Saturday, March 28, 2009

Sudut Pandangan Mohd Affandi Hassan...


Makna Perubahan Bagi UMNO:
Bukan Pusingan Keldai Mengelilingi Perigi

UMNO mempunyai syahwat politik yang sangat kuat. Kita akan lihat bagaimana syahwat politik itu mereka puaskan dengan memperkasa (jangan baca “memperkosa”) undang-undang untuk menjamin keselamatan mereka dan melindungi mereka dalam kegiatan rasuah politik. Anda tentu pernah melihat keldai kurus ditutup matanya mengelilingi perigi mencurahkan air ke dalam parit mengairi tanaman di padang pasir. Walaupun beribu batu keldai berjalan, dia tidak berpindah dari telaganya, malah dia tidak pun tahu dia hanya mengelilingi telaga. Itulah jenis perubahan yang dicadangkan oleh UMNO dalam perhimpunan mereka Mac 2009 di telaga besar kepunyaan mereka bernama PWTC (nama itu pun sama dengan UMNO, tetap bercorak Inggeris!).

Kali ini mereka bercakap banyak tentang perubahan, tentang “memperkasa” (jangan baca “memperkosa”) orang Melayu supaya mereka sedar mereka tidak ada pilihan lain selain UMNO. Jika mereka pilih selain UMNO, mereka akan jahanam sebelum kiamat lagi. Itulah persoalan yang mereka bincangkan setengah abad dulu, diulang-ulang dengan ghairah dengan memakai retorik baru yang mungkin lebih canggih, tetapi tetap kosong dari segi makna terhadap orang Melayu, yang masih susah dan masih meraba-raba mencari kepastian setelah selama lebih 50 tahun dijadikan hamba oleh para pemimpin UMNO. Kini terdapat sedikit perubahan, apabila mereka mengaku mereka rasuah, mereka elitis, mereka sombong, mereka mengetepikan rakyat setiap kali menang pilihan raya, dan lain-lain perkara yang dulunya mereka tolak dengan keras sehingga sanggup bergaduh besar.


Ketika orang Melayu mula sedar dari mimpi khayal mereka mempercayai UMNO, maka para pemimpin UMNO menaikkan semula syahwat dalam politik, sehingga sanggup melakukan apa saja untuk memuaskan syahwat itu. Syahwat politik UMNO sudah terkenal dan sudah diterima dalam budaya politik Malaysia sebagai tidak terbatas, penuh dengan rangsangan yang boleh mengeluarkan air liur orang-orang yang suka dirangsang. Kerana kuatnya syahwat politik itu, maka Perak dirampas dan hingga kini dalam keadaan haru biru. Dalam perhimpunan UMNO baru lepas, diperlihatkan dengan jelas bagaimana kuatnya syahwat politik UMNO dipertontonkan berganti-ganti oleh perwakilan dan ketua-ketua mereka.

Antara lain, kata mereka, sekiranya syahwat politik UMNO itu mahu diperkasakan (jangan baca “diperkosa”), maka UMNO harus diputihkan (kerana sekarang sangat hitam, comot, kotor, dan busuk) supaya dapat dipulihkan kekuatan syahwatnya. Bagaimana ini boleh dilakukan? Perdana Menteri Abdullah Badawi memberi senarai lengkap supaya UMNO tidak mengkhianati aspirasi bangsa Melayu (misalnya dengan menolak PPSMI yang dipeluk erat dalam perhimpunan 2009); bersikap terbuka dalam menjalin kerjasama dengan bukan Melayu ; bijak menangani tuntutan bercanggah; selalu berubah mengikut peredaran zaman; menerima perubahan sosial dan politik yang baru muncul; memelihara yang lama tetapi bersedia menerima yang baru.

Itulah unsur-unsur yang selama ini menguatkan syahwat politik UMNO. Walaupun prinsip-prinsip itu bagus dan munasabah, mengapa pemimpin UMNO tidak mengamalkannya? Itulah persoalan yang perlu dijawab, yang jawapannya tidak diberikan. Jawapan itu tidak diberikan kerana UMNO tidak mahu terikat kepada kebenaran, kejujuran, sifat amanah, telus, bercakap benar dan sebagainya. Semuanya boleh menghalang wujudnya rasuah politik menggunakan wang untuk mendapat kedudukan dan pengaruh. Bagi UMNO, hanya dengan rasuah saja syahwat politik mereka dapat diperkasa (jangan baca “diperkosa”).

Sekarang ketua-ketua UMNO bercakap perlunya diadakan pembaharuan untuk menarik kembali sokongan orang Melayu. Jika semua hujah mengenai perlunya pembaharuan itu diteliti, diperhalusi, dan dianalisis dengan kritis, maka yang mereka maksudkan dengan “pembaharuan” itu ialah umpan-umpan baru yang boleh disogokkan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia untuk menarik mereka kembali. Umpan baru itu, antara lain, ialah upaya yang mesti dilakukan dengan segera untuk menarik minat orang muda menyokong UMNO. Sebenarnya ini satu perkara yang sangat pelik, malah boleh dikatakan bodoh.

Sudah bertahun-tahun anak-anak muda ini dikongkong di universiti dengan segala macam akta, dengan wujudnya pula jawatan akademik (yang tidak ada unsur akademik sama sekali) untuk menghukum mereka jika mereka bersuara dengan suara yang berbeza daripada yang dibenarkan oleh UMNO. Anak-anak muda ini wajib membenci dan memusuhi UMNO/BN kerana tekanan mental dan fizikal yang mereka terima daripada kerajaan UMNO/BN selama berada di universiti. Tidak wajar mereka menyokong puak yang menzalimi mereka yang mengajar mereka menjadi bodoh dan pak turut membuta tuli.
Ternyata polisi UMNO membelenggu anak-anak muda ini dengan segala macam akta gagal sama sekali, malah menimbulkan kebencian dan kemarahan. Akta dan sekatan bersuara itu baik dari segi menanam kebencian terhadap UMNO/BN yang akhirnya mendorong mereka menentang UMNO/BN. Hanya dari segi itu saja bagusnya akta dan sekatan bersuara itu, oleh itu perlu diteruskan oleh UMNO/BN supaya lebih ramai lahir penentang mereka. Satu lagi perubahan yang dicanangkan (tidak semestinya dicadangkan dan dilaksanakan dengan jujur) ialah untuk UMNO kembali ke akar umbi, memberi peluang kepada akar umbi memilih sendiri pemimpin mereka, dengan itu akan hapuslah rasuah politik. Hujah ini terlalu kebudakan, terlalu memperbodoh rakyat, terlalu dangkal dan tidak jujur.

Jangan lupa berapa banyak wang ditaburkan oleh UMNO/ setiap kali diadakan pilihan raya; oleh itu adalah karut untuk memberi kebebasan kepada akar umbi yang sudah biasa menerima wang setiap kali diadakan pilihan raya. Siapa yang dapat wang umpan itu? Ahli-ahli UMNO sendiri. Oleh itu mengapa mereka harus dinafikan daripada mendapat wang ketika diadakan pemilihan ketua-ketua parti peringkat tinggi? Cadangan ini akan menyuburkan rasuah politik, dan kuantumnya akan lebih besar; oleh itu tidak mungkin menghapuskan rasuah itu. Lagi pula, tidak logik sama sekali bagi UMNO yang pemurah kepada pengundi tiba-tiba menjadi kedekut kepada ahli sendiri.

Lebih baik diteruskan praktik sekarang supaya rakyat tidak terbuka kepada kejahatan ahli politik yang mencari pengaruh itu. Cadangan ini hanya akan berkesan jika praktik UMNO yang mengumpan rakyat dengan wang dan lain-lain dihentikan; tetapi ini tidak dapat dilakukan kerana UMNO akan ditinggalkan terus oleh rakyat yang sudah biasa dengan rasuah. Jika ini dilakukan, UMNO akan memberi kemenangan percuma kepada parti lawan. Dalam pilihan raya yang bersih, UMNO tidak akan menang.

Apakah pilihan yang terbuka kepada UMNO? Tidak mungkin UMNO dibubarkan oleh ahlinya, walaupun itulah pilihan terbaik. Secara khusus hanya dua pilihan yang ada pada UMNO: meneruskan rasuah politik dengan menghalalkannya menerusi undang-undang, dengan memperkenalkan undang-undang khusus yang mungkin diberi nama Undang-undang Pengecualian Rasuah. Undang-undang ini bermaksud untuk mengeluarkan rasuah politik daripada senarai tindakan rasuah dengan beberapa peraturan yang boleh dilaksanakan dengan mudah.

Misalnya, setiap calon diberi kebenaran untuk berbelanja tidak lebih daripada sepuluh juta untuk berkempen mendapat pengaruh (kini tiada had, antara 20 hingga 30 juta); setiap perbelanjaan diaudit oleh juru audit politik yang kerjanya menentukan perbelanjaan itu dijalankan tanpa sebarang penipuan; selain itu sumbangan wang boleh diterima daripada sesiapa pun yang mahu memberinya, tetapi dihadkan dari sumber dalam negara saja. Jika ini dilakukan, UMNO selamat daripada rasuah politik; dan rakyat berpuas hati kerana mereka mendapat habuan mengikut budi bicara calon atau agennya. Kita juga dapat membuka peluang secara telus kepada para penderma yang ikhlas menyokong calon yang terbaik.

Calon yang menang dibolehkan membalas budi kepada para penderma dan sebagainya, asal saja dilakukan secara terbuka. Misalnya, jika sebuah syarikat memberi derma yang banyak sebagai saham dalam perniagaan (yang memang dilakukan secara senyap-senyap), maka syarikat itu dibolehkan mendapat faedah daripada pelaburannya. Yang penting ialah semua ini dibuat secara terbuka, bukan sembunyi-sembunyi seperti sekarang. Pilihan kedua ialah ahli-ahli UMNO yang berminat menjadi ketua didaftarkan oleh sekretariat UMNO yang akan menapis dan menentukan berupaya tidaknya calon tadi menjadi ketua yang baik berasaskan laporan daripada akar umbi, yang dibuat melalui borang tertentu.

Hanya calon yang telah mendaftar selama lima tahun berturut-turut, dengan sejumlah jasa yang benar-benar dapat diukur, akan diterima menjadi calon dalam apa juga pertandingan merebut jawatan, yang peringkatnya ditentukan daripada jumlah mata yang didapat oleh calon daripada borang tadi. Semua ini dapat dilakukan dengan mudah dengan menggunakan IT. Semua maklumat yang diterima dari akar umbi diproses dengan tepat dan cepat oleh komputer. Setiap calon yang benar-benar berwibawa dan benar-benar berjasa disenaraikan dalam penerbitan khusus oleh UMNO, yang diedarkan ke seluruh cawangan dan bahagian. Sistem ini boleh dibuat dengan mudah dan baiknya rasuah politik tidak mungkin berlaku. Mana satu yang dipilih oleh UMNO tidak jadi soal, kerana tujuan UMNO ialah untuk mengelak dari rasuah politik.
Baiknya ialah UMNO akan dapat ketua yang benar-benar berwibawa, dan rakyat boleh mengawal hanya yang terbaik dari segi moral dan sempurna peribadinya serta cerdik sahaja yang layak diberi kedudukan sebagai ketua mereka. Jika ini dilakukan, mungkin tidak seorang pun ahli MT yang terpilih baru-baru ini dapat memenuhi syarat yang ditetapkan. Oleh itu sudah pasti para pemimpin UMNO akan menentang keras apa juga usaha dan idea baik yang akan membebaskan mereka daripada berbuat jahat, seperti mengamalkan rasuah politik. Kesimpulannya, UMNO tidak akan berubah sebab perubahan akan merugikan mereka; dengan itu berapa jauh pun UMNO pergi, yang terjadi hanya putaran bulat dalam lingkungan kecil yang ditetapkan oleh keperluan kebendaan, kekayaan, dan kuasa yang digunakan untuk menindas penentang UMNO, dari luar atau dari dalam.

UMNO akan terus berpusing di telaga kuasa syahwat politik mereka dengan mata tertutup, dibuka hanya sekali sekala ketika mereka berpesta, seperti mengadakan perhimpunan agung. Oleh sebab sudah jelas UMNO menjadi beban kepada rakyat, maka cara terbaik bagi rakyat ialah dengan menolak UMNO dalam pilihan raya. Rakyat akan jadi lebih selamat dan tidak lagi menanggung beban sejarah. Paling kurang rakyat Melayu dapat menyelamatkan bahasa Melayu dan budaya Melayu, setelah mereka kehilangan Tanah Melayu. Wallahu a’lam. (27/3/2009)

(*Mohd. Affandi Hassan ialah pengkritik sastera Melayu tersohor. Berpengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan sejak memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah (ADO) hingga kepada pengarah di beberapa kementerian. Pesara PTD, tetapi tak bersara sebagai penulis dan sasterawan Melayu berwibawa)

No comments: