Thursday, June 11, 2009

LAMAN WEB LESUNG BATU

Lesung batu berkongsi idea:
Mesej maklumat utk masyarakat

Pengendali laman web Zakaria Bidin mempelawa singgah melayari blognya yang baru beroperasi beberapa minggu lalu. Katanya, laman web beliau bukan untuk bersaing sebagai blogger popular, tetapi untuk berkongsi idea dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat. Ketika dunia cyber mendominasi kehidupan manusia jelas Zakaria yang juga bekas editorial 'Balai Muhibbah' di Jabatan Perdana Menteri sekitar dekad 1970-an, beliau merasakan terpanggil untuk sama-sama berkongsi idea. Dalam emelnya kepada sekretariat PRIMA, Zakaria mempelawa:

"Saudara saudari yang dihormati sekelian. Maaf mengganggu. Cuma nak beritahu aje. Dalam lamanweb saya di http://www.lesungbatu.webs.com/ hari ini ada ahli seumur hidup Pas hentam MB Kedah kurafat, katanya. Kisah bumbung runtuh semakin kecoh apabila masing-masing sudah mula menuding jari dan masing-masing mahu melepas diri. Geng 10 cari jalan tutup pekung masing-masing. Dalam ruangan JENAKARIA pula kisah lucu apabila suami marah pada isteri anggap isterinya anak beruk.
Dalam ruangan GAMBAR MENARIK pula memaparkan betapa akibatnya apabila ekonomi semakin mengancam kita. Kesannya amat buruk hingga melibatkan haiwan sekali. Kalau ada masa, komen. Kalau tak mahu komen, marah pun takpe. Kalau ada bahan menarik untuk kolum-kolum tertentu, marilah kita kongsi dengan pelayar laman web lain yang sentiasa meneroka di alam cyber yang menjadi sebahagian dari hidup kita hari ini. Selamat sejahtera."

JEMPUTAN UMUM...

Forum Perdana Tiga Tungku:
Masjid dekat makam Tuan Tulis

Dagang Piatu dari Kuala Pilah mempelawa orang ramai di persekitaran menghadiri Majlis Muzakarah Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang dikenali 'Forum Perdana Tiga Tungku', 12 Jun 2009 ini di Masjid Kariah Kampung Pauh, Terachi bermula 9.00 pagi hingga 11.00 malam. Bagi keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi pihak penganjur menerusi emel
musafir.ar.rawi@gmail.com, atau hembusan@gmail.com, Liesenden99@hotmail.com, ibnu_zahid12@yahoo.com.my, m_shiq@yahoo.com, abdullahthahir@gmail.com, dan sangtawal@yahoo.com. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Dagang Piatu melampirkan jemputan berkenaan:

"Assalamualaikum, Sukacita dimaklumkan bahawa satu FORUM PERDANA TIGA (3) TUNGKU yang akan membincangkan tajuk mengenai Rukun Iman (sebelah pagi), Rukun Islam (sebelah petang) dan Rukun Ihsan (sebelah malam) bertempat di Masjid Kariah Kampung Pauh, Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 12 Jun 2009 (Jumaat). Masjid ini berhampiran dengan makam Tuan Tulis (Mursyid Tareqat Syathariah). Harap dihebahkan.....

FORUM PERDANA 1 Tajuk - Iman Makrifat Alim Sarjana
Masa - 9 pagi - 12 tgh

FORUM PERDANA 2 Tajuk - Falsafah Fakeh Khalifah Saka
Masa - 2.30 ptg - 5.30 ptg

FORUM PERDANA 3 Tajuk - Membersihkan Feqah Mengheningkan Usul
Masa - 8 mlm - 11 mlm

INFO SASTERA & BUDAYA

PUISI

Getiknya Aku

Dulu PAS kata
UMNO semua tak betul
pemimpin UMNO rasuahlah,
menteri UMNO jahatlah
menteri besar UMNO samsenglah
Wanita UMNO tak tutup auratlah
Pemuda UMNO tak beradablah
bini orang UMNO bunuh oranglah.

Macam-macam pemimpin PAS
kata kat orang UMNO
pendek kata kalaulah PAS
dapat memerintah negara
berduyun-duyunlah orang UMNO
yang kudung tangan
orang UMNO yang dikerat lidah
orang UMNO yang dibotakkan kepala
orang UMNO yang direjam
sampai mati isy!

Bagi PAS
jahat sungguh orang UMNO
sekarang ni PAS
tiba-tiba dapat wahyu
orang UMNO semuanya baik
tak jahat, tak rasuah, tak mencuri
tak menyamun, tak khianat, tak menipu
tak berzina, tak bom orang,
tak gadai negara
takde yang mungkar
semuanya makruf belaka.

Kalau tidak wajib mustahil
PAS sudi nak comolot dengan UMNO
ajak tubuhkan kerajaan perpaduan
getiknya aku!

-Yassinsalleh
jam 0224
Jun11, 09
tengah mencari longkang
tempat nak muntah.

KOMENTAR:

Kalau Rais bertanya hak orang:
Orang pula bertanya apa hak dia?
Sebermula sekalian orang banyak berasa hairan kerana Orangkaya Menteri Penerangan Dato' Sri Dr Rais Yatim menjadi hulubalang yang gagah berani menegur orang lain tak berhak campur urusan harakah Islam (PAS) dan penghulunya Orangkaya Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang. Arakian akan Orangkaya itu, sebaik-baiknya jagalah kementerian penerangan itu seperti perihal diperingatkan oleh Orangkaya Paduka Raja Tun Perak pada masa dahulukala. Adapun akan Orangkaya Dato' Seri Anwar Ibrahim patutlah ia mengambil tahu akan hal-hal Orangkaya Dato' Seri Haji Hadi kerana mereka bersahabat baik.

Syahdan maka diam Tun Perak tiada disahutinya kata Seri Amerta itu. Setelah tiga kali Seri Amerta berkata-kata itu, maka baharulah disahutinya oleh Tun Perak, katanya, "Tuan Seri Amerta (seakan-akan hulubalang Orangkaya Dato' Seri Dr Rais Yatim), akan tuan hamba dijadikan Yang Dipertuan bentara, dianugerahi pedang sebilah itu jua tuan hamba peliharakan baik-baik, usahakan jangan diberi berkarat kemakanan. Akan pekerjaan kami orang memegang negeri di mana tuan hamba tahu? Jikalau sebesar tempurung sekalipun, negeri namanya." Arakian benarlah kata Tun Perak, sebesar tempurung pun PKR atau PAS itu parti politik juga namanya, kerana Orangkaya Dato' Dr Rais dalam UMNO pun sudah dibuang orang, adanya. Sebab itu dibuat orang pantun:

Mari kita bakar jambatan
Sudah dibakar padamkan api
Memang Anwar anak jantan
Lagi dicabar tak mahu ke tepi

Arakian akan segala orang banyak bersetujulah mereka disurat dalam 'Kitab Melayu' oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU

DARI LAMAN BLOG:


Serangan berani mati:
Rugikan negara Islam

Assalamualaikum,

Serangan berani mati yang digerakkan di Palestin dan Iraq, sudah merebak pula ke Pakistan seolah-olah virus yang mudah berjangkit. Hotel mewah, Pearl Continental di Peshawar yang logiknya boleh menyumbangkan kepada industri pelancongan di Pakaistan, tiba-tiba ranap akibat diserang dan diletupkan oleh kumpulan penyerang berani mati di Peshawar, Pakistan malam semalam. Serangan itu menurut agensi berita AP menyebabkan 18 orang terbunuh dan 70 lagi dilaporkan cedera. Pengebom-pengebom tersebut menyerang Hotel Pearl Continental di sini pada kira-kira pukul 10 malam tadi waktu tempatan ketika penghuni hotel tersebut masih berhibur.

Seperti yang dilaporkan oleh media asing, serangan itu turut merobohkan sebahagian hotel berkenaan, merosakkan struktur binaan serta mengakibatkan satu lubang besar di kawasan letak kereta. Seorang pegawai kanan polis di Peshawar, Abdul Ghafoor Afridi berkata, seramai 70 orang disahkan cedera akibat letupan itu, namun katanya jumlah itu mungkin bertambah.
‘‘Bilangan kecederaan mungkin bertambah kerana kita khuatir masih ada mangsa terperangkap di bawah runtuhan. Maknanya serangan berkenaan disasarkan kepada kepentingan Amerika Syarikat di Pakistan, tetapi yang menjadi mangsa ialah umat Islam sendiri.

‘‘Satu bahagian hotel berkenaan musnah teruk. Tiga termasuk seorang kakitangan hotel dilaporkan hilang dan kami khuatir mereka berada di bawah runtuhan,’’ kata Abdul Ghafoor lagi. Menurut seorang pegawai polis, Liaqat Ali, tiga lelaki meluru sambil melepaskan tembakan ke arah sekatan keselamatan sebelum menggempur hotel tersebut dengan sebuah trak pikap yang penuh dengan bahan letupan. Seorang lagi pegawai kanan polis, Shafqatullah Malik pula menganggarkan, trak tersebut dipenuhi lebih separuh tan bahan letupan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan berkata, dua kakitangannya iaitu seorang rakyat Serbia, Aleksandar Vorkapic, 44, dan warganegara Filipina, Perseveranda So, 52, turut maut dalam insiden tersebut.Turut cedera ialah tiga individu yang bekerja dengan agensi PBB, masing-masing dari Britain, Somalia dan Jerman.Serangan itu berlaku seminggu selepas pemimpin Taliban memberi amaran mereka akan melancarkan lebih banyak serangan besar di negara ini sebagai rentetan kepada serangan besar-besaran tentera kerajaan bagi menawan Lembah Swat daripada kumpulan mereka. Pertempuran itu telah memaksa kira-kira 500,000 penduduk melarikan diri bagi mencari perlindungan di pusat penempatan sementara. Kerajaan Pakistan mengikut telunjuk AS, tetapi rakyat yang menjad mangsa. Begitulah!

-Pak Dharma

ANWAR PERTAHAN HADI...


Mengulangi komitmen k/sama:
Perselisihan kecil yg digembar gembur

(Kenyataan media Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim, di Petaling Jaya pada 10 Jun 2009, berkaitan isu 'Kerajaan Perpaduan' yang dibangkitkan oleh Presiden PAS Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang dalam Muktamar PAS 4-6 Jun 2009)

Kenyataan ini saya edarkan setelah berbincang dengan Ustaz Abdul Hadi Awang dan Sdr. Lim Kit Siang semalam. Kami mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat bagi menjayakan Agenda Perubahan. Kami berpendapat adalah penting untuk memberi peluang dan ruang kepada rakan-rakan parti komponen untuk menjelaskan pendirian mereka berhubung sebarang isu yang berbangkit. Kami percaya perselisihan kecil yang digembar gembur oleh media umno-bn tidak akan meretakkan permuafakatan yang terbina dari iltizam untuk membawa Perubahan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Perlu dijelaskan bahawa isu rundingan PAS-umno yang berbangkit dari kenyataan Ustaz Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar di muktamar tahunan baru-baru ini harus dilihat dalam konteks pidato Presiden Pas. Dalam pidato tersebut Ustaz Abdul Hadi mengulangi komitmen PAS untuk memastikan Perubahan terlaksana melalui wadah Pakatan Rakyat dan menggariskan kewajaran muafakat antara parti bagi menyelesaikan krisis Perak melalui pilihanraya, menggesa agar badan kehakiman bebas dari sebarang kongkongan dan pilihanraya yang telus.

Insya-Allah permuafakatan Keadilan, PAS dan DAP akan bertambah utuh dari hari ke hari. Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan cekap mentadbir bagi kembali memacu negara ini ke persada. Pakatan Rakyat bersedia menggalas tanggungjawab demi memastikan negara ini berada di landasan yang

Wednesday, June 10, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA


PUISI

Menimbang Patut Tak Patut

Di Batu 8 Lekir, Manjong, Perak
seorang Menteri Besar kena halau
oleh tuan tanah yang tak rela
MB itu meletakkan kereta
di atas tanahnya,
malunya dia si MB tu!

MB itu kata
orang itu telah dihasut
untuk membencinya
isy! Jahat sungguh
si tukang hasut tu ya,
tak patut!

Di Gong Badak, Kuala Terengganu
bumbung stadium runtuh,
adakah siapa pula nak kata
bumbung itu telah dihasut
membenci orang yang nyaris
ditimpanya mati?

Isy! Jahat sungguh
si tukang hasut tu ya,
tak patut! Tak patut!

Dan gerombolan
penyamun tarbus PKFZ
tak ditangkap tak didakwa,
siapakah gamaknya
si tukang hasutnya ya?
isy! Jahat sungguh
si tukang hasut tu ya,
tak patut! Tak patut!
Tak patut sungguh
si tukang hasut tu ya!

Dan siapakah pulak
yang menghasut mat toyol
dan Minah Seri bantut
membotoxkan wajah mereka
isy, isy, isy!
Jahat sungguh
si tukang hasut tu ya,
tak patut! Tak patut!
Tak patut!

-Yassinsalleh
jam 2317
Jun 10, 09
menimbang patut tak patut
menghitung jumlah kafilah
para penghasut yang amat
tak patut. He he heh!
Kah kah kah, kah kah kah!