FRU DIKERAH KE MASJID NEGARA:
RAKYAT DIHALANG MENEMUI RAJANYA
RAKYAT DIHALANG MENEMUI RAJANYA

Menurut apa yang saya difahamkan, surat izin daripada pihak polis hanya membenarkan untuk mengadakan perhimpunan sahaja, tetapi tidak memberi kebenaran untuk berarak beramai-ramai ke Istana Negara. Sedangkan tujuan utama kenapa gerakan ini mesti berarak ramai-ramai adalah bagi membuktikan kepada Menteri Pelajaran bahawa gerakan menentang PPSMI ini bukan hanya suara daripada rakyat minoriti sebagaimana yang didakwanya sahaja, sebaliknya ia adalah gerakan besar-besaran daripada cetusan rasa tidak puas hati dan bantahan rakyat secara keseluruhan.

Kemudian buat dalih mengatakan kononnya orang ramai yang tidak ikut peraturan, dan tidak hiraukan amaran! Saya mengaku, bahawa memang pada ketika itu tidak siapa lagi mahu dengar amaran dan larangan. Semangat yang telah berkobar-kobar itu bertukar menjadi perasaan sentimen melawan yang tinggi. Akhirnya, dalam kekecohan begitu, sudah tentulah ramai mereka yang disyaki dan ditahan untuk disoal siasat pihak polis dan berkesudahan dengan penahanan 8 orang yang dikatakan bertujuan untuk membantu pihak polis melanjutkan penyiasatan kononnya.
Saya amat berharap kepada pihak polis, agar mereka yang ditahan ini janganlah pula diapa-apakan, atau mereka ini dikasari pula. Mereka ini terdiri daripada bangsa Melayu yang bersemangat jitu, yang ingin mendaulatkan semula bahasa ibundanya, iaitu bahasa yang sama digunakan oleh anggota polis yang menahannya itu. Oleh itu tidakkah pernah terbetik di dalam hati sanubari anggota polis itu nanti, bahawa anak-anak mereka di sekolah masing-masing terkial-kial belajar matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris?


Kalaulah anda benar-benar sudah sedar, itu suatu yang amat bagus! Oleh yang demikian, elok benar kalau kalian bangun menentang dia! Mari kita sama-sama tulis surat dan tandatangani ramai-ramai, buat undi tak percaya terhadapnya. Minta dia turun daripada menerajui Kementerian Pelajaran sekarang ini juga. Jangan biarkan dia meneruskan niat jahatnya sehingga anak cucu cicit kita semua dilaknatnya. Kalau dia nak laknatpun, biarlah kepada anak-anak dan cucu cicitnya sahaja yang dilaknatinya.
Tambah lagi apabila dia mencabut keris, dan peristiwa itu menjadi gawat sekejap, ini membuatkan sanjungan kami anak-anak Melayu jati atas keberaniannya itu melambung sekali. Tetapi, malangnya apabila dia menarik balik dan mengakui kebodohan dan kebiadabannya itu, kami menganggap dia bacul! Kami pun sudah mula hilang keyakinan! Dan sekarag dia memang sudah sah dan nyata tidak bermaruah lagi. Dia sudah tidak ada harga diri langsung. Sumpah, saya tidak menyangka sama sekali bahawa dia seorang anak orang besar-besar, tetapi perangainya pula macam anak melarat yang tak berdarjat!
Jangan hanya mendengar cakapdan pengaduan orang-orang di sekeliling YB saja. Ini disebabkan mereka itu hidupnya memang ibarat pecacai yang meminta dan menadah tangan sahaja. Lupakah YB perumpamaan Melayu ada mengatakan, jikalau hendak tahukan kebaikan seseorang itu, tanyalah kepada rakan karibnya, dan kalau hendak tahu kejahatan seseorang itu pula tanyalah kepada seteru dan lawannya! Bertindak begitu, barulah bijaksana namanya. Kalau tidak, YB hanya bersaksikan lutut selama-lamanya…dan YB akan dikelentong orang sahaja sudahnya!
Mengulas bicara Pak Lah dalam TV malan tadi yang telah mengeluarkan kenyataan yang jelas kelihatan dia amat kecewa dan kesal sekali. Sehinggakan suaranya mendatar sahaja bunyinya. Jika dilihat daripada nada suaranya amat hambar dan sedih, namun, isinya seperti mengancam dan memberi kata dua kepada YB Hishamuddin. Jadi, YB Hishamuddin kena buat keputusan muktamad sekarang, sama ada dia masih mahu berkeras meneruskan PPSMI atau sebaliknya? Kata-kata begini memang besar ertinya. Pak Lah sendiri mengaku bahawa dia juga menerima desakan demi desakan yang semakin lama semakin besar dan kuat.
Jikalau YB Hishamuddin masih terus bertegak dengan pendiriannya, tak tahulah apa akan jadi kalau Melayu sudah hilang pertimbangan dan kesabarannya! Sepatutnya YB Hisahmuddin sedarlah diri...jikalau sudah sampai Pak Lah terpaksa berdehem-dehem begitu, kenalah berlagak bijaksana dan tidak lagi meneruskan aksi angkuh dengan sentimen kerasnya macam orang gila kuasa! Kalau YB Hishamuddin tidak mahu berganjak dari pendiriannya, saya yakin, akan datang, lagi besar perhimpunan diadakan kerana kami semua mahu membuktikan kepadanya bahawa gerakan kami ini bukan lagi gerakan GMP yang hanya diwakili oleh segelintir rakyat, tetapi sebenarnya, ia adalah lambang dan mewakili suara rakyat majorit!
Apakah Hisghamuddin pekak telinganya lagi dan masih berusaha mahu mengempang air deras dari gunung? Takut nanti YB sendiri akan dihanyutkan oleh air deras itu pula. Sedarlah YB, kerana kesombongan, keangkuhan dan kebobrokan anda, parti lawan yang tidak fasal-fasal tumpang sekaki, mencari palform. Mereka hanya sekadar menyokong gerakan GMP membasmi perlaksanaan PPSMI sahaja, dan mereka sebenarnya tidak menunggang kami, atau menggunakan kami, kerana perjuangan ini adalah perjuangan kami semua.
Padahal, kalau YB betul bijaksana dulu, YB jangan peduli enam atau tujuh tahun PPSMI sudah terlaksana, tetapi anda dengan berani bangun tegak mencabut keris sekali lagi bagi mendaulatkan semula Bahasa Melayu itu dengan cara menarik balik penggunaan PPSMI, saya kira YB adalah jagkami yang terbilang dan akan kekal diingati rakyat sampai ke mati, sebagaimana Hang Jebat yang tampil menyanggah penindasan minda oleh Sultan Melaka dan konco-konconya. Justeru itu, belum terlambat YB, kerana masanya sudah tiba, sepatutnya YB bersembahyang Istiqarah, minta Tuhan tunjukkan jalan yang benar.
Jangan minta pendapat orang-orang yang mengampu bodek di sekeliling YB sahaja. Apa yang saya khiuatirkan, nanti YB sendiri yang akan kena main, macam YAB Timbalan Perdana Menteri ketika pilihanraya 1999 dulu. Bila dia tanya pada juak-juak dan pecacainya, semua kata, everything Ok, Boss! Natijahnya, cemas-cemas lagi periuk nasinya tidak terlingkup.! Ha, begitulah pengajaran buat YB Hishamuddin yang kami sayangi. Maka kembalilah YB ke pangkal jalan macam yang dilakukan oleh YAB TPM dahulu. Dia melihat dirinya kembali, mencari mana-mana kesilapan, dan kelemahan sambil beliau cuba memperbaikinya pula.
YAB tidak mudah lupa dengan pesanan datuk neneknya Orang Besar Berempat Pahang, bahawa tidak ada gading yang tidak retak. Jadi, beliau mengambil pendekatan yang bijaksana, lalu percaya bahawa tidak ada bocor yang tidak boleh ditampal. Insya-Allah bahtera yang bocor pun boleh kembali belayar dengan selamat kalau ditampal dengan baik. - Wak Semar memang sukakan pemimpin yang mahu kembali ke pangkal jalan setelah tersesat di hujung jalan.
No comments:
Post a Comment