Wednesday, June 17, 2009

KATA DULANG PAKU SERPIH


Rakyat Perak perlu nilai:
Zamry dan Mohamad Nizar

Dato' Zamry Abdul Kadir sepatutnya meminta rakyat Perak menilai dirinya dengan membubar Dewan Undangan Negeri Perak di samping mengadakan pilihanraya khas, sebelum gunakan media meminta rakyat Perak menilai Dato' Seri Mohammad Nizar. Mereka yang tak menyokong PAS pun berasa meluat apabila Zambry yang jelas menggunakan kekuatan senjata dan polis untuk 'merampas kuasa' , bersuara macam kurang waras. Formula penyelesaian krisis di Perak terlalu mudah, iaitu bubarkan DUN. Nah, Zamry boleh menilai prestasi dirinya sama ada diterima atau tidak oleh rakyat Perak.

Laporan Bernama lebih menampakkan ciri-ciri propaganda kerana ianya merupakan agensi berita kerajaan. Bagi merealisasikan kehebatan Zamry sebagai pimpinan UMNO yang dilantik menerusi ihsan mahkamah, ayuh tampil dengan kekuatan sendiri menerusi pilihanraya bebas. Menggunakan kekuatan polis hingga mneceroboh masuk ke DUN, maknanya DUN Perak sudah tak berwibawa lagi akibat kerakusan kuasa tak bersempadan. Zambry, berkata tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu adalah satu peratus daripada tingkah laku sebenar yang ditunjuk Mohammad Nizar terutama semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 7 Mei lalu. Tetapi Zamry sendiri dengan menggunakan gerombolan polis bukan satu peratus, sebaliknya fikirlah sendiri!

CADANGAN TUN DR MAHATHIR...


Senjata api untuk tarik pelancong:
LISRAM
(Langkawi International Shooting Range Malaysia)

oleh
Tun Dr Mahathir Mohamad; June 17, 2009

1. Semasa kita mengadakan Sukan Komanwel sebuah lapangan sasar telah dibangunkan di Langkawi. Lapangan sasar ini mempunyai kawasan yang cukup luas, terletak di tepi bukit dan mempunyai air terjun. Ia di lanskap dengan cukup cantik.

2. Semua jenis sukan menembak boleh diadakan termasuk skit-shooting dan lapangan untuk tembakan jauh 1 kilometer.

3. Kerajaan telah belanja entah berapa juta untuk bangunkan Lisram. Untuk selenggara beberapa anggota pasukan keselamatan diadakan.

4. Kadang-kadang pasukan-pasukan keselamatan mengadakan latihan disitu. Tetapi biasanya Lisram tidak digunakan.

5. Saya terfikir ramai pelancong datang ke Langkawi. Di antara dua juta pelancong tentu ada sebilangan yang berminat dengan sukan tembak-menembak.

6. Jika disedia jenis-jenis alatan menembak di Lisram dan disewakan kepada peminat sukan ini di antara pelancong yang datang ke Langkawi, ia bukan sahaja akan memberi pulangan kepada pelaburan yang besar yang telah dibuat, ia juga boleh jadi satu tarikan untuk pelancong datang ke Langkawi.

7. Saya tahu Kerajaan amat curiga jika senjata disimpan tanpa kawalan rapi. Tetapi tentu kawalan rapi boleh diadakan di Lisram atau di balai polis di Kuah. Bukan sesuatu yang tidak dapat di lakukan jika kita ingin membuat sesuatu.

8. Ini adalah cadangan saya. Hanya yang berkuasa sahaja yang boleh laksanakan cadangan ini.

INFO TERKINI 'KERAJAAN PERPADUAN'


Mustafa beri libas maut:
UMNO pula berputih mata

UMNO berputih mata berikutan penjelasan terbaru Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali berkaitan 'kerajaan perpaduan'. Dato' Mustafa yang dilihat sebagai mewakili Presiden PAS Dato' Seri Haji Hadi Awang menegaskan sebarang perbincangan mengenai kerajaan perpaduan bersama UMNO/BN perlu melibatkan komponen Pakatan Rakyat. Pra syarat berkenaan sekali gus sukar diterima oleh Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, kerana di kalangan UMNO sendiri isu '1Malaysia' tak diterima oleh majoriti pimpinan.Dato' Mustafa dilaporkan http://harakahdaily.net/ berkata, "BN perlu faham konsep kerajaan perpaduan yang sebenar iaitu perlu melibatkan parti-parti politik utama."

Justeru beritahu Dato' Mustafa, kalau nak buat kerajaan perpaduan, semua parti politik perlu terlibat, oleh itu bincang dengan PAS sahaja untuk buat kerajaan perpaduan tak tepat. Mengulas kenyataan Najib seperti dilaporkan mstar online, yang menaruh keyakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Mustafa berkata, PAS tetap dengan pendirian mereka sebelum ini untuk terus bersama dalam Pakatan Rakyat. "PAS menjadikan Islam sebagai dasar, oleh itu dalam Islam kita hormati perjanjian... PAS tidak akan mengkhianati kawan dalam perjanjian," katanya menambah.

Kenyataan Mustafa dilihat sebagai situasi Najib 'berputih mata' apabila menaruh harapan terlalu tinggi untuk survival UMNO. Media arus perdana yang menjadikan isu berkenaan sensasi juga turut 'menghitung buah kerayung' dengan perkembangan terbaru itu. Mustafa juga menjelaskan isu perbincangan antara PAS dan Umno yang berlaku selepas pilihan raya umum ke-12 sudah lama berakhir dan tidak perlu dibangkitkan lagi. "Soal PAS-Umno dan BN dah lama selesai... kali ini perlu sertai semua sekali (Pakatan Rakyat)," jelas beliau.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo

Diungkap Sasterawan Negara:
Kerajaan 'telinga satu berlidah dua'

Syahdan tersebut alkisah yang empunya ceritera ungkapan Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said perihal pemerintah yang 'bertelinga satu dan berlidah dua' menjadi sebutan popular sidang Muktamar Tahunan PAS kali ke-55 yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini. Adapun akan Dato' A Samad Said itu terlalu hampa ia kerajaan bertelinga satu berlidah dua itu, mahu abaikan Bahasa Melayu. Disebabkan orang PAS juga memilih-milih kawan, terlupa mereka fakir sudah memberitahu orang banyak mengenai 'orang berkepala satu' dan 'orang berkepala dua' pada 1998 bersama Allahyaham Dato' Fadzil Noor. Tak pernah pula fakir melihat akan bayang Ustaz Nasharuddin Mat Isa ketika itu.

Sebermula diceriterakan oleh orang yang empunya ceritera, ada seorang hamba Allah turun dari Pasai dari atas angin ke Pasai tiga bersahabat, Tun Jana Kahtib namanya, memahirkan ilmu khayalillah lagi tauhid dua belas alam. Maka seorang pergi ke Samarlingga, itulah disebut orang Tuan Samarlingga; yang seorang Tuan di Bungoran. Maka Tun Jana Khana berjalan di pekan Singapura, maka lalu hampir istana raja. Pada ketika itu raja perempuan melihat di tingkap, maka terpandang kepada Tun Jana Khatib. Arakian ada sebatang pokok pinang di situ, ditilik oleh Tun Jana Khatib, terbelah dua. Terlalu marah Paduka Seri Maharaja yang terkenal perihal adil itu, lalu disuruhnya bunuh, serta ditikam orang Tun Jana Khatib, hampir tempat orang brkedai bikang. Maka diperbuat orang nyanyi:

Telor itik dari Singgora
Pandan terletak dilangkahi
Darahnya titik di Singapura
Badannya terhantar di Langkawi

Hatta, maka sekalian orang banyak dimintanya di surat dalam 'Kitab Melayu" kepada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG

Najib malu nak iktiraf:
K'jaan perpaduan idea Ku Li


Rupa-rupanya baru sekarang Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menyedari pejuang-pejuang PAS adalah ikhlas. Laporan http://utusan.com.my/ hari ini (16 Jun 2009) menyebut Najib yakin terhadap keikhlasan Pas berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini. Justeru, Perdana Menteri tetap dengan pendiriannya untuk mengamalkan sikap terbuka dan pada masa sama, bersedia mendengar serta mempertimbangkan apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh Pas.

Barangkali yang berdolak dalih ialah pimpinan UMNO, kerana sebelum ini Najib mengakui beliau tak ada kuasa membuat keputusan, semuanya kena rujuk kepada komponen BN. Kalau PAS memang ikhlas, apa lagi ayuh! Tak perlu heboh di media dengan dasar 'pecah dan perintah' untuk melaga-lagakan Hadi Awang dan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat. Disebabkan orang Melayu menyedari PAS lebih ikhlas daripada UMNO, justeru berlaku anjakan paradigma dalam PRU12. Apalagi orang Melayu tak perlu diperhambakan minda mereka, kerana 'kerajaan perpaduan' adalah idea Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang.

Sekiranya Najib bersikap ikhlas, beliau seharusnya mengakui idea 'kerajaan perpaduan' adalah dari Tengku Razaleigh ketika umumkan untuk menawar diri sebagai calon Presiden UMNO. Kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Tengku Razaleigh memang dipersetujui oleh PAS dan Pakatan Rakyat, maknanya sekarang Najib mengadaptasi idea Tengku Razaleigh menerusi idea PAS. Bagaimanapun orang Melayu tak terkeliru dengan 'paluan gendang' Najib, kerana setiap paluan gendang disusuli pula 'rentak tari'nya.

Tengku Razaleigh memang mempunyai idea yang bernas, justeru aktivis UMNO sendiri yang rugi apabila menolak beliau untuk menjadi calon Presiden UMNO menerusi kouta. Sekiranya Tengku Razaleigh dicalonkan oleh 60 Bahagian UMNO pada pemilhan yang lalu, sudah tentu 'kerajaan perpaduan' menjadi kenyataan. Dalam isu sekarang Najib berasa malu untuk mengiktiraf 'kerajaan perpaduan' itu idea Tengku Razaleigh. Di sebalik rasa malunya itulah Najib tak teragak-agak mengakui PAS ikhlas dalam isu 'kerajaan perpaduan', di samping Nasharudidin Mat Isa bergantung kepada sokongan tak sampai 46% perwakilan untuk jawatan Timbalan Presidennya.

-Pak Dharma

Tuesday, June 16, 2009

SURAT LAKSAMANA DAIK


Kalau jerangau masih lembik
Jangan cuba mengada-ngada!

Adalah dimaklumkan surat Dato' Laksamana Daik ini untuk memberitahu di dalam negeri Melayu ini hanya di Daik sahaja masih terdapat peninggalan rumah pesaka Dato' Laksamana. Adapun Laksamana Hang Nadim sudah meninggal dunia pada 1513, dalam pertempuran dengan Feringgi, setelah 32 kali bertimba darah, adanya. Maka diperhatikan menerusi laman blog ini, terdapat seorang hamba Allah yang jerangau masih lembik, mahu menunjuk-nunjuk pandai sangat berpolitik. Oleh yang demikian hendaklah diketahui bagaimana orang berpolitik pada masa penjajah Inggeris dahulu. (Blog ini tak menerima sebarang komen yang bertujuan untuk melepaskan geram - PRIMA)

Apabila Parti Negara yang dipimpin Dato' Onn Jaafar (hendaknya si jerangau lembik ini kenallah ia siapa Dato' Onn Jaafar itu) berkempen kepada orang-orang kampung, maka diupah beberapa orang pemuda oleh UMNO untuk bersorak-sorak di tepi jalan. Tujuannya ialah mengganggu akan kempen tersebut, seperti diberitahu oleh Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris, bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan (1976-1980). Kalau orang-orang Parti Negara menampal poster, maka diupah pemuda-pemuda menampal poster kapal layar di atas poster padi segemal itu. Oleh itu si jerangau lembik, tak payahlah menunjuk-nunjuk pandai sangat berpolitik dengan menulis membuat komen di laman blog untuk mengada-ngada, hasilkan buku mahupun tesis atau kitab-kitab! Wasallam. - Dato' Laksamana Daik.

SUARA DARI LUBUK KAWAH...

PKR Pahang sasar Felda:
Masyarakat Orang Asli

Gerakan mensasarkan sokongan di kalangan masyarakat pendalaman Felda dan masayarakat Orang Asli digerakkan oleh PKR Pahang, Ahad lalu (14 Jun 2009), lapor Haji Suhaimi Said dari http://www.semangatlubukkawah.blogspot.com/ . Katanya, Ketua pimpinan PKR Pahang, Dato' Fauzi Abdul Rahman merasmikan kongres khas bagi masyarakat Felda dan Orang Asli d sini. Dengan sambutan masyarakat di pendalaman sekarang di Pahang, Haji Suhaimi optimis gerakan yang dijalankan oleh PKR sekarang mencapai sasaran maksimum menjelang PRU13. "Biro khas hal ehwal Orang Asli dalam PKR sudah diwujudkan bagi memantau kepentingan mereka," kata Haji Suhaimi. (Gambar, Dato' Fauzi merasmikan kongres khas PKR Pahang).
Masyarakat Orang Asli yang dipinggirkan selama ini menyedari, penubuhan UMNO pada 1946 adalah disertai wakil Orang Asli, beritahu Haji Suhaimi. Pada Kongres Melayu pertama 1 - 4 Mac 1946, salah sebuah persatuan yang menghantar perwakilan daripada sjumlah 41 persatuan ialah Persatuan Orang Darat Selangor, yang diwakili oleh Abu bin Busu, Lena bin Khamis dan Chinawa bin Salleh, menurut Haji Suhaimi selanjutnya. Bagaimanapun disebabkan sikap UMNO 'habis manis sepah dibuang' perwakilian Orang Asli dipinggirkan apabila mereka memperoleh kuasa. "Orang Asli perlu diberi tempat dalam politik Malaysia sekarang," tegas Haji Suhaimi.