Monday, June 29, 2009

AFFANDI SARAN DBP JADI MUZIUM

JADIKAN DBP SEBUAH MUZIUM
BUDAYA DAN TAMADUN MELAYU (MBTM).

Kemunculan DBP dalam tahun 1956 adalah hasil Kongres Kebudayaan Melayu di Johor, di Bukit Senyum. Pengarah pertama DBP ialah Ungku Aziz, kemudian diikuti oleh Syed Nasir Ismail. Zaman gemilang DBP ialah ketika diterajui oleh Syed Nasir. Beliau seorang ahli politik yang lantang dan seorang pejuang bahasa Melayu yang keras mempertahankan maruah bahasa Melayu dalam negara Malaysia merdeka. Selepas Syed Nasir terdapat beberapa Ketua Pengarah, tetapi yang paling penting ialah Dr. Hassan Ahmad. DBP boleh dikatakan gemilang, tetapi tidak sehebat ketika diterajui Syed Nasir, di bawah pimpinan Hassan Ahmad.

Selepas itu, DBP menjadi sangat malap, malah sudah terang jelas DBP dianggap oleh ramai rakyat Malaysia tidak lagi relevan sebagai sebuah organisasi bahasa dan sastera. Satu ketika, kita mendengar DBP cukup banyak menandatangan MOU dengan beratus oraganisasi dunia. Tetapi hasilnya hanya huha-huha sahaja, tidak kelihatan bekasnya, malah para pegawai DBP sendiri mempermainkan dan memperolokkan saja MOU yang begitu banyak tetapi kosong itu.

Di kalangan para pegawai dan kakitangan DBP cukup terkenal ungkapan “KP 15 minit”, yang menggambarkan cara tadbir Ketua Pengarah yang hanya berada 15 minit di pejabat kerana terlalu banyak membuang masa merayau-rayau di luar negeri untuk misi yang tidak diketahui matlamatnya. Setiap pertemuan di luar negeri akan dihadiri oleh KP 15 minit itu. Kata para pegawai dan kakitangan DBP, itulah zaman paling gelap dalam pentadbiran DBP. Suaranya kedengaran kuat, tetapi hasilnya tidak ada. Jauh lebih baik suara katak, sekurang-kurangnya turun juga hujan.

Kini DBP semakin gelap, dengan pimpinan baru yang dipersoalkan orang di sana sini kewajarannya. Ramai yang berkata dan berpendapat, apa yang diperlukan DBP bukan “tokoh bahasa atau sastera” atau pegawai kerajaan yang bersara. Yang diperlukan DBP ialah seorang pengurus yang cekap dan berpengalaman, yang tugasnya bukan untuk mencari publisiti atau mengambil hati para sasterawan dan ahli bahasa. Tugas utamanya ialah memastikan DBP mempunyai arah yang betul sebagai sebuah organisasi moden. Arah yang betul itu, kata para pengkritik DBP, ialah menentukan penerbitannya benar-benar berkualiti dari semua aspek. Ini tidak berlaku di DBP.

Buku-buku yang diterbitkan tidak diedit dengan baik, malah kata mereka tugas editor tidak jelas kepada kakitangan DBP. Bagi mereka, editor itu hanya pembaca pruf saja. Mereka tidak kenal editor sebenar yang tugasnya membantu penulis menjadikan manuskrip yang diedit itu menjadi lebih baik, lebih sempurna dari segi struktur, gaya, dan penonjolan idea. Dalam keadaan sekarang, editor yang hanya berfungsi sebagai pembaca pruf, akan menerima atau menolak manuskrip berasaskan cita rasa peribadi, atau sejenis kefahaman yang sangat cetek tentang mutu dan gaya persembahan.
Dengan kata lain, mereka tidak profesional. Mereka hanya bekerja sebagai kakitangan biasa yang tidak memberi perhatian kepada perkembangan ilmu. Kata para pengkritik DBP, mereka tidak relevan dan sangat jauh ketinggalan zaman dari segi profesion sebagai editor, atau dari segi penguasaan ilmu. Mereka tidak langsung mempunyai tokoh seorang editor yang disegani dan cekap dalam bidangnya. Mereka hanya makan gaji. Bagi para pegawai bahasa dan sastera pula, para pengkritik DBP yang didengar merungut sepanjang masa ialah betapa sempitnya sikap mereka terhadap bahasa dan sastera, dengan memberi fokus hanya kepada nahu (bagi pegawai bahasa) atau karya sastera (bagi pegawai sastera).

Mereka tidak berminat kepada ilmu, oleh itu mereka tidak dapat menerima pembaharuan oleh sebab pengalaman intelektual mereka sangat terbatas. Sebagai contoh, bahasa Melayu menjadi kaku tidak bermaya dan kacau apabila dilihat dari aspek nahunya sahaja, tidak aspek pemikirannya. Tidak ada buku yang diterbitkan DBP yang membicarakan peranan bahasa sebagai cermin tamadun bangsa Melayu, misalnya dengan membicarakan penggunaan istilah dalam budaya, bahasa dan sastera, politik, falsafah, sejarah dan lain-lain bidang ilmu yang dicipta dan dipakai oleh para pemikir Melayu seperti Za’ba, Prof. Syed Naquib al-Attas, Dr. Burhanuddin, Syed Sheikh Al-Hadi, Abdul Rahim Kajai, Ishak Hj. Muhammad dan lain-lain.

DBP juga tidak berminat menerbitkan karya lengkap tokoh-tokoh tadi dan tokoh-tokoh lain yang setanding dengan mereka. DBP hanya menerbitkan karya popular mengenai sasterawan negara, yang tidak mendalam analisisnya dan tidak kritis pendekatannya.Itulah antara perkara yang kerap didengar menjadi teguran dan rungutan orang ramai serta ahli-ahli akademik. Kegagalan DBP mamainkan peranan sebagai sebuah organisasi ilmu menyebabkan ramai yang menganggap DBP sudah tidak relevan lagi dan harus ditukar peranannya kepada fungsi baru yang lebih senang diurus dan lebih mudah dikendalikan oleh kakitangan DBP yang begitu ramai sekarang, yang tidak begitu produktif dalam sistem sekarang.

Cadangan orang ramai dan ahli akademik ialah DBP ditukar fungsinya yang gagal disempurnakan itu kepada tugas yang lebih mudah sebagai Muzium Budaya dan Tamadun Melayu (untuk sementara waktu diringkaskan saja menjadi MBTM). Yang akan dipamerkan ialah kemajuan tamadun Melayu dari segi penulisan dan pemikiran, bukan artifak seperti yang dipamerkan dalam muzium biasa. Di situ akan ditunjukkan dokumentasi yang lengkap hasil karya tokoh-tokoh budaya dan tamadun Melayu, terdiri daripada ulama, ahli politik, ahli bahasa, seniman rakyat, ahli falsafah, ahli ekonomi, ahli seni dalam pelbagai bidang, ahli akademik, dan lain-lain (termasuk perfileman dan penulisan skrip serta pengarahan).

Mungkin kerjanya lebih banyak daripada yang ada sekarang, tetapi kerana aneka ragamnya maka dijamin akan jadi lebih menarik dan lebih mencabar para pegawai. Bagi rakyat pula, mereka akan kenal tokoh-tokoh besar mereka yang telah membina tamadun bangsa. Anak-anak sekolah akan jadi lebih terbuka dan lebih cerdik jika mereka mengenal tokoh besar bangsa mereka. Dari segi penerbitan pula, MBTM akan menerbitkan buku-buku yang aneka ragam, yang mencerminkan dinamisme tamadun Melayu, bukan hanya terbatas kepada karya-karya sastera yang tidak dapat dipertahankan mutu pemikirannya seperti yang dibuat oleh kakitangan DBP sekarang.

Gambaran yang disebut di sini adalah gambaran awal yang sangat kasar, oleh itu perlu diperhaluskan lagi dalam perbincangan di kalangan ahli.Seperti biasa, cadangan sebesar dan sehebat ini memerlukan kepala yang dingin dan hati yang bersih untuk memikirkannya. Apa juga reaksi melatah akan menghancurkan sesuatu cadangan yang baik sebelum dikupas dan dianalisis dengan mendalam terlebih dulu. Mari kita kupas dan analisis cadangan ini dengan objektif dan hati yang jujur.

Kini sikap objektif dan hati yang jujur itu dipandang terlalu remeh, kerana begitu besar sekali kepentingan peribadi yang menjadi asas segala keputusan yang dibuat. Pendeknya, kita harus membincangkan cadangan ini dalam konteks tamadun Melayu yang mencintai ilmu, yang beradab, dan bersopan. Kita selalu bercakap tentang perkara-perkara ini. Kini kita harus buktikan kejujuran intelektual kita untuk membahaskan cadangan yang dikemukakan di sini. Wallahu a’lam - Mohd. Affandi Hassan, Petaling Jaya, 16/5/.2009

No comments: