Friday, July 10, 2009

SEKILAS PANDANG...

Pelajar aliran Melayu dieksprimen:
Wajar bangkit dengan keberangan PPSMI


Ketika melintasi di kaki lima kedai di Taman Rampai, Hulu Kelang pagi semalam (8 Julai 2009), saya ternampak berita utama akhbar di gerai buku ialah PPSMI dimansuhkan, sekalipun ianya akan dilaksana sepenuhnya pada 2012. Kebetulan jam 8.00 pagi, Prof Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah menelefon mengajak bersarapan pagi, disebabkan tak bertugas berikutan pendaftaran baru pelajar-pelajar di UIA, Gombak. Disebabkan lama tak bertemu Ahmad Mahmud, editor Varisari, lantas saya mengajaknya ke Hulu Kelang menemui Ahmad Mahmud (atau nama sebenarnya Radzi Mahmud). Terkejut juga Dato' Dr Mansor kerana menyangka mahu menemui aktor filem Melayu 1950-an Allahyarham Dato' Ahmad Mahmud. (Gambar, di Ipoh 1970-an, Dr Mansor no 3 dari kiri, Ahmad Mahmud no 4 dari kiri dan Pak Dharma mengepit fail).

Ketika seminar penulisan di Ipoh sekitar awal dekad 1970-an, kami bertiga sentiasa bersama sama adasewaktu makan mahupun di dewan seminar yang berlangsung di Sekolah Agama Ta'siah di Jalan Tambon. Lama juga menunggu Ahmad Mahmud di pejabatnya, hingga jam 9.30 pagi baru terjongol bersama Haji Ahmad Idris (ABI). Sementara menunggu Ahmad Mahmud, kai bebrual-bual terlebih dahulu dengan Suhaimi Hamid, editor Hidayah mengenai rakan-rakan penulis. Apalagi Dr Mansor masih kesedihan tak sempat menatap muka Allahyarham Syed Ahmad Syed Abdullah sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Temerloh. Malah ketika bertolak ke Temerloh pagi 7 Julai 2009, beliau juga tak sempat menghubungi saya.
Bagaimanapun rakan-rakan di Temerloh sendiri termasuk L Mankadir Shamsi tak menyedari Syed Ahmad (atau sinonim dengan panggilan 'Abah', di samping nama penanya Sahmad Malaya) dimasukkan ke hospital. Dr Mansor menerima panggilan telefon dari Rahman Yusuff yang melanjutkan pengjian di Surabaya, Indonesia apabila dihubungi oleh keluarganya dari Pahang. Aduhai! Disebabkan Dr Mansor masih terkedu dengan kehilangan 'Abah', justeru isu PPSMI dimansuhkan tak menjadi topik utama. Bagaimanapun sebagai aktivis PRIMA, kita tak peduli sama ada ianya kemenangan rakyat mahupun siapa, tetapi ianya adalah kepentingan Melayu tak mengira aktivis UMNO, PAS mahupun PKR. (Gambar, Sahmad dengan ihsan Siasahdaily)

Ahmad Mahmud atau Mat yang lebih banyak tersengih daripada mengomel, sekadar mencelah sekali sekala mengenai rakan-rakan yang lama tak ditemui. Lainlah Dr Mansor yang becok setiap kali bersua tetap berbangga sebagai anak Melayu yang didewasakan di tengah pendidikan Melayu, mampu menjangkau ke pusat pengajian tinggi di Amerika Syarikat. Apalagi saya bersama Dr Mansor adalah pelajar yang dieksprimen oleh kerajaan UMNO pasca merdeka ketika mengangkat status pendidikan aliran Melayu ke peringkat menengah. Apabila pendidikan aliran Melayu mahu dibunuh, justeru sebagai pelajar yang dieksprimen wajib untuk kami bangkit dengan keberangan yang sukar dibendung. Begitulah!

-Pak Dharma.

No comments: