Dedikasi untuk Allahyarham Abdul Muluk Daud (Pak Dharma)
Kelahiran Si Kembara
Sebelum menetap di daerah Jelebu, datukku merantau ke beberapa tempat di Tanah Melayu termasuk Singapura, Johor dan Selangor selepas berhenti dari bekerja dengan agensi syeikh haji yang menguruskan jemaah menunaikan fardu haji sekitar dekad 1910-an. Dia dilahirkan pada tahun 1853, menetap di Jelebu pun setelah usianya melewati 60-an dan berkahwin dengan Nenek Hajah Aminah (emak kepada ayahku) pada 1913, ketika nenek berusia 18 tahun. Arwah datuk juga mempunyai anak-anak di Singapura, di Kota Tinggi, Johor dan di Semenyih, Selangor. Anaknya di Singapura meneruskan kerjaya sebagai syeikh haji sehingga akhir hayatnya.
Disebabkan ayahku memang mendapat pendidikan agama menerusi institusi pondok, justeru dia tak mempercayai sangat pantang larang masyarakat, sedangkan Nenek Kibah pula memang kuat dengan pegangan tersebut sebagai seorang bidan tradisional yang popular. Apabila ayahku membunuh biawak hingga perut reptilia itu terburai, emakku menyembunyikan daripada pengetahuan nenek kerana bimbang berlaku pertelagahan. Tetapi apabila aku dilahirkan tidak menangis seperti kelaziman bayi biasa dilahirkan, Nenek Kibah mula mengesyaki sesuatu.
Semasa dilahirkan dalam keadaan tak menangis kedua-dua tangangku pula seolah-olah melekat pada telinga. Kebetulan pula ketika itu hujan turun lebat dengan angin kencang bertiup, tetapi masih kedengaran azan di surau berdekatan menandakan masuk waktu isya kira-kira jam 8.00 malam (sekarang ialah 8.30 malam). Surau tersebut milik Lebai Mat yang dipanggil penduduk-penduduk di situ Lebai Mat Lopong, seorang guru agama yang mengajar anak-anak membaca muqadam dan al-Quran.
Apabila kedengaran azan dari surau Lebai Mat Lopong inilah aku dilahirkan, dengan kedua-dua tangan mirip seperti orang azan juga. Justeru kuranglah cemasnya Nenek Kibah sebaik sahaja mendapati kedua-dua tangan tersebut tidaklah melekat persis biawak yang direjam oleh ayahku. Setelah tangan tersebut diluruskan barulah suara tangisku mula kedengaran, tetapi suasana menjadi cemas pula apabila emakku tiba-tiba terjerit kuat menyebut ‘putus’, seterusnya pengsan tak sedarkan diri.
Dukun di kampung itu yang dikenali Abdul Hamid (atau dipanggil Tok Amar Amid) dijemput bagi memulihkan keadaan emakku yang pengsan. Bagaimanapun dia mendapati emakku sekadar terperanjat apabila melihat nenek cuba melepaskan tanganku yang pada sangakaanya melekat pada telinga. Bagi arwah Nenek Kibah pengalaman membidankan aku dianggapnya luar biasa, kerana belum pernah berlaku kejadian seperti demikian sepanjang penglibatannya sebagai bidan tradisional terkemuka di kampungku ketika itu.
Nenek Kibah menjadi bidan bukanlah diwarisi daripada emaknya, tetapi dipelajari menerusi pembabitan membantu bidan-bidan sebelumnya. Dia menerima nasib malang, apabila emaknya bernama Yang binti Mamat meninggal dunia semasa masih lagi kecil. Justeru Nenek Kibah bersama adiknya Muda dibesarkan di bawah asuhan emak saudaranya Bakup binti Mamat. Kebetulan pula Bakup juga pernah dibesarkan oleh kakaknya Yang apabila ibunya meninggal dunia semasa dia masih kecil.
Ketika bertemu jodoh dengan Saban (waris Dato’ Menteri), Nenek Kibah belum lagi dikenali sebagai seorang bidan. Bersama Saban dia mendapat anak lelaki bernama Abu dilahirkan tahun 1920, sewaktu Nenek Kibah berusia 16 tahun. Malang menimpanya lagi apabila suaminya meninggal dunia, menyebabkan dia terpaksa pula membesarkan anak dalam usia terlalu muda. Ketika itulah dia mempelajari ilmu perbidanan dan urut secara tradisional, hingga menjadi bidan yang terkemuka.
Bagi ibu yang mengandung, mereka lebih awal ‘menempah’ Nenek Kibah bagi mengurut mereka selepas bersalin kerana dianggap serasi dengan urut tradisionalnya. Nenek Kibah bertemu jodoh dengan suami keduanya Jatin bin Baginda Taib sekitar dekad 1920-an seorang anggota polis khas. Datukku Jatin pula berasal dari Kepis di Kuala Pilah, tetapi berketurunan dari Taluk Kuantan di Indragiri (sekarang dalam kabupaten Kuantan Singingi, propinsi Riau, Indonesia). Tok Jatin datang ke Jelebu kerana mengikut saudaranya dikenali Omar yang juga suami kepada sepupu Nenek Kibah bernama Rahmah binti Ismail (bersama Omar dia mendapat tiga orang anak Zainal, Kamaruddin dan Maimon, kemudian berkahwin dengan Baharin bin Dagoi memperolehi tiga orang anak juga Shariff, Mahani dan Asmah).
Sebelum berpindah ke Jelebu, Tok Jatin sudah berkahwin di Sawah Lebar, Kuala Pilah dan mendapat seorang anak perempuan dikenali Zainab. Bagaiamanpun sehingga akhir hayatnya dia tak sempat menatap wajah anaknya yang belum dilahirkan semasa berpindah ke Jelebu atas sebab-sebab masalah keluarga ketika itu. Malah Zainah juga tak pernah dapat menatap wajah ayahnya; apalagi melihat potretnya kerana Tok Jatin sendiri tidak suka bergambar semasa hayatnya.
Justeru ketika membidankan kelahiranku, memang Nenek Kibah tergamam, cemas dan menganggap luar biasa kerana tidak pernah mengalami kejadian tersebut. Sebaliknya keadaan cemas itu bertukar gembira apabila mendapati aku dilahirkan tidak cacat atau mengalami ‘kenan’ berikutan tindakan ayahku membunuh biawak hingga terburai perut semasa emakku sarat mengandung. Bagaimanapun tali pusatku dikatakan sukar kering hingga kelihatan bernanah, malah apabila sembuh ianya tersembul sebesar ibu jari.
-bersambung
-Waris Pak Dharma
p/s: Walaupun tidak sehebat Pak Dharma dalam penulisan, WARIS cuba mengupas perjalanan hidup beliau melalui apa yang pernah diceritakan ketika hayatnya kepada WARIS untuk dikongsi kepada pembaca blog ini.
No comments:
Post a Comment