Thursday, July 16, 2009

SEKILAS PANDANG...


Kerajaan negeri Selangor PR
Mahu melestari kebobrokan BN



Pelbagai alasan boleh diberikan termasuk mempertahan kewibawaan Dewan, apabila tindakan menggantung wakil rakyat dibuat, tak kira sama Ahli Parlimen mahupun ADUN. Tetapi hakikat sebenar lebih menjurus kepada gimmik politik, dengan mengenepikan tamaddun manusia yang berakhlak. Langkah menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan 4 Ahli Dewan Undangan Negeri BN daripada menghadiri sidang Dewan kerana didakwa menghina memperlihat kepongahan pentadbiran. Bukan sahaja DUN Selangor, malah Dewan Rakyat menggantung Ahli Parlimen Puchong tak lama dulu adalah berunsur melestarikan perhambaan minda.

Semalam (15 Julai 209) Ketua Pembangkang DUN Selangor Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo serta empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta merta.Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang digantung setahun manakala empat yang lain dikenakan hukuman selama enam bulan. Usul penggantungan kelima-lima ADUN BN itu diluluskan persidangan DUN hari ini dan keputusan diumumkan Timbalan Speaker DUN, Haniza Mohd. Talha pada pukul 3.07 petang ini. Empat ADUN BN yang digantung ialah Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam), Datuk Warno Dogol (Sabak), Mohd. Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Marsum Paing (Dengkil).

Berikutan itu, kesemua kemudahan, elaun dan hal-hal berkaitan bagi kelima-lima wakil rakyat itu dihentikan sepanjang pengantungan tersebut, seolah-olah tindak balas kepada apa yang berlaku di Dewan Rakyat terhadap Ahli Parlimen Puchong. Mohamad Khir digantung kerana dikatakan menghina DUN ekoran tidak hadir dalam sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dan mengkritik jawatankuasa itu. Empat lagi ADUN tersebut diambil tindakan penggantungan itu kerana mengkritik Selcat menerusi media. Kalau wakil rakyat tak boleh bersuara, bagaimana dengan suara rakyat boleh didengar di Dewan. Aduhai!

Dalam sistem demokrasi memang suara majoriti mengatasi kepentingan lain, sekalipun ianya tak bermanfaat kepada rakyat. Selcat ditubuhkan dengan bidang kuasa DUN bertujuan mengetahui penggunaan wang penajaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis). Kalau kerajaan negeri Selangor membenarkan peranan mereka sama dengan BN; justeru apa lagi perbezaan yang mahu dijanjikan kepada rakyat kecuali 'mengata parang, paku serpih'. Kebobrokan BN menyebabkan mereka ditolak pada PRU12, apakah kebobrokan itu mahu dilestarikan oleh kerajaan negeri Selangor dengan insiden menggantung Muhammad Khir semalam. Heh heh heh!

-Pak Dharma

No comments: