Sunday, March 8, 2009

YASSINSALLEH BERPUISI

Sehari Selembar Benang

Sehari selembar benang
mencarik pakaian
lambat laun akan telanjang.


Sehari sepatah kata
menoda bahasa
lambat laun kita hilang tamaddun bangsa..


Sehari seorang menteri
memperkaya diri sendiri
lambat laun tergadai negeri.


Sehari sekali ditembakkan
gas pemedih mata
lambat laun rakyat
tak nampak lagi istana.


Kepada siapakah lagi
tempat mengadu
ke air itik mati kehausan
ke kepuk ayam tak dapat
makan padi.


Bersuara akan jadi penghuni penjara
berpakat akan ditangkap
berkonspirasi menegakkan hak
akan dihukum penderhaka.


Makanya, untuk selamat
menjamin sejahtera duhai Melayu
teruslah kamu bisu dan dungu
teruskanlah memperkemas perhambaanmu
dan gilaplah bijaksanamu
mengampu dan membenteng
para pemimpinmu
meniduri anak isterimu.
dan kalau perlu biarkanlah
mereka berkongsi
menjimak ibumu.


Jangan sekali-kali lagi
kalian mengeluh
nikmati sahajalah habuanmu
dan dengarkan sajalah
tanpa gundah
perihal keraton yang sudah
entah ke mana penghuninya.

-Yassinsalleh
Pucong Perdana
8 Mac 2009.
4:24:25



Pok Amai-Amai


Pok amai-amai
pok amai-amai
belalang kupu-kupu
tepuk adik pandai
nanti malam upah susu.


Susu lemak manis
santan kelapa muda
rakyat jangan nangis
menteri rasuah kita ada.


Pok amai-amai
belalang makan kutu
undi ramai-ramai
rakyat jadi penentu
bila kira undi
yang menang masih juga hantu.


Janji tinggal janji
rakyat tambah susah
dari ketua cawangan
sampai menteri
kekayaan bertambah-tambah
atas mimbar bercakap gagah
dalam bilik nikmat amat bermukah.


Makanya, kau Melayu
jangan mengeluh
menimbang nasib mereka
di situ dan begitu
kerana demikianlah kehendakmu.


Tepuk amai-amai
belalang kupu-kupu
Melayu jadi demikian
sebab Melayu mahu terus begitu
selesa jadi dungu
bangang macam lembu
aduhai Melayu, Melayu!

-Yassinsalleh
Kuala Lumpur
6 Mac 2009
23:33:44.

No comments: