Monday, March 30, 2009

CATATAN LARUT MALAM AFFANDI...



Dr. Mahathir Mohamed:
Sebagai Si Luncai Politik Melayu

Tidak ada siapa pun menduga, Dr. Mahathir Mohamed yang dianggap oleh UMNO sebagai pemimpin besar mereka yang diberi peluang (lebih tepat merebut peluang) menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, hanyalah seorang Si Luncai saja, yang terjun dengan labu-labunya sambil bernyanyi “Biarkan, Biarkan!” Dia keluar UMNO, terjun dari perahu bocor yang ditinggalkannya kepada Abdullah Badawi. Dia marahkan Abdullah kerana tidak ikut telunjuknya. Jika benarlah Abdullah rasuah dan dia tahu, dia tidak seharusnya melantik Abdullah sebagai penggantinya.

Jika dia tidak tahu ternyatalah dia bukan seorang pemimpin yang cekap membaca peribadi budak-budak bawahannya. Dia cerca dan hamun Abdullah sebagai perasuah dan pembinasa UMNO. Abdullah yang pendiam dan tidak suka bergaduh tidak menjawab bahawa dia menerima perahu buruk yang bocor di sana sini, sebuah organisasi yang likat dengan rasuah. Tidak terfikir oleh orang UYMNO Dr. Mahathir Mohamed akan terjun perahu seperti Si Luncai. Kini kata khabarnya dia akan masuk UMNO balik setelah terjun dengan labu-labu keangkuhannya kerana terlampau bencikan tokoh pilihannya yang disedarinya tidak boleh dicucuk hidung. Sangkanya dia dapat jadikan Abdullah Badawi budak suruhannya, tetapi ternyata meleset.

Dengan caranya yang tersendiri, Abdullah Badawi muncul sebagai seorang tokoh UMNO yang lain dari yang lain: lemah lembut, bersahaja, tidak pandai menyelar musuh dengan bahasa yang kesat, dan lebih istimewa beliau sentiasa tersenyum dalam keadaan yang rumit sekali pun. Dia tahu orang yang dilantiknya sebagai menteri dengan diam-diam mengkhianatinya, tetapi tidak diambil tindakan apa-apa. Dia sedar tindakannya tidak disukai orang-orang seperti Si Luncai kita, tetapi dia tetap sabar dan terus menjalankan tugasnya. Tiba-tiba dia dituduh rasuah kerana kononnya anaknya dan menantunya mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Si Luncai berjaya memberi gambaran buruk kepada Abdullah Badawi, anaknya dan menantunya. Bagaimana dengan anak-anak Dr. Mahathir Mohamed sendiri? Mungkin jarang orang tahu ada anaknya yang mempunyai bangunan besar di Vancouver, Kanada. Orang yang bekerja di luar negeri tahu banyak rahsia tentang tokoh ini, yang mujurlah tidak didedahkan. Jika tidak, malu besarlah Malaysia dan orang Melayu. Sebagai Perdana Menteri, dia paling banyak mengembara, hingga ke Antartica. Buat apa di sana? Bolehkah Melayu dimajukan dengan berhijrah ke Antartica? Kita tidak diberitahu berapa belanja setiap lawatan rasmi yang banyak itu ditanggung rakyat Malaysia, yang faedahnya terbang di angin lalu saja, hanya ada dalam ucapan dan penegasan, tetapi tidak nampak di alam nyata.

Biarlah semua itu tersembunyi dan disembunyikan sehingga tiba waktunya untuk dibuka bagi pengetahuan umum. Apa yang penting di sini ialah hakikat sebenar tokoh ini. Seperti orang lain juga, banyak dosanya. Cuma orang Melayu yang baik hati berdiam diri, tidak ungkit kerana perkara-perkara itu terlalu memalukan dan menyakitkan hati. Paling utama bagi UMNO, perpecahan dalam UMNO berlaku kerana Dr. Mahathir Mohamed tidak dapat menerima saingan daripada tokoh-tokoh UMNO yang mungkin lebih cerdik dan lebih berkarisma daripada beliau, mungkin juga lebih jujur. Dr. Mahathir Mohamed komplen mengapa keputusan Ketua Pemuda UMNO mengambil masa yang lama untuk diumumkan: kerana terdapat unsur rasuah.

Tentu ada orang masih ingat bagaimana pengiraan undi 1987 memakan masa yang menghairankan; tetapi akhirnya Dr. Mahathir menang dengan 42 undi (lebih rendah daripada kemenangan Khairy Jamaluddin terhadap Mukhriz anak Mahathir) mengalahkan Tengku Razaleigh yang diduga akan menang. Kalau beliau mahu mengira semua itu, jangan lupa apa yang terjadi ke atas anda. Tanda orang itu baik hati dan jujur, dia sedar kesilapannya, oleh itu dia tidak mengungkit kesilapan orang lain yang belum tentu silap. Khairy Jamaluddin tidak dihukum oleh Lembaga Disiplin, hanya diberi amaran kerana kesalahan orang lain yang dia sendiri tidak tahu menahu tetapi dia harus bertanggungjawab kerana dia Naib Ketua Pemuda.

Ini bukan pembelaan kepada Khairy, hanya sekadar memberitahu fakta yang diselewengkan. Memang ahli politik suka menyelewengkan fakta, tetapi janganlah terlalu melampau kerana perbuatan itu menunjukkan anda tidak mempunyai integriti. Jika kita tidak senang dengan kemenangan Khairy, bolehkah kita berkata kita juga tidak senang dengan kemenangan 42 undi Dr. Mahathir Mohamed tahun 1987 itu. Penganalisis politik yang ramai sekarang boleh tolong kita menjelaskan perbezaan dua kemenangan yang meragukan itu. Samakah kemenangan Khairy tahun 2009 dengan kemenangan Dr. Mahathir Mohamed tahun 1987?

Kini Dr. Mahathir Mohamed kembali ke perahu UMNO setelah terjun beberapa lama kerana terlalu panas berada di dalam perahu di bawah nakhoda baru (Pak Lah). Kini nakhoda yang ditunggu-tunggunya sudah dapat merebut kuasa dengan izin Pak Lah sendiri, setelah menerima tekanan yang sangat hebat daripada Muhyiddin Yassin yang bekerja di bawah naungan Dr. Mahathir Mohamed. Kembalinya Si Luncai ke perahu sebenarnya tidak memberi manfaat apa-apa yang istimewa, selain dari menambah beban perahu yang sudah sarat dengan barangan bermasalah. Benarkah Dr. Mahathir Mohamed faktor penting dalam penyatuan UMNO?

Sehingga ini tidak ada penganalisis politik berani menidakkan andaian itu, walaupun mereka tahu sudah beberapa kali Dr. Mahathir Mohamed memecahbelahkan UMNO untuk memastikan kedudukannya tidak terjejas. Dari segi ini, Dr. Mahathir Mohamed telah memberi panduan baik kepada pemimpin UMNO, bahawa laungan mementingkan parti tidak semestinya baik, jika kedudukan sendiri terancam. Itulah falsafah politik seorang ahli politik, tetapi bukan seorang negarawan. Ahli sejarah jangan lagi membuat kesilapan dengan mengangkat Dr. Mahathir Mohamed sebagai seorang negarawan. Dia tidak layak diberi penghormatan itu jika tindak tanduknya dan ideanya tentang PPSMI dianalisis dengan kritis.

Bekas Ketua Pemuda UMNO yang kini naik pangkat dalam UMNO memanggil sesiapa juga yang mengkhianati perjuangan orang Melayu, misalnya menolak bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, adalah petualang yang mesti ditolak. Silapnya ialah orang terlalu memandang tinggi kedudukan Dr. Mahathir Mohamed dari pandangan lahir saja, dengan itu mereka telah “over rated” sumbangan Dr. Mahathir Mohamed. Inilah masalah dalam politik dan sejarah orang Melayu yang mesti diselesaikan dengan tuntas dengan menggunakan teori yang betul. Orang Melayu perlu cerdik dan berani menilai sumbangan tokoh-tokoh yang mereka senangi dengan menggunakan teori yang boleh menghuraikan banyak rahsia tentang tokoh yang dinilai terlampau tinggi itu. 29/3/2009).

[*Mohd. Affandi Hassan, bekas pegawai tinggi kementerian yang pernah berkhidmat di bawah pentadiran Tun Dr Mahathir Mohamed sejak dekad 1980-an, dan berpengalamn dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan. Dilahirkan di Kelantan pada 1942, beliau pesara PTD dan menetap di Petaling Jaya]

No comments: