Demi menegakkan undang-undang!
Assalamualaikum,

Filem Hindustan ini seolah-olah mengangkat legasi 'biar mati anak, jangan mati adat' yang menjadi legenda dalam amalan 'Adat Perpatih'. Allahyarham Dato' Onn Jaafar ketika memimpin UMNO pernah menukar persepsi berkenaan kepada 'biar mati adat, jangan mati anak', malah menganggap warisan adat itu menyebabkan bangsa Melayu mundur. Justeru ketika Dato' Onn berkunjung ke darah Jelebu pada 1946, beliau disambut oleh kumpulan pemuda dengan pementasan sandiwara berjudul 'Anak Derhaka'. Abang sepupu saya Allahyarham Dato' Sura Haji Abdul Rashid Mokhtar (ketika itu beliau berusia 18 tahun sahaja) terbabit dalam pementasan sandiwara itu.

Apalagi Islam juga menganjurkan menegakkan 'kebenaran', sekalipun pahit untuk diterima oleh golongan majoriti. Sebaliknya teori mengenai 'keadilan' dan 'kebenaran' sekadar indah pada halwa telinga, kerana sukar bagi peribadi insaniah mahu mempraktikkan kesungguhan seperti dipaparkan menerusi filem 'Mother of India'. Kalau tak disebabkan filem berkenaan dipenuhi lagu-lagu dan tarian, barangkali saya berminat untuk menelusuri temanya yang mengangkat kehebatan legasi ketuanan Adat Perpatih: 'Biar mati anak, jangan mati adat' itu. Atau secara formal ialah menegakkan keadilan dan kebenaran berdasarkan keluhuran undang-undang.
-Pak Dharma.
No comments:
Post a Comment