia, mengalahkan berita artis-artis kita.Adakah tindak tanduk ADUN PR ini merupakan tanda protes mereka berikutan kemenangan calon BN, Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang tempoh hari?Alahai!



-SUMBER : Harian Metro

-ANAK WARISAN...

Sunday, October 25, 2009

ANGKARA DEMONTRASI
10 Kawasan Bakal Kehilangan Wakil Rakyat

Lapan orang ahli Parlimen Pakatan Rakyat berkemungkinan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat andai tuduhan yang dikaitkan terhadap mereka berhasil. Bukan itu sahaja, dua ADUN Pakatan Rakyat juga bakal menerima akibat yang sama.

Andai 10 orang wakil rakyat ini berjaya disabitkan kesalahan mereka, maka pilihanraya kecil bakal berlaku dan masih adakah peluang buat BN untuk menakluk semula kerusi yang 'dirampas' daripada genggaman mereka.

Tiada yang mustahil andai beberapa perkara diambil kira sebelum ini. Mungkin BN masih lagi segar dengan kemenangan di Bagan Pinang. Cuma itu bukanlah ukuran kejayaan sebenar BN. Mereka masih lagi kalah andai rekod pilihanraya bagi tempoh 9 bulan terakhir ini diambil kira.

Bersedialah menghadapi gelombang kecil ini. Entah apa lagi janji yang bakal ditaburkan oleh bakal pengambil alihan kuasa ini nanti. Tunggu dan lihat.

-RITMA SAKTI-

Tuesday, October 13, 2009

SELAPIS NOVEL

KEMBARA MULUK
Dedikasi untuk Allahyarham Abdul Muluk Daud (Pak Dharma)
Malam Kenduri Maulud


Ketika emak mengandungkan aku memasuki sembilan bulan, belumlah cukup tempoh 10 harinya. Justeri belum terdapat tanda-tanda emak akan melahirkan, malah keadaannya masih segar hingga mampu mengangkut air di telaga, membelah kayu api dan menumbuk padi. Abah pula ke Seperi membantu Nenek Hajah Aminah mengadakan kenduri maulud bagi menyambut tarikh lahir Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiul Awal, di samping bersyukur selepas selesai musim menuai padi.

Disebabkan emak tidak menampakkan tanda-tanda mahu melahirkan, abah ke Seperi (lebih kurang enam kilometer jaraknya dari rumah emak) bagi persiapan mengadakan kenduri maulud itu. Tetapi apabila menjelang maghrib emak tiba-tiba merasa sakit untuk bersalin, abah segera diberitahu oleh sepupu emak yang duduk berjiran. Keluarga kami tinggal berdekatan di Kampung Bacang Manting iaitu kampung peninggalan Moyang Lengkong yang meneroka di situ sejak tahun 1820-an.

Sebaik sahaja diberitahu mengenai emak dalam keadaan akan bersalin, Nenek Hajah Aminah juga turut datang ke Kampung Bacang Manting meninggalkan majlis kenduri berkenaan. Bagaimanapun majlis kenduri maulud tersebut diteruskan juga kerana emak dan bapa saudaraku seperti Ulung Rebak (Rebakyah) Ngah Isam (Syamsiah) Pak Itam (Tahir) dan Utih (Harun) mampu melayani tetamu yang sudah dijemput.

Semua saudara mara yang tinggal berdekatan datang membantu memperlihatkan keharmonian hidup di kampung masih terpelihara ketika itu. Kebetulan pula negara baru sahaja terlepas dari bahana peperangan apabila Jepun menyerah diri pada 15 Ogos 1945, diikuti kekacauan rusuhan kaum berikutan ‘Bintang Tiga’ (atau komunis) merampas kuasa dalam tempoh 14 hari sebelum kedatangan British Millitery Admanistrition (BMA). Sebelum aku dilahirkan, aku sudah mempunyai kakak bernama Rubiah yang lahir pada Februari 1945.

Selepas perang pula kemelut negara meruncing dengan tindakan Inggeris mahu melaksanakan pentadbiran Malayan Union apabila mendapat tentangan orang-orang Melayu yang mengadakan kongres besar-besaran pada 1 – 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Sekalipun penduduk-penduduk di kampungku tidak mengambil bahagian dalam perjuangan ini, tetapi mereka mengikuti perkembangan yang berlaku di persekitaran daerah Jelebu.

Apalagi Kampung Bacang Manting peninggalan Moyang Lengkong tidak mempunyai orang lelaki dewasa selain daripada abah, setelah Golek suami Moyang Bakup ditangkap oleh Bintang Tiga. Tok Cu Muda pula berpindah ke Kuala Lumpur juga bagi mengelak daripada menjadi mangsa, begitu juga Pak Long Abu ketika itu berusia dalam lingkungan 27 tahun turut mengikut Tok Cu Muda ke Kuala Lumpur. Lelaki dewasa yang tinggal hanya Tok Wak Koren (Baharin bin Dagoi) suami Ulung Rahmah dan Tok Dolah (Haji Abdullah bin Abdul Manap) suami Wan Mai (Maimunah binti Ismail).

-bersambung -
Waris Pak Dharma
p/s: Walaupun tidak sehebat Pak Dharma dalam penulisan, WARIS cuba mengupas perjalanan hidup beliau melalui apa yang pernah diceritakan ketika hayatnya kepada WARIS untuk dikongsi kepada pembaca blog ini.

Monday, October 12, 2009

BERITA DARI BAGAN PINANG...

ISA MENANG BESAR DI BAGAN PINANG
PENGUNDI MULA MENGUBAH SELERA

Kemenangan calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad di Bagan Pinang menewaskan calon PAS, Zulkefly Mohamad dianggap antara kemenangan terbesar parti BN semenjak mendapat kemenangan yang tipis menerusi pilihan raya yang lalu.Isa mendahului dengan memperoleh 8,013 undi berbanding Zulkefly yang memperoleh 2,578 undi dengan majoriti 5,435 undi. Kemenangan besar Isa ini tidak mengejutkan kerana beliau bersama penyokong-penyokongnya berkempen menggunakan pendekatan yang 'bersih' tanpa memalukan mana-mana pihak.

Merujuk pada akhbar tempatan yang menyiarkan berita mengenai dua orang lelaki yang cuba mengedarkan wang palsu menggunakan sampul tertera lambang UMNO, warga PRIMA berasa hairan, mengapa mereka sanggup menggunakan taktik kotor semata-mata untuk memastikan parti yang mereka sokong menang?Dan yang peliknya, salah seorang daripada mereka merupakan pelajar Malaysia yang baru balik dari Mesir.Begitukah cara seorang yang terpelajar? Walaupun ia tidak ada kena-mengena dengan calon PAS yang bertanding, tapi kes itu sedikit-sebanyak akan mencalarkan imej PAS dan parti pembangkang yang lain.

Pada pendapat AW, sekiranya penyokong-penyokong fanatik tersebut tidak bermain 'kotor', kemungkinan Zulkefly akan menang ataupun kalah tipis. Kadang-kadang AW berfikir, setiap kali pilihan raya, pasti ada kedengaran cerita para penyokong parti-parti yang bertanding bergaduh dan bertempur mengalahkan askar yang nak berperang. Seperti semasa di Bagan Pinang, penyokong-penyokong BN dan PAS bergaduh sehingga menyebabkan seorang pemandu Ketua Polis Negeri Sembilan cedera.Kepada Isa, selamat menjadi pemimpin Bagan Pinang yang baru dan dapat membawa Bagan Pinang ke era yang lebih baru dan diharap para penyokong parti pembangkang dapat menerima hakikat bahawa pengundi sudah mula ubah selera!

Heh!Heh!Heh!

-ANAK WARISAN...

Sunday, October 11, 2009

SENSASI ARTIS

AKIBAT TIDAK MENGAKU BAPA
NASHA BAYAR GANTI RUGI



Pelakon dan model yang sentiasa menjadi kontroversi, Nasha Aziz diperintah oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi am RM10,000 kepada bapa kandung beliau, Abdul Aziz Mohd Ali dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Abdul Aziz terhadap Nasha Aziz. Nasha juga diperintahkan membayar faedah lapan peratus setahun kepada bapanya dari tarikh saman difailkan iaitu pada 31 Mac 2005 sehingga penyelesaian penuh saman itu.


Nasha Aziz atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz yang memulakan kerjaya dalam bidang permodelan kira-kira 19 tahun tenang ketika hadir bersama peguamnya di Mahkamah walaupun tidak hadir pada perbicaraan kes itu Rabu lalu. Beliau bagaimanapun tidak memberi ganti rugi tambahan seperti yang diminta oleh Abdul Aziz kerana saman itu melibatkan perkara dalam keluarga. Nasha yang dipelihara oleh keluarga angkatnya sejak kecil pernah mendakwa Abdul Aziz bukan bapa kandungnya yang disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia.


Apabila membaca kenyataan ini, waris mula terfikir mengapa setelah Nasha Aziz dikenali masyarakat dan mampu memiliki aset sendiri, baru bapa kandungya muncul dan membuat huru hara dalam hidup Nasha Aziz? Mengapa bapa kandungnya meletakkan penjagaan seratus peratus kepada keluarga angkat yang memelihara Nasha Aziz sehingga berjaya kini? Mungkin ada pandangan menyatakan yang bapa kandung Nasha cuba mengaut keuntungan hasil titik peluh Nasha selama bergelar artis?


Waris juga mempunyai sahabat yang senasib dengan Nasha namun perjalanan hidup Nasha mungkin tidak sama dengan nasib sahabat waris ini. Sahabat waris ini telah diserahkan kepada keluarga angkat setelah ibu bapa kandungnya bercerai dan ibunya terpaksa memelihara enam orang anak termasuk sahabat waris ini. Kerana kesempitan hidup dan pengabaian tanggungjawab nafkah oleh bapa kandungnya maka sahabat waris ini diserahkan kepada keluarga angkat, begitu juga adik beradiknya yang lain. Setelah menamatkan pengajian dan kini berjaya menjadi pegawai di salah sebuah perkhidmatan awam bapa kandung yang disangka sudah 'tidak ada' muncul pada Aidilfitri tahun lepas. Pada mulanya sahabat waris ini tidak mahu mengaku bapa kandungnya itu sebagai bapanya kerana bapanya sanggup ceraikan ibunya gara-gara mengidam beristeri muda.


Adik beradik sahabat waris ini yang masih bersekolah juga tidak mengganggap bapa kandungnya ini dan dek kerana cuba 'menjilat ludah di tanah' bapa kandungnya ini cuba mencari helah untuk mengikis duit sahabat waris ini pula walau dengan cara apa sekalipun. Namun hanya segelintir sahaja ayah seperti ini wujud di muka bumi ini. Kadang-kadang bukan anak-anak tidak mahu mengaku ayahnya tetapi sikap ayah seperti ini terlalu 'mual' untuk diperkatakan. Darah daging tetap darah daging, tetapi tanggungjawab tidak boleh diabaikan dan jangan ayah seperti ini menyalahkan anak-anak pula.


Walau jauh disudut hati sahabat waris ini telah memaafkan perbuatan ayahnya terhadap ibunya, namun sahabat waris tidak akan sesekali menabur wang ringgit kepada ayah kandungnya kerana jasa keluarga angkatnya yang perlu dibalas dahulu kerana telah membesarkannya. Ayah kandungnya hanya tahu 'membuat' anak dan tanggungjawab dilepaskan. Biarlah urusan anak beranak ini diselesaikan oleh mereka sendiri dan mereka tahu baik buruk akibat perbuatan mereka itu. Bagi waris masih ada insan yang bergelar Ayah mempunyai hati nurani yang murni dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anaknya. Wallahualam..


p/s: Waris masih menghargai jasa insan yang bergelar 'Ayah' walaupun dia tiada di sisi...


-Waris Pak Dharma

Wednesday, October 7, 2009

SASTERA DAN BUDAYA

BUAH TANGAN DARI SANG JUNDAK
PENULIS BARU MENJENGAH PERSADA SASTERA


Walaupun kemeriahan Aidilfitri pada tahun ini tidaklah semeriah seperti tahun sebelumnya, namun sambutannya masih lagi terasa sehingga kini dengan undangan rumah terbuka dari sahabat-sahabat waris. Kita lupakan sejenak kuih raya mahupun juadah-juadah yang acapkali dihidangkan untuk tetamu kerana waris ingin berkongsi cerita mengenai buah tangan baru seorang penulis muda yang waris sifatkan mempunyai identiti tersendiri dalam penulisannya. Melalui laman blog beliau http://inderawangsa.blogspot.com/ , ilusi penulisnya melangkaui dunia yang sebenar dan dari awal penulisannya waris mengganggap penulisnya selesa dengan gaya penceritaan sebegini.


Pendita Gua Khayalan adalah novel epik-fantasi siri pertama yang digarap oleh Masdalifadzlie M Saad (berbaju hijau). Walaupun waris tidak mengikuti perkembangan ceritanya di blog, namun dunia Sastera memerlukan bakat seperti Masdalifadzlie jika inginkan Sastera di Malaysia utuh tanpa berpihak pada kronisme. Kita selalu dilambakkan cerita novel yang hanya berunsurkan 'bombastik' tetapi tidak ada kehalusan dalam penulisan itu sendiri.

Anugerah Sasterawan hanya boleh dimiliki oleh penulis 'kobau' sahaja. "Kek tongah jalan disuruh menonggeng, esey sanggup menonggeng, di suruh tolontang pun esey sanggup tolontang", waris teringat kata-kata Pak Dharma yang disifatkan kepada penulis-penulis yang pandai mengampu untuk mendapatkan anugerah. Harapan waris bakat muda seperti ini tidak diketepikan oleh warga sastera kerana karya mereka lebih baik dari penulis-penulis 'kobau' dan sangat dialukan untuk menyerikan dunia sastera kita. Sekalung tahniah kepada penulis, Masdafadzlie M Saad dengan buah tangan terbaru beliau dan diharap beliau dapat menghasilkan karya-karya seperti ini pada masa akan datang. InsyaAllah...

-WARIS

Monday, October 5, 2009

SELAPIS NOVEL

KEMBARA MULUK
Dedikasi untuk Allahyarham Abdul Muluk Daud (Pak Dharma)

Kelahiran Si Kembara

Sebelum menetap di daerah Jelebu, datukku merantau ke beberapa tempat di Tanah Melayu termasuk Singapura, Johor dan Selangor selepas berhenti dari bekerja dengan agensi syeikh haji yang menguruskan jemaah menunaikan fardu haji sekitar dekad 1910-an. Dia dilahirkan pada tahun 1853, menetap di Jelebu pun setelah usianya melewati 60-an dan berkahwin dengan Nenek Hajah Aminah (emak kepada ayahku) pada 1913, ketika nenek berusia 18 tahun. Arwah datuk juga mempunyai anak-anak di Singapura, di Kota Tinggi, Johor dan di Semenyih, Selangor. Anaknya di Singapura meneruskan kerjaya sebagai syeikh haji sehingga akhir hayatnya.


Disebabkan ayahku memang mendapat pendidikan agama menerusi institusi pondok, justeru dia tak mempercayai sangat pantang larang masyarakat, sedangkan Nenek Kibah pula memang kuat dengan pegangan tersebut sebagai seorang bidan tradisional yang popular. Apabila ayahku membunuh biawak hingga perut reptilia itu terburai, emakku menyembunyikan daripada pengetahuan nenek kerana bimbang berlaku pertelagahan. Tetapi apabila aku dilahirkan tidak menangis seperti kelaziman bayi biasa dilahirkan, Nenek Kibah mula mengesyaki sesuatu.


Semasa dilahirkan dalam keadaan tak menangis kedua-dua tangangku pula seolah-olah melekat pada telinga. Kebetulan pula ketika itu hujan turun lebat dengan angin kencang bertiup, tetapi masih kedengaran azan di surau berdekatan menandakan masuk waktu isya kira-kira jam 8.00 malam (sekarang ialah 8.30 malam). Surau tersebut milik Lebai Mat yang dipanggil penduduk-penduduk di situ Lebai Mat Lopong, seorang guru agama yang mengajar anak-anak membaca muqadam dan al-Quran.


Apabila kedengaran azan dari surau Lebai Mat Lopong inilah aku dilahirkan, dengan kedua-dua tangan mirip seperti orang azan juga. Justeru kuranglah cemasnya Nenek Kibah sebaik sahaja mendapati kedua-dua tangan tersebut tidaklah melekat persis biawak yang direjam oleh ayahku. Setelah tangan tersebut diluruskan barulah suara tangisku mula kedengaran, tetapi suasana menjadi cemas pula apabila emakku tiba-tiba terjerit kuat menyebut ‘putus’, seterusnya pengsan tak sedarkan diri.


Dukun di kampung itu yang dikenali Abdul Hamid (atau dipanggil Tok Amar Amid) dijemput bagi memulihkan keadaan emakku yang pengsan. Bagaimanapun dia mendapati emakku sekadar terperanjat apabila melihat nenek cuba melepaskan tanganku yang pada sangakaanya melekat pada telinga. Bagi arwah Nenek Kibah pengalaman membidankan aku dianggapnya luar biasa, kerana belum pernah berlaku kejadian seperti demikian sepanjang penglibatannya sebagai bidan tradisional terkemuka di kampungku ketika itu.


Nenek Kibah menjadi bidan bukanlah diwarisi daripada emaknya, tetapi dipelajari menerusi pembabitan membantu bidan-bidan sebelumnya. Dia menerima nasib malang, apabila emaknya bernama Yang binti Mamat meninggal dunia semasa masih lagi kecil. Justeru Nenek Kibah bersama adiknya Muda dibesarkan di bawah asuhan emak saudaranya Bakup binti Mamat. Kebetulan pula Bakup juga pernah dibesarkan oleh kakaknya Yang apabila ibunya meninggal dunia semasa dia masih kecil.


Ketika bertemu jodoh dengan Saban (waris Dato’ Menteri), Nenek Kibah belum lagi dikenali sebagai seorang bidan. Bersama Saban dia mendapat anak lelaki bernama Abu dilahirkan tahun 1920, sewaktu Nenek Kibah berusia 16 tahun. Malang menimpanya lagi apabila suaminya meninggal dunia, menyebabkan dia terpaksa pula membesarkan anak dalam usia terlalu muda. Ketika itulah dia mempelajari ilmu perbidanan dan urut secara tradisional, hingga menjadi bidan yang terkemuka.


Bagi ibu yang mengandung, mereka lebih awal ‘menempah’ Nenek Kibah bagi mengurut mereka selepas bersalin kerana dianggap serasi dengan urut tradisionalnya. Nenek Kibah bertemu jodoh dengan suami keduanya Jatin bin Baginda Taib sekitar dekad 1920-an seorang anggota polis khas. Datukku Jatin pula berasal dari Kepis di Kuala Pilah, tetapi berketurunan dari Taluk Kuantan di Indragiri (sekarang dalam kabupaten Kuantan Singingi, propinsi Riau, Indonesia). Tok Jatin datang ke Jelebu kerana mengikut saudaranya dikenali Omar yang juga suami kepada sepupu Nenek Kibah bernama Rahmah binti Ismail (bersama Omar dia mendapat tiga orang anak Zainal, Kamaruddin dan Maimon, kemudian berkahwin dengan Baharin bin Dagoi memperolehi tiga orang anak juga Shariff, Mahani dan Asmah).


Sebelum berpindah ke Jelebu, Tok Jatin sudah berkahwin di Sawah Lebar, Kuala Pilah dan mendapat seorang anak perempuan dikenali Zainab. Bagaiamanpun sehingga akhir hayatnya dia tak sempat menatap wajah anaknya yang belum dilahirkan semasa berpindah ke Jelebu atas sebab-sebab masalah keluarga ketika itu. Malah Zainah juga tak pernah dapat menatap wajah ayahnya; apalagi melihat potretnya kerana Tok Jatin sendiri tidak suka bergambar semasa hayatnya.


Justeru ketika membidankan kelahiranku, memang Nenek Kibah tergamam, cemas dan menganggap luar biasa kerana tidak pernah mengalami kejadian tersebut. Sebaliknya keadaan cemas itu bertukar gembira apabila mendapati aku dilahirkan tidak cacat atau mengalami ‘kenan’ berikutan tindakan ayahku membunuh biawak hingga terburai perut semasa emakku sarat mengandung. Bagaimanapun tali pusatku dikatakan sukar kering hingga kelihatan bernanah, malah apabila sembuh ianya tersembul sebesar ibu jari.


-bersambung

-Waris Pak Dharma

p/s: Walaupun tidak sehebat Pak Dharma dalam penulisan, WARIS cuba mengupas perjalanan hidup beliau melalui apa yang pernah diceritakan ketika hayatnya kepada WARIS untuk dikongsi kepada pembaca blog ini.

SASTERA DAN BUDAYA

Sajak


Jalan Leklok Yo!


Bominyaklah muncung kau jang!

Orang moleh kobau balar,

kenduri godang

kek Bagan Pinang.


Hobin boto-boto jang oi!

Bilo lak lai

nak moraso.

Tompi janganlah amik upah

pacak bendero tampa postar jo

sikit bona upah eh tu!


Kau mintak jadi ejen

jua orang boli orang

banyak kemesyen eh!

Macam broker tanah, kayo rayo!


Dapek duit tu jangan pulak kau minum todi

macam kapa karam lak kau sok.

Kok kek Pahang

kono sobat,

bobilur punggung!


Kau lak jangan momokak,

kono dendiam,

kau ontok yo,

tompi kono rajin ngulor

salam

maso ni montori

sodo eh nak berkawan

tompi kok dimintak eh kau

ngecekkan jando

minta duit dulu.

Kok kono tangkap basah

molopeh kau tak moraso.

Pot Deksen ni tukang tangkap basah

gomar nangkap montori!


Ingat posan den tu jang!

Jalan leklok yo!

Dapek duit tu bagi den sikit yo!

Den nak boli toropong

Nak skodeng Dak Isa ngali duit!


---Yassinsalleh

1351 hrs. sept 30.09

Nak nengok air bokojar poilah pot desen jang oi!

SASTERA DAN BUDAYA

Sajak

Meraikan Nestapaku

Awan biru di langit biru
garam tumpah di laut biru
sayu terbenam dikalbu pilu
itulah aku bagimu
ada yang tak ada
tiada yang ada
tapi tiada.

Adakah belas di hujung
senja yang tidak biru
meraikan nestapaku?

---Yassinsalleh
2058 hrs Sept 28.09
Kuala Lumpur
yang kian tak ku kenal

Sunday, October 4, 2009

SELAPIS NOVEL

KEMBARA MULUK
Dedikasi untuk Allahyarham Abdul Muluk Daud (Pak Dharma)
Kelahiran Si Kembara

KISAH mitos dalam buku-buku sastera lama seperti ‘Awang Sulung Merah Muda’, ‘Anggun Cik Tunggal’, ‘Malim Deman’ dan beberapa lagi peristiwa kelahiran bayi boleh memberi impak kepada masa depan mereka. Misalnya dalam buku ‘Awang Sulung Merah Muda’ digambarkan ketika ianya dilahirkan berlaku peristiwa ganjil menyebabkan tujuh keping lantai patah, tujuh batang gelegar patah, dan bayi berkenaan tercampak ke tanah hingga terbenam tujuh hasta ke dalam bumi, menjadikan Awang Sulung melalui pahit getir hidup sebelum mencapai kejayaan.

Ketika aku dilahirkan peristiwa seperti digambarkan dalam buku ‘Awang Sulung Merah Muda’, ‘Anggun Cik Tunggal’ atau ‘Malim Deman’ tidaklah berlaku, sebaliknya kisah mitos tersebut persis bagaikan sastera Melayu klasik itu seakan-akan menimpa dalam kejadian sewaktu aku dilahirkan. Nenek Kibah (iaitu ibu kepada emakku – Kibah binti Sudin; 1904 - 1976) merupakan bidan tradisional di kampungku secara kebetulan pula membidankan kelahiranku.

Sekitar dekad 1930-an, 1940-an dan 1950-an, masyarakat di kampung bergantung kepada kemahiran bidan-bidan tradisional bagi membidankan kelahiran bayi, disebabkan mereka tidak yakin kepada rawatan di hospital. Malah bagi pesakit-pesakit kronik sama ada barah, lemah jantung atau angin ahmar mereka masih bergantung kepada rawatan secara tradisional menerusi bomoh, dukun atau pawang. Bagi mereka di kampung-kampung pada masa tersebut menganggap barah (dikatakan ‘balan’); lemah jantung (dikatakan ‘kelintasan’ akibat hantu tinggi) dan angin ahmar atau stroke (dikatakan ‘badi’ akibat puaka dan penunggu).

Ketika itu Nenek Kibah merupakan bidan tradisional yang menjadi pilihan utama di kampungku kerana pengalaman dan kemahirannya yang dianggap penduduk-penduduk ‘serasi’ semasa merawat. Dia juga dikenali sebagai tukang urut bagi ibu-ibu yang baru bersalin disebabkan mereka berasa selesa selepas diurut oleh Nenek Kibah. Jutseru di kampungku ketika itu setiap keluarga yang memerlukan rawatan perbidanan, memang Nenek Kibah menjadi pilihan mereka.

Memberitahu pengalamannya ketika membidankan kelahiranku, Nenek Kibah mengakui berlaku insiden luar biasa yang belum pernah dilaminya sebelum itu. Dia tak menganggap peristiwa tersebut persis seperti kisah ‘Awang Sulung Merah Muda’ (dia juga merupakan penutur cerita rakyat), sebaliknya merumuskan sebagai ‘kenan’ akibat kesilapan ayahku semasa emakku sedang mengandung. Sudah menjadi pantang larang penduduk-penduduk kampung si suami dilarang membunuh binatang liar semasa isteri mengandung bagi mengelakkan berlaku ‘kenan’ terhadap bayi dalam kandungan.

Disebabkan ayahku tidak percaya kepada pantang larang masyarakat Melayu yang dianggapnya ‘tahyol’, dia membunuh seekor biawak semasa emak mengandungkan aku. Reptilia itu dibunuh setelah menceroboh masuk ke dalam reban ayam menyebabkan ayahku terpaksa merejam dengan besi perejang (atau disebut juga tiruk). Ayahku pula memang mempunyai kemahiran melontarkan lembing, parang atau besi perejang tepat menyinggahi sasaran.

Kalau ular masuk ke reban ayam pada waktu malam pun, ayahku mampu membunuh reptilia itu dengan hanya merejam dengan keris panjang menyinggahi ke kepala ular. Keris panjang dua hasta itu adalah pesaka peninggalan arwah datukku (ayah kepada ayahku –Haji Ahmad bin Haji Salim) seorang guru agama berasal dari Kapur Sembilan, Kota Bangun di Kuok (sekarang ini dalam kabupaten Kampar, propinsi Riau, Indonesia). Sebelumnya wilayah berkenaan dikira sebagai sebahagian dari Minangkabau atau sekarang propinsi Sumatera Barat.
-bersambung

-Waris Pak Dharma

p/s: Walaupun tidak sehebat Pak Dharma dalam penulisan, WARIS cuba mengupas perjalanan hidup beliau melalui apa yang pernah diceritakan ketika hayatnya kepada WARIS untuk dikongsi kepada pembaca blog ini.

Monday, September 28, 2009

DARI LAMAN BLOG...

ANAK NORLIA GHANI MAUT
KETIKA INGIN MEMBERKAS PENCURI

Assalamualaikum,



Semalam (27 September), Edi Rizal Ramli, 33, (gambar kecil atas), maut setelah terjatuh dari tingkat 7 pangsapuri Pangsa Murni Titiwangsa di Jalan Gurney ketika ingin menangkap pencuri yang disyaki memecah masuk rumah seorang jiran yang masih belum pulang dari kampung sempena Aidilfitri.Edi yang merupakan anak ketiga pelakon veteran Norlia Ghani dan adik kepada pelakon Rusdi Ramli dilihat memanjat pada balkoni pangsapuri sambil memegang kayu hoki setelah diberitahu terdapat pencuri bersembunyi di situ sebelum terjatuh.


Saksi yang melihat kejadian itu, Faisal Rizal, 35, berkata penduduk-penduduk di situ mendakwa melihat kelibat seseorang yang mencurigakan kira-kira jam 12 tengah hari cuba memecah masuk rumah salah seorang penghuni di situ.Faisal bersama penduduk-penduduk lain yang berada di bawah pangsapuri ketika itu hanya mampu menjerit kepada Edi yang ingin juga cuba untuk memberkas pencuri itu.


Nyata, niat murni arwah Edi untuk memberkas pencuri tidak kesampaian kerana Tuhan lebih menyayanginya.Arwah sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk menangkap pencuri yang semakin berleluasa ketika ini.Diharap keluarga Norlia Ghani tabah menghadapi dugaan ketika semua umat Islam gembira menyambut Syawal.Al-Fatihah untuk Allahyarham Edi.



-ANAK WARISAN...

Tuesday, September 22, 2009

DARI LAMAN BLOG

OPS SIKAP BAGAI TIADA KESAN
KEMALANGAN TETAP JUGA BERLAKU

Assalamualaikum,

Semalam (21 September 2009), kami sekeluarga pulang ke kampung di Perak selepas beraya di kampung Allahyarham Pak Dharma di Jelebu, Negeri Sembilan.Setibanya kami di Bukit Darah yang berhampiran dengan Sungai Buloh, satu kemalangan berlaku membabitkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah teksi.Kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang agak teruk.

Walau bagaimanapun, setibanya di hadapan kawasan kemalangan, penunggang motosikal tersebut telah dihantar ke hospital berdekatan.Boleh dikatakan kemalangan tersebut agak teruk berdasarkan keadaan teksi tersebut dan tompokan darah di situ.Sehingga sekarang, kami tidak mengetahui nasib penunggang motosikal berkenaan.


Telah banyak poster-poster dan iklan-iklan keselamatan jalan raya dipaparkan.Namun, statistik kemalangan terus meningkat.Di mana salahnya?Kerajaan atau pengguna jalan raya itu sendiri?Semoga di Aidilfitri 2009 ini kita tidak akan menjadi sebahagian daripada statistik tersebut dan semoga semua rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman dan pulang semula ke kota dengan selamat.


-ANAK WARISAN...

Saturday, September 19, 2009

SETITIS TINTA

SALAM LEBARAN 1430 H
DARIPADA WARGA PRIMA


Assalamualaikum,

Sedar tak sedar, sudah sebulan Ramadhan berlalu, dan Syawal pun menjelma.Begitu pantas masa meninggalkan kita.Yang pasti, sudah ramai warga K.L. yang meninggalkan kesibukan di kota untuk merasai kemeriahan beraya di desa.Walaupun begitu, kami di PRIMA masih lagi merasai kehilangan pengasas blog ini, Allahyarham Pak Dharma yang menghadap Ilahi pada 12 Ogos 2009 yang lalu.

Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.Kami memohon maaf sekiranya ada terlanjur kata ketika memperjuangkan isu-isu semasa di blog PRIMA ini dan semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju.Sekian...

-ANAK WARISAN...

Thursday, September 17, 2009

INFO DARI JAKARTA

NORDIN MOHD TOP DISAHKAN MATI
DALAM OPERASI GEMPUR BESAR-BESARAN
Assalamualaikum,
Hari ini, pengganas yang paling dikehendaki kerana terlibat dengan banyak siri pengeboman di Indonesia, Noordin Mat Top telah telah disahkan mati dalam operasi gempur besar-besaran di Jawa Tengah.Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri telah mengesah perkara itu dan menganggap itu adalah kejayaan terbesar kerana berjaya menumpaskan penjenayah paling dikehendaki di negara itu.
Bambang Hendarso beriya-iya mengatakan bahawa itu adalah mayat Noordin berdasarkan pengesahan cap jarinya.Noordin yang dilahirkan di Malaysia itu pernah dikatakan 'mati' semasa penyerbuan di sebuah rumah di Jawa Barat, malangnya mayat yang dijumpai itu adalah mayat Ibrohim, seorang suspek yang disyaki telibat sama dalam pengeboman di Hotel Ritz-Carlton.

Noordin yang merupakan salah seorang ahli kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) telah mengetuai beberapa siri pengeboman seperti di Bali, Jakarta dan Hotel JW Marriott termasuk di Ritz-Carlton dan telah mengorbankan puluhan nyawa.Tamatnya riwayat Noordin di tangan polis Indonesia.Bermakna kita tidak akan lagi mendengar berita pengeboman yang dilakukan olehnya.Tapi diharap mayat Noordin tidak lagi bertukar seperti kisah Ibrohim tadi.

Heh heh heh!
-ANAK WARISAN...

Wednesday, September 16, 2009

SASTERA DAN BUDAYA

SAJAK

Sunyi-sunyi begini terasa ingin saja
aku menompang sayap angin terbang
ke puncak sepi melihat awan
mendandan biru langit tak bernyanyi.

Sepi-sepi begini terasa mau saja aku terbang
lepas dan bebas di saujana maya
lepas tak bertepi
mencari dan mencari dan mencari
entah apa.

Kalaulah kau ternampak dalam mencari itu
aku rebah lelah di rumpun kaktus
akan kau pelawakah aku singgah di kaki tanggamu?

Yassinsalleh
2151 hrs sept 14. 09
Hotel Sri Malaysia, Kuantan

Monday, September 7, 2009

DARI LAMAN BLOG

BANJIR BESAR DI KG BACANG MANTING
PEMBANGUNAN MENYUSAHKAN RAKYAT


Ketika masyarakat menjalani ibadah puasa disamping persediaan untuk menyambut hari kemerdekaan yang ke-52, jangan kita pinggirkana isu yang melanda penduduk di Kg Bacang Manting, Jelebu, Negeri Sembilan. Sukar untuk diramalkan perubahan cuaca yang kadangkala tidak diduga namun pembangunan yang sedang diratah di kawasan perkampungan Gagu telah mengakibatkan ekosistem berlaku perubahan besar dalam sejarah perkampungan Kg Bacang Manting.



Menurut salah seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai nek Safiyah, memberitahu pada malam 27 Ogos 2009 (Jumaat) selepas waktu berbuka puasa keadaan sekeliling rumah mula dinaiki air. Sehingga lewat pukul 9.00pm air mula naik sehingga ke paras dada. "Selepas berbuka nek megerjakan solat maghrib, selepas itu air mula naik di bahagian dapur dan naik sehingga ke tingkat atas. Nek suruh anak perempuan nek telepon bomba untuk dapatkan bantuan," keluh nek Safiyah. Menurut anak perempuan nek Safiyah, hujan pada ketika itu tidaklah selebat hujan sebelum ini yang dulunya pernah berlarutan selama seminggu. Ketika itu, keadaan banjir hanya pada paras buku lali dan surut beberapa jam selepas itu.



Namun banjir yang berlaku ini, turut diakui oleh penduduk yang dikenali sebagai Pak Tam. Menurut beliau, banjir yang berlaku pada Kg Bacang Manting adalah disebabkan oleh pembangunan yang dijalankan di Kg Gagu untuk membina empangan. Keadaan tanah yang tidak seimbang menyebabkan air yang datangnya dari Kg Gagu melimpah ke perkampungan Bacang Manting. "Orang lain sibuk sambut merdeka, kita pula dalam darurat. Kena bersihkan rumah yang disalut lumpur, malam terpaksa bergelap sebab plug dah dimasuki air. Telepon pun tak berfungsi", rungut Pak Tam.




Apa yang menghairankan pihak PRIMA, tidak ada berita dicanangkan di media cetak mahupun media elektronik mengenai banjir besar yang berlaku di perkampungan Bacang Manting. Kampung Bacang Manting juga hampir lupus, kerana namanya sudah tak tercatat dalam peta di daerah Jelebu (sekadar disebut dalam buku daftar Suruhanjaya Pilihanraya sahaja), kerana generasi sekarang mengenalinya sebagai ‘Kampung Teriang’ (sebenarnya Teriang atau Hulu Teriang ialah sebuah mukim merangkumi Kampung Gagu, Kampung Sungai Legom, Kampung Cenderak, Kampung Durian Gasing, Kampung Sepam, Kampung Tengah, Kampung Bacang Manting, Kampung Petaling, Kampung Seperi, Kampung Cempedak, Kampung Pianggu dan Kampung Durian Daun). Tak hairanlah, pengkritik sastera Drs Ramli Isin mengandaikan ‘Kampung Bacang Manting’ mungkin sahaja wujud dalam imaginasi pengarang.

Selepas seminggu perkara ini berlalu, kesannya pada penduduk amat dirasai kerana tidak ada seorang pemimpin dari kalangan orang politik sanggup turun menjengah ke kediaman penduduk yang dilanda banjir. Hanya sekadar memberi sumbangan dimana penduduk Kg Bacang Manting turun ke Kg Gagu untuk menerima wang tersebut. Hairan bukan kepalang, memikirkan gelagat 'mereka' yang berpakaian kot, bersepatu kilat takut mencalitkan lumpur di kaki seluar. Sumbangan satu hal, projek masih diteruskan. Apakah tindakan yang akan menyusul selepas banjir ini? Takkan sampai Kg Bacang Manting bertukar menjadi Tasik Bacang Manting? Astaga!


-Waris Pak Dharma

SASTERA DAN BUDAYA

SAJAK

...Kesan langsung yang dirasakan oleh sahabat Yassinsalleh bila
membaca sajak, Sewaktu Kami Terjun Tarzan. Beliau mengimbas
kembali pula zaman terjun tarzannya sendiri..

(SMS Beliau kepada Yassinsalleh : "abangku yassinsalleh
minta maaf lambat balas sms, sajak abang terjun tarzan mengingatkan

saya sayup ke zaman terjun tarzan saya pula.")


Zaman Terjun Tarzan

Terjun tarzan, main combat / vick morrow
panjat pokok pinang ambil upeh kering,
main kereta tarik.
Buat andang daun kelapa kering
untuk persiapan pergi mengaji,
lampu pelita minyak tanah.
Parut sagu untuk buat lempeng.
Pukul beduk di surau.
Pergi menjala di sungai.
Memasang lukah di parit-parit.
Mengahalau burung di sawah.
Mengangin padi di batas.
baju kurung sekolah agama buat baju raya
kasut plastic sekolah yang tercantik di dunia.
Malam pergi memanggil burung wak-wak untuk hidangan.

Jam 4:00 pagi bangun membantu ibu memotong getah
jam 5:30 pagi tinggalkan ibu keseorangan dalam kebun,
balik buat persiapan nak ke sekolah.
Petang balik dari sekolah
tambat lembu di tepi sungai sambil potong rumput.
Angkut pakai basikal jaguar karier besar, bapak punya.
Duduk belakang tak boleh kangkang
kelangkang sakit sebab karier terlalu besar.
Karier saiz satu guni / satu pikul (timbangan lama).
Basikal dah siap pakai simpan bawah rumah
sandar di tiang rumah
ikat dengan tiub basikal ynag dah tak pakai
takut tumbang,
nanti bapak marah
kena rotan batang ubi kekabu
kalau kena badan atau betis
melelas sampai tiga hari.

Roda basikal depan belakang lapik papan, sayang!
basikal cap anjing, beli seken hand
itu basikal kebanggaan keluarga.

Tutup reban ayam tugasan biasa
dilakukan tanpa arahan.
Sebelum maghrib mandi siap-siap
ke sarau nak pasang lampu geslem
sebelum bilal sampai.
Bulan puasa buat tapai,
petang jual tapai di simpang
jual kambing bobok dapat duit beli gula,
tepung dan lain-lain bahan
untuk buat kuih semperet dan kuih keras.
ada duit lebih beli ikan tongkol.
Upah penat bela kambing dapat mercun setepek
bakar hanya pagi raya saja

ada kawan sebaya dan beberapa orang yang senior
kira-kira campur tolak sepuluh orang
tiga puluh jus bagi sepuluh orang
dapat tiga jus
malam nuzul quran,
semua samdol-samdol ini mesti khatam di surau.
ayam kampong panggang, pulut kuning
hidangan istimewa.

Meriam buluh / meriam tanah
mesti direka bentuk mengikut akitek kampong
keselamatan diutamakan
simpan duit sekolah tiga bulan untuk beli karbait


Samad DEMila Luv
Seremban Negeri Sembilan
September 2, 2009

Saturday, September 5, 2009

SAJAK

Satu demi satu lentera
padam
liang demi liang dada luka
daun demi daun jendela
tertutup
baris demi baris hulubalang
menghilang
dan berakhirlah
kafilah para jelata yang
melata
tersembam ke tanah
memohon belas
sang badut
yang cuma punya sebelah
mata
dan hatinya kalaupun ada
jelas tidak punya deria
dan
tuli pula telinganya.

Betapalah
mau terus meminta dari
yang tiada
ingin terus merajuk pada
yang tak kasih
dan harapan bermanja
pada yang tak sayang.

Aduhai,
malangnyalah kamu melayu
yang dungu.

Yassinsalleh
1707, 4 Sept 2009
Kuala Lumpur

pesta
jamu selera
sempena keinsafan
akan nasib orang
yang tak mampu nak
makan

Friday, September 4, 2009

SAJAK

SARAT FATAMORGANA

Demikianlah
nestapamu berakhir
di satu gurun waktu
di atas hamparan bara pasir
unggun kaktus dinyalakan
dengan rambutmu

dan
parut di mukamu itu
adalah bingkai pamiran
yang menanti pelukisnya
datang menanggalkannya
dari dinding galeri
yang sudah lama
dipadamkan lampunya.

Aduhai
demikianlah kau terselinap
dari catitan sejarah
yang menafikan engkau
dan ratusan lagi yang
terbenam
di kuburan tak bertanda
sepanjang titwangsa.

Dan
di atas tulang belulangmu
mereka kini
menyambut hari merdeka
seserakahnya

Yassinsalleh
1419, 4 Sept 2009

lengangnyalah engkau
kini duhai lubuk kawah
yang keramat.
SAJAK

MEMANG SAHAJA BEGITU ADANYA,
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN.

Takde apa yang harus dihairankan
bila tiba-tiba orang tak
jawab telefon
tak balas mesej
ni kan bulan puasa
tak lama lagi nak raya
kita kan tengah bangsat
bukannya kawan saja yangtakut nak rapat
malahan termasuklah jugalangau dan lalat.

kita pun nanti mungkin lebih
pukimak dari itu
sekiranya kita kena toto
berjuta
atau tiba-tiba dilantik jadi
senator
Lalu diangkat jadi menteri
atau diupah menulis blog
atau ditugaskan jadi runner
atau jadi wakil tadbir duit
hadiah
bagi pihak anak-anak
haram jadah
yang tidak pernah
mengamalkan rasuah
atau tiba-tiba diumumkan
dalam TV3
kita dilantik SPR jadi
pengerusi
Majlis Pawang Pilihan Raya
Kecil
atau kalau kita dilihat dalam
Bernama TV
mencium tangan macam
Shahidan Kassim
kita pun mungkin
akan jadi lebih teruk
akan jadi lebih pukimak
akan jadi lebih haram jadah.

Makanya
bila langau dan lalat pun
tak mahu hinggap kat kita
yang ketiak busuk ni
Janganlah komplen.

Memang sahaja begitu
adanya
tuan-tuan dan puan-puan!

Yassinsalleh
1537, 3 Sept 2009
Pasar Ramadhan Jalan Raja Alang,
Kg Bharu, Kuala Lumpur.

Thursday, September 3, 2009

SASTERA DAN BUDAYA

Sajak

Menanti Lagu oh Bangau

Perjalanan kian bertambah panjang
dan jalan kian bertambah lengang
soldadu-soldadu mimpi
sudah lama menukar peta
mengalih setia
berterbangan
bagai punai mengejar ara
ranum di pohon rimbun.

"Anjakan paradigma dalam perjuangan",
kata mereka selunaknya
dalam tak pasti
binatang apakah paradigma itu!

Dan
senanglah makan minum
anak-anak mereka,
selesalah hidup isteri dan
bini-bini mereka
sempurnalah hajat
terlaksanalah impian mereka
dengan menjilat kesan
berak di dubur
dan minum kencing
awak-awak sang bendahara.

Cuma sekadar awak-awak
sedemikian sudah upah
basuh beraknya.
Bayangkanlah
minum kencing tuannya
bagaimana pulaklah
agaknya ye!

---Yassinsalleh
0914 hrs Sept 3.09

Wednesday, September 2, 2009

Sajak

Sewaktu Kami Terjun Tarzan

Rimbun hijau daun-daun,
jernih dingin deras air gunung,
riang ria kicau unggas sahutbersahutan,
kilat berkilatan ikan-ikan bermain di pasiran,
Aduhai,
indahnyalah
alam semalamku,
hutan keliling kampung lamanku
yang permai kehijauan
damai dan tenteram.

Alahai,
sungai kampungku kini
lumpur lebih banyak dari air
hutan keliling kampungku
bukitnya terbongkah luka,
Jeritan jentolak dan raungan pohon-pohon
tumbang
silang bersilang
bergelimpangan,
dan unggas tidak lagi punya
tempat mebuat sarang.

Sayupnya laungan Merdeka,
yang dilaungkan di sungai ini
sewaktu kami terjun Tarzan
lima puluh dua tahun dahulu.

-Yassinsalleh
0703, Sept 2 2009
Bentong, Pahang.

Monday, August 31, 2009

SAJAK


KEPALA YANG DI BAWAH


Dulu tanahair ini kita yang
punya
Semenanjung Tanah Melayu
namanya,
bumi warisan turun temurun.
Pusaka tinggalan
nenek moyang zaman berzaman.

Makanya,
nama itu diiktiraf seantero dunia
sebagai permasyhuran
taraf hak milik hakiki
suatu bangsa megah
bernama Melayu
yang gagah dan amat pemurah
yang setia dan tidak pernah
menyanggah.

Sejak Raja Melaka leka
menzinahi
Hang Lipo dalam orgy
syahwat lima ratus dayang-dayang
sogokan
maharaja besar benua besar
armada besar barua besar
maka terjadilah
Melayu itu, dulu, kini dan
akan selamanya
suatu bangsa
yang berfikir
bukan dengan kepala yang
di atas.

Makanya
dalam kealpaan tak mandi
junub
dibiarkanlah hilang Tanah
Melayu
jadi Malaya
direlakanlah Jus Soli
mendakwa hak didendangkanlah
segempita halilintar
menggenta benua
merdunya buluh perindu
menyanyikan Melayu
adalah satu bangsa yang berketuanan.

Aduhai adikku Nahar dan
Akutun Jeram Besu
esuk datang lagi hari merdeka
dan orang Melayu
1Malaysia
kian malu untuk jadi petani
kerana lumpur sawah tidak
pernah menjanjikan
mertabat
suatu bangsa yang berfikir
dengan kepala yang
di bawah.


-Yassinsalleh
2253, Ogos 2009



lebih tinggi lalang
dari berdiri
menanti datangnya lagi
hari merdeka yang
kian tambah jenaka.

Saturday, August 29, 2009

SASTERA DAN BUDAYA

Sajak

Kota yang hilang
Istilah persahabatan


Tiba-tiba kita bagaikan pelayar kematian angin.
Terhenti di tengah samudera.
Salam tak sampai khabar tak tiba
berita tiada
pelabuhan entah
di mana.

Lalu,
bagaikan belibis kehilangan
pasangan kepenatan
menongkah hiliran sungai
aku terapung di atas buih-buih sunyi
yang amat sepi, gelita dan sarat nestapa bertatah
rindu dan pilu

demikianlah hidup mengajar aku
bahawa ukuran kasih
timbangan sayang
adalam sedalam mana
tusukan rindu menikam kalbu.

Aduhai kawan
kemanakah engkau akan
ku cari?

Yassinsalleh,
1225hrs, Ogos 29.09
Kuala Lumpur

Friday, August 28, 2009

BELASUNGKAWA

KEHILANGAN INSAN TERBILANG
PROF. DATUK DR ISMAIL MD. SALLEH




Sedang saya melayari Internet, saya agak terkejut membaca artikel di salah sebuah blog yang menyatakan Senator pertama yang dilantik di kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi, 27 Ogos 2009 pada usia 61 tahun akibat serangan jantung di Hospital Besar Singapura semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura untuk lawatan kerja selama dua hari. Mungkin agak terlewat saya menerima berita ini kerana sibuk dengan urusan harian. Allahyarham pada saya seorang yang gigih menimba ilmu walaupun tidak dikurniakan penglihatan. Itulah kelebihan yang saya kagumi dengan Allahyarham walaupun tidak pernah bersua dengannya.




Allahyarham dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 September 1947 dan banyak menerima anugerah cemerlang. Selain seorang pakar ekonomi, Allahyarham juga adalah warga OKU yang pertama dilantik menjadi Senator, mantan Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS) dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings yang juga Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech. Kecemerlangannya ini terutama sekali di dalam bidang pengajian, telah menganugerahkan beliau sebagai warga cacat penglihatan yang pertama di dunia mendapat Ijazah Doktof Falsafah dari Guiness Book of Records.




Jenazah Allahyarham tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang dari Lapangan Terbang Senai, Johor kira-kira 7.30 malam tadi. Jenazah Allahyarham dimandikan di kediaman keluarganya di Jalan Melati 2, Sungai Kantan, Fasa 2 dan selamat dikebumikan pada hari yang sama jam 10.30 malam di tanah perkuburan Islam Sungai Kantan. Allahyarham meninggalkan balu, Datin Hasnah Wahab dan enam orang anak berumur antara 12 dan 26 tahun. Di sini pihak PRIMA ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga tabah menghadapi dugaan hidup.
p/s: Kehilangan Allahyarham Pak Dharma masih lagi dirasai...


-Waris Pak Dharma

HIDUP BAHASA MELAYU!!!

Saturday, August 22, 2009

RAMADHAN AL MUBARAK

SELAMAT MENJALANKAN IBADAH PUASA
DARI WARGA PRIHATIN MALAYSIA


Ramadhan tiba lagi dan setiap kali menjelangnya Ramadhan, banyak bazaar yang akan tumbuh bagaikan cendawan untuk menjual juadah-juadah kepada pembeli. Setiap kali itu juga ada rengekan dari pembeli mengatakan juadah yang dijual oleh peniaga-peniaga ini tidak berpatutan dan mahal. Mana tidaknya, sebelum Ramadhan menjelang, barang-barang mentah seperti gula disekat dan ada juga kedai runcit tidak dapat menerima stok dari pembekal.



Adakah ini akan menjadi tradisi setiap kali menjelangnya Ramadhan? Atau sememangnya setiap kali menjelang musim perayaan? "dua minggu sebelum puasa, sehari makcik dapat beli sekilo gula sahaja. Nak beli lebih tak boleh. Terpaksa makcik beli hari-hari untuk disimpan. Anak-anak bila berbuka mesti nak minum air sirap atau air oren. Walaupun isu gula nampaknya tidak begitu serius sekarang, makcik risau nak menjelang hari raya nanti bukan sahaja gula, mungkin ayam, beras naik harga pula", keluh seorang suri rumah pada PRIMA.


Walaupun kisah gula sudah pun menjadi suam-suam kuku, PRIMA bukan ingin mengeruhkan lagi isu ini ataupun menambah kekusutan pada pihak berkenaan. Hendak disalahkan peniaga-peniaga pun tidak rasional kerana mereka juga ingin mencari untung. Kalau meranduk dihutan, biar luas perjalanannya, kalau stok gula disimpan, alamat naik harga pula jadinya. Di sini warga PRIMA ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam dan semoga ibadah yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan ini diterima olehNya. InsyaAllah...



- Waris Pak Dharma

SASTERA DAN BUDAYA

Sajak

Ingatan untuk Pak Dharma

AYAH

Pemberontak...katamu
pada diriku yang hanya anak kecil
ketika itu...
dihambat nista satu persatu

Sering berlegar dibenakku
pilih kasih antara yang lain
benci tercetus ingkar segala suruhanmu
biar derhaka ku cipta
agar bebas merdeka
ketika aku seorang anak kecil...

Meniti masa kematangan
aku sedar ciptaan insan yang kau lakarkan
hanyalah untuk menjadikan
aku seorang yang sempurna
bukan hanya pada matamu
jua pada mata masyarakat yang optimis
sehinggaku berada dalam kebanggaanmu

Ayah...
Lakaranmu hampir ke kemuncak
namun Dia tegar memanggilmu
tatkala aku ingin membalas keringatmu
yang telah engkau taburkan padaku
sedih...
Sekelumit kesal berada di dasar hati

Namun Ayah...
kupinta pada Ilahi
dalam wangian doa dan Yassin
agar engkau dirahmati
hanya itu yang dapatku kirimkan
dari jiwa anak solehah
InsyaAllah...
satu hari nanti akanku ke sana jua
entah bila...


Waris Pak Dharma
Sabtu, 22 Ogos 2009
2.14am

Friday, August 14, 2009

SAAT - SAAT TERAKHIR PEMIMPIN PRIMA
PERGINYA SEORANG IDEALISME NEGARA


Hari ini genap sudah 3 hari sasterawan dan budayawan negara, Allahyarham Abdul Muluk Daud @ Dharmala N.S. meninggalkan kita. Malam tadi, majlis tahlil telah diadakan di rumah arwah dengan malam pertama kami adakan majlis tahlil di kampung arwah di Petaling, Jelebu. Ramai rakan rapat arwah yang hadir di majlis tahlil malam tadi.

Banyak perubahan yang arwah tunjukkan pada kami dalam 3 minggu terakhir ini. Hari Jumaat, 31 Julai 2009 arwah sempat bertemu dengan anak-anak murid beliau. Banyak ilmu yang diturunkan kepada anak-anak murid beliau (termasuklah saya) sehinggalah kami meminta beliau tangguhkan dahulu pemberian ilmu kerana kami rasa ilmu yang diturunkan itu sudah mencukupi. Selepas itu beliau terus mengajak kami ke Restoran Taqwa (memang tempat kegemaran arwah). Sampai di Taqwa, beliau terus memesan air teh tarik dan mihun goreng (biasanya arwah suka memesan mee goreng mamak). Memang biasanya kami lepak minum di situ setiap kali selesai pembelajaran, cuma malam itu arwah banyak bercakap. Tidak seperti sebelumnya, arwah hanya bercakap apabila ditanya.

Isnin, 3 Ogos 2009 sewaktu arwah berbuka puasa bersama keluarga, beliau sempat bergurau dengan ahli keluarganya. Malah beliau sempat menghulurkan jag yang berisi air tebu kepada saya dan berkongsi cawan beliau dengan saya. Saya sebenarnya terpinga dengan sikap beliau tapi saya buat tak tahulah sebab saya fikir itu cuma perkara biasa sahaja.

Sehinggalah pagi sebelum arwah dibawa ke hospital, beliau sebenarnya tidak tidur sepanjang malam itu. Beliau sempat mengagah cucunya dan juga sempat mengemaskini blog PRIMA. Lebih kurang 4.30 pagi, beliau mengejutkan emak saya daripada tidur untuk bersahur. Emak saya terkejut sebab makanan telah pun terhidang di atas meja. Selesai bersahur, arwah mengadu kepada emak saya yang dadanya sakit. Setelah melihat keadaan arwah masih tidak stabil, kami terus membawa arwah ke Hospital Selayang. Arwah terus berada di hospital selama 8 hari dan pada hari ke-9 (Selasa, 12 Ogos 2009), Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir tepat jam 8.41 pagi.

Semoga roh ayahanda dicucuri rahmat-Nya...

Thursday, August 13, 2009

SASTERA DAN BUDAYA

SAJAK

Doa dan Salute untuk Muluk @ Dharmala NS

Komradku Muluk @ Dharmala NS
demikianlah ketentuan Allah SWT
bahawa sudah sampai
waktunya
engkau dipanggilnya pulang meninggalkan
medan perjuangan tanah airmu
yang telah engkau patuhi
tanggungjawabmu
sepanjang hidupmu penuh berani
dengan kamus tanpa kata
menyerah dan putus asa.

Semoga Allah SWT
menempatkan rohmu
di kalangan mereka yang beriman
setimpal dengan pahalamu
seorang pejuang
yang tulus, telus dan taqwa.

Muluk,
entah esok entah lusa
Apak juga akan dipanggil pulang
Alhamdulillah,
tapi selagi belum tiba waktunya
tahulah kau komradku
perjuangan kita akan tetap
bagaikan juga
sepertinya selama ini
terus akan Apak semarakkan
walaupun betapa kini
lentera demi lentera
terjual sudah
pada harga diskaun 70%.
ada juga
yang ditawar pada 80%.
aduhai!

Muluk @ Dharmala NS,
sejarah riwayatmu
adalah tugu gagah jasamu
berdiri megah kini
di puncak kebanggan kami
balu dan anak-anakmu
cucu dan menantumu
sanak saudara kaum kerabatmu
handai taulan dan peminatmu
dan barisan komrad seperjuangan mu.

Doa dan Salute kami untukmu
duhai komradku
Muluk @ Dharmala NS.
Alfatihah.

--Yassinsalleh, Apakmu.
Jam 1555, Ogos 13
Johor Bharu.

Belasungkawa

Al-Fatihah (الفاتحة)...


BUDAYAWAN TIADA PENGGANTI
PAK DHARMA KEMBALI KE RAHMATULLAH


Pada pukul 1.45am keadaan Abdul Muluk Daud ataupun lebih dikenali sebagai Pak Dharma sudah bertambah tenat apabila tekanan darah Pak Dharma mula menurun. Ketika itu isteri dan waris-waris Pak Dharma sudah menunggu di wad CCU. Setelah bertarung nyawa beberapa jam, Pak Dharma telah menghembuskan nafas yang terakhir pada pukul 8.41am pada hari Rabu (12 Ogos 2009).


Allahyarham Pak Dharma seorang budayawan dan sasterawan Melayu yang menulis pelbagai genre termasuk novel, cerpen, puisi,rencana, skrip drama pentas, tv dan filem. Pemenang hadiah sastera nasional 1974 kategori cerpen. Pemenang sayembara novel Yayasan Sabah Gapena 1979 dan 1981. Pemenang hadiah cerpen Esso-Gapena 1981 dan 1982. Jawatankuasa penyelidikan budaya Muzium Negeri Sembilan 1990-2003. Pak Dharma juga merupakan pengendali blog PRIMA begitu mementingkan Bahasa Melayu sehingga setiap perjuangan yang dilakukan oleh beliau direalisasikan dengan aktiviti-aktiviti bacaan puisi dan sebagainya.


Jenazah Pak Dharma telah dibawa ke kediamannya di Taman Sri Gombak untuk diberi penghormatan terakhir dan kemudian dibawa ke masjid Al-Khiriyah untuk dimandikan dan dikafankan. Tepat pukul 2.15pm jenazah Allahyarham dibawa ke kampung halamannya di Kg Bachang Mantin, Petaling, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan dimana jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah wakaf perkuburan Triang, bersebelahan dengan makam anakanda Allahyarham iaitu Allahyarham Ikram Hafiz.


Disini isteri dan waris-waris Allahyarham Pak Dharma ingin menjemput sahabat-sahabat Allahyarham untuk menghadiri kenduri tahlil selama dua hari pada 13 Ogos 2009 (Khamis) dan 14 Ogos 2009 (Jumaat) selepas solat Isyak di kediaman Allahyarham, No 24 Jln SG 9/1 Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor. Dahulu kehilangan permata hati, kini kehilangan permata kalbu. Semoga roh Allahyarham Pak Dharma dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. -Amin.

-Waris Pak Dharma

Saturday, August 8, 2009

BACA PUISI 'MANIFESTI RAKYAT'

BACA PUISI 'MANIFESTI RAKYAT' DITANGGUHKAN
DOAKAN PAK DHARMA CEPAT SEMBUH

Sebagaimana telah dimaklumkan sasterawan dan budayawan Abdul Muluk Daud (Pak Dharma) diserang sakit jantung awal pagi Selasa (4 Ogos 2009) dan masih berada di wad CCU Hospital Selayang. Tok YassinSalleh iaitu bapa saudara kepada Pak Dharma yang menziarahi Pak Dharma petang tadi (Sabtu, 8 Ogos 2009) ada bertanyakan kepada waris Pak Dharma mengenai bacaan puisi 'Manifesti Rakyat'- Menentang PPSMI dan isu rakyat prolitar. Setelah berbincang dengan penaja utama untuk majlis ini iaitu Dato' Kamal Amir, beliau memberitahu majlis ini terpaksa ditangguhkan.




"Bagi uncle biar Pak Dharma sihat dulu. Kita cuma tangguhkan, bukan dibatalkan," beritahu Dato' Kamal Amir melalui SMS kepada waris Pak Dharma. Sehubungan dengan itu majlis yang seharusnya akan berlangsung pada hari Sabtu (15 Ogos 2009) bertempat di Kelab Golf Perangsang, Temple Park, Selangor ditangguhkan sehingga tarikh baru diberitahu kelak. Kepada pendeklamator dan sesiapa yang mengenali Pak Dharma agar mendoakan kesihatannya beransur sembuh supaya dapat bersama-sama berada dalam majlis yang dirancang oleh beliau dan juga aktivis-aktivis PRIMA.


-Waris Pak Dharma
HIDUP BAHASA MELAYU!!!

Wednesday, August 5, 2009

BERITA

PENGENDALI BLOG PRIMA, ABDUL MULUK DAUD
KRITIKAL AKIBAT SERANGAN JANTUNG



Sasterawan dan budayawan Abdul Muluk Daud atau lebih dikenali sebagai Pak Dharma diserang sakit jantung selepas bersahur bersama ahli keluarganya di Gombak, Selasa semalam (4 Ogos). Sementelah itu, Pak Dharma terus dikejarkan ke hospital oleh ahli keluarganya dan kini berada di Unit Rawatan Jantung (CCU) tingkat lima hospital Selayang, Selangor. Selepas bersahur Pak Dharma ingin tidur sementara menunggu azan subuh. Tiba-tiba dia mengadu sakit dada dan minta diurutkan. Badannya berpeluh-peluh dan kukunya sudah biru," jelas Puan Adiah, isteri Pak Dharma.



Pak Dharma yang merupakan aktivis dan juga pengendali laman blog PRIMA masih berada dalam kritikal sehingga kini. Aktivis-aktivis PRIMA yang terawal menziarahi Pak Dharma adalah Hj Bakar Ninggal, Sayuti Omar, Yahya Ismail, Rashid, Rozie (isteri Dato Kamal Amir) dan juga YassinSalleh (bapa saudara Pak Dharma). Terima kasih kepada YM Dato' Lela Maharaja Dato' Hj Muhammad Sharip bin Hj Othman (Undang Luak Rembau) kerana sudi menziarahi Pak Dharma. Rakan-rakan Pak Dharma seperti Norzah Kepol (Pengarang Buletin Rakyat) dan suami, Fadil Tan Sri Samad Idris, Fezal Khan, Liew Ah Kim (mantan Ahli Parlimen Seputeh), sahabat-sahabat dan juga jiran tetangga, ribuan terima kasih diucapkan. Keluarga Pak Dharma memohon kepada sesiapa yang mengenali Pak Dharma agar mendoakan kesihatannya beransur sembuh dan dapat berkongsi informasi di dalam blog ini.




- Waris Pak Dharma

Monday, August 3, 2009

Anwar tuntut ganti rugi RM100 juta...

Muhuyiddin & Utusan Malaysia:
Bakal berhadapan tindakan saman

Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim menerusi peguamnya C.N.Nair & Partners memberi tempoh tujuh hari kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meminta maaf secara terbuka, atau tuntutan ganti rugi sejumlah RM100 juta. Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini (3 Ogos 2009), Muhyiddin mendakwa Anwar sebagai pengkhianat ketika menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Dakwaan Muhyiddin itu boleh ditafsirkan berniat jahat, apalagi Anwar adalah bekas Timbalan Perdana Menteri.

Pimpinan UMNO di masa lalu juga pernah menyifatkan Tun Musa Hitam sebagai 'petualang', apabila beliau membuat kritikan terhadap pimpinan kerajaan sekitar dekad 1980-an. Tengku Razaleigh juga ditohmah memakai salib pada pilihanraya 1990, semata-mata bertujuan mahu kemenangan sekalipun menyedari ianya sekadar 'gimmik politik'. Justeru langkah Anwar mengambil tindakan undang-undang terhadap keceluparan pimpinan UMNO, setidak-tidaknya memberi kesedaran supaya pimpinan UMNO memahami tafsiran sebenarnya Bahasa Melayu.