Tuesday, March 17, 2009

Perhimpunan Melayu PERKASA:

Dua Perkara Dr M Perlu Jelaskan:
Kekebalan Raja-Raja dan Isu PPSMI!

Perhimpunan Melayu yang dianjurkan oleh Pribumi Perkasa (PERKASA) 22 Mac 2009 ini di Dewan Sukan TNB, Bangsar dianggap sebagai platform bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkempen membantu anaknya Dato' Mukhriz Mahathir memenangi jawatan Ketua Pemuda, kata aktivis budaya Melayu di Pahang L. Mankadir Shamsi. Dalam masa pesaingnya Khairy Jamaluddin diberi amaran oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin Ismail, laluan Mukhriz lebih mudah sekiranya menentang Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, beliau menjelaskan. "Undangan daripada PERKASA juga penuh misteri kerana tak disebut tetamu khas yang dijemput, kecuali melayari laman web pertubuhan itu," beritahu Mankadir menambah ketika mengulas perjumpaan tersebut.

Seterusnya Mankadir meminta PERKASA berterus terang mengakui kepada umum pengerusi mereka ialah Dato' Ibrahim Ali, bukan menampilkan timbalannya Dato' Fuad Hassan. PERKASA juga menurut Mankadir tak memberitahu Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama dalam kad jemputan seolah-olah mahu mengelirukan orang ramai. Kata Mankadir, orang Melayu sukar memaafkan dosa-dosa Dr Mahathir selagi beliau tak mahu mengakui kesalahannya dalam isu PPSMI dan menghapuskan 'kekebalan' raja-raja Melayu. Memang melucukan Dr Mahathir mahu menjadi juara Melayu, apabila tangannya berlumuran dengan dosa mengkhianati bangsa Melayu. "Biarlah ahli-ahli UMNO terpedaya dengan sandiwara 24-28 Mac 2009 ini, tetapi bangsa Melayu perlu bersatu menolak UMNO," menurut Mankadir.

No comments: