Saturday, May 16, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Bekas Orangkaya diamkan diri:
Sekalipun gempar di balairongseri

Syahdan diberitahu orang banyak akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berdiam dirilah ia. Tak mahulah ia mencampuri hal ehwal di dalam negeri setelah ia diusir, kerana adat Melayu itu tiada mahu menjadi 'pelepa melampaui pucuk', adanya. Arakian Tun Abdullah itu dibiarkannya negeri Perak akan sekalian orang berbalah di balairongseri, kerana berebut-rebut mahu menjadi Orangkaya Menteri Besar ketua di balai negeri itu. Adapun orang banyak yang mahu bertanya, maka dituduh ia hendak menderhaka. Arakian beramuk-amuk sekalian orangkaya di balairongseri hingga hulubalang-hulubalang turut masuk ke dalam menghunus senjata mereka.

Hatta akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad bersuaralah ia tak mahu balairongseri itu dibubarkan. Maka Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak serba salahlah ia disebabkan segala rakan-rakan dan sahabat andai harakah Melayu (UMNO) mahu ia membubarkan balairongseri. Arakian dikatakan ia semuanya terserah kepada sultan jua, adanya. Sekonyong-konyong anak kesayangan Tun (Tabib) Mahathir yang bernama Dato' Paduka Marina itu bangunlah ia meminta balairongseri negeri Perak itu dibubar jua.

Kata sahibul hikayat tersebutlah perkataan peri baik rupanya Raja Zainal, saudara Sultan Mahmud Shah, iaitu seorang pun tiada bandingnya pada zaman itu, baiknya tiada tercela lagi, kelakuannya pun sedap manis, terlalu baik, pantas kelakuannya. Jika baginda itu berkain pancung, maka puncanya digantung daripada hendakkan baik perbuatannya pancong itu. Maka ada seekor kuda baginda, Ambangan namanya, terlalu sangat dikasihi baginda. Mendengar peri baiknya adinda baginda itu, maka disuruh bunuh oleh Sultan Mahmud lalu gemparlah segala orang di balairongseri, maka itulah diperbuat orang nyanyi:

Apa didengar di pagi hari
bunyi bilal di surau seberang
Apa gempar di balairongseri
Raja Zainal ditikam orang

Segala kejadian itu disurat orang seperti dirawi dalam 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: