Monday, May 11, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo

Anak harimau jangan diajar:
Makan daging ketika ia lapar

Arakian penitir-penitir canang yang suka menyurat berasa hampa akan Orangkaya Tuan Guru Dato' Seri Hadi Awang itu tak dilawan menjadi penghulu segala anak-anak buah harakah Islam (PAS) di negeri Melayu itu. Adapun penitir-penitir canang itu sudah menjadi kebiasaan melaga-lagakan siapa sahaja yang tak bersetuju dengan harakah Melayu (UMNO). Maka tak henti-hentilah penitir-penitir canang itu berharap akan Orangkaya Nasharuddin Mat Isa akan ditentang ia untuk jawatan Timbalan Penghulu.


Syahdan akan Haji Muhammad Sabu juga disebut-but orang akan melawan Orangkaya Nasharuddin itu, adanya. Sebermula penitir-penitir canang itu juga berharap Orangkaya Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Abdul Razak dan Orangkaya Dato' Husam Musa akan ikut sama berlawan. Adapun penitir-penitir canang itu bukanlah menyurat untuk kepentingan bangsanya, kerana mereka itu mahu menyara hidup anak isteri. Maka fakir pun berfikir di dalam hati, penitir-penitir canang merasakan sudah khatamlah belajarnya. Maka diperbuat orang banyak pantun:

Ketitir kunang-kunang
Gagak bulunya hitam
Penitir-penitir canang
Banyak kaji tak khatam

Kata sahibul hikayat, ada seorang orang salah berdosa pada baginda, salahnya itu tida berapa bina. Maka oleh Seri Maharaja disuruhnya bunuh orang itu. Maka kata Bendahara Paduka Raja, "Hai, hai, lihatlah Seri Maharaja; anak harimau diajarnya makan daging, dia kelak akan ditangkapnya." Maka pada ketika itu Seri Bija Diraja datang dari Singapura. Sebermula fakir diberitahu akan Seri Maharaja itu apabila menjadi bendahara, dialah yang dibunuh oleh Sultan Mahmud bersama semua keluarganya sekali, seperti dirawi dalam 'Kitab Melayu' daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: