Monday, March 9, 2009

DARI LAMAN BLOG

DARI LAMAN BLOG:

PEJUANG BAHASA SEKADAR BERSENJATA:
PENA, KOMPUTER DAN BLOG UNTUK BERSUARA.

Assalamualaikum,

Penggunaan kekuatan polis yang keterlaluan bagi menghalang kebangkitan rakyat, tak seharusnya menjadi kebanggaan pihak pemerintah seperti ditunjukkan dalam insiden 7 Mac 2009. Pejuang-pejuang bahasa sekadar bersenjatakan pena, bukan bom peledak atau istinggar yang dihalakan ke dada sesiapa. Mereka sekadar mahu menyampaikan suara hati nurani kepada raja yang memerintah; mudah-mudahan baginda akan menolak bakal ketua parti UMNO naik ke singgahsana Perdana Menteri. Alahai! Pada period penjajah kolonial British menggunakan kekuatan polis menangkap pemimpin-pemimpin rakyat, tetapi kekuatan polis tak bermakna apabila rakyat melancarkan hartal pada 1948.

Pada dekad 1960-an, kekuatan polis juga tak mampu menghalang 'hartal' yang dilancarkan rakyat pada 1967. 'Hartal' ialah dikategorikan kepada protes yang lebih berhemah daripada demonstrasi yang dianggap oleh Tan Sri Rafidah Aziz tak sesuai digerakkan. Mungkin sahaja yang sesuai bagi Tan Sri Rafidah ialah menghantar SMS kepada pimpinan Wanita yang tak berhasrat menyokongnya, di samping melepaskan keberangan yang tiada tara. Memang saya pernah membaca SMS Tan Sri Rafidah yang dihantar kepada beberapa pemimpin Wanita, tetapi bolehlah diklasifikasikan sebagai heh heh heh! Apalagi majoriti pimpinan Wanita mahu Tan Sri Rafidah berundur, berundur dan berundur.

Sebelum 'hartal' digerakkan pada 1948, kepongahan polis Jepun yang dikenali 'kempetei' juga tak mahu menghalang kebangkitan rakyat dengan gerakan Force 136, MPAJA dan Wataniah secara gerila. Pada 1967 digerakkan 'hartal', diikuti 1970-an kekurangan bekalan beras, sukar memperoleh bekalan minyak tanah (krosine), melilau mencari bekalan cili kering, malah tak keruan apabila syiling lima sen disorok. Segala perilaku berkenaan tak mampu ditangani dengan kekuatan polis. Lainlah tindakan fizikal yang digerakkan oleh Tok Janggut Haji Mat Hassan atau Tuan Guru Abdul Rahman Limbong mudah dipatahkan oleh kolonial British. Apalagi kekejaman kolonial British disembunyikan oleh media yang dikuasai oleh kolonial British ketika itu.

Kekejaman di Jenderam, Kajang pada 1951 misalnya dilindungkan oleh media-media yang berfungsi sebagai penitir canang yang bobrok. Perkampungan di Jenderam dibakar hangus, di samping orang tua, wanita dan kanak-kanak disumbat ke balai polis Kajang sebelum dibuang ke Johor dengan tak melalui 'mahkamah'; kerana "Itu Undang-Undang Dato' (Musang Berjanggut) yang bikin!". Segala keperongosan, kepongahan dan kebobrokan kolonial British mahu dilestari oleh UMNO menerusi pendekatan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak apabila menangani pejuang-pejuang bahasa yang sekadar bersenjatakan pena. Secara fizikal Dato' Dr Hassan Ahmad mahu pun Dato' Dr A Samad Said bukanlah segagah Hang Jebat atau Megat Seri Rama; apalagi usia mereka juga sudah melewati (bukan liwat) 70-an.

Memang saya bersama rakan-rakan seperti Yahaya Ismail, Profesor Dato' Dr Mohamad Mansur Abdullah, Yassinsalleh, Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz, Mohd Affandi Hassan, Zakaria Bidin, Haji Bakar Ningal, L Mankadir Shamsi, Haji Suhaimi Said, dan lain-lain secara fizikal memang tak larat. Kalau pimpinan muda bersedia perjuangkan isu Bahasa Melayu seperti Dato' Seri Dr Khir Toyo, Dato' Suhaimi Ibrahim, Ezam Mohd Noor, Rozmal Malakan, Nizam Hamid atau kalangan penulis-penulis muda mahu ke hadapan, kami golongan warga emas bersedia berundur. Penampilan Dato' Dr Hassan Ahmad, Dato' Dr A Samad Said, Dato' Dr Muhammad Haji Salleh di saat-saat kami memerlukan memang rahmat yang sungguh menakjubkan. Alhamdulillah.

-Pak Dharma

1 comment:

Seladang said...

Siapakah yang mendirikan benteng memisahkan istana dengan rakyat?

layarilah blog:

http://tokperan.blogspot.com