Khalid-Taib Wajar Jalin:
K/Sama Utk Pahlawan Melayu
Assalamualaikum,
Tiga pilihanraya kecil sekarang dengan pengundian pada 7 April 2009 ini, sama penting apabila pelan peralihan kuasa dilaksana 3 April 2009, atau selepas Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap ke Istana Negara, 2 April 2009. Tumpuan rakyat Malaysia memang ke Istana Negara yang akan mendaulatkan kekebalan raja-raja Melayu yang digugat menerusi dua kali pindaan perlembagaan pada 1983 dan 1993. Alhamdullillah DUN Kelantan tak terikut-ikut dengan keputusan meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri pada 1993, tak tahulah kalau DUN Kelantan kembali ditawan UMNO. Pindaan perlembagaan yang sudah dilulus Parlimen, terpaksa dipertahan oleh PAS di Kelantan sekalipun menjadi 'Kerajaan Pasir Dua Butir' yang bersidang di bawah pokok dalam filem 'Laksamana Do Re Mi'. Heh heh he!
Bagaimanapun kerajaan negeri Selangor wajar juga bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak dalam isu memartabatkan 'pahlawan negara'. Isu 'pahlawan negara' sama penting dengan kedaulatan raja-raja, justeru kerajaan Indonesia sanggup berbelanja lebih RM250,000 untuk membina 'makam Tuanku Tambusai' di Rasah, Seremban yang diiktiraf sebagai 'Pahlawan Nasional' pada 1995. Tuanku Tambusai menentang Belanda di Rokan Hulu sekitar dekad 1830-an bersama Tuanku Imam Bonjol, tetapi atas kepentingan politik Tuanku Imam Bonjol tak tersenarai sebagai 'Pahlawan Nasional' pada period regim Presiden Suharto. Tak tahulah dengan Indonesia pasca Suharto, sama ada mengangkat Tuanku Imam Bonjol atau tidak sebagai 'Pahlawan Nasional'.
Syed Masahor adalah pahlawan Selangor yang melawan British pada 1872, malah orang-orangnya berjaya memanggal kepala pegawai tentera British, kemudiannya dicancang di tengah bandar Kuala Lumpur. Tetapi Syed Masahor bukan sekadar pahlawan Selangor, sebaliknya pahlawan Sarawak yang dikenali Shariff Masahor. Berdasarkan kajian Buyong Adil, Syed Masahor berasal dari Kalimantan, sekalipun tak dinyatakan tarikh berhijrah ke Selangor. Sementara Sharif Masahor bekas Gabenor Sarikei dibuang ke Singapura pada dekad 1850-an, dan meninggal dunia pada 1890. Kolonial British merahsikan pemberontakan Syed Masahor di Selangor daripada rakyat Sarawak, bagi mematahkan semangat mereka.
Sharif Masahor adalah orang yang sama dengan Syed Masahor; dan beliau meninggal dunia pada 1890 di Kerling, Hulu Selangor. Justeru masanya sudah tiba bagi kerajaan negeri Selangor untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak memartabatkan 'pahlawan Melayu' terbabit bagi kepentingan generasi akan datang. Pilihanraya kecil di Batang Air, Sarawak sekarang masa yang sesuai bagi kerajaan negeri Selangor dan kerajaan negeri Sarawak mengambil pendekatan bekerjasama dalam semua perkara. Kalau Sharif Masahor tak mengira di mana bumi dipihak, di situ langit dijunjung - Tan Sri Khalid Ibrahim dan Tan Sri Taib Mahmud juga wajar mengambil pendekatan yang sama - memartabatkan pahlawan Melayu berkenaan.
-Pak Dharma.
1 comment:
terimakasih atas info syed mahsyur mohon share sdra ku..syukran
Post a Comment