2 wartawan dipanggil polis:
Dedah isu 'Restoran Berahi'
KUALA LUMPUR: Dua wartawan sebuah akhbar tempatan yang sering memaparkan isu-isu sensasi dipanggil polis bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berhubung laporan muka hadapan akhbar tersebut semalam yang bertajuk "Restoran Berahi". Kedua-dua wartawan tersebut dipanggil memberi keterangan malam tadi selama dua jam iaitu dari jam 8 hingga 10 malam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPKKL, Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya memanggil kedua-dua wartawan terbabit berhubung pendedahan berani mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan wanita seksi untuk melayan pelanggan semasa menjamu selera.
Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan itu hanya terbuka kepada ahli restoran itu dan disediakan pada hujung minggu tertentu saja. Ku berkata, laporan yang dikeluarkan itu adalah palsu kerana siasatan mendapati restoran tersebut tidak wujud. Difahamkan gambar yang didedahkan wartawan tersebut diperoleh melalui internet dan restoran tersebut sebenarnya berada di sebuah negara jiran terdekat. Ku berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat. Akhbar itu berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan e-mail yang dihantar orang ramai ke akhbar tersebut dan setelah sebulan membuat risikan, wartawannya berjaya menyelinap masuk di antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment