Mengkritik raja Melayu:
Jahat sungguh Abdullah Munsyi

Kalau beliau masih hidup, tak ada halangan baginya masuk UMNO; tapi kenalah bakar kitab-kitabnya terlebih dulu dan bersumpah di mana-mana tempat yang sesuai tak mahu menderhaka lagi (kepada sesiapa sekali pun). Abdullah membuat komen itu ketika mengulas tabiat anak-anak raja Kelantan ketika itu yang pemalas, zalim memeras rakyat, rampas harta rakyat walau sebiji beras sekali pun, dan paling buruk kuat sungguh hisap ganja, candu dan segala benda yang memabukkan dan mengkhayalkan.

Tetapi ada satu perkara yang menjadi idaman semua rakyat, terutama rakyat Perak. Apa agaknya komen Abdullah Munsyi sekiranya dia lihat sendiri, macam di Kelantan, peristiwa yang berlaku di Perak. Adakah beliau akan ulang kata-katanya yang dikutip di atas? Tidak mungkin Abdullah mengulangnya, kerana risikonya sangat besar. Abdullah yang cerdik dan menerima pendidikan terbaik daripada Inggeris, tidak akan menyusahkan dirinya menulis sesuatu yang benar jika dengan berbuat demikian dia akan masuk bilik tahanan kerana menghasut dan mencaci raja-raja Melayu.

Kini setelah merdeka, di bawah lindungan siapa pula yang membolehkan kita bercakap benar? Barulah kita tahu, jika kita pakai otak sedikit, kita tidak mempunyai pelindung itu. Perlembagaan? Tikus pun akan tertawa jika ada manusia yang mengharapkan pergantungan kepada Perlembagaan. Apa juga yang ada dalam Perlembagaan hanya berguna jika anda berkuasa. Sekali lagi Abdullah lebih hebat daripada kita semua, padahal menurut kita dia berada di bawah penjajahan Inggeris, malah ada yang kata dia talibarut Inggeris.
Tapi kita yang tidak jadi talibarut sesiapa ini, mengapa tidak boleh bercakap benar? Kita mahu tahu mengapa kegilaan yang berlaku di Perak itu terjadi dan berlarutan pula. Siapa punya kerja? Perlembagaan tidak membenarkan kita bercakap, tetapi untuk terus menutup mulut tidak boleh, kerana kebenaran tidak mungkin ditutup oleh sesiapa sekali pun. Mesti ada tokoh atau tokoh-tokoh yang bersalah dalam kes ini. Alangkah baiknya jika ada di antara kita seorang Abdullah Munsyi abad 21 yang seberani dan setulus beliau. Dalam keadaan sekarang, kita hanya boleh bermimpi. Tetapi mimpi itu pun mesti ikut Perlembagaan.
Demikianlah hebatnya undang-undang Malaysia yang kita semua bikin dan luluskan. Akhirnya kita semua harus terima amaran orang tua-tua kita dalam dongeng mereka: kita tidak boleh percaya kepada undang-undang beruk dan kepada hakim beruk. Bilakah pula cerita ini akan diharamkan dalam Dewan Rakyat melalui peruntukan Perlembagaan? Selagi dongeng itu tidak diharamkan, selama itulah rakyat akan terus bertanya untuk mencari kebenaran. Kecuali jika kebenaran itu sendiri pun telah ditelan oleh Sang Beruk. (14/5/2009).

No comments:
Post a Comment