Penyingkiran Tokoh:
Bukan Peralihan Kuasa
Sekali lagi UMNO mengemukakan skrip baru untuk sebuah cerita lama yang jalan ceritanya tetap sama: ketua UMNO bertukar ganti untuk dipilih menjadi Perdana Menteri, tidak peduli rakyat suka atau tidak, asalkan dapat memuaskan syahwat politik UMNO yang sentiasa berkobar-kobar. Kini anak sulung Tun Razak dilantik menjadi Perdana Menteri keenam dalam kelam kabut rasuah politik dalam UMNO.

Lebih menggembirakan UMNO ialah pulangnya Si Luncai ke perahu buruk mereka yang selama 22 tahun lebih ketika Si Luncai berada di dalamnya sambil menebuknya sehingga karam terus di bawah tadbiran keluarga Badawi, dan kini naiklah “nakhoda” baru yang menjeritkan slogan “UMNO menakhoda sejarah” sekali lagi. Retorik UMNO ini sangat hebat dan akan terus hebat selagi orang Melayu tidak seluruhnya cerdik sehingga dapat melihat kelentong UMNO, yang walaupun sangat jelas, tidak dapat ditafsirkan oleh Melayu yang diperbodohkan.

Semua undang-undang itu tidak bermaksud untuk menjaga rakyat, tetapi untuk mengekalkan kuasa. Jika perlu diubah, maka akan dikaji berulang kali untuk membuat perubahan semu yang akan terus mengekalkan kuasa sang nakhoda. Ketika menjadi nakhoda setelah Tunku disingkirkan (dengan kerelaannya), Tun Razak menenggelamkan Kapal Layar untuk digantikan dengan dacing, yang kekal hingga sekarang. Adakah dacing akan dihumban ke Laut China Selatan apabila anak Tun Razak mengambil alih kuasa Negara Satu Malaysia? Kalau mahu ikut sejarah, ketika Kelantan diperintah oleh seorang raja perempuan, lambangnya ialah kijang.
Tetapi lambang itu sudah diambil oleh Bank Negara, oleh itu tidak boleh dicuri lagi. Yang ada cuma harimau dan seladang. Kedua-duanya terkenal liar dan bengis dalam tabiat masing-masing, dengan seladang tetap kalah dalam mempertahankan anak buahnya daripada diserang harimau. Mana-mana satu pun diambil, atau tidak diambil, kedua-duanya pernah menjadi lambang orang Melayu: satu untuk kerajaan, satu untuk rakyat. Tidakkah ini sangat cantik? Harimau tetap membaham seladang kerana itulah makanannya. Belum ada lagi cerita harimau mempertahankan seladang, kecuali ketika berebut bangkai seladang yang jadi makanan mereka. (4/4/2009).

No comments:
Post a Comment