Friday, May 29, 2009

TERSURAT & TERSIRAT

P/raya kecil DUN Ladang:
Mujurlah dapat juga dielakkan


Selepas pilihanraya kecil DUN Manek Urai di Kelantan dijangka 14 Julai 2009 terpaksa diteruskan, satu lagi pilihanraya kecil dapat dielakkan berikutan Mahkamah Persekutuan semalam (28 Mei 2009) mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Terengganu kekal milik Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dari parti Pas (seperti dilapor http://utusan.com/) .Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan demikian setelah menolak rayuan petisyen pilihan raya oleh Barisan Nasional (BN) bagi mencabar keputusan pilihan raya umum lalu.

Penghakiman sebulat suara itu turut diputuskan oleh Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri S. Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin. Hakim Malanjum dalam penghakimannya berpuas hati bahawa tidak wujud kejanggalan yang ketara pada cara pengiraan undi pos. Beliau menyatakan, hanya tiga undi pos yang tersalah kira dan kemudiannya ditolak kerana ketiadaan nombor siri dan juga terdapat perbezaan nombor pada kertas undi.
Bagaimanapun, Hakim Malanjum berpuas hati bahawa ketiga-tiga undi pos yang ditolak itu tidak akan memberi kesan kepada 31 undi majoriti yang diperoleh calon Pas.

Sehubungan itu, panel berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak petisyen pilihan raya itu pada 22 September tahun lalu. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 itu, Tengku Hassan mengalahkan Datuk Wan Hisham Wan Salleh dari BN dengan majoriti tipis 31 undi. Tengku Hassan diwakili peguam Datuk Wan Abdul Muttalib Embong. Ketua UMNO Cawangan Lorong Kemunting, Mahari Endut yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan petisyen bagi membolehkan semakan dan kiraan semula dilakukan terhadap 127 undi pos yang ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari mengundi 8 Mac 2008.

1 comment:

Seladang said...

Adakah telah diarahkan begitu kononnya tidak membazirkan duit rakyat?