Thursday, July 16, 2009

MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS

UMNO GEMBIRA KERANA
KALAH PRK DI MANEK URAI

Dalam semua pertandingan, semua orang yang bertanding mahu menang. Tetapi tidak UMNO. Sebaliknya UMNO gembira sangat kerana kalah PRK Manek Urai. Sekurang-kurangnya kerana dua sebab. Pertama, kerajaan UMNO tidak perlu lagi buat jambatan baru di Manek Urai, kerana rakyat tidak mahu, kata mereka. Janji memang berapi-api, sampai berbuih mulut TPM (tak perlu sebut namanya takut dia rasa segan sikit-sikit) berjanji bersumpah setia dengan rakyat Manek Urai bahawa mereka akan dapat jambatan baru jika UMNO menang. Tiba-tiba UMNO kalah. Tidakkah gembira?

Sebab waktu tidak ada wang sekarang, sukar hendak cari wang walaupun hanya tujuh juta, sementara menunggu wang derma rakyat dalam Amanah Saham One Malaysia yang 10 bilion itu (bagi UMNO jumlah RM7 juta bukan banyak sangat, mereka rugi berbilion di Pelabuhan Kelang pun tak jadi kudis kerana bukan wang mereka, malah ada yang gembira kerana wang itu masuk poket mereka sendiri; bagaimana itu boleh terjadi kenalah tanya mereka yang memang bijak bestari dalam soal-soal menghilangkan wang itu). Lagi pula banyak sangat berjanji, macam-macam hendak buat hendak senangkan kehidupan rakyat Manek Urai.

Terlalu banyak, sampai semua tupai, kera dan monyet serta harimau dan lain-lain binatang di hutan Manek Urai tertawa besar mendengar janji itu kerana mereka tahu tidak akan dapat kepada mereka. Apatah lagi orang Manek Urai sendiri, yang sudah dengar janji begitu lebih 50 tahun, masih terus dikitar semula tanpa perasaan bersalah dan segan silu. Orang-orang UMNO ini tidak punya muka, kata mereka. Tak malu betul, beri janji bila mahu undi. Bila dapat undi macam-macam alasan diberi untuk tidak tunai janji itu. Jadi TPM suruh anak buahnya tidak kecewa, malah wajib gembira kerana tidak perlu berbelanja.

Hanya yang sangat marah ialah para kontraktor kecil yang tidak ada kerja. Walaupun kecil, hanya RM7 juta, wang juga namanya. Mereka mahu projek itu diteruskan, mereka mahu wang. Anak-anak buah UMNO yang bekerja keras, dapat apa? Tanpa Projek, mereka hanya boleh bercakap tentang kemajuan yang tak jadi, makin banyak cakapnya, makin sakit hati kerana wang yang jadi harapan sudah terbang, kena tunggu tiga tahun lagi baru tiba janji baru yang barangkali lebih besar, tetapi akan hanyut di Sungai Manek Urai juga jika rakyat masih bodoh dan tidak percaya janji-janji yang dikitar semula entah berapa ratus kali itu.

Jadi itu Muhyiddin Yassin (sekarang kita sebut namanya dengan bangga) sangat gembira kerana dia tidak perlu berbohong. Yang salah dan bodoh ialah rakyat yang tidak mahu perubahan. UMNO bukan rugi, kerana kekalahan itu membuktikan UMNO sudah pulih seperti sedia kala, sudah diterima rakyat. Bagaimana pula jadi begitu? Inilah kegembiraan kedua UMNO. Ceritanya begini: kalau UMNO dapat kurangkan majoriti PAS, sudah cukup, sudah menang namanya. Tempat itu lubuk PAS, sukar UMNO hendak menang. Jadi sekarang sudah terbukti memang UMNO tidak akan menang di Manek Urai, selagi ada PAS, lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz pula.

Tok Guru ini kadang-kadang terlalu celupar, kata orang UMNO sambil tertawa kecil, sambil menyambung: tetapi dia selalu cakap benar. Cuma kebenaran itu terlalu pahit, kerana dia guna perkataan dan sindiran yang terlalu tajam menghiris, seperti mengatakan UMNO itu macam Komunis atau macam Ayah Pin kerana tidak ikut Islam sebenar. Padahal UMNO ada Islam Hadhari, kata orang UMNO; sedangkan PAS tidak ada apa-apa Islam, hanya Islam secara umum saja, tidak ada apa-apa label macam ubat gigi atau minuman tongkat Ali. Kata orang UMNO, tidakkah itu sudah jelas UMNO itu lebih Islam daripada PAS? Itu sebab TPM yang secara rasmi atau tidak rasmi sudah jadi ustaz di Manek Urai berani berkata-kata dengan meyakinkan, jika undi UMNO pun masuk syurga juga.

Tetapi kerana benda itu baru didengar, takut juga orang Manek Urai, betulkah begitu? Jadi mereka mengambil keputusan tidak mahu pakai tiket UMNO untuk masuk syurga, kena ikut tiket PAS juga. Bagusnya, kata orang UMNO, lubuk PAS itu sudah ditembusi, walaupun tiket ke syurga yang disediakan UMNO tidak laku. Di sini UMNO menipu diri sendiri. Sebenarnya Manek Urai bukan lubuk PAS, tapi lubuk UMNO sendiri. Kerana tidak mahu dikata tenggelam di lubuk sendiri, maka mereka pun berkata itu lubuk PAS, kalau tenggelam pun tidak mengapa di lubuk orang. Itulah sebabnya mereka sangat gembira, kerana mereka betul-betul percaya mereka tenggelam di lubuk PAS, dengan itu mereka berkata sudah jelas sekarang sudah ada perubahan di kalangan rakyat seluruh negara yang sudah menerima UMNO semula. Buktinya?

Mereka kalah 65 undi saja di lubuk PAS, itu pun kerana pada saat rakyat perlu wang, tidak cukup wang dan lambat pula sampai hingga rakyat merajuk kerana dinafikan daripada mendapat RM300 sebagai belanja tambang. Di Manek Urai, kerana orang terpaksa naik motor atau basikal atau kereta prebet sapu untuk pergi mengundi, mereka layak diberi wang tambang sebanyak RM300 untuk memudahkan mereka mendapat kenderaan. Dalam konteks ini, cerita sebenarnya ialah: UMNO kini sudah berubah dan sudah mula istiqamah (istilah ini sebenarnya digunakan untuk yang makruf saja, tapi dibenarkan dalam Islam Hadhari untuk digunakan dalam keadaan mungkar asal saja tercapai maksud dan makna) dalam berbelanja wang dalam pilihan raya.

Kini mereka dengan jujur mengaku mereka pakai wang untuk menang pilihan raya, seperti yang dilaporkan oleh wartawan Malaysiakini yang membuat laporan yang objektif. Katalah lima enam orang wartawan itu berbohong, maka orang-orang UMNO yang mereka sebut dalam laporan mereka, ada kalanya dengan memberikan nama mereka, adakah orang itu yang berbohong? Nampaknya mereka sangat jujur mengaku mereka memang memberi wang tambang RM300 seorang kepada pengundi yang datang dari jauh (yang dari dekat pun mahu juga!) untuk membuat perubahan di Manek Urai. Sayangnya tidak ramai yang mahukan perubahan, tetapi sangat ramai yang mahukan wang, hingga tidak cukup supply (sengaja guna perkataan Inggeris untuk mudah difahami.)

Jadi bila kita bercakap tentang perubahan yang dimaksudkan UMNO, itulah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dan dijadikan ukuran adanya perubahan yang disebut-sebut oleh TPM. Sekurang-kurangnya orang Melayu sekarang berasa lega dan senang hati kerana sudah ada jaminan daripada UMNO jika mereka undi UMNO pun mereka boleh masuk syurga, diberi jaminan kukuh oleh para pemimpin UMNO sendiri. Jika para pemimpin UMNO ini tidak boleh dipercayai, siapa lagi di Malaysia ini yang boleh dipercayai.? Mereka tidak pernah berbohong. Mereka kumpulan yang kuat berpegang kepada tindakan istiqamah cara mereka. -[15/7/2009]. Mohd. Affandi Hassan

No comments: