Satu Malaysia untuk satu orang sajakah?
Dalam demokrasi Malaysia, Ketua Pembangkang (Gambar, DS Anwar, Ketua Pembangkang) tidak diberi takrif yang jelas dari segi protokol dan peranan bersifat kenegaraan. Misalnya, mengapakah Ketua Pembangkang tidak disediakan sebuah rumah khas untuknya seperti yang dibuat di Kanada? Dia juga harus disediakan sebuah kereta yang sama tarafnya dengan PM sendiri, dan sebuah pejabat yang lengkap dengan para pembantu yang diperlukan. Semuanya dibayar oleh negara. Sekarang kita sering mendengar laungan yang cukup bising tentang slogan Satu Malaysia, dan satu pelancaran besar-besaran sedang diaturkan.
Itu Perdana Menteri baru sudah bilang tidak perlu lagi pesta besar-besaran di dalam pentadbirannya, membazir wang rakyat. Sekarang kita boleh tanya sama itu PM yang tidak mahu membazir wang itu: Adakah memberi kedudukan wajar kepada Ketua Pembangkang satu pembaziran, sedangkan melancarkan Satu Malaysia dalam satu pesta besar-besaran tidak membazir? Nampaknya, bagi PM yang pandai-memandai berslogan itu Ketua Pembangkang tidak termasuk dalam golongan mewakili rakyat, oleh itu slogan “rakyat diutamakan” tidak boleh dipakai dalam konteks Ketua Pembangkang.
Oleh itu beliau tidak berhak diberi rumah yang setaraf dengan PM sendiri seperti yang dibuat di Kanada. Slogan Satu Malaysia boleh dengan senang makan tuan jika silap pakai; bukan saja makan tuan tetapi juga mendedahkan kepura-puraan tuan empunya slogan yang seronok melaungkan slogan tetapi hanya untuk diri sendiri. Maka itu protokolnya mesti dijelaskan, di mana duduknya Ketua Pembangkang dalam upacara rasmi di Istana Negara misalnya. Dalam upacara rasmi lain-lain juga mesti dihadiri Ketua Pembangkang, jika tidak mahu berbuat begitu maka lebih baik dan lebih mulia tidak dilaungkan slogan Satu Malaysia itu.
Demikianlah adab bermasyarakat dan adab bertamadun. Seorang PM (gambar, DS Najib, PM) tidak boleh meminggirkan Ketua Pembangkang dalam apa juga upacara rasmi bersifat kenegaraan, kerana perbuatan itu akan menjatuhkan maruah PM sebagai orang yang tidak bertamadun. PM mestilah faham bahawa Ketua Pembangkang bukan musuh negara, tetapi mewakili sekumpulan rakyat yang berhak penuh ke atas negaranya tetapi tidak mahu ikut serta menyokong PM dan kumpulannya. Itulah antara ciri demokrasi yang beradab, yang dipraktikkan di negara-negara yang tahu makna demokrasi sebenarnya. Sekarang kita beralih kepada peranan Menteri Penerangan dalam kehidupan beradab sopan itu.
Adalah menjadi tanggungjawab Menteri Penerangan memberikan ruang dan masa yang cukup untuk menyiarkan pandangan dan pendapat Ketua Pembangkang, kerana suaranya mesti didengar dan diberi perhatian oleh semua rakyat, yang menyokong atau menentangnya. Sekarang Menteri Penerangan seolah-olah mengabaikan adab sopan dan ketamadunan bertindak dengan menggelapkan apa juga ucapan Ketua Pembangkang. Jika ini berterusan, maka Satu Malaysia yang dilaungkan itu akan menjadi jeritan tidak sopan, kerana terselit dalam maksud Satu Malaysia itu ialah hak yang sama yang mesti diberikan kepada Ketua Pembangkang untuk memainkan peranannya yang sah.
Semua perkara yang dihuraikan di sini tidak timbul dan tidak perlu dibincangkan jika para pemimpin kita yang memegang tampuk kerajaan tahu makna tamadun dan kesopanan bertindak. Rakyat mesti tahu perkara ini walaupun cuba disembunyikan oleh para pemimpin yang tidak bertamadun tadi. Pendeknya, jika kita betul-betul mahu melaksanakan Satu Malaysia, maka syarat utama yang mesti ada adalah adab sopan dalam bertindak, dan ini mesti ditunjukkan dalam cara kita menerima kedudukan Ketua Pembangkang sebagai wakil segolongan rakyat yang satu masa nanti akan dinaikkan taraf sebagai Perdana Menteri jika rakyat sudah menetapkan beliau layak menduduki tempat itu.
Pendeknya, slogan Satu Malaysia menuntut semua rakyat bersopan santun dan sanggup menerima perbezaan pendapat dengan hati terbuka dan bijaksana. Jika itu tidak ada, maka janganlah dilaungkan lagi slogan Satu Malaysia itu kerana ia lebih merupakan salakan daripada ajakan untuk membina tamadun bangsa kita. Sayanglah jika kita hanya pandai-pandai melaungkan Satu Malaysia, tetapi kita menuju ke arah kebiadaban, bukan peradaban. -[11/6/2009] Mohd. Affandi Hassan
1 comment:
1 Malaysia = 1 janda - 1 bini - tapi banyak girl friend ?
Post a Comment