Thursday, March 26, 2009

MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS...

Salam Kosong Salam Berisi:
Lambang Persaudaraan UMNO

Persaudaraan UMNO, yang menjadikan rasuah politik sebagai prinsip kepemimpinan, dijelmakan dalam ungkapan yang disebut oleh bakal Perdana Menteri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmiannya dalam perhimpunan agung UMNO. Kata Najib, sudah terkenal dalam UMNO ungkapan SK (salam kosong tanpa wang) dan SI (salam berisi dengan wang). Di Kelantan terkenal ungkapan, “Bersalam dengan Datuk Anu ... (sebut nama, Datuk itu Datuk ini) panas tangan”, kerana sekurang-kurangnya jatuh RM50.00 senang-senang. Bagus betul orang UMNO sesama mereka, terutama para pemimpinnya yang begitu pemurah.

Maklumlah mereka banyak wang. Bagaimana dapat wang? Waktu jambatan Tendung (Kelantan) sedang dibina, orang-orang cerdik dalam UMNO dan kenal pentingnya wang, jadi penyelia pembinaan jambatan itu tanpa dilantik oleh sesiapa, yang kerjanya memastikan tidak ada yang terbuang ke poket orang lain apa juga lebihan wang (yang cukup banyak dilebihkan) yang mengalir dari Kuala Lumpur. Sekarang salah seorang penyelia limpahan wang dari Kuala Lumpur itu cukup giat menjeritkan slogan peri pentingnya orang Melayu bersatu dan berani mempertahankan ketuanan Melayu dengan membasmi rasuah politik dalam UMNO (meskipun dia bukan ahli).

Mengapa rasuah politik jadi begitu serius dalam UMNO? Jawapan mudah: Kerana ada sponsor yang berbakat sebagai pemimpin dan ramai pula penerimanya. Orang-orang berbakat itu mempunyai semangat cintakan bangsa terlalu mendalam, membuat mereka berebut-rebut mengatasi satu sama lain untuk berjasa kepada negara, bangsa dan agama. Inilah kehebatan UMNO yang menjadi masalah besar kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya, apabila orang berbakat pemimpin itu terlalu ramai dan semakin besar pula nafsu ingin berjasanya. Mereka ini mendapat galakan semangat patriotisme dalam masa 22 tahun Dr. Mahathir Mohamed menjadi ketua UMNO.

Oleh itu ramai penganalisis politik berpendapat pada era itulah biji benih rasuah politik disemai dan ditanam dengan gigihnya melalui projek-projek mega yang berbilion ringgit kosnya. Di samping berlumba-lumba membangun negara dengan wang Petronas dan sumber-sumber lain, para pemimpin berbakat yang cerdik itu menggunakan kesempatan membangun itu untuk “membuat duit” sebanyak-banyaknya. Anak-beranak, adik-beradik, rakan taulan yang rapat, semuanya diberi peluang untuk menunjukkan bakat mereka membangun negara dan mengumpul wang. Misalnya, untuk menyediakan peralatan kerusi meja, kain langsir, perkakas pejabat, permaidani dan lain-lain, belanjanya beratus juta (jika tidak lebih) dan semua projek “furnishing the air port” itu jatuh ke tangan anak-beranak tertentu.

Itu hanya contoh kecil, dikemukakan bagi orang yang kurang upaya memahami kerumitan mewujudkan budaya rasuah politik itu. Maka apabila Mr. Clean diberi kesempatan menunjukkan peribadi bersihnya, dia sebenarnya mewarisi organisasi politik yang bernama UMNO itu yang sudah matang budaya rasuah politiknya. Apabila dia ingin menghapuskan budaya rasuah itu, dia sendiri yang dihapuskan terlebih dahulu, belum puas lagi jadi Perdana Menteri sudah diarahkan “saying goodbye” kepada semua rakan taulannya yang gigih membangun negara dan mengumpul duit itu. Siapakah di antara rakan taulannya itu yang miskin papa kedana? Tikus di rumah mereka pun kaya raya, kenyang tak terkira, apatah lagi anak-beranak mereka yang pintar-pintar belaka mencari duit.

Maka apabila bakal Perdana Menteri meraung sekali lagi memerintah anak buahnya menghapuskan rasuah politik, tikus dan tupai sekelilingnya tertawa besar sambil mengunyah sisa rasuah yang begitu banyak terbuang, tak termakan oleh tuan rumah sendiri. Apabila kekayaan telah jadi begitu besar, dengan segala kemewahan yang tak terkira lagi, maka penghapusan rasuah boleh disembur dengan peribahasa (menggunakan pertanyaan ingkar): Bolehkah dihalau tikus kenyang di atas timbunan padi? Tahi tikus pun berharga, apatah lagi padi bertimbun. Maka bermadahlah Pelawak Melayu yang terkenal bernama Si Luncai: “Tengok perut aku yang buncit ini, adakah kamu fikir semuanya tahi?

Tengok pula perut kamu yang kempis, kamu fikir tak ada tahi di dalamnya? Buncit atau kempis sama- sama makan semuanya simpan tahi, tak usah cakap banyak.” Ternyata Si Luncai jauh lebih bijak dan jujur berbicara tentang rasuah ini. Jelaslah yang patut terjun ke laut bukan Si Luncai, tetapi semua pandai rasuah dalam UMNO. Cuma Si Luncai tidak tahu, pandai rasuah UMNO ini punya kapal selam, kapal perang, kapal angkat minyak. Kalau tenggelam kapal selam sudah tunggu; kalau terjerit-jerit dalam laut kapal perang ambil; kalau berat sangat harta benda yang jatuh ke laut bersama pandai rasuah ini, kapal minyak boleh muat tiga juta penumpang, tak jadi masalah langsung. Jadi, mahu tidak mahu, Si Luncai terus terjun dengan labu-labunya. Biarkan. Biarkan. Siapa kata Melayu bodoh? (25/3/2009)

(*Mohd. Affandi Hassan ialah pesara PTD dan bekas pegawai tinggi kementerian yang berpengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan di peringkat tinggi. Sebagai sasterawan dan pengkritik sastera, beliau prihatin dengan kebobrokan pentadbiran, justeru perlu diperbetulkan dengan pendekatan keilmuan.)


No comments: