Bahasa Melayu wajar di'raja'kan:
Bukan sekadar di'perdana menteri'kan
Apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran menyebut, keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan berdasarkan pertimbangan politik (http://utusan.com/), aktivis bahasa dan budaya juga memang mempunyai kepentingan politik ketika menentangnya. Ketika Jun 2006 Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) menyebut mengenai 'Bahasa Malaysia' sebagai bahasa rasmi negara, PRIMA bangkit menolak 'Bahasa Malaysia' tetapi mahukan 'Bahasa Melayu'.
Kita tak berkompromi dengan 'Bahasa Melayu' sebagai bahasa rasmi, kerana di England juga tak ditemui 'Bahasa England' sebaliknya ialah 'Bahasa Inggeris'. Justeru apabila kita menolak PPSMI, memang tak terlintas mengenai 'kepentingan politik'. Malah PRIMA menyokong Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) pimpinan Dato' Dr Hassan Ahmad bukan disebabkan unsur-unsur plitik, sekalipun menyedari pimpinan politik di sampingnya. PRIMA juga menyokong Gapena pimpinan Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein menggunakan saluran undang-undang terhadap pelaksanaan PPSMI, bukan disebabkan dorongan politik.
Justeru 'Bahasa Melayu' perlu didaulatkan bukan dimartabatkan; malah wajar 'dirajakan' di negeri Melayu bukan di 'perdana menteri'kan (yakni dipolitikkan), seperti terkandung dalam memorandum 'Deklarasi 10 Keprihatinan' di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 15 Ogos 2007. Di samping deklarasi berkenaan, PRIMA juga menyampaikan antologi sajak 'Melayu Mudah Lupa' kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Berikutnya ketika berwacana, Tun Dr Mahathir sendiri bertanya, beliau perlu menggunakan bahasa apa. Beliau menerima dengan hati terbuka untuk berwacana dalam Bahasa Melayu, sekalipun audien hampir 45% bukan Melayu.
Memang media arus perdana ketika itu mengeksploit dengan menyebut tak sampai 200 orang hadir dalam wacana berkenaan, sebaliknya dewan yang kapisiti boleh menampung 200 audien, melimpah keluar melebihi kadar sebenar. Pimpinan politik seperti Dato' Mahfuz Omar, Dato' Ruhanie Ahmad, Dato' Ibrahim Ali, Sallehuddin Ayub dan ramai lagi yang hadir adalah saksi mengenai manifestasi rakyat ketika itu. Maknanya, jangan perlekehkan gerakan yang dilihat terlalu kerdil kerana sekecil-kecil api lambat laun akan marak menjulang jua; sekecil-kecil air mengalir kalau diempang akan melimpah jua. Insya Allah!
Memang PRIMA tak peduli penjelasan Tan Sri Muhyiddin berkaitan politik atau sebaliknya, kerana matlamat kita ia wajib dimansuhkan. Seperti kata Tan Sri Muhyiddin "Keputusan ini dibuat atas asas pertimbangan objektif berdasarkan kajian empirikal dan saintifik, iaitu penemuan-penemuan atas dasar kajian yang khusus dilakukan.Dan atas dasar itulah maka keputusan inilah yang kita lakukan, bukan pertimbangan politik," katanya. Justeru PRIMA menyambut baik keputusan berkenaan, di samping berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir yang memberi ruang kepada PRIMA meluahkan keberangan ketika itu.
-Pak Dharma
No comments:
Post a Comment