Friday, April 24, 2009

BERPUISI DENGAN YASSINSALLEH...

RumahINDUK RumahPUSAKO
Nan Gadang


Cuba
dan cuba
dan ku cuba lagi
berulang kali
ku cuba mencari
kesan denai-denai laluan
remajaku
memikat balam
di pinggir hutan,
menajur haruan
di tebat pandan
mengutip berangan gugur
bersepahan
menggetah punai
d hujung dahan
melastik tupai
makan putik
durian
sambil menunggu
merbah datang
menyerah
ke pintu jebak
tiang buluh
kulit bertam
yang tengadah.


Aduhai,
bagaimanakah akan tercari
olehku lagi
denai-denau laluan remajaku
yang telah mengajarku
menyayangi alam
dan segala hikmah
kesemulajadiannya
yang telah
mendidikku menghargai
daulah imbangannya
yang mengikatku
ke dahan ingatan
yang tertambat
ke pohon zaman
yang sudah
entah ke mana hilangnya
kenangan tak
berkesan.


Bersama
semalamku
yang tidak lagi
menyambutku pulang
terlentang
sawah dah jadi
belukar
dan mayat
pepohon
pokok-pokok hutan
bergelimpangan
di tengah halaman
rumahINDUK
rumahPUSAKO.
nan gadang
yang lengang.


-Yassinsalleh
jam 1751
April 24, 09
Pelangai
kampungku
lagikah engkau
ini?

1 comment:

ahmad nizam hamid said...

Pak Dharma,entah mengapa puisi ini begitu mengesankan hati dan perasaan saya.membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak yang "innocent";mengingatkan saya kepada rumah Nenek di kg rawa lenggeng,negeri sembilan.rumah nenek bukanlah rumah gadang dalam ertikata sebenar,sekadar rumah kampung dgn satu bilik tidur,atap zink yang usang dan dinding papan yang tidak bercat.
tapi saya cukup gembira setiap kali pulang ke rumah Nenek.teringat makan lemang tepung (di temerloh tak ada orang buat),nenek akan tanak pulut makan dengan ikan sepat kemboja masin dan yg lebih istimewa,rendang minang Nenek yang memang "sehingga menjilat jari".
kopi "o" Nenek yang biji kopi dibeli di pasar minggu pekan beranang atau di mantin,saya tak pasti,cukup menyelerakan cecah pula dengan "roti balak",wah!dunia ini ana yang punya,bak kata p.ramlee.
rumah pusako Nenek akhirnya hilang menyembah bumi,dimamah anai-anai.dan tentunya yang tinggal hanya kenangan.saya selalu terfikir (atau berangan-angan,mungkin),jika hari ini Nenek masih ada tatkala saya sudah menjadi peguam,akan saya bina rumah yang lebih indah,selesa dan cantik di Lenggeng untuk Nenek;tapi,ya,kita tidak tahu perancangan Allah.Nenek meninggal tahun 1987 dan saya sempat mengajarnya mengucap kalimah syahadah.
seperkara lagi,saya mendapat perkhabaran,orang Lenggeng protes pengambilan tanah oleh kerajaan untuk besarkan jalan sebab bukan sahaja banyak tanah yang akan diambil tetapi yang lebih penting,banyak Rumah Pusako Rumah Gadang Rumah Induk yang hilang.Mungkin Pak Dharma boleh tinjau hal ini.ADUN Lenggeng tak boleh diharapkan setelah kena cekup dengan SPRM/BPR,ikut kata orang Lenggenglah.