Sunday, April 5, 2009

YASSINSALLEH BERPUISI...

Jika Rindu Tak Datang

Sepi ada dalam
diri
sunyi ada dalam
hati
hampa ada
dalam mimpi
titilah pelangi
melimpasi
penjara yang
kau kunci sendiri
dendangkan
melodi kecapi
merdu pujuklah
hati
seloka dalam
mimpi jadikan
realiti.

Jika rindu tak
datang
melepaskan
dendam
helalah nafasmu
depangkanlah
tangan
nanti aku akan
berlari datang
merebahkan
laraku
di dadamu
dan esok kita
pergi mandi sungai
di sana ramai
orang mandi tak
berbenang
kerana mereka
sedang
merayakan
kemenangan.

Kalau kita turut
sama telanjang
ada nasib boleh
tidur seranjang
ada untung
boleh mengisi
kantung
ada tuah boleh
dikurnia
anugerah
aduhai
indahnya alam
ghairahnya
malam
nikmatnya hidup
telanjang!

-Yassinsalleh
jam 0353
April 4, 09
dinginnya embun titiwangsa.

Mari Kita Colek Bulan

Malam ini mari
kita colek bulan
sorokkan dalam
gua
biar kelawar
jaga.

Tebusannya kita
minta tak banyak
sepuluh peratus
cukuplah.

Kalau si bantut
taknak bagi
kita bagi bulan
kat Tok Guru.

Kat bukit-bukit
kat batang-batang
kat pohon-pohon
tak payah pasang poster
banyak kerja
boleh jadi
gaduh.

Tok Guru
lepaskan saja
bulan yang satu
bersilang-silanglah
pangkah-pangkah
menimbus
pasu si pokok
bantut yang
kontot dan
sontot.

Sesudah itu kita
kandanglah pula
matahari
kitapun molihlah
kobau balar,
jang oi!

-Yassinsalleh
jam 1220
April 5, 09
dalam kemanjaan
anak-anak &
iseri-isteri heh heh heh!

ANWAR DI BUKIT GANTANG:

Hujan Lebat Menunggu


Saya tiba sedikit lewat ka markas PAS di Trong. Hujan mencurah namun penduduk Bukit Gantang tetap bersemangat hadhir mendengar ceramah.

Seterusnya acara kempen di Sungai Tinggi. Saya mengajak rakyat menolak politik tidak siuman pimpinan Umno-BN.

Sekonyong-konyong, perubahan menjadi mantera popular pimpinan Umno. Pastinya esok muka depan media milik Umno-BN dipenuhi dengan slogan perubahan yang muluk-muluk.
Lagak mereka seperti baru mendengar perkataan tersebut. Perubahan pastinya bukan sekadar retorik. Ianya adalah kata sakti yang dizahirkan dari iltizam berterusan!

-Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang
Parlimen Malaysia

KOMENTAR...

bersama Pak Parjo

Anak-anak Melayu Berebut:
Feringgi Datang Bawa Istinggar

Syahdan Orangkaya Rembau yang menjadi penghulu sekalian anak-anak muda harakah Melayu memberitahu penitir-penitir canang tak mahulah mendesak Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak melantik anak-anak buahnya menjadi menteri. Maka dikatakan oleh orang banyak, Orangkaya Rembau itu sudah memberitahu tak mahu menjadi menteri sekiranya menang persaingan untuk jawatan penghulu anak-anak muda. Sebermula fakir pun diberitahu, bekas Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah diberi jaminan akan menantunya Orangkaya Rembau itu hendaklah diberi tempat apabila ia tak lagi memegang jawatan.

Arakian maka Sultan Ahmad pun mengerahkan segala rakyat, menghadirkan kelengkapan perang. Maka berperanglah Feringgi dengan orang Melaka. Syahdan akan Sultan Ahmad itu segala anak-anak muda dan anak-anak tuan-tuan di bawahnya belaka. Maka dibedillah dari kapal, seperti hujan datangnya, dan bunyinya seperti guruh di langit, rupa kilat apinya seperti kilat di udara, bunyi istinggarnya seperti kacang direndang. Maka segala orang Melaka tiada boleh berdiri di pantai, daripada kesangatan bedil Feringgi itu. Maka ghali dan fusta dilanggarkannya ke pantai, disebabkan sekalian orang Melayu itu berebut-rebut mahu menteri dan pegawai dengan tuduh menuduh sama sendiri dengan penitir-penitir canang mengadu domba seperti disebut 'Kitab Melayu' daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, April 4, 2009

DARI LAMAN BLOG...


Termengkelan Selepas Perhimpunan:
Lembaga Disiplin Bukan Sekadar Pening...

Assalamualaikum,

Masih banyak yang 'termengkelan' selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 28 Mac 2009, sekalipun diungkapkan berulang kali 'biduk lalu kiambang bertaut', tetapi ia sekadar dilihat pada permukaan sahaja. Kaimbang tetap terumbang ambing setiap kali air berolak, berkocak dan berombak! Apalagi misteri bekas Naib Presiden Dato' Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden, di samping Khairy Jamaluddin sekadar diberi amaran atas kesalahan yang sama dengan Ali Rustam. Sumber dari kalangan UMNO sendiri yang rapat dengan heh heh heh mengakui, Ali Rustam berpotensi memenangi jawatan yang ditandingi berdasarkan 'network' kempennya lebih kemas daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khairy pula dilaporkan menerima signal yang mendorong Lembaga Disiplin sekadar memberi amaran, sekalipun 'network' kempennya sama dengan Ali Rustam. Maknanya, kalau Khairy boleh memenangi Ketua Pemuda ianya memberi advantage kepada Ali Rustam menduduki Timbalan Presiden. Kalangan yang rapat dengan heh heh heh menjelaskan Lembaga Disiplin juga berhadapn dengan senario 'ditelan mati emak, diluah mati ayah'. Malah sumber daripada Lembaga Disiplin juga menyebut 'politik wang' digerakkan secara terang-terangan bagaikan tak menjadi 'dosa' apa-apa kepada mereka. Astaga!

Dalam isu memberi amaran kepada Khairy, memang Lembaga Disiplin juga tak sekata dalam membuat keputusan. Malah di kalangan Lembaga Disiplin juga membantah, sebaliknya apabila menerima signal, mereka sekadar 'pak pung pak mustape, ada dule di rumahnye; ada tepung ada kelape, masak inti aduh enaknye!' Memang misteri tak sama dengan mitos atau fantasi, justeru sukar mahu mentafsirkan 'Hikayat Seribu Satu Malam', 'Hikayat Bayan Budiman', atau 'Hikayat Panji Semerang' disebabkan ianya berangkai-rangkai, berungkai-rungkai dan berantai-rantai. Lembaga Disiplin juga bukan sekadar 'pening kepala', malah macam sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu!

Pimpinan veteran UMNO menngakui berlakunya kepongahan, keperongosan dan kebobrokan dalam UMNO menyebabkan orang Melayu meluat pada PRU12. Justeru mereka juga tak menolak kemungkinan pada PRU13 UMNO sudah boleh dimuziumkan, kalau kepongahan, keperongosan dan kebobrokan itu tak dihapuskan (atau disebutnya secara spontan lupa diri dan lupa daratan). Sebaliknya apabila Lembaga Disiplin dipersalahkan berikutan keputusan yang dibuat menjelang Perhimpunan Agung, ia seolah-olah mengelak aur songsang di tengah belukar. Tak hairanlah, buat seketika isu yang termengkelan di kalangan aktivis UMNO akan terus ditelan, diteran dan ditagan. Aduhai!

-Pak Dharma

UNDI HAK ANDA...

Pilihanraya Kecil (29 Mac - 7 April 2009)


SERUAN PIMPINAN PRIMA
Undi Calon, Bukan Undi Parti




PAS




PKR



BN





PARLIMEN BUKIT GANTANG (PERAK)

DUN BUKIT SELAMBAU (KEDAH)

DUN BATANG AIR (SARAWAK)



RAKYAT BERKUASA MEMBUAT PERUBAHAN!

Analatikal P/Raya Kecil...

UMNO/BN Banyak Masalah:
Rakyat Akan Mengubah Senario

Aktivis budaya di Melaka, Dr Harun Kidam meramalkan pilihanraya kecil yang berlangsung sekarang di Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Air (Sarawak) lebih memberi kredit kepada pembangkang. Menurutnya senario politik yang berubah sekarang termasuk pelantikan Perdana Menteri baru semalam (3 April 2009) memberi banyak masalah kepada UMNO/BN. Menyentuh pandangan pimpinan veteran UMNO yang meninjau ke kawasan terbabit mengakui kesukaran kepada UMNO/BN, Dr Harun berkata, "Senario dah berubah. Mungkin mereka tak boleh menang."

Sebelum ini pimpinan veteran UMNO yang membuat tinjauan ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau menerima laporan, beberapa pimpinan cawangan UMNO di Bukit Gantang menolak Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin berkempen ke kawasan mereka. Begitu juga di Bukit Selambau, pimpinan cawangan MIC di sini tak mehu Presiden MIC Dato' Seri Samy Vellu turun berkempen. Sementara itu di Batang Air, pimpinan tempatan tak mahu Tan Sri Taib Mahmud @ Tok Uban tampil menunjukkan muka. "Pimpinan tempatan sudah menyampaikan mesej yang jelas kepada UMNO/BN," beritahu Dr Harun menambah.

Anwar Ibrahim Sarankan:

ISA PERLU DIMANSUH!

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat supaya tidak tertipu dengan pengumuman pembebasan 13 tahanan ISA oleh Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.Ketika ditemui pemberita di Bukit Selambau, Anwar berkata pembebasan tahanan ISA itu tidak sama dengan reformasi. Sepatutnya, tegas beliau, Akta Keselamatan Dalam Negeri itu dimansuhkan terus.

Beliau yang juga ketua umum PKR berkata, memang sudah menjadi kebiasaan bagi perdana menteri yang baru dilantik, untuk membebaskan tahanan ISA bagi menunjukkan sikap keterbukaannya.Tetapi, katanya, selepas itu, mereka kembali semula bersikap kuku besi dan terus menggunakan ISA bila kuasa mereka terancam.