Tuesday, July 21, 2009

13 Penerbitan dilarang KDN

Penulisan tak bermoral:
Tak sesuai utk bacaan umum

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengenakan Perintah Larangan terhadap 13 penerbitan kerana mengandungi penulisan yang tidak bermoral dan tidak sesuai untuk bacaan umum. Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Abdul Aziz Abdul Latif, berkata sekiranya penerbitan itu dibiarkan, ia boleh memudaratkan moral masyarakat. Penerbitan itu ialah “Cinta Awak Dalam Sehari”, ”Pengantin Remaja”, “Masalah Seksual Yang Anda Malu Tanya”, “Rahsia Dalam Rahsia Di Sebalik Tirai Kamar Suami Isteri”, “Isteri Romantik di Kamar Yang Indah” dan “Suami Romantik di Kamar Yang Indah”.

Penerbitan lain ialah “Senggama Kubur”, “Rintihan Jiwa Seorang Lesbian”, “Oh Fazrah”, “Serakah Anak-anak Zombie”, “Menyingkap Rahsia Keistimewaan Wanita”, “Permata Gemilang” dan “Khazanah Mutiara Hikmah Suami Isteri dan Bakal Pengantin”. "Pewartaan Perintah Larangan ini adalah menurut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 dan adalah menjadi satu kesalahan menurut subseksyen 2 Seksyen 8 akta itu sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan larangan yang dilarang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Abdul Aziz berkata, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. - Bernama

1 comment:

mr edz said...

majalah mangga tak kena haram ker