Jangan Baca Buku Sejarah:
Tapi Hendaklah Cipta Sejarah!
(Teks ceramah Ketua Pimpinan Warga Prihatin Malaysia - PRIMA, Pak Dharma akan diadakan pada 2 April 2009 jam 11.00 pagi di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban kepada guru-guru sejarah di Negeri Sembilan anjuran Persatuan Sejarah Negeri Sembilan).
MUKADIMAH
Ilmuan tasauf teragung Imam al-Ghazali menerusi kitabnya 'Ihya Ulumuddin' menghuraikan secara ethics mengenai pemahaman syakiyyah dan pengingkaran terhadap segala ilmu menjelaskan: "Serendah-rendah tingkat orang yang berpendidikan, ialah orang yang dapat menghargai dirinya sendiri dari orang-orang biasa yang tidak berpendidikan. Orang yang berpendidikan tidak akan menghirup madu sekalipun mendapatkannya di dalam besen pembekaman, oleh kerana ia tahu bahawa besen itu tidak mengubah zat madu."
Memang besen bekas pembekaman itu menampung darah kotor, justeru ianya tak mampu mengubah zat madu yang diisikan, walaupun dicuci sebersih-bersihnya. Begitu juga mangkuk tandas yang dibersihkan, tak akan mengubah persepsi manusia terhadap makanan lazat yang diletakkan di dalamnya. Begitulah! Maknanya, ilmu sejarah atau sebelumnya dikenali ilmu tawarikh (atau bagi pelajarpelajar sekolah agama di masa lalu disebut ilmu tarikh); ianya tak akan mengubah tanggapan umum sejarah itu rakaman dokumentasi kehidupan manusia dalam tranformasi zaman bahari ke zaman baharu.
Justeru disiplin penulisan sejarah memerlukan orang yang berpendidikan sama ada secara formal mahupun tak formal, di samping kaji selidik yang berpaksi kepada etika keilmuan. Malah dalam kitab 'Hakikat Tawassul dan Wasilah' oleh Musa Muhammad Ali yang diterjemah oleh Ustaz Haji Ali Haji Mohamed ke Bahasa Melayu menjelaskan: "Apabila dinisbahkan kepada ayat-ayat al-Quran yang mulia, hadis-hadis yang suci dan perkataan orang-orang terdahulu, maka semuanya sesuai dengan keadaan yang kita sebutkan tentang pada penghuni barzakh." Penjelasan tersebut menghuraikan al-Quran dan hadis menerangkan perkara-perkara di masa lalu untuk dijadikan tauladan kepada generasi manusia kemudiannya.
Memang penulisan sejarah menjadi dokumentasi bagi mempelajari perlakuan manusia di masa lalu sama ada kebobrokan mahupun kegemilangan, kepongahan mahupun ketulusan, keperongosan mahupun keperibadian berhemah! Bagi saya penulisan sejarah bolehlah diberikan kepada tiga kategori: (1) sejarah ketokohan atau biografi dan sirah, (2) sejarah sumbangan kepada peradaban manusia atau autobiografi, dan (3) sejarah umum terhadap tamaddun sesebuah negara atau tawarikh. Tak hairanlah apabila Napoleon Bonaparte yang meminati buku-buku sejarah ditegur oleh gurunya dengan mengingatkan beliau: "Kamu tak perlu membaca sejarah, tapi kamu wajar mencipta sejarah."
No comments:
Post a Comment