Masih Adakah Ahli Politik:
Yang Layak Bicara Fasal Rasuah?

Peraturan ini cantik dan adil kerana ia memberi peluang kepada para perasuah untuk dibebaskan daripada perbuatan rasuah, dengan itu perbuatan rasuah tadi bertukar menjadi satu kesilapan pihak yang menjatuhkan hukuman. Dengan itu semuanya menjadi masalah teknikal yang boleh dipinda-pinda apabila keadaan memerlukan. Pada hakikatnya apa yang dikatakan perbuatan rasuah itu tidak wujud; yang wujud ialah tuduhan yang disalah tafsir oleh badan yang menjatuhkan hukuman. Jadi tidak ada rasuah dalam UMNO, kerana tidak seorang pun ahli UMNO bertindak memberi dan menerima rasuah. Apa yang terjadi hanyalah perpindahan wang, kemudahan, jamuan, hadiah, dan sebagainya.
Semua itu mencirikan tingginya sifat persaudaraan dalam UMNO, yang begitu aktif membahagikan kekayaan yang mereka perolehi hasil tindakan politik mereka yang cekap, yang kesemuanya mengarah kepada pembelaan kepada rakyat. Maka itulah sangat aneh apabila para pemimpin yang pemurah itu dihukum, padahal sifat pemurah itu adalah salah satu sifat mulia dalam persaudaraan UMNO. Membantu sesama sendiri dalam konteks yang disebutkan itu adalah perbuatan mulia dan terpuji di kalangan ahli-ahli UMNO dalam persaudaraan politik yang matlamatnya membela rakyat dan memajukan negara.

Sebenarnya inilah juga pandangan ahli-ahli politik bukan UMNO. Mereka juga menyokong apa yang disebut perbuatan rasuah itu sebagai sebahagian daripada sifat pemurah ahli-ahli politik yang bertarung sengit untuk memikat hati pengundi dan untuk memastikan mereka menang pilihan raya. Kemenangan itu perlu direbut daripada tangan pihak lawan dengan menggalakkan perbuatan rasuah di kalangan rakyat sendiri. Rasuah ini dijelmakan dalam berbagai-bagai bentuk, misalnya melalui bantuan segera, menurap jalan rosak yang selama ini tidak dipedulikan, membetulkan rumah senget yang selama ini hanya terbiar tanpa sebarang minat daripada sesiapa pun untuk membaikinya, atau memberi hadiah dalam pelbagai bentuk: anak ayam, kain pelikat atau kain sarung, beras, gula, biskut, dan lain-lain.
Yang pemurah itu ialah pihak yang memegang kuasa, yang banyak wang, yang mempunyai pegawai dan kakitangan kerajaan yang boleh dikerah untuk mendengar ceramah (satu jenis rasuah juga) atau menyediakan wang untuk projek khas dalam pilihan raya. Pihak yang tidak dapat membalas sifat murah hati UMNO ini menggunakan kemurahan hati UMNO itu sebagai senjata untuk menikam balik pihak pemurah dengan memberi sokongan kepada rasuah politik tadi. Satu masa dulu terkenal kata-kata hikmah yang berbunyi begini: “Beri wang ambil, beri beras tanak (masak), beri gula kacau, beri kain pakai, beri kambing pelihara, beri ayam sembelih; tapi bila tiba hari mengundi, tetap undi yang itu juga.” Pada ketika itu strategi ini dianggap sangat bijak, apatah lagi bila kata-kata hikmah itu keluar dari orang agama yang dihormati.

Jadi sama ada UMNO atau bukan UMNO, kedua-duanya menerima rasuah sebagai senjata penting dan menentukan dalam pilihan raya, oleh itu mesti digalakkan di kalangan pengundi. Akhirnya tidak ada seorang pun daripada ahli politik ini yang tidak rasuah atau yang tidak menyokong rasuah. Hanya bentuknya saja yang berbeza, matlamatnya sama: untuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya. Oleh itu, orang politik tidak berhak bercakap tentang penghapusan rasuah, kerana dalam hidup mereka sebagai ahli politik memberi dan menerima rasuah itu adalah “nasi makan air minum” mereka. Apakah hujah anda untuk menolak kesimpulan ini? (19/3/2009)

No comments:
Post a Comment