Thursday, October 29, 2009

GELAGAT ADUN...

SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK KECOH
AKIBAT TINDAKAN 'KEBUDAK-BUDAKAN' ADUN PKR

Assalamualaikum,


Nampaknya makin 'meriah' arena politik kita.Insiden tarik-menarik jubah dan kekecohan ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menarik perhatian media dan orang ramai.Bekas Speaker, V Sivakumar mendakwa dia telah dicekik dan ditekan di perut malah jubah yang dipakainya cuba dirampas oleh pihak polis sehingga koyak. Entahkan betul, entahkan tidak!

Seterusnya, ahli DUN Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa kononnya mereka dihalang daripada memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) walaupun telah menjalani pemeriksaan ketat pihak berkuasa. Malah Sivakumar mendakwa bahawa songkoknya telah dirampas oleh salah seorang pegawai polis yang bertugas selain daripada dihalang memasuki bangunan SUK itu.

Sebaik memasuki dewan, sekali lagi ADUN PR membuat kekecohan termasuk kata-kata seolah-olah menghina dan menghalau Speaker Perak, Datuk R Ganesan dari dewan.Disebabkan kejadian itu, Ganesan terpaksa menangguhkan sidang selama sejam. Ketika sidang tertangguh, ADUN PR mengambil kesempatan dengan mengadakan 'sidang' dewan versi PR yang dimulai dengan bacaan doa oleh Mohammad Nizar.

Sebaik selesai bacaan doa, Sivakumar memulakan 'sidang' dari tempat duduk pembangkang selain memberi peluang ADUNnya yang lain untuk mengemukakan usul tidak percaya termasuk tidak mengikitiraf Ganesan sebagai Speaker. Malah ketika dewan kembali bersidang, ADUN PR sekali lagi mengganggu perjalanan sidang ketika ADUN Barisan Nasional (BN) membuat pembentangan bajet dan usul.

Semakin lama, semakin 'panas' isu politik Malaysia, mengalahkan berita artis-artis kita.Adakah tindak tanduk ADUN PR ini merupakan tanda protes mereka berikutan kemenangan calon BN, Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang tempoh hari?Alahai!



-SUMBER : Harian Metro

-ANAK WARISAN...

Sunday, October 25, 2009

ANGKARA DEMONTRASI
10 Kawasan Bakal Kehilangan Wakil Rakyat

Lapan orang ahli Parlimen Pakatan Rakyat berkemungkinan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat andai tuduhan yang dikaitkan terhadap mereka berhasil. Bukan itu sahaja, dua ADUN Pakatan Rakyat juga bakal menerima akibat yang sama.

Andai 10 orang wakil rakyat ini berjaya disabitkan kesalahan mereka, maka pilihanraya kecil bakal berlaku dan masih adakah peluang buat BN untuk menakluk semula kerusi yang 'dirampas' daripada genggaman mereka.

Tiada yang mustahil andai beberapa perkara diambil kira sebelum ini. Mungkin BN masih lagi segar dengan kemenangan di Bagan Pinang. Cuma itu bukanlah ukuran kejayaan sebenar BN. Mereka masih lagi kalah andai rekod pilihanraya bagi tempoh 9 bulan terakhir ini diambil kira.

Bersedialah menghadapi gelombang kecil ini. Entah apa lagi janji yang bakal ditaburkan oleh bakal pengambil alihan kuasa ini nanti. Tunggu dan lihat.

-RITMA SAKTI-

Tuesday, October 13, 2009

SELAPIS NOVEL

KEMBARA MULUK
Dedikasi untuk Allahyarham Abdul Muluk Daud (Pak Dharma)
Malam Kenduri Maulud


Ketika emak mengandungkan aku memasuki sembilan bulan, belumlah cukup tempoh 10 harinya. Justeri belum terdapat tanda-tanda emak akan melahirkan, malah keadaannya masih segar hingga mampu mengangkut air di telaga, membelah kayu api dan menumbuk padi. Abah pula ke Seperi membantu Nenek Hajah Aminah mengadakan kenduri maulud bagi menyambut tarikh lahir Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiul Awal, di samping bersyukur selepas selesai musim menuai padi.

Disebabkan emak tidak menampakkan tanda-tanda mahu melahirkan, abah ke Seperi (lebih kurang enam kilometer jaraknya dari rumah emak) bagi persiapan mengadakan kenduri maulud itu. Tetapi apabila menjelang maghrib emak tiba-tiba merasa sakit untuk bersalin, abah segera diberitahu oleh sepupu emak yang duduk berjiran. Keluarga kami tinggal berdekatan di Kampung Bacang Manting iaitu kampung peninggalan Moyang Lengkong yang meneroka di situ sejak tahun 1820-an.

Sebaik sahaja diberitahu mengenai emak dalam keadaan akan bersalin, Nenek Hajah Aminah juga turut datang ke Kampung Bacang Manting meninggalkan majlis kenduri berkenaan. Bagaimanapun majlis kenduri maulud tersebut diteruskan juga kerana emak dan bapa saudaraku seperti Ulung Rebak (Rebakyah) Ngah Isam (Syamsiah) Pak Itam (Tahir) dan Utih (Harun) mampu melayani tetamu yang sudah dijemput.

Semua saudara mara yang tinggal berdekatan datang membantu memperlihatkan keharmonian hidup di kampung masih terpelihara ketika itu. Kebetulan pula negara baru sahaja terlepas dari bahana peperangan apabila Jepun menyerah diri pada 15 Ogos 1945, diikuti kekacauan rusuhan kaum berikutan ‘Bintang Tiga’ (atau komunis) merampas kuasa dalam tempoh 14 hari sebelum kedatangan British Millitery Admanistrition (BMA). Sebelum aku dilahirkan, aku sudah mempunyai kakak bernama Rubiah yang lahir pada Februari 1945.

Selepas perang pula kemelut negara meruncing dengan tindakan Inggeris mahu melaksanakan pentadbiran Malayan Union apabila mendapat tentangan orang-orang Melayu yang mengadakan kongres besar-besaran pada 1 – 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Sekalipun penduduk-penduduk di kampungku tidak mengambil bahagian dalam perjuangan ini, tetapi mereka mengikuti perkembangan yang berlaku di persekitaran daerah Jelebu.

Apalagi Kampung Bacang Manting peninggalan Moyang Lengkong tidak mempunyai orang lelaki dewasa selain daripada abah, setelah Golek suami Moyang Bakup ditangkap oleh Bintang Tiga. Tok Cu Muda pula berpindah ke Kuala Lumpur juga bagi mengelak daripada menjadi mangsa, begitu juga Pak Long Abu ketika itu berusia dalam lingkungan 27 tahun turut mengikut Tok Cu Muda ke Kuala Lumpur. Lelaki dewasa yang tinggal hanya Tok Wak Koren (Baharin bin Dagoi) suami Ulung Rahmah dan Tok Dolah (Haji Abdullah bin Abdul Manap) suami Wan Mai (Maimunah binti Ismail).

-bersambung -
Waris Pak Dharma
p/s: Walaupun tidak sehebat Pak Dharma dalam penulisan, WARIS cuba mengupas perjalanan hidup beliau melalui apa yang pernah diceritakan ketika hayatnya kepada WARIS untuk dikongsi kepada pembaca blog ini.

Monday, October 12, 2009

BERITA DARI BAGAN PINANG...

ISA MENANG BESAR DI BAGAN PINANG
PENGUNDI MULA MENGUBAH SELERA

Kemenangan calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad di Bagan Pinang menewaskan calon PAS, Zulkefly Mohamad dianggap antara kemenangan terbesar parti BN semenjak mendapat kemenangan yang tipis menerusi pilihan raya yang lalu.Isa mendahului dengan memperoleh 8,013 undi berbanding Zulkefly yang memperoleh 2,578 undi dengan majoriti 5,435 undi. Kemenangan besar Isa ini tidak mengejutkan kerana beliau bersama penyokong-penyokongnya berkempen menggunakan pendekatan yang 'bersih' tanpa memalukan mana-mana pihak.

Merujuk pada akhbar tempatan yang menyiarkan berita mengenai dua orang lelaki yang cuba mengedarkan wang palsu menggunakan sampul tertera lambang UMNO, warga PRIMA berasa hairan, mengapa mereka sanggup menggunakan taktik kotor semata-mata untuk memastikan parti yang mereka sokong menang?Dan yang peliknya, salah seorang daripada mereka merupakan pelajar Malaysia yang baru balik dari Mesir.Begitukah cara seorang yang terpelajar? Walaupun ia tidak ada kena-mengena dengan calon PAS yang bertanding, tapi kes itu sedikit-sebanyak akan mencalarkan imej PAS dan parti pembangkang yang lain.

Pada pendapat AW, sekiranya penyokong-penyokong fanatik tersebut tidak bermain 'kotor', kemungkinan Zulkefly akan menang ataupun kalah tipis. Kadang-kadang AW berfikir, setiap kali pilihan raya, pasti ada kedengaran cerita para penyokong parti-parti yang bertanding bergaduh dan bertempur mengalahkan askar yang nak berperang. Seperti semasa di Bagan Pinang, penyokong-penyokong BN dan PAS bergaduh sehingga menyebabkan seorang pemandu Ketua Polis Negeri Sembilan cedera.Kepada Isa, selamat menjadi pemimpin Bagan Pinang yang baru dan dapat membawa Bagan Pinang ke era yang lebih baru dan diharap para penyokong parti pembangkang dapat menerima hakikat bahawa pengundi sudah mula ubah selera!

Heh!Heh!Heh!

-ANAK WARISAN...

Sunday, October 11, 2009

SENSASI ARTIS

AKIBAT TIDAK MENGAKU BAPA
NASHA BAYAR GANTI RUGI



Pelakon dan model yang sentiasa menjadi kontroversi, Nasha Aziz diperintah oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi am RM10,000 kepada bapa kandung beliau, Abdul Aziz Mohd Ali dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Abdul Aziz terhadap Nasha Aziz. Nasha juga diperintahkan membayar faedah lapan peratus setahun kepada bapanya dari tarikh saman difailkan iaitu pada 31 Mac 2005 sehingga penyelesaian penuh saman itu.


Nasha Aziz atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz yang memulakan kerjaya dalam bidang permodelan kira-kira 19 tahun tenang ketika hadir bersama peguamnya di Mahkamah walaupun tidak hadir pada perbicaraan kes itu Rabu lalu. Beliau bagaimanapun tidak memberi ganti rugi tambahan seperti yang diminta oleh Abdul Aziz kerana saman itu melibatkan perkara dalam keluarga. Nasha yang dipelihara oleh keluarga angkatnya sejak kecil pernah mendakwa Abdul Aziz bukan bapa kandungnya yang disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia.


Apabila membaca kenyataan ini, waris mula terfikir mengapa setelah Nasha Aziz dikenali masyarakat dan mampu memiliki aset sendiri, baru bapa kandungya muncul dan membuat huru hara dalam hidup Nasha Aziz? Mengapa bapa kandungnya meletakkan penjagaan seratus peratus kepada keluarga angkat yang memelihara Nasha Aziz sehingga berjaya kini? Mungkin ada pandangan menyatakan yang bapa kandung Nasha cuba mengaut keuntungan hasil titik peluh Nasha selama bergelar artis?


Waris juga mempunyai sahabat yang senasib dengan Nasha namun perjalanan hidup Nasha mungkin tidak sama dengan nasib sahabat waris ini. Sahabat waris ini telah diserahkan kepada keluarga angkat setelah ibu bapa kandungnya bercerai dan ibunya terpaksa memelihara enam orang anak termasuk sahabat waris ini. Kerana kesempitan hidup dan pengabaian tanggungjawab nafkah oleh bapa kandungnya maka sahabat waris ini diserahkan kepada keluarga angkat, begitu juga adik beradiknya yang lain. Setelah menamatkan pengajian dan kini berjaya menjadi pegawai di salah sebuah perkhidmatan awam bapa kandung yang disangka sudah 'tidak ada' muncul pada Aidilfitri tahun lepas. Pada mulanya sahabat waris ini tidak mahu mengaku bapa kandungnya itu sebagai bapanya kerana bapanya sanggup ceraikan ibunya gara-gara mengidam beristeri muda.


Adik beradik sahabat waris ini yang masih bersekolah juga tidak mengganggap bapa kandungnya ini dan dek kerana cuba 'menjilat ludah di tanah' bapa kandungnya ini cuba mencari helah untuk mengikis duit sahabat waris ini pula walau dengan cara apa sekalipun. Namun hanya segelintir sahaja ayah seperti ini wujud di muka bumi ini. Kadang-kadang bukan anak-anak tidak mahu mengaku ayahnya tetapi sikap ayah seperti ini terlalu 'mual' untuk diperkatakan. Darah daging tetap darah daging, tetapi tanggungjawab tidak boleh diabaikan dan jangan ayah seperti ini menyalahkan anak-anak pula.


Walau jauh disudut hati sahabat waris ini telah memaafkan perbuatan ayahnya terhadap ibunya, namun sahabat waris tidak akan sesekali menabur wang ringgit kepada ayah kandungnya kerana jasa keluarga angkatnya yang perlu dibalas dahulu kerana telah membesarkannya. Ayah kandungnya hanya tahu 'membuat' anak dan tanggungjawab dilepaskan. Biarlah urusan anak beranak ini diselesaikan oleh mereka sendiri dan mereka tahu baik buruk akibat perbuatan mereka itu. Bagi waris masih ada insan yang bergelar Ayah mempunyai hati nurani yang murni dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anaknya. Wallahualam..


p/s: Waris masih menghargai jasa insan yang bergelar 'Ayah' walaupun dia tiada di sisi...


-Waris Pak Dharma

Wednesday, October 7, 2009

SASTERA DAN BUDAYA

BUAH TANGAN DARI SANG JUNDAK
PENULIS BARU MENJENGAH PERSADA SASTERA


Walaupun kemeriahan Aidilfitri pada tahun ini tidaklah semeriah seperti tahun sebelumnya, namun sambutannya masih lagi terasa sehingga kini dengan undangan rumah terbuka dari sahabat-sahabat waris. Kita lupakan sejenak kuih raya mahupun juadah-juadah yang acapkali dihidangkan untuk tetamu kerana waris ingin berkongsi cerita mengenai buah tangan baru seorang penulis muda yang waris sifatkan mempunyai identiti tersendiri dalam penulisannya. Melalui laman blog beliau http://inderawangsa.blogspot.com/ , ilusi penulisnya melangkaui dunia yang sebenar dan dari awal penulisannya waris mengganggap penulisnya selesa dengan gaya penceritaan sebegini.


Pendita Gua Khayalan adalah novel epik-fantasi siri pertama yang digarap oleh Masdalifadzlie M Saad (berbaju hijau). Walaupun waris tidak mengikuti perkembangan ceritanya di blog, namun dunia Sastera memerlukan bakat seperti Masdalifadzlie jika inginkan Sastera di Malaysia utuh tanpa berpihak pada kronisme. Kita selalu dilambakkan cerita novel yang hanya berunsurkan 'bombastik' tetapi tidak ada kehalusan dalam penulisan itu sendiri.

Anugerah Sasterawan hanya boleh dimiliki oleh penulis 'kobau' sahaja. "Kek tongah jalan disuruh menonggeng, esey sanggup menonggeng, di suruh tolontang pun esey sanggup tolontang", waris teringat kata-kata Pak Dharma yang disifatkan kepada penulis-penulis yang pandai mengampu untuk mendapatkan anugerah. Harapan waris bakat muda seperti ini tidak diketepikan oleh warga sastera kerana karya mereka lebih baik dari penulis-penulis 'kobau' dan sangat dialukan untuk menyerikan dunia sastera kita. Sekalung tahniah kepada penulis, Masdafadzlie M Saad dengan buah tangan terbaru beliau dan diharap beliau dapat menghasilkan karya-karya seperti ini pada masa akan datang. InsyaAllah...

-WARIS

Monday, October 5, 2009

SELAPIS NOVEL

KEMBARA MULUK
Dedikasi untuk Allahyarham Abdul Muluk Daud (Pak Dharma)

Kelahiran Si Kembara

Sebelum menetap di daerah Jelebu, datukku merantau ke beberapa tempat di Tanah Melayu termasuk Singapura, Johor dan Selangor selepas berhenti dari bekerja dengan agensi syeikh haji yang menguruskan jemaah menunaikan fardu haji sekitar dekad 1910-an. Dia dilahirkan pada tahun 1853, menetap di Jelebu pun setelah usianya melewati 60-an dan berkahwin dengan Nenek Hajah Aminah (emak kepada ayahku) pada 1913, ketika nenek berusia 18 tahun. Arwah datuk juga mempunyai anak-anak di Singapura, di Kota Tinggi, Johor dan di Semenyih, Selangor. Anaknya di Singapura meneruskan kerjaya sebagai syeikh haji sehingga akhir hayatnya.


Disebabkan ayahku memang mendapat pendidikan agama menerusi institusi pondok, justeru dia tak mempercayai sangat pantang larang masyarakat, sedangkan Nenek Kibah pula memang kuat dengan pegangan tersebut sebagai seorang bidan tradisional yang popular. Apabila ayahku membunuh biawak hingga perut reptilia itu terburai, emakku menyembunyikan daripada pengetahuan nenek kerana bimbang berlaku pertelagahan. Tetapi apabila aku dilahirkan tidak menangis seperti kelaziman bayi biasa dilahirkan, Nenek Kibah mula mengesyaki sesuatu.


Semasa dilahirkan dalam keadaan tak menangis kedua-dua tangangku pula seolah-olah melekat pada telinga. Kebetulan pula ketika itu hujan turun lebat dengan angin kencang bertiup, tetapi masih kedengaran azan di surau berdekatan menandakan masuk waktu isya kira-kira jam 8.00 malam (sekarang ialah 8.30 malam). Surau tersebut milik Lebai Mat yang dipanggil penduduk-penduduk di situ Lebai Mat Lopong, seorang guru agama yang mengajar anak-anak membaca muqadam dan al-Quran.


Apabila kedengaran azan dari surau Lebai Mat Lopong inilah aku dilahirkan, dengan kedua-dua tangan mirip seperti orang azan juga. Justeru kuranglah cemasnya Nenek Kibah sebaik sahaja mendapati kedua-dua tangan tersebut tidaklah melekat persis biawak yang direjam oleh ayahku. Setelah tangan tersebut diluruskan barulah suara tangisku mula kedengaran, tetapi suasana menjadi cemas pula apabila emakku tiba-tiba terjerit kuat menyebut ‘putus’, seterusnya pengsan tak sedarkan diri.


Dukun di kampung itu yang dikenali Abdul Hamid (atau dipanggil Tok Amar Amid) dijemput bagi memulihkan keadaan emakku yang pengsan. Bagaimanapun dia mendapati emakku sekadar terperanjat apabila melihat nenek cuba melepaskan tanganku yang pada sangakaanya melekat pada telinga. Bagi arwah Nenek Kibah pengalaman membidankan aku dianggapnya luar biasa, kerana belum pernah berlaku kejadian seperti demikian sepanjang penglibatannya sebagai bidan tradisional terkemuka di kampungku ketika itu.


Nenek Kibah menjadi bidan bukanlah diwarisi daripada emaknya, tetapi dipelajari menerusi pembabitan membantu bidan-bidan sebelumnya. Dia menerima nasib malang, apabila emaknya bernama Yang binti Mamat meninggal dunia semasa masih lagi kecil. Justeru Nenek Kibah bersama adiknya Muda dibesarkan di bawah asuhan emak saudaranya Bakup binti Mamat. Kebetulan pula Bakup juga pernah dibesarkan oleh kakaknya Yang apabila ibunya meninggal dunia semasa dia masih kecil.


Ketika bertemu jodoh dengan Saban (waris Dato’ Menteri), Nenek Kibah belum lagi dikenali sebagai seorang bidan. Bersama Saban dia mendapat anak lelaki bernama Abu dilahirkan tahun 1920, sewaktu Nenek Kibah berusia 16 tahun. Malang menimpanya lagi apabila suaminya meninggal dunia, menyebabkan dia terpaksa pula membesarkan anak dalam usia terlalu muda. Ketika itulah dia mempelajari ilmu perbidanan dan urut secara tradisional, hingga menjadi bidan yang terkemuka.


Bagi ibu yang mengandung, mereka lebih awal ‘menempah’ Nenek Kibah bagi mengurut mereka selepas bersalin kerana dianggap serasi dengan urut tradisionalnya. Nenek Kibah bertemu jodoh dengan suami keduanya Jatin bin Baginda Taib sekitar dekad 1920-an seorang anggota polis khas. Datukku Jatin pula berasal dari Kepis di Kuala Pilah, tetapi berketurunan dari Taluk Kuantan di Indragiri (sekarang dalam kabupaten Kuantan Singingi, propinsi Riau, Indonesia). Tok Jatin datang ke Jelebu kerana mengikut saudaranya dikenali Omar yang juga suami kepada sepupu Nenek Kibah bernama Rahmah binti Ismail (bersama Omar dia mendapat tiga orang anak Zainal, Kamaruddin dan Maimon, kemudian berkahwin dengan Baharin bin Dagoi memperolehi tiga orang anak juga Shariff, Mahani dan Asmah).


Sebelum berpindah ke Jelebu, Tok Jatin sudah berkahwin di Sawah Lebar, Kuala Pilah dan mendapat seorang anak perempuan dikenali Zainab. Bagaiamanpun sehingga akhir hayatnya dia tak sempat menatap wajah anaknya yang belum dilahirkan semasa berpindah ke Jelebu atas sebab-sebab masalah keluarga ketika itu. Malah Zainah juga tak pernah dapat menatap wajah ayahnya; apalagi melihat potretnya kerana Tok Jatin sendiri tidak suka bergambar semasa hayatnya.


Justeru ketika membidankan kelahiranku, memang Nenek Kibah tergamam, cemas dan menganggap luar biasa kerana tidak pernah mengalami kejadian tersebut. Sebaliknya keadaan cemas itu bertukar gembira apabila mendapati aku dilahirkan tidak cacat atau mengalami ‘kenan’ berikutan tindakan ayahku membunuh biawak hingga terburai perut semasa emakku sarat mengandung. Bagaimanapun tali pusatku dikatakan sukar kering hingga kelihatan bernanah, malah apabila sembuh ianya tersembul sebesar ibu jari.


-bersambung

-Waris Pak Dharma

p/s: Walaupun tidak sehebat Pak Dharma dalam penulisan, WARIS cuba mengupas perjalanan hidup beliau melalui apa yang pernah diceritakan ketika hayatnya kepada WARIS untuk dikongsi kepada pembaca blog ini.

SASTERA DAN BUDAYA

Sajak


Jalan Leklok Yo!


Bominyaklah muncung kau jang!

Orang moleh kobau balar,

kenduri godang

kek Bagan Pinang.


Hobin boto-boto jang oi!

Bilo lak lai

nak moraso.

Tompi janganlah amik upah

pacak bendero tampa postar jo

sikit bona upah eh tu!


Kau mintak jadi ejen

jua orang boli orang

banyak kemesyen eh!

Macam broker tanah, kayo rayo!


Dapek duit tu jangan pulak kau minum todi

macam kapa karam lak kau sok.

Kok kek Pahang

kono sobat,

bobilur punggung!


Kau lak jangan momokak,

kono dendiam,

kau ontok yo,

tompi kono rajin ngulor

salam

maso ni montori

sodo eh nak berkawan

tompi kok dimintak eh kau

ngecekkan jando

minta duit dulu.

Kok kono tangkap basah

molopeh kau tak moraso.

Pot Deksen ni tukang tangkap basah

gomar nangkap montori!


Ingat posan den tu jang!

Jalan leklok yo!

Dapek duit tu bagi den sikit yo!

Den nak boli toropong

Nak skodeng Dak Isa ngali duit!


---Yassinsalleh

1351 hrs. sept 30.09

Nak nengok air bokojar poilah pot desen jang oi!

SASTERA DAN BUDAYA

Sajak

Meraikan Nestapaku

Awan biru di langit biru
garam tumpah di laut biru
sayu terbenam dikalbu pilu
itulah aku bagimu
ada yang tak ada
tiada yang ada
tapi tiada.

Adakah belas di hujung
senja yang tidak biru
meraikan nestapaku?

---Yassinsalleh
2058 hrs Sept 28.09
Kuala Lumpur
yang kian tak ku kenal

Sunday, October 4, 2009

SELAPIS NOVEL

KEMBARA MULUK
Dedikasi untuk Allahyarham Abdul Muluk Daud (Pak Dharma)
Kelahiran Si Kembara

KISAH mitos dalam buku-buku sastera lama seperti ‘Awang Sulung Merah Muda’, ‘Anggun Cik Tunggal’, ‘Malim Deman’ dan beberapa lagi peristiwa kelahiran bayi boleh memberi impak kepada masa depan mereka. Misalnya dalam buku ‘Awang Sulung Merah Muda’ digambarkan ketika ianya dilahirkan berlaku peristiwa ganjil menyebabkan tujuh keping lantai patah, tujuh batang gelegar patah, dan bayi berkenaan tercampak ke tanah hingga terbenam tujuh hasta ke dalam bumi, menjadikan Awang Sulung melalui pahit getir hidup sebelum mencapai kejayaan.

Ketika aku dilahirkan peristiwa seperti digambarkan dalam buku ‘Awang Sulung Merah Muda’, ‘Anggun Cik Tunggal’ atau ‘Malim Deman’ tidaklah berlaku, sebaliknya kisah mitos tersebut persis bagaikan sastera Melayu klasik itu seakan-akan menimpa dalam kejadian sewaktu aku dilahirkan. Nenek Kibah (iaitu ibu kepada emakku – Kibah binti Sudin; 1904 - 1976) merupakan bidan tradisional di kampungku secara kebetulan pula membidankan kelahiranku.

Sekitar dekad 1930-an, 1940-an dan 1950-an, masyarakat di kampung bergantung kepada kemahiran bidan-bidan tradisional bagi membidankan kelahiran bayi, disebabkan mereka tidak yakin kepada rawatan di hospital. Malah bagi pesakit-pesakit kronik sama ada barah, lemah jantung atau angin ahmar mereka masih bergantung kepada rawatan secara tradisional menerusi bomoh, dukun atau pawang. Bagi mereka di kampung-kampung pada masa tersebut menganggap barah (dikatakan ‘balan’); lemah jantung (dikatakan ‘kelintasan’ akibat hantu tinggi) dan angin ahmar atau stroke (dikatakan ‘badi’ akibat puaka dan penunggu).

Ketika itu Nenek Kibah merupakan bidan tradisional yang menjadi pilihan utama di kampungku kerana pengalaman dan kemahirannya yang dianggap penduduk-penduduk ‘serasi’ semasa merawat. Dia juga dikenali sebagai tukang urut bagi ibu-ibu yang baru bersalin disebabkan mereka berasa selesa selepas diurut oleh Nenek Kibah. Jutseru di kampungku ketika itu setiap keluarga yang memerlukan rawatan perbidanan, memang Nenek Kibah menjadi pilihan mereka.

Memberitahu pengalamannya ketika membidankan kelahiranku, Nenek Kibah mengakui berlaku insiden luar biasa yang belum pernah dilaminya sebelum itu. Dia tak menganggap peristiwa tersebut persis seperti kisah ‘Awang Sulung Merah Muda’ (dia juga merupakan penutur cerita rakyat), sebaliknya merumuskan sebagai ‘kenan’ akibat kesilapan ayahku semasa emakku sedang mengandung. Sudah menjadi pantang larang penduduk-penduduk kampung si suami dilarang membunuh binatang liar semasa isteri mengandung bagi mengelakkan berlaku ‘kenan’ terhadap bayi dalam kandungan.

Disebabkan ayahku tidak percaya kepada pantang larang masyarakat Melayu yang dianggapnya ‘tahyol’, dia membunuh seekor biawak semasa emak mengandungkan aku. Reptilia itu dibunuh setelah menceroboh masuk ke dalam reban ayam menyebabkan ayahku terpaksa merejam dengan besi perejang (atau disebut juga tiruk). Ayahku pula memang mempunyai kemahiran melontarkan lembing, parang atau besi perejang tepat menyinggahi sasaran.

Kalau ular masuk ke reban ayam pada waktu malam pun, ayahku mampu membunuh reptilia itu dengan hanya merejam dengan keris panjang menyinggahi ke kepala ular. Keris panjang dua hasta itu adalah pesaka peninggalan arwah datukku (ayah kepada ayahku –Haji Ahmad bin Haji Salim) seorang guru agama berasal dari Kapur Sembilan, Kota Bangun di Kuok (sekarang ini dalam kabupaten Kampar, propinsi Riau, Indonesia). Sebelumnya wilayah berkenaan dikira sebagai sebahagian dari Minangkabau atau sekarang propinsi Sumatera Barat.
-bersambung

-Waris Pak Dharma

p/s: Walaupun tidak sehebat Pak Dharma dalam penulisan, WARIS cuba mengupas perjalanan hidup beliau melalui apa yang pernah diceritakan ketika hayatnya kepada WARIS untuk dikongsi kepada pembaca blog ini.