Akta Harta Intelek Tak Berkesan?
Secara tak disedari berlaku perkosaan terhadap lagu-lagu klasik yang dhasilkan oleh Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee. Sekalipun Akta Pelindungan Harta Intelek diwar-warkan oleh kerajaan bagi melindungi hakcita dan royalti, tetapi tak membabitkan hukuman terhadap mereka yang 'memperkosa' karya terbabit. Misalnya lagu P. Ramlee 'Dengan Cinta Ku Bina Istana', bukan sekadar liriknya sahaja memukau perasaan malah melodinya menyentuh hingga menusuk ke kalbu. Sebaliknya lagu berkenaan dirakam semula oleh penyanyi lain dengan rentak yang konon nak memperlihat kehebatan penggubah muziknya. Kalau dah pandai menggubah begitu dan begini, kenapa tak cipta aje lagu lain bagi diperbandingkan dengan karya P. Ramlee yang klasik dan malar segar?
Memang saya terkedu apabila mendengar radio klasik nasional yang mengangkat lagu berkenaan sebagai salah satu lagu untuk pertandingan yang dianjurkan oleh stesen terbabit. Kenapa tak digunakan lagu asalnya yang dipetik dari filem 'Anakku Sazali'? Apalagi liriknya memang tak berubah, sebaliknya melodi yang entahlah! Kalau merujuk kepada lagu 'Tunggu Sekejap' yang dinyanyikan oleh Rafeah Buang, memang kita terpesona dengan suara lunak penyanyi itu sesuai dengan melodi lagunya yang menawan. Maknanya, apabila Rafeah Buang merakamkan semula, ianya menjadi lebih seronok didengar. Malah Dato' Ahmad Jais juga merakam semula 'Di Ambang Sore' yang pernah dipopularkan oleh S. Affandi, tetapi lagu berkenaan lebih menusuk perasaan daripada rakaman asal. Kalau mahu buat perubahan biarlah daripada yang baik kepada yang lebih baik, bukan berubah hingga rebah dan demam tak kebah!
No comments:
Post a Comment