Sunday, April 19, 2009

APA KATA MOHD AFFANDI HASSAN...



Mengapa secara tiba-tiba:
UMNO/BN bertukar jadi bacul?



Sekarang UMNO/BN tiba-tiba jadi marah bila pilihan raya kecil diadakan. Demokrasi jangan dipermainkan, kata mereka. Siapa yang mempermainkan demokrasi? Jangan membazir dengan kerap mengadakan pilihan raya kecil. Dari mana dan bagaimana boleh timbul pendapat sebodoh ini sukar difahami. Perhatikan fakta-fakta ini (jika dapat dinamakan fakta). Kata YAB Datuk Najib Perdana Menteri dari Pahang, rakyat mesti diutamakan dalam slogan (bukan konsep, bukan gagasan, apa lagi wawasan; hanya slogan) Satu Malaysia.


Kalau terdapat mana-mana ketua parti korup, tangkap dan bicarakan. TKM 1 Pulau Pinang disiasat dengan cepat ligas oleh Badan Pencegah Rasuah (nama ini masih tepat dan perlu digunakan walaupun sudah ada nama baru) untuk dibawa ke pengadilan. Ini tak dapat dilengah-lengahkan demi kepentingan rakyat. Tetapi apabila orang berkenaan meletakkan kepentingan rakyat dengan melepaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat, dengan membawa kes itu kepada rakyat, seluruh ahli UMNO/BN jadi sangat marah.

Tak perlu berhenti, teruskan. Anda korup kami lebih lagi korup, kami tak susahkan rakyat dengan berhenti jadi wakil mereka. Jangan libatkan rakyat dalam pilihan raya lagi, kami akan malu lagi. Kami akan kalah. Kalau kami percaya kami akan menang, seratus pilihan raya kecil pun kami sambut. Demi kepentingan rakyat, jangan permainkan demokrasi. Anda semua marah bila kami permainkan demokrasi, sekarang jangan buat kerja jahat yang kami buat. Kalau difikir-fikir dengan tenang, siapakah sebenarnya yang menipu dengan menggunakan (kononnya) demokrasi? Fakta kedua. Betapa baculnya UMNO/BN sudah jadi budaya dalam politik Kelantan.

Bagi UMNO, Malaysia bukan negara untuk rakyat Kelantan, oleh itu jika mereka keluar Kelantan mencari kerja, maka hal itu terjadi kerana mereka dizalimi oleh kerajaan PAS. Pada waktu yang sama UMNO berperi-peri bercakap tentang Satu Malaysia dan entah apa-apa lagi yang karut. Bikin orang jadi sasau kerana melontarkan slogan yang tidak difikirkan masak-masak. Semua orang jadi keliru. Kalau betullah slogan Satu Malaysia dan keutamaan kepada rakyat itu menjadi projek politik UMNO/BN di bawah YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, PM dari Pahang, maka kumpulan bangsat yang paling utama mendapat keutamaan ialah rakyat Kelantan.
Menghina rakyat Kelantan

Sudah penuh seratus jilid buku, jika ditulis, kata-kata menghina rakyat Kelantan sebagai bangsat mencari kerja di luar Kelantan, dapat faedah dari kemakmuran yang diberikan oleh UMNO/BN di tempat lain, tak mengenang budi balik undi PAS, menghina demokrasi kerana tak mengenang budi UMNO/BN memberi mereka kerja dan kemewahan. Sekarang sudah ada Satu Malaysia, rakyat diutamakan, kerja dibereskan. Tunggu apa lagi? Curahkan kemakmuran kepada rakyat yang telah kamu tindas sekian lama.

Tapi kamu tidak mahu kerana kamu sering berkata rakyat Kelantan telah mempermainkan demokrasi dengan memilih PAS walaupun makan duit UMNO/BN dan dapat jalan kerana UMNO/BN buat, dapat jambatan (ingat: ada ketua parti jadi jutawan maha jutawan kerana projek-projek untuk rakyat itu) yang selalu sesak kerana rakyat Kelantan yang papa kedana itu banyak kereta harga murah yang menyusahkan orang lain. Kalau betullah Satu Malaysia itu bukan sekadar slogan, yang paling berhak mendapat faedah ialah orang Kelantan. Tapi sialnya mereka telah menyalahgunakan demokrasi dengan tidak memilih UMNO/BN. Fakta ketiga (cukup setakat ini saja) yang baru berlaku.

Kalau mengadakan pilihan raya membazir, bagaimana pula belanja untuk 70,000 rakyat (itu kata Utusan Melayu; di tempat lain orang bilang tak sampai pun 20,000; tapi tak mengapa, memang UMNO/BN sukakan nombor-nombor besar, kerana itu terkilan betul jika dapat angka kecil saja bila diberikan agihan selepas perhimpunan agung parti) yang dikerah (kerah dalam bahasa Melayu bererti dipaksa buat sesuatu, seperti raja mengerah rakyat berperang untuk menjaga takhtanya dalam hikayat-hikayat Melayu) menyambut YAB Datuk Seri Najib bin Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang pulang ke kampung?

Perayaan itu untuk siapa, untuk rakyat atau untuk pemimpin, untuk ketua parti? Tanya rakyat Kelantan dan dengar jawapan mereka. Insha Allah orang Kelantan tidak kata membazir kerana mereka sangat hormatkan pemimpin. Mereka datang menyambut ketua mereka yang jujur ikhlas secara sukarela, tak perlu dikerah. Itulah kehebatan orang berjiwa merdeka. Adapun orang yang memang berjiwa hamba, dia suka dipuja-puja dan sangat gemar memperhambakan orang yang dia fikir terhutang budi kepadanya. Itulah kerendahan peribadi dan akhlak yang paling keji. Rakyat yang sudah ditarbiahkan akan menolak ketua seperti itu. [19/4/2009]

(*Mohd. Affandi Hassan ialah sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Pernah memenangi beberapa kali hadiah karya sastera nasional tetapi menolaknya. Pesara PTD dan bekas pegawai tinggi kementerian, beliau berpengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan negara).




No comments: