Masalah Pemimpin Melayu:
Tidak Sama Dengan Masalah Melayu

Sebenarnya tidak ada pun masalah Melayu dibincangkan dalam muktamar itu. Yang riuh rendah disuarakan ke angkasa lepas ialah perasaan tidak puas hati ketua-ketua dari kumpulan terbuang yang satu ketika dulu “pernah” menjadi pemimpin Melayu (malah ada di antara mereka yang sangat hebat dari segi kuasa dan pengaruh). Seperti biasa, mereka membangkitkan masalah raja-raja Melayu (tetapi tidak dibincangkan sama ada masih relevan atau tidak dalam politik moden berasaskan demokrasi), hak-hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu, masalah tanah di kalangan orang Melayu, dan perpecahan Melayu.
Kumpulan orang-orang terbuang ini satu ketika dulu memang dekat dengan raja-raja Melayu, malah ada di antara mereka yang begitu dekat hingga mereka berani mengacau hak raja-raja Melayu dengan membuang imuniti raja-raja yang kini mereka jeritkan sedang terancam kedudukannya. Kegagalan mereka menyelesaikan “masalah Melayu” dijadikan alasan untuk menghentam orang-orang bukan Melayu yang menurut mereka kini sangat berani menyoal kedudukan dan hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu. Sebenarnya merekalah yang menjadi masalah kerana kerakusan mereka sewaktu berkuasa untuk mempermainkan orang Melayu sebagai hamba politik mereka.

Contoh lain tentang Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut kumpulan terbuang ini, sekarang wujud gerakan tersusun untuk mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan, dengan menimbulkan masalah penggunaan nama Allah, masalah murtad dan lain-lain yang tidak boleh disentuh, tidak boleh dibincangkan kerana telah dijadikan perkara sensitif. Apakah punca yang disebut “masalah agama Islam” itu? Puncanya ialah para pemimpin UMNO menolak Islam sebagai asas tamadun, oleh itu dengan sengaja meletakkan Islam dalam keadaan yang lemah dan dikelirukan peranannya dalam kehidupan moden, dengan menjadikan Islam hanya satu “ritual” peribadi yang tidak mempunyai fungsi politik dan kemasyarakatan.
Orang bukan Islam melihat ini sebagai peluang untuk melemahkan Islam, yang mereka lihat dipinggirkan oleh para pemimpin Melayu sendiri, terutama dalam UMNO. Mereka tidak melihat kekuatan Islam sebagai pembina tamadun dunia moden, kerana peluang itu dinafikan dalam pembangunan di Malaysia dengan alasan bahawa Islam adalah punca kemunduran masyarakat. Oleh itu apa yang disebut “pembangunan” itu menjadi punca masalah sosial, misalnya pembangunan rumah untuk rakyat di kawasan banjir, dengan struktur rumah yang kecil, panas, sesak dan tiada tempat warganya berinteraksi secara normal (bukan dengan paluan gong memanggil mereka berkumpul untuk mendengar propaganda).

Andainya pembangunan bangsa dan masyarakat berlandaskan prinsip-prinsip Islam, yang mengutamakan keadilan, keselamatan, keamanan dan persaudaraan, maka kritikan terhadap Islam dijawab sendiri kalam bentuk pembangunan yang demikian cirinya tadi. Dalam keadaan itu, jika sekiranya timbul persoalan penggunaan nama “Allah”, tentang murtad (yang menurut angka tidak rasmi sudah mencapai setengah juta di kalangan orang Melayu) dan hak-hak wanita, maka para pencabar tadi boleh ditangani secara rasional dan terbuka dengan mencabar mereka untuk membuktikan bahawa mereka boleh memberikan keadilan, keselamatan, keamanan dan persaudaraan seperti yang dianjurkan dan dipraktikkan dalam Islam.
Apakah dengan membenarkan mereka menggunakan nama “Allah” dalam propaganda keagamaan mereka, maka mereka dapat menjamin wujudnya keadilan, kesejahteraan, keamanan, persaudaraan dan sebagainya yang diberikan oleh Islam dalam bentuk pembangunan ekonomi dan masyarakat? Apabila prinsip Islam itu ditolak sebagai asas pembinaan tamadun, maka sudah wajar dan munasabah jika Islam dicabar oleh orang bukan Islam dalam konteks yang mereka lakukan sekarang.
Mereka sebenarnya menyuarakan perasaan meluat melihat penyelewengan dalam pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan yang mereka alami sekarang. Jawapan kepada cabaran yang disebutkan itu ialah dengan menjadikan Islam asas pembinaan tamadun moden. Tetapi ini ditolak oleh para pemimpin Melayu dari kumpulan terbuang yang begitu lantang menjeritkan kelemahan orang Melayu, agama Islam, kedudukan raja-raja Melayu dan sebagainya, yang mereka sendiri lakukan dalam kerakusan mereka merebut kuasa dan mengumpul kekayaan peribadi.
(

No comments:
Post a Comment